Berlegar di media sosial gambar rumah yang tinggal tangga batu pink selepas dilanda banjir di Hulu Langat. Ada juga yang terpaksa memanjat hingga syiling rumah demi menyelamatkan nyawa. Menggambarkan betapa dashyatnya tragedi banjir yang melanda kawasan itu.
Norismahida Ismail berkongsi pengalaman yang dikongsikan anak mangsa banjir Hulu Langat. Yang mana kesemua mangsa 7 beranak itu selamat berlindung atas kayu siling rumah. Itu saja bahagian yang tinggal, sedangkan lainnya sudah dihanyutkan dek banjir.
Alhamdulillah, kesemuanya masih selamat. Biarpun malam kejadian, 7 beranak ini perlu memanjat tinggi sehingga ke loteng demi menyelamatkan nyawa.
Ini kisahnya,
Semalaman (ketika status dikongsi pada 30 Disember 2021) diorang berlindung dalam siling. Antara hidup dan mati. Tawakal Alallah..
Setiap kali kayu balak menghentam, setiap kali tu jugalah rumah bergoyang. Kedudukan mereka juga bergoyang. Allahuakbar.
7 beranak. Mak, ayah, pak long 5 baranak. Sesungguhnya sisa hidup mereka masih panjang..
‘Kayu Siling Rumah Selamatkan Nyawa’ Ceritanya Macam Ni
17/12/2021 – sabtu malam – Kampung Jawa, Batu 18, Hulu Langat
Dalam pukul 10 lebih malam tu, air mula masuk rumah. Ayah dan mak dah mula angkat sikit-sikit barang ke tangga batu (rumah kayu tinggi bersambung dengan batu bahagian bawahnya)
Bantal tilam kain baju di bilik pija dan cik pon ayah angkat ke tangga. Ayah fikir air naik sikit je. Bilik mereka berdekatan dapur (bahagian bawah – rumah batu).
Dekat pukul 11 air dah mula naik sampai paras pinggang. Pak long 5 beranak (rumah sebelah, rumah batu setingkat) terus berlari ke tangga depan rumah ayah.
Ads
Hari ke 2 – bahagian depan rumah yang nampak ‘OK’
Terpaksa Panjat Hingga Palang Kayu Siling Rumah
Air semakin naik. Laju sangat. Dah paras dada di bahagian rumah kayu (tingkat atas). Tak boleh nak lari ke mana dah. Turun ke tanah, confirm tenggelam lemas. Arus deras.
Mula nya takut nak panjat ke loteng. Tapi, itu je jalan yang ada untuk selamatkan diri. Terpaksalah.
Mak ayah dah tua, selalu je tak larat. Pak long pula baru pulih lepas kena serangan strok.
11 malam. Masa panjat tu beralaskan meja makan.
Dah sampai atas. Bertenggek pula atas palang kayu siling rumah lama tu. Masing-masing goyah, kuat lagi ke kayu ni.. berpuluh tahun dah ni.
Ada sekali tu, anak bongsu paklong terjerlus kakinya ke siling rumah. Allahuakbar.. syukur sempat berpaut.
Hari ke 2 – rumah tangga pink yang viral tu. Sebelah rumah mereka
Berjiran Dengan Rumah Tangga Pink Viral
Rumah mereka dan rumah tangga pink yang viral tu kira rumah pertama yang di himpap balak hutan. (Rumah tangga pink viral tu rumah sepupu mak, pija panggil dia Mak Long)
Takde rumah lain sebelum rumah mereka. Hanyalah bukit tinggi yang dipenuhi pokok hutan berbatang besar.
Ads
Masa kejadian tu, air dari kawasan bukit bersama batang-batang balak laju turun dan terus hentam rumah mereka.
Sampai konkrik dapur tu pon tercabut. Habis barang dalam dapur hanyut entah ke mana. Yang tinggal hanya peti ais tercabut pintu Allahuakbar.
Kuasa Allah rangka rumah kayu tempat mereka berlindung tu masih bertahan. Padahal bahagian lain dinding rumah kayu tu separuh ranap dek hentakan balak. Total lost. Subhanallah..
Hari ke 4, 2 buah jentolak datang membersihkan balak, meratakan tanah dan pasir di sekitar rumah. Jentolak dari orang perseorangan, Alhamdulillah Allah gerakkan hati beliau. Semoga beliau sentiasa dalam rahmat Allah.
Jiran Fikir 7 Beranak Dihanyut Dek Banjir
Jam 6 pagi, air dah surut. Mereka turun dan bergerak ke rumah tinggi di seberang jalan.
Rupanya malam tu, semua jiran ingat mereka dah hanyut di bawa arus deras.
Semuanya kuasa Allah.
Hari ke 2 pasca banjir, dengan ihsan seseorang, mereka ber 7 ditempatkan di sebuah rumah flat – berdekatan.
Ads
Inilah serba sikit cerita dari mulut anak mangsa – pija; adik ipar Kak Is Shafizah ShaAzman Ikhwan Ismail
Bak kata suami Kak Is “kalau saya jadi diorang, kalau rumah tu di robohkan nanti, saya ambil kayu tempat bertahan tu”.
Subhanallah. Kak Is menulis cerita ni sebab rasa rare, kuasa Allah rumah tu dan bahagian siling tak roboh. Sedangkan bahagian lain dah hanyut entah ke mana.
Hari ke 3 – masih terputus hubungan. Diorang try masuk ke langat, Alhamdulillah
Ramai yang tanya nak bantuan apa, buat masa ni mereka tak nak barang sebab tak tahu nak letak kat mana. Tapi mereka perlukan tempat tinggal.. nak bina semula rumah, harap cepatlah dapat bantuan.
Kepada netizen yang datang, acah-acah bagi sampul kosong dan mintak mak dan ayah berlakon untuk ambik gambar/video tu bawak-bawak lah istighfar yer. Belum kena kat awak..takkan lah kene kat batang hidung atau keluarga sendiri baru nak terngadah.
Allahuakbar..
Semuanya pinjaman dari Allah. Nyawa kita juga.
Setiap kali hujan, kami suami isteri jadi risau.. risau banjir berulang. Terbayang-bayang muka mak ayah pija saat tu..terbayang-bayang trauma mangsa-mangsa banjir.
Wallahualam..
Coretan ini sekadar perkongsian dari Kak Is
Mingguan Wanita : Syukur keluarga ini masih dilindungiNya. Semoga mereka tabah menghadapi musibah hebat ini dan Allah gantikan kehilangan harta benda dengan lebih baik lagi.
Lebih 2 tahun seluruh dunia ‘bergelut’ menangani penularan Covid-19 dengan pelbagai varian yang muncul dan masih belum menemui ‘penawarnya’.
Namun ada berita baik dikongsikan oleh sebilangan pakar yang berpendapat bahawa varian Omicron Covid-19 mampu bertindak sebagai ‘vaksin semula jadi’, sekali gus mempercepatkan perubahan fasa pandemik kepada endemik, lapor akhbar The Sun semalam.
Ahli Virologi di Universiti Reading, Profesor Ian Jones berkata, disebabkan kesan varian tersebut yang lebih ringan dan mudah berjangkit, ia dilihat boleh memberikan imuniti kepada masyarakat.
“Sekiranya benar bahawa kesan varian itu lebih ringan, suntikan vaksin hanya diperlukan untuk golongan warga emas ketika musim sejuk.
“Selain itu, gejala selesema akibat Omicron bagi individu yang cergas dan sihat tidak menimbulkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian seperti varian-varian lain.
“Bahkan sekiranya dijangkiti, pesakit boleh menerima imuniti tanpa menyebabkan kesan yang serius,” katanya.
Beberapa kajian sebelum ini menunjukkan varian Omicron memberi kesan lebih ringan berbanding varian lain, dengan laporan rasmi pertama Britian mendedahkan bahawa risiko kemasukan ke hospital adalah 50 hingga 70 peratus lebih rendah berbanding Delta.
“Jika Omicron adalah lemah dan kita sedang beralih ke fasa endemik, maka versi varian baharu akan datang mungkin lebih ringan dan keperluan untuk memvaksinasi golongan dewasa yang sihat bakal berkurangan,” ujar Jones.
Mingguan Wanita: Semoga teori mengenai varian Omicron ini lemah adalah tepat, sekaligus membantu seluruh dunia beralih ke fasa endemik dan kembali pulih seperti sedia kala.
“Ustazah, Saya Tak Bebankan Fikiran Tentang Jodoh, Sebab Ia Urusan Allah,” itu antara petikan perkongsian perbualan antara selebriti Heliza Helmi dan pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun.
Membuka lembaran tahun baru 2022, selebriti dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi,35 telah melangsungkan pernikahan dengan jutawan muda, Datuk Sri Mahadi Badrul Zaman. Pasangan ini sah bergelar pasangan suami isteri dengan sekali lafaz pada 1 Januari 2022 jam 11.11 yang dilangsungkan di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya.
Ramai yang merasai kegembiraan dan turut mendoakan kebahagiaan buat pasangan pengantin baru ini. Apatah lagi majlis perkahwinan yang diadakan dalam suasana yang cukup sederhana, memenuhi syariat yang sepatutnya dalam mengadakan majlis.
Beberapa kali Allah izinkan kami bertemu, setiap kali itu dia suka minta doa, dengan gaya comel dan ceria, lalu saya doakan semoga dia dikurniakan seorang suami soleh yang memahami dan menyokong perjuangannya, dia aminkan bersungguh-sungguh. SubhanAllah, jodoh yang Allah tetapkan tidak cepat atau lewat, ia tepat pada waktunya.
SubhanaAllah, adinda Heliza Helmi yang mulia dan dihormati telah sah menjadi seorang isteri, entah kenapa tiap kali melintas gambar dan video pernikahannya mudah menitis air mata. Iya, bahagia dan sungguh bahagia melihatnya.
Benar, ramai yang kagum dengan sosok wanita bernama Heliza Helmi, dia macam kalis penat, kecaman dan sindiran, dia terus sahaja melangkah tanpa mengutip batu yang dilontarkan, walau masih bujang, langkahnya panjang. Namun, siapakah di sebalik beliau ?
MasyaAllah, Allah izinkan saya bertemu beberapa kali beliau bersama Ibunya, kali pertama ketika itu dalam tahun 2012, saya masih sebagai penjawat awam, Pegawai Hal Ehwal Islam yang diberi amanah menguruskan daripada awal hingga akhir persembahan artis jemputan untuk satu program peringkat Negeri, beliau salah seorang.
Dalam bilik menunggu, dengan beberapa orang artis di dalam ruang tersebut, saya perlu menitipkan beberapa pesan, terutama bab etika persembahan dan pemakaian, supaya sesuai dengan acara. Beliau sungguh ceria dan memberikan kerjasama yang sangat baik, namun yang lebih menarik perhatian saya adalah ibunya yang sentiasa menemani, melayani dan menyediakan keperluannya.
Hinggalah saat saya seperti hari ini, dan Allah izinkan saya bertemu beliau dan bekerjasama dalam beberapa program, ibunya masih lagi setia bersama. Pernah satu hari saya berkata kepada dia dan ibunya, Heliza sentiasa dilihat tenang, kuat dan semangat kerana dia ada seorang Ibu yang sangat hebat, yang selalu mendokong dan mendoakannya. Begitu juga peranan Ayahnya, yang benarkan si isteri selalu menemani anak, sudah tentu ada bahagian pengorbanan besar si ayah. Mereka mainkan peranan sebagai Wali si anak dengan sebaik mungkin.
Kuasa dorongan Ibu dan Ayah adalah satu anugerah buat anak yang terpilih. Namun jika kita tidak memilikinya, Allah sentiasa ada untuk kita, pasti ada sesuatu yang akan mendorong kita jua.
Saya belajar sesuatu, saya ingin jadi ibu seperti itu, seperti ibu saya juga, yang berterusan mendidik saya hingga ke saat ini. Tidak ada istilah mengongkong, ia adalah satu sentuhan kasih tulus hati seorang ibu.
Kerana itu di usia yang membimbangkan bagi wanita, Heliza tetap tenang dan ceria,
“Ustazah, saya tak bebankan fikiran saya tentang jodoh, sebab ia urusan Allah, saya fokus apa yang saya nak dan perlu buat setiap hari”
Dan kini, beliau berpindah dalam jagaan dan kawalan seorang Suami Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman, seorang pejuang di medan jihad ekonomi, semoga ia adalah satu gabungan yang memberi barakah dan kebaikan buat Ummah. Pasangan ini sunguh dilihat sangat harmoni.
Allahu Akbar.
Sahabat semua, sedarkah ada banyak perkara yang menarik pada dirinya dan pernikahannya.
Pengantin yang bernama Heliza Helmi tidak berinai? atau sangat sedikit hingga tidak nampak inainya. Pada hari ni dimana para pengantin wanita mula berinai hingga pergelangan tangan, dilukis dengan ukiran bunga dan lain-lain. Beliau memilih sesuatu yang minimalis namun sangat manis.
Solekan wajah yang sangat semulajadi hingga seperti tidak bersolek, pakaian, majlis dan pembawakan juga sederhana walaupun pasangan seorang jutawan.
Tiada babak romantik yang ditonjolkan, sifat malu itu telah mengindahkan semuanya. Tahniah buat keduanya. MasyaAllah. SubhanAllah, saya sebutkan begini bukan ingin merendahkan sesiapa, hanya untuk menyingkap kebaikan yang berada di hadapan mata sebagai satu renungan bersama.
Semua ni buatkan saya senyum sendirian. Bukan nak buat perbandingan atau persamaan, teringat 17 tahun lepas saat saya menjadi pengantin, emak ayah tak bagi pakai inai, larangan yang sama kepada kakak yang 3 bulan awal nikah daripada saya, larangan itu kekal hingga 6 adik beradik perempuan yang telah nikah, tinggal seorang lagi adik perempuan yang belum nikah.
Kenapa ?, itu juga soalan saya pada emak, bukan selalu, hanya untuk sekali seumur hidup, hanya untuk hari nikah, cuba memujuk. Emak Ayah tetap tidak membenarkan dengan pelbagai sebab.
“Asma’, memang khas untuk nikah, tapi inai tu makan masa untuk hilang, mungkin sebulan, sepanjang masa tu nak pakai sarung tangan ke, bila keluar, bukan semua orang tahu Asma’ tu pengantin baru. Apa orang fikir, berpakaian labuh menutup tapi tetap menarik, jari perempuan ni jika diletak inai memang nampak menarik, sebab tu ada pelbagai pewarna kuku, ia dah jadi satu solekan yang menarik, daripada hukumnya harus, bimbang jadi tabarruj, jagalah diri, selagi boleh elak maka elaklah..”
Panjang lebar emak menjelaskan.
Akhirnya kami semua terima dengan terbuka, ketika kecil setiap kali Hari Raya Eidulfitri memang rutin akan pakai inai daun yang ditumbuk campur dengan nasi putih. Emak kata, waktu kecilkan dah selalu berinai, cukuplah tu. Dah besar, sesuaikanlah.
Teringat keluarga kami, pengantin wanita memang tak dibenarkan langsung keluar daripada rumah, dan hanya pengantin lelaki sahaja boleh keluar. Sesiapa yang nak jumpa pengantin perempuan perlu masuk ke dalam rumah, dan hanya tetamu perempuan sahaja dibenarkan masuk.
Emak juga tak bagi saya letakkan sedikitpun solekan, gincu sangat sedikit, saya nakal letaklah sikit gincu pada pipi dan ratakan, nak nampak pipi kemerahan, terus emak perasan diminta saya lapkan, hanya boleh pakai bedak dan sedikit celak . Sedangkan hanya perempuan sahaja yang boleh tengok. Tapi, seri pengantin tetap ada, nama pun pengantin kan.
Bila ditanya kenapa, “Nak bersolek ke apa depan suami sahaja, tak usah nak raih pujian orang ramai”. Deep sungguh ayat emak.
Jika difikirkan, pada hari biasa, saya juga bebas keluar, semua anak perempuan belajar jauh, kebanyakan ke luar negara. Namun kerana faham, ini hari istimewa, jadikan ia betul-betul istimewa, hanya untuk yang istimewa. Kerana hakikatnya keredhaan Allah lebih utama daripada segala yang lain.
Bersalam dan sarung cincin pun dalam bilik disaksikan emak ayah dan adik baradik. Yang lain seperti cium dahi memang larangan keras. Pelamin semua tidak ada, bukan tidak mampu, tapi emak ayah tak mahu. Jika mahu juga, emak ayah benarkan dibuat dalam bilik sahaja. Perkataan yang selalu disebut emak ayah, berkat Allah paling utama.
SubhanAllah, begitu sekali emak dan ayah kami. Mungkin ada yang rasa emak ayah kami seperti ketinggalan zaman , tidak sebenanarya. Emak seorang guru sains mengajar subjek Fizik, ayah seorang Usahawan yang berjaya. Namun mereka, sedaya upaya mendidik kami supaya tidak mengikuti arus perubahan zaman dan menjadi contoh tauladan untuk kami. Ketegasan prinsip mereka itulah menjadikan kami masih seperti hari ni.
Hingga sekarang, kadang bermain dalam fikiran saya, bila tiba saat anak perempuan kami pula yang akan nikah nanti, bagaimanakah prosesnya, jika dibuat di dewan, mungkin kami akan hias indah satu bilik yang tertutup. Pelamin memang hanya untuk keluarga yang mahram sahaja. Begitulah yang saya bayangkan. Nampak sukar, tapi tidak mustahil. Moga Allah izinkan. Wallahu a’alam.
SubhanAllah, harap sahabat tidak salah faham. Ini bukan mengatakan bahawa perbuatan berinai dan yang lain-lain itu menunjukkan suatu yang kurang baik, tidak sekali. Saya hanya berkongsi satu sudut nilai pandang yang berbeza, yang mungkin tidak biasa, tapi ia masih diterima. Inai dan solekan, romantik juga bukanlah satu kewajipan hingga dikatakan pengantin tiada seri tanpanya.
Baiklah, dibawah saya kongsikan doa yang diajarkan oleh Nabi SAW, bila dapat berita dan melihat pasangan baru nikah terus doakan ini ya, janganlah kita mencemarkan dengan komen yang tidak manis walaupun ada yang kurang sedap pada mata kita.
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda :
كَانَ إِذَا رَفَّأَ الإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ: «بَارَكَ اللهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ» Jika mendoakan kepada seseorang ketika ia menikah, maka beliau bersabda “Semoga Allah memberi berkah kepadamu dan keberkahan atas pernikahan kamu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan”.(HR Tirmidzi, hadis sahih)
Daripada Anas r.a. beliau berkata;
قَدِمَ عَلَيْنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ فَآخَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ سَعْدِ بْنِ الرَّبِيعِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Abdurrahman datang kepada kami, lalu Nabi SAW mempersaudarakan antara dia dengan Sa’d bin Ar Rabi’. Lalu Nabi SAW bersabda, “Adakanlah walimah walau dengan seekor kambing biri-biri.” (HR Bukhari, hadis sahih)
Maksudnya : Nabi SAW tidak pernah mengadakan walimah terhadap seorang pun dari isteri-isterinya sebagaimana walimah yang beliau adakan atas pernikahannya dengan Zainab. Saat itu, beliau mengadakan walimah dengan seekor kambing. (HR Bukhari, hadis sahih)
Mingguan Wanita: Ada benarnya coretan perkongsian daripada Ustazah Asma’ ini. Semoga menjadi manfaat dan panduan buat kita bersama dalam menegakkan syariat Islam.
Siapa sangka rezeki sepasang kakak kembar mendapat adik lelaki kembar hanya selepas 20 tahun menanti. Meriah sungguh dapat adik beradik kembar ni.
Yuliyani dan adiknya merupakan kembar seiras dan mereka dilahirkan pada Oktober 2001.Pada September 2021, mereka menyambut kelahiran adik lelaki yang juga merupakan kembar, namun tidak seiras.
Kelahiran itu menjadikan perbezaan Yuliyani dengan adik kembarnya adalah 20 tahun, namun itu tidak menghalang mereka mempunyai ikatan kasih sayang yang akrab.
“Tidak sangka kami akan menerima adik kembar 20 tahun kemudian, namun itukan rezeki dari Allah SWT, kami menerimanya dengan penuh kesyukuran,” katanya.
Yuliyani turut memuat naik gambar dan video bersama adik kembarnya dalam akaun Tiktok serta meraih perhatian banyak pengguna media sosial itu.
Sehingga semalam, video itu ditonton lebih lima juta pengguna TikTok dan mendapat ‘like’ lebih 300,000.
Selain itu, Yuliyani turut menerima pelbagai komen yang mendoakan mereka menjadi keluarga bahagia dan diberi kesihatan yang baik.
Gadis itu memberitahu, mereka mulanya terkejut apabila ibunya memberitahu hamil lagi, namun menerimanya dengan hati terbuka kerana memang sudah lama menginginkan adik.
“Kegembiraan kami berganda apabila mengetahui ibu hamil kembar dan pada masa yang sama bimbang kerana usia ibu sudah 40 tahun.
“Namun, semuanya berjalan lancar sehingga ibu selamat melahirkan adik kembar kami dan keadaan mereka juga sihat,” ujarnya.
Kini, Yuliyani dan kembarnya turut membantu ibu mereka menjaga adik kembarnya.
Ibu bapa anak kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta semalam dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya menangis ketika menunggu jenazah anak di Unit Forensik Hospital Rembau.