
Pilunya hati hanya 3 hari Azmi sempat bergelar bapa. Tiada siapa yang dapat membaca takdir yang tertulis.
Penyanyi yang juga vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat dan isterinya Nazirah Muhammad terpaksa harungi kesedihan dan menerima suratan takdir selepas perginya cahaya mata sulung mereka.
Azmi dan Nazirah Muhammad sudah berkahwin selama 10 tahun, tiga hari lalu mereka cukup gembira selepas menimang cahaya mata pertama.


Pilunya Hati Hanya 3 Hari Azmi Sempat Bergelar Bapa
Pasangan ini hanya sempat bergelar ibu dan ayah selama tiga hari selepas anak sulungnya, Khairul Afnan, disahkan meninggal dunia sebentar tadi.
Berita duka itu dikongsikan sendiri Azmi menerusi hantaran di Instagram miliknya.
“Allah lebih menyayanginya. Afnan tunggu kami di syurga ya,” tulisnya yang reda dengan pemergian anakanda tercinta.
Afnan Berdepan Masalah Fungsi Otak
Difahamkan, Afnan berdepan dengan masalah fungsi otak selepas doktor mengesyaki otak bayi itu tidak berfungsi kerana dia tidak bergerak.
Sejak hari pertama dilahirkan pada 27 September lalu, Afnan dipakaikan alat bantuan pernafasan dan sepatutnya menjalani ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), namun doktor tidak sempat berbuat demikian.
Allah Lebih Sayangkan Afnan
Namun takdir menentukan segala-galanya. Allah lebih sayangkan Afnan. Semoga Azmi dan isteri tabah mengharungi ujian dari yang Maha Esa.

Pengalaman Luar Biasa Saat Kali Pertama Dengar Suara Afnan
Mengimbas kembali hantaran selepas lahirnya Afnan sebelum ini, Azmi berkongsi di Instagram tentang pengalaman luar biasa saat kali pertama mendengar suara Afnan yang baru sahaja menjengah dunia.
“Apa pun anugerah atau kejayaan yang pernah saya terima sebelum ini tidaklah terlalu menyentuh hati.Itu hanyalah sekadar warna yang indah dalam kehidupan saya.
“Namun, pengalaman semalam benar-benar luar biasa. Takkan mungkin saya lupakan.
“Airmata kesyukuran meluncur keluar saat kali pertama mendengar suara Afnan yang baru sahaja dikeluarkan dari perut ibunya.
“Saya dapat sentuh Afnan dalam keadaan badannya masih basah melekit. Ya Allah, terima kasih atas anugerah ini.
“Moga Afnan membesar menjadi anak yang soleh. Sentiasa menghambakan diri pada Allah, menyangi dan mencintai Rasulullah, sentiasa dalam kebaikan di Dunia dan Akhirat” luah Azmi.
Masuk Tahun Ke-10 Perkahwinan, Azmi Saat & Isteri Bakal Dapat Anak Pertama!
Ciptalah Kenangan Sebanyak Mungkin, Layan Manja, ‘Gedik’ Pasangan, Inilah Paling Dirindui Bila Tiada
Mingguan Wanita : Salam takziah buat Azmi dan isteri di atas pemergian anak syurga itu.
Sumber/Sumber Foto: Instagram Azmi Saat
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mohon Hilangkan Persepsi ‘Tak Apa Anak Tak Makan Asalkan Anak Minum Susu’, Ini Penjelasan Nutritionist

Memang risau bila anak tak mahu makan dan hanya mahu susu sahaja, akibatnya anak akan mengalami kekurangan berat badan dan pembesaran turut terganggu. Mungkin, ada diantara mak ayah yang beranggapan, ‘tak apa anak tak makan asalkan anak minum susu sahaja pun dah mencukupi’. Hakikatnya persepsi ini perlu diperbetulkan.
Berikut merupakan penjelasan yang dikongsikan oleh Azimah Zainal yang merupakan seorang nutritionist/ Pegawai Pemakanan mengenai perkara ini.
“Pada sesi rundingcara pemakanan hari ini, saya di datangi seorang ibu muda yang membawa anak yang berusia 3 tahun yang di rujuk oleh Doktor Perubatan di klinik atas masalah kekurangan berat badan.
Pada usia 3 tahun, anak ini beratnya 10kg dan carta berat untuk umur anak ini menunjukkan dia sedang mengalami masalah kekurangan berat badan teruk.Dalam sesi soal jawab kekerapan pengambilan makanan, anak ini minum susu formula lebih dari 10 botol sehari. 240ml setiap satu jam.”
Ibu asyik mengulang pernyataan yang anaknya memang tidak mahu makan.. hanya akan minta susu bila dia lapar. Kata ibu lagi biskut & roti pun anak nya tak mahu.
Kebetulan di atas meja saya tadi memang ada sebungkus biskut yang baru sahaja saya beli pagi tadi dan terus saya offer sekeping pada anak.Anak itu duduk diam & makan dengan tekun.
Sepanjang sesi berlansung 5 keping biskut berjaya dihabiskan oleh anak tersebut.
Punca Anak Tak Mahu Makan
Terus saya maklumkan pada ibu tersebut.
Puan, anak puan ini tidak nampak seperti seorang yang memilih makanan tetapi dia hanya tau yang bila lapar dia perlu minta susu.
Ibu, anak yang berusia 3 tahun perlu di beri makanan keluarga 4-5 kali sehari dengan kekerapan pemberian snek sebanyak 1-2 kali sehari. Susu pula keperluannya hanya lah 3 gelas sahaja sehari.
Anak yang diberikan susu formula terlalu banyak akan menyebabkan anak tidak mahu makan makanan utama. Susu itu telah memenuhi hampir keseluruhan perut anak tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan tenaga seharian bagi anak.
Keperluan tenaga yang tidak mencukupi akan menyebabkan pertumbuhan dan perkembangan anak menjadi tidak normal.
Jangan Bergantung Pada Susu Sahaja
Usah ajar anak terlalu bergantung kepada susu sahaja. Bila anak lapar, kita momok kan dengan susu. Susu perlu untuk anak tetapi pemberian susu yang melebihi dari pengambilan makanan adalah tidak normal dan tidak bagus untuk anak.
Tambahan pula gula tambahan yang terdapat dalam susu formula tadi boleh memberi pelbagai impak yang tidak baik pada anak.
Ajarlah anak untuk makan pelbagai jenis makanan dan berikan snek yang berkhasiat pada anak.Elak beri kanak-kanak makanan yang tinggi lemak, tinggi garam & gula.
Kadang-kadang memberi anak makan adalah sesuatu perkara yang sangat mencabar, tetapi ianya bukan alasan untuk kita sumbatkan anak kita dengan susu yang banyak. Tiada istilah tak apa anak tak makan asalkan anak minum susu.
Mohon hilangkan persepsi itu dari pemikiran ibu-ibu semua. Anak-anak perlu pelbagai khasiat dan nutrisi dari pelbagai jenis makanan untuk pastikan anak- anak membesar dengan baik dan sempurna.
Sekian #tipsnutritionist hari ini
Nutritionist yang juga mak anak dua
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan kongsikan juga buat mak ayah yang lain.
Sumber: Azimah Zainal
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
‘Macam Tu Je Keputusannya, Kata Anak Pensyarah’ Yang Tak Cemerlang Akademik Inilah Buat Ibu Ayah Bangga

Mulanya ibu ini tak dapat terima apabila anaknya yang seorang ini tak cemerlang akademik. Lagi-lagi, beliau dan suami, masing-masing bergelar pendidik.
Resah hati ibu makin berganda-ganda apabila anak yang semakin membesar memilih ke sekolah vokasional. Bagaimana nanti masa depan anaknya? Selepas melalui satu peristiwa, Allah membuka ruang hati ibu ayah ini untuk melihat kebesaranNya.
Inilah pengalaman yang dikongsikan ibu bernama Ezatul Marini tentang anaknya yang bernama Syamil. Sayu di hujung cerita buat kita lebih sedar setiap anak itu Allah ciptakan dengan anugerah istimewa dalam diri mereka.
Allah Lebih Tahu
“Ishhh, takkan macam itu je keputusannya? Kata anak pensyarah, anak cikgu.”
“Hai takkan mak ajar English, ayah ajar Matematik, anak tak boleh score dua subjek ni?”
Biasa. Dah terlampau selalu dan biasa kami dihenyak dengan terjahan sebegitu. Bukan sekali dua juga kami disindir perli dek kerana tidak direzekikan anak yang cemerlang akademik.
Syamil, sebaik pandai bertutur sudah saya sediakan dengan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Tidak lupa juga asas ilmu agama yang dipertanggungjawabkan kepada kami untuk diajarkan kepada anak-anak.
Namun, segalanya seolah tidak menurut perancangan asal kami. Syamil tidak berkembang menjadi anak yang bijak, pencapaian akademiknya hanya sederhana.
Beliau selalu diletakkan di kelas kedua hujung kalaupun tidak di kelas paling belakang. Saya tidak dapat membayangkan apa perasaan Abahnya bila terpaksa menelan perasaan terkilan kala menerima keputusan UPSR yang diumumkan.
Biarpun tidak berkata apa-apa, dari riak wajahnya saya pasti sang Abah menyimpan rasa kecewa namun berjaya disorokkan dengan terus-terusan memberi semangat dan dorongan kepada si anak.
Berbeza sekali dengan saya yang menangis hiba hingga tidak mampu memandang wajah anak dek rasa sedih dan terkilan. Bertubi-tubi saya mengasak anak yang tentu sekali juga sedang sedih dengan pertanyaan dan kecaman yang bila difikirkan semula tidak sepatutnya saya hamburkan sama sekali kepadanya.
Tamparan, ‘Kepandaian Itu Bukan Boleh Diwariskan’
“Rupanya untuk reda itu tidak mudah sama sekali. Meminta orang untuk reda dan sabar itu sangat mudah tetapi bila ia terjadi kepada diri sendiri…nyata sebaliknya”
Seorang rakan baik memujuk saya yang akhirnya sudah mula mampu menerima tamparan pertama cabaran “kepandaian itu bukan boleh diwariskan”.
Melepasi pendidikan menengah rendah, Syamil masih menunjukkan prestasi yang sederhana. Namun, anak ini ada kelebihan dalam bidang sukan, kepimpinan dan beliau menyerlah dalam aktiviti kokurikulum hingga mampu mewakili sekolah dan daerah.
Anak ini juga punya daya tarikan paling istimewa…beliau tertib dan beradab.
Kejamnya saya sebagai ibu, saya masih belum mampu mengiktiraf kebolehannya yang bukan berasaskan pencapaian akademik. Jarang saya menunjukkan sokongan pada sebarang pencapaian bukan akademiknya.
Pengumuman keputusan peperiksaan PT3 seolah menjadi tamparan kedua kepada kami. Harapan saya untuk menghantar Syamil ke sekolah yang lebih berprestij nyata buntu. Apalah ikhtiar saya untuk memberikan sokongan dan dorongan pada anak ini.
“Syamil nak minta masuk Kolej Vokasional, Abah”.
Abahnya sedikit tidak membantah malah dengan senang hati mengaturkan temujanji untuk berbincang dengan kaunselor sekolah si anak.
Kami maklum, Syamil sangat meminati bidang perikanan…dari kecil, apa sahaja yang ada kaitan dengan bidang itu amat disukainya.
Saya hanya menurut apabila beliau nyatakan keinginan memohon bidang Akuakultur di KV biarpun kurang pasti apakah prospek dan potensi bidang tersebut.
“KV? Ada masa depan ke tu kalau masuk ke situ?” Saya seolah hendak jeritkan pada mereka yang masih bertanya, sekiranya kami sebagai ibu bapa sedang mencuba sedaya upaya menyetujui dan menyokong, tidakkah mereka mampu untuk membantu kami dengan menunjukkan sokongan yang sama?
Edar Tempahan Ikan Keli Kepada Pelanggan
Hari ini, Syamil sudah di semester akhir Pengajian Diploma Akuakultur. Semasa cuti semester Disember 2017, beliau nyatakan hajat pada Abahnya.
“Abah boleh tak modalkan Syamil untuk beli tangki dan benih ikan keli? Syamil nak mula ternak ikan keli di rumah, besar nanti boleh jual”
Melihatkan semangatnya, kami bersetuju sumbangkan sedikit dana untuk beliau mulakan usaha kecilnya.
“Wah! Bagus Syamil, banyak ni ikannya. Kalau macam ni habis belajar nanti bolehlah mula ternak komersial” seronok benar dia bila Atok Baiknya memberi komen spontan semasa melawat kami pada penghujung Disember lalu.
Dan Alhamdulillah, pada petang 15 Ramadan lalu, dalam hujan lebat, Abahnya dan saya bantu mengedarkan tempahan ikan keli siap siang dan cuci hasil ternakan kecil-kecilan anak kami kepada rakan-rakan yang telah membuat pesanan.
Dengan ilmu dan kemahiran yang dikutipnya selama di kolej, dia mulakan usaha awal di rumah. Sesungguhnya di penghujung petang separuh Ramadan itu, sambil menantikan waktu berbuka, saya termenung panjang mengenangkan selama 2 tahun pengajian sijil dan lebih setahun pengajian diplomanya, saat ini memberikan saya rasa yang amat berlainan.
Hari ini Allah berikan saya peluang mengutip pengajaran dari setiap satu bentuk ujian yang telah dikirimkan melalui pengalaman anak kami.
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”
Terima Kasih Allah Atas Kurniaan Ini
Pada suatu masa dahulu saya pernah merasa teramat kecewa kerana anak yang seorang ini nyata tidak mampu untuk memenuhi apa sahaja impian dan perancangan saya mengenai dirinya, dan akhirnya saya terpaksa menerima untuk menitipkan beliau di ladang ilmu dan kemahiran yang tidak pernah tersenarai dalam institusi pilihan.
Anak ini juga mengajarkan saya tentang hakikat anak yang baik bukan diukur hanya pada kecerdasan minda. Pelik kan? Sebagai seorang guru seharusnya saya maklum tentang perkara itu. Ya, saya amat maklum namun jauh di sudut hati pada suatu masa dahulu masih tersemat ilusi tidak realistik tentang hakikat itu.
Hari ini saya melihat betapa bangga seorang Abah tatkala menghulurkan bungkusan ikan keli yang dipesan pembeli.
“Wahhh bagus Syamil, belum habis belajar tapi dah praktikkan apa yang dia belajar. Muda lagi dah ada minda usahawan”
Sesungguhnya dari senyum lebar sang Abah, saya pasti beliau amat berbangga. Terima kasih Allah, kurniakan kami pengajaran bermakna melalui anak ini.
Terima kasih anak, memberi Abah dan Ummi pengalaman belajar banyak ilmu hidup yang tidak dituliskan dalam mana-mana buku. Alhamdulillah…
Sumber/Foto : Ezatul Marini
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tak Hairan Lepas Berkahwin Lelaki Bertambah Senang

Memang tak hairan selepas berkahwin lelaki bertambah senang dan perempuan bertambah bengang sekiranya tujuan dan pemahaman berkahwin itu sendiri dah disalah ertikan. Seringkali yang ditekankan bagi lelaki apabila berkahwin adalah untuk memudahkan urusan mereka. Merebut peluang dan mengaut faedah yang bakal diperolehi setelah berkahwin berbanding penekanan tanggungjawab sebenar sebagai ketua keluarga.
Jemput fahami betul-betul dan hadam perkongsian daripada Ustazah Sharifah Zahidah ini.
Kalau dengar orang tua bila suruh cari isteri, antara alasan dan nasihatnya,
“Ada orang jaga makan pakai kau..”
“Nampaklah kau terurus sikit..”
“Dapat makan sedap. Balik rumah semua terhidang..”
“Taklah teruk sangat kena kerja.. Ringan banyak beban tu kalau beristeri nanti..”
Ini antara sebab-sebab yang biasa saya dengar dari nasihat orang tua kepada lelaki yang bujang tentang KENAPA MEREKA PERLU BERKAHWIN.
Ya, yang banyak ditekankan kepada orang lelaki apabila berkahwin adalah FAEDAH dan OPPORTUNITY yang lebih baik mereka akan dapat jika mereka berkahwin, sehingga perkahwinan ini akhirnya tertanam sebagai sesuatu yang MUDAH dan TEMPAT MENGAUT FAEDAH untuk lelaki.
Kahwinlah..
Ada orang gosokkan baju. Kalau dulu bersiap untuk ke tempat kerja jam 5.30 pagi sudah bangun, sekarang, jam 6.30 pagi bangun pun masih sempat. Sebab? Baju dah siap seterika. Yeah, kahwin maknanya boleh dapat tidur extra.
Kahwinlah..
Ada orang siapkan makan pagi. Kalau dulu, bangun pagi lambat, asyik tak sempat nak makan. Sampai ke 11 pagi baru sempat sarapan. Kalau kahwin, bangun-bangun lagi dah terus boleh makan. Dah siap makan, tinggalkan saja pinggan mangkuk cawan di meja makan dengan isteri. Pandailah dia uruskan. Kita? Acah-acah gelabah sebab dah terlambat. Isteri lambat? Tak apa, itu masalah dia. Pandai-pandai dia jawab dengan bos dia. Yeah, kahwin bermakna dapat lebih kebebasan masa.
Kahwinlah..
Tak perlu lagi dah makan di luar. Mahal dan tak dijamin bersih! Kalau berkahwin, balik rumah makanan sudah terhidang, boleh makan sedap-sedap. Belanja pun jimat. Jimat bukan sebab makan di rumah saja, tapi kadang-kadang boleh buat-buat lupa beli barang dapur. Ada isteri tolong top up dan belikan segalanya. Yeah, kahwin untuk kita dapat extra duit belanja.
Kahwinlah..
Boleh tidur nyeyak. Dulu kena set jam nak bangun Subuh. Subuh pun selalu terlajak. Sekarang. Tak apa. Ada isteri yang PERLU BANGUN lebih awal, ulang alik 3 4 kali kejut dan kejut sampai suami bangun. Dulu, kalau tidur balik, terlajak bangun! Lambat ke tempat kerja. Dah kena marah dengan bos. Kalau dah kahwin, tak apa tidur semula, pandai-pandailah isteri datang berkali-kali kejutkan kita macam kanak-kanak tak faham bahasa. Yeah. Kahwin maknanya kita boleh kembali jadi kanak-kanak Ribena.
Jadi, kahwinlah wahai lelaki. Kerana urusan kita akan banyak dipermudahkan. Kahwin memang best!
“Tak hairan, lepas berkahwin, lelaki bertambah senang. Perempuan? Bertambah bengang.”
Kahwin Urusan Senang
Makin lama lelaki kahwin, makin menjadi-jadi miang. Maklumlah, kahwin ini urusan senang. Bila-bila pun boleh sembang tentang nak tambah lagi seorang. Urusan senang, kan? Hari-hari dia sembang bila nak tambah lagi seorang.
Perempuan? Di rumah dah macam medan perang. Semua benda dia perlu uruskan. Jaga anak yang tak pandai jaga diri. Jaga suami yang tak pandai jaga diri juga. Beban kewangan, pendidikan anak-anak, urusan pertukangan di rumah, urusan sekolah anak-anak dan segalanya. Tapi tak apa, memang wanita diajar macam itu dari dulu lagi,
“Bila dah berkahwin, tak macam dulu lagi.. Kita kena berkorban.. Hidup kita berubah 100% dan sangat mencabar.. ”
“Kahwin ni, tak boleh berkawan sangat dah.. Suami itu raja, jaga suami macam jaga raja.. Dunia lain dah tak ada buat kita. Ada suami saja..”
“Kalau dah kahwin, jangan susahkan suami. Layan suami dan seluruh keluarga dia. Jangan bagi dia buat apa-apa, isteri solehah dia yang buat segalanya.”
“Jaga suami elok-elok. Kau kena pandai jaga diri. Bukan jaga diri je, pandai jaga suami apatah lagi.. Suami lari, kau yang berdosa!”

Tanggungjawab Berbeza
Ini perbezaan antara 2 pesanan tentang 1 tanggungjawab yang sama, tetapi kepada 2 golongan yang berbeza.Wanita dipesan perkahwinan sebagai medan berkorban. Lelaki dipesan perkahwinan medan mengambil kesenangan.
Hasilnya, kepincangan yang kita lihat dalam institusi rumahtangga kita pada hari ini.Ini menjawab kenapa wanita banyak berkorban dan TERKORBAN selepas berkahwin.
Perkahwinan adalah medan lelaki menambah kesenangan, menurunkan kesusahannya kepada sang isteri. Dan perkahwinan bagi perempuan adalah medan pengorbanan, meninggalkan segala kesenangan dan KETENANGAN diri dan bersusah-susah untuk suami.
Ini adalah gambaran perkahwinan yang tempang dalam masyarakat kita.
Bukan Tempat Membuang Beban Ke Bahu Isteri
Budaya ini perlu dihentikan. Islam tidak pernah ajar bahawa perkahwinan adalah suatu yang MUDAH BAGI SUAMI. Ya, perkahwinan adalah sesuatu yang BERAT DAN MENAMBAH BEBAN buat suami, bukan tempat membuang beban ke bahu isteri.
Anak perempuan diajar, perkahwinan sesuatu yang berat dan susah buat mereka. Anak lelaki diajar, perkahwinan adalah sesuatu yang indah dan senang buat mereka.
Maka, lahirlah KONFLIK TANGGUNGJAWAB di dalam institusi kekeluargaan.
Suami menjadi lebih wanita dari sang isteri. Isteri menjadi lebih lelaki dari sang suami.
Hakikatnya yang perlu kita ajar kepada generasi kita. PERKAHWINAN ADALAH SUSAH DAN BERAT BAGI SEORANG PEREMPUAN, DAN PERKAHWINAN ADALAH SESUATU YANG JAUH JAUH JAUUUUH LEBIH SUSAH DAN BERAT BAGI SEORANG LELAKI.
Mengapa jauh lebih susah bagi lelaki?
Kerana ALLAH meninggikan darjat lelaki dan menjadikan mereka KETUA keluarga, kapten kapal yang bertanggungjawab atas SEGALANYA, sedang wanita cumalah anak kapal yang menumpang kebijaksanaan, kegagahan dan kehebatan ketua kapalnya. Sebagai pembantu, bukan sebagai pengemudi segalanya.
Biar lelaki faham, hakikat dan maknanya bila dia ambil anak dara orang untuk dijaga dan dididik. DIBUAT TEMAN BAIK. BUKAN DIBUAT BIBIK.
Biar wanita juga faham, hakikat dan maknanya apabila dia disunting seorang lelaki. Untuk dikasihi, untuk disyukuri, untuk dikhidmat seikhlas hati dalam POLA GIVE AND TAKE, DAN BUKAN POLA PARASITISME yang paling banyak berlaku pada hari ini.
Kepincangan rumahtangga dalam masyarakat kita pada hari ini, antara puncanya adalah kesilapan warisan ini yang memberi pesan dan fahaman kepada lelaki, bahawa perkahwinan bukan medan menabur bakti, tetapi perkahwinan adalah medan kau diperaja dan memperguna sehingga LUNYAI kudrat seorang isteri.
Ini adalah kesilapan warisan yang mesti kita hentikan.

Beri Gambaran Sebenar Perkahwinan
Generasi ibubapa zaman kini, harus BERIKAN GAMBARAN SEBENAR tentang perkahwinan SECARA ADIL kepada anak-anak kita.
Perkahwinan bukan parasitisme DI MANA SEORANG HIDUP DAN SEORANG LAGI AKAN MATI, tetapi perkahwinan, adalah PERKONGSIAN HIDUP di mana kedua-dua jiwa sama-sama hidup memberi dan menerima kasih sayang, cabaran, kesusahan, tanggungjawab, amanah dan sebagainya.
Perkahwinan adalah medan yang payah. Tolonglah, jangan ambil mudah. Baik di pihak wanita, mahupun lelaki.
Di masa akan datang, saya akan menulis bagaimana kita sepatutnya mengajar kepada anak tentang perkahwinan. Biar anak lelaki kita tenang bahagia tanpa dosa di sisi anak perempuan kita, biar anak perempuan kita, terbela terjaga di sisi anak lelaki kita. Bukan nak suruh mereka kahwin atau faham apa itu kahwin di usia muda, TETAPI UNTUK MEREKA FAHAM PERANAN MEREKA DI SEBALIK JANTINA YANG ALLAH CIPTA. Ini tujuan Mariage Education dalam Islam.
Saya berpendapat, ini adalah antara syllabus parenting antara yang paling kritikal untuk disentuh di zaman ini.
Saya tidak menulis ini untuk membangkitkan gender war antara lelaki dan perempuan. Tetapi TERIMA DAN HADAPLAH, ini adalah REALITI YANG MENGGAULI MASYARAKAT kita pada hari ini.
Selagi ianya TIDAK BOLEH DIBICARAKAN SECARA TERBUKA DAN BERHEMAH SEBEGINI, selagi itu kita tidak akan dapat mewujudkan kesedaran baru tentang HAKIKAT PERKAHWINAN BAGI LELAKI DAN PEREMPUAN KINI.
Hakikat perkahwinan tidak dapat difahami KECUALI kita terlebih dahulu memahami HAKIKAT PERANAN sebagai seorang lelaki dan wanita.
Dan hakikat peranan ini TIDAK BOLEH difahami, melainkan dengan jalan didikan yang betul sedari anak-anak kita kecil lagi.
Kita tidak boleh mengubah generasi lelaki yang sudah berkahwin pada hari ini, tetapi kita BOLEH MENDIDIK DENGAN BAIK ANAK-ANAK LELAKI kita yang BAKAL MENJADI SUAMI dan BAPA kepada anak-anak orang lain satu hari nanti. Kerana ini, saya menulis dan berkongsi.
Selama ini, dalam masyarakat kita, DIDIKAN KITA ADALAH BERPUSAT KEPADA ANAK PEREMPUAN. Kini tak boleh lagi. Didikan kita harus dipusatkan dengan TEPAT DAN GIAT baik kepada lelaki mahupun perempuan.
Bagi perempuan yang membaca tulisan ini, kenali peranan anda untuk MULA MEMBERI NASIHAT YANG BENAR DAN ADIL tentang perkahwinan kepada anak lelaki dan perempuan kita.
Bagi lelaki yang membaca, FOKUS KEPADA MEMBETULKAN salah faham ini yang banyak berlegar di sekeliling kita, walau kita tidak terlibat sama. Kerana kita juga punyai anak perempuan yang bakal kita serahkan kepada lelaki-lelaki lain. Ianya, adalah tanggungjawab bersama untuk kita perbetulkan kepincangan ini.
Percayalah, amat jelas bagi kami yang menghadap luahan masalah rumahtangga pada hari ini, bahawa punca kepincangan yang berlaku adalah kerana KONFLIK TANGGUNGJAWAB YANG BERLAKU DI KALANGAN GENERASI LELAKI DAN WANITA KITA PADA HARI INI.
Tulisan ini bukan untuk kita ego mempertahankan diri, tetapi untuk kita sama-sama bermuhasabah diri.
Sharifah Zahidah
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan dalam memperbetulkan erti kata konsep perkahwinan yang sebenar.
Kredit: Sharifah Zahidah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

