Tidak dinafikan, kebiasaannya pengharapan kita pada manusia selalu buatkan kita kecewa, jadi letaklah harap pada Allah kerana dia sebaik-baik Pemberi.
Sebagai manusia biasa kita tak lari daripada mengharapkan balasan kasih sayang atau tanda penghargaan daripada pasangan kita. Kadang-kadang apabila kita terlalu berharap, kita akan merasa kecewa bila harapan kita hanya tinggal harapan.
Ikuti perkongsian Puan Nur Farhana Fizal dan fahami apa yang cuba disampaikan:
“Jangan takut untuk lebih dahulu memberi, dan menjadi yang lebih mencintai.”
Ada kawan minta saya huraikan sikit tagline motivasi diri saya ini.
Pertama dan selamanya, saya ajar diri, untuk selalu letakkan niat dalam hati, aku memberi dan mencintai ini, demi meraih cinta Allah. Bukan cinta suami atau isteri, bukan balasan daripada suami atau isteri. Jika kita dapat, itu bonus.
Ads
Pengharapan Pada Manusia Selalu Buat Kita Kecewa
Kita memberi dan mencintai pasangan tanpa syarat. Tanpa perlu ada walau sezarah, rasa ingin dibalas pemberian kita, walau dalam bentuk apa sekalipun. Sebab kita letak keyakinan dalam diri, yang akan balas itu Allah.
Namun, sebagai manusia biasa, ada hati ada perasaan, ada juga nafsu, maka akan hadir juga dalam pemikiran kita, dan pengharapan kita untuk mendapat kembali balasan daripada pasangan, hatta hanya kata-kata penghargaan.
Waktu ini, memujuk hati dan mendidik diri dengan istiqomah melakukan ‘positive self-talk’ sangat penting. Bercakap dengan diri kita bahawa, perbuatan memberi yang kita lakukan adalah untuk meraih cinta Allah juga membina kehidupan kita di syurga.
Beritahu juga pada diri, pengharapan kita pada manusia akan buat kita kecewa. Letaklah harap kita pada Allah, dengan Allah pasti akan beri yang sebaik-baiknya pada kita.
Bila kita tahu dan sedar, apa kita dapat daripada pasangan, adalah apa yang Allah beri, kita mudah berlapang dada.
Self-talk ini setiap hari. Kalau boleh prescribe self-talk ni macam makan ubat tu. Sehari, mesti bagi positif self-talk 4 kali, 5 kali pada diri kita. Supaya kita beri affirmation yang baik pada diri kita.
Cakap pada diri kita, “Akulah pemberi paling baik!” Setiap hari, tanpa jemu. Bukan untuk orang lain, tapi kita beri, untuk kebaikan diri kita semula.
InsyaAllah.
#senimenjadiisteri
MW: Cubalah menjadi isteri yang banyak memberi, insyallah dengan setiap pengorbanan dan keikhlasan yang mak-mak berikan akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Saban hari isteri gunakan kudrat untuk bekerja demi bantu suami menampung belanja, sampai hati suami berkira untuk membantu buat kerja rumah.
Sebaiknya, setelah melihat pengorbanan isteri, apa salahnya sebagai tanda menghargai bersama-samalah bekerjasama dan saling membantu uruskan rumah tangga dan anak-anak.
Bersyukur kalau mak-mak dikurniakan pasangan yang memahami, setelah sama-sama penat bekerja, tiba di rumah saling membantu. Alhamdulilah. Namun ada juga suami yang agak berkira kalau mahu membantu suami. Betul tak?
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtarini dan hadam baik-baik ya:
Ramai yang berkira dengan pasangan untuk buat kerja rumah. Terutama suami. Iyalah, tiba-tiba kau nak kena basuh kain, lipat baju, gosok baju anak atau kena mandikan bayi.
Sedangkan dalam masa yang sama isteri sedang siapkan kerja lain, contohnya memasak. Masa itu juga lampin anak sudah penuh. Mengembung dengan kencing dan busuk dengan bau najis. Dibiarkan sampai isteri selesai masak.
Anak tak selesa. Menangis dan merengek. Datang ke ayah dia, pujuk pujuk tak jalan juga akhirnya kena marah. Padahal anak minta dibersihkan.
Selalu jadikan?
Ya tuan-tuan, kita jenis nak semua kerja rumah isteri yang buat. Anggap kau dah bekerja cari duit ribu-ribu, urusan anak kau letak tepi. Semua kerja rumah kau serah pada isteri. Pandai-pandailah isteri buat semua.
Sampai kadang kau lupa, isteri itu juga baru balik kerja. Dah gaji kau rasa tak cukup. Kau pun izinkan dia kerja. Setiap bulan tampung juga belanja sikit-sikit.
Kawan-kawan, kalau isteri tak berkira untuk guna kudrat dan masa dia untuk bekerja dan bersama-sama kita membina keluarga, takkan kita berkira untuk buat sedikit kerja rumah.
Masa dua-dua ada di rumah, kerja rumah kita bahagi-bahagi lah. Bukanlah sampai perlu buat pembahagian dan perjanjian, tidak. Tapi kesedaran sendiri. Common sense orang kata.
Waktu isteri memasak, dia perlukan masa untuk sediakan semua dalam kadar segera. Kau juga yang nak makan. Waktu itu, anak-anak ada dan perlukan perhatian. Siapa nak ambil tugas ni? Kau lah.
Selesai waktu makan, pinggan mangkuk dan periuk kuali semua belum bercuci. Anak kecil dah mula cari mak dia, nak apa pun tak tahu. Yang penting anak nak mak dia waktu itu.
Siapa yang nak basuh semua tadi dan kemaskan sikit dapur? Kau lah.
Kadang ada malam yang isteri kau sakit-sakit badan dan pening akibat penat bekerja. Ubat dia tidur awal lah. Baju kerja kau tak bergosok lagi. Eh, baju kerja dia pun belum siap. Apa salahnya kau ambil baju untuk kerja esok, kau gosoklah.
Sedara sekalian, begitulah hidup rumah tangga. Dua-dua bersatu membentuk rumahtangga. Kalau mampu, kau gajikan lah pembantu rumah.
Kalau tak mampu, kau buatlah sama-sama. Itu sahaja solusi sebuah rumah tangga.
Begitulah.
Firdaus Mokhtar,
Suami juga.
MW: Jalan terbaik, mak, ayah lakukan kerja rumah bersama-sama. Jangan berkira iya barulah bahagia rumah tangga, bila mak, ayah saling membantu.
Isteri walau sebesar mana pun rintangan dalam rumah tangga, tetap akan cuba bertahan. Sentiasa ada di belakang suami, saat susah dan senang.
Namun, kesabaran isteri juga teruji dengan sikap suami. Makin lama makin menipis dengan sikap baran suami. Sikap itu makin memuncak di waktu PKPB ini. Ikuti luahan rasa isteri itu kepada MW.
Assalamualaikum puan. Saya ibu kepada empat orang cahaya berusia 10, 13, 16 dan 17 tahun. Saya bekerja di sebuah syarikat swasta. Syukur, saya masih ada kerja dan pendapatan untuk kelangsungan hidup di saat pandemic Covid-19 yang ramai hilang kerja.
Suami juga bekerja di sebuah syarikat swasta dan selepas PKPP diumumkan, dia juga bekerja dari rumah. Hanya beberapa hari dalam seminggu dia ke pejabat.
Apa yang ingin kongsikan dan minta sedikit pandangan puan, sikap suami. Suami seorang yang panas baran. Sejak awal kahwin lagi saya memang tahu sikapnya itu dan sanggup menerima dirinya seadanya. Saya juga sentiasa berdoa agar dirinya akan berubah.
Ternyata sikap orang teramat sukar untuk berubah. Namun saya tetap bertahan walau pun sikapnya itu makin menjadi-jadi. Sebabnya dia tak pernah pukul saya dan anak-anak walau pun dia baran. Hanya barang rumah ada yang akan pecah. Pintu rumah juga pernah rosak keran ditumbuknya. TV pernah rosak bila dibaling remote kerana anak-anak berebut siaran.
Tapi saya tetap sabar. Namun sikapnya itu makin menjadi-jadi bila usia lewat 40-an kini. Hal remeh akan jadi besar. Pantang salah ditengking dan diherdik. Bukan saya saja bahkan anak-anak. Biasanya saya hanya diam kerana tak ingin panaskan keadaan. Akhirnya saya menangis sakit hati.
Bila anak-anak makin besar, mereka dapat lihat layanan ayah mereka pada saya. Tapi saya sentiasa ingatkan anak-anak supaya jangan dilawan ayah mereka. Bersabar saja. Hanya anak lelaki sulung saya yang sering merungut di depan saya. Katanya dia bersabar demi saya. Tapi kalau ayahnya sanggup ‘naik tangan’ dia akan bawa saya lari.
Bila PKPB bermula kembali (saat e-mel ini saya hantar ke MW), saya risau kerana suami akan banyak masa di rumah. Tentu ada saja yang tak kena. Kalau tak saya, anak-anak akan jadi mangsa kemarahannya. Hinggakan anak-anak lebih rela berkurung dalam bilik daripada bersemuka dengan ayah mereka.
Sehingga beberapa hari lepas, saya dimarah teruk kerana terlambat masak sedangkan ketika itu saya memang tak sihat. Dia pun tahu yang saya tengah sakit kepala. Diamuknya, habis periuk dilempar ke luar rumah. Saya juga dimaki hamun di depan anak-anak dan buat pertama kali, saya menjawab dan suami hampir menampar saya.
Saya terperanjat dan hanya mampu menangis. Tak sangka anak sulung saya melihat dari jauh. Selepas ayahnya beredar dia datang kepada saya dan mengajak saya tinggalkan rumah dan bawa adik-adiknya bersama. Katanya dia takut satu hari nanti ayahnya akan pukul juga saya. Bahkan katanya, dia tak kisah kalau saya nak bercerai dengan suami!
Saya tahu anak saya itu makin hilang sabar dengan sikap ayahnya itu. Namun saya tetap pujuknya dengan lembut. Saya nak dia bersabar bersama saya. Puan, saya sayangkan suami saya walaupun dia panas baran dan saya sentiasa menjeruk rasa sepanjang perkahwinan kami. Bagaimana saya nak cuba redakan perasaan sedih saya ini? Apa yang boleh saya lakukan untuk redakan panas barannya itu?
Isteri Terluka, KL
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Baran atau mudah marah dan melenting adalah satu tindakan agresif dari seorang pelaku. Ia boleh mengeluarkan serangan fizikal, kata-kata yang menyakitkan hati, atau serangan terhadap barangan yang berada di persekitarannya.
Baran ini sebahagian besar diwarisi, dan juga proses sosialisasi daripada keluarga yang membiarkan sifat baran itu menjadi “habit” atau pelaziman kepada tingkah lakunya. Pelaziman ini akan membentuk karakternya sehingga dewasa. Dan apabila terbentuk sekian lama, maka karakter atau perangai tersebut agak sukar untuk diubah.
Saat manusia marah, syaitan memasuki salur darah individu menyebabkan berlaku hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung berlari kencang.
Tindakan itu mendorong manusia bertindak di luar kotak fikiran yang waras hingga boleh mengancam nyawa orang sekelilingnya termasuk diri sendiri. Panas baran, ‘kepala angin’ atau ‘naik hantu’ berlaku kerana kesukaran menangani perasaan marah yang menyebabkan seseorang itu hilang malu sehingga sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil boleh mencederakan orang lain. Perasaan marah yang tidak terkawal boleh memusnahkan apa saja.
Puan yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan sukar apabila berhadapan dengan suami yang panas baran. Perkara sekecil kuman pun boleh jadi besar. Sikap panas baran memang sukar untuk diubah. Namun mungkin puan mampu mengubah diri puan untuk menanganinya.
Daripada apa yang puan ceritakan, saya dapat melihat puan seorang yang amat sabar dalam menangani baran suami. Kalau dari sudut Islam, puan adalah isteri yang solehah kerana ujian seorang isteri biasanya datang daripada karenah suami. Jika dapat bersabar dengan kerenahnya, amatlah besar pahalanya. Mungkin beberapa panduan ini boleh membantu puan untuk mendapat ketenangan dan keadilan buat diri puan.
Seperti yang puan sedia maklum, bukan mudah untuk mengubah suami untuk berubah tingkah lakunya. Jika puan tidak mulakan untuk mengubah diri puan, maka puan akan berada dalam kesengsaraan seperti yang puan rasai kini. Maka perubahan itu perlu datang dari puan.
Ada seorang ibu bertanya, kenapa anak jadi biadab? Saya bertanya, siapa yang membiarkan anak menjadi biadap terhadap kita? Saya juga pernah ditanya oleh seorang suami, bagaimana nak atasi isteri yang suka queen control? Saya bertanya semula kepadanya, kenapa membiarkan diri di”control”?
Maka kalau ditanya macam mana nak hadapi suami baran yang selalu suka tengking dan pukul? Saya bertanya, siapa yang membiarkan diri ditengking dan dipukul? Bukankah diri sendiri ada maruah, ada harga diri.? Kenapa biar orang lain tengking dan pukul sesuka hati. Bukankah diri sendiri yang bergelar isteri adalah amanah Allah ? Selama bertahun dilahir dan dibesarkan oleh ibu bapa, tidak lah tertekan seperti mana yang dihadapi apabila telah berumah tangga.
Justeru, jika puan mahukan kebahagiaan, dan mahu suami berubah, maka puan sendiri perlu berubah. Dari sini yang bertanya akan terhenti sejenak, kenapa orang yang hampir dengan kita jadi begitu. Salah dia kah atau salah diri kita yang tidak mampu membentuk dirinya untuk jadi lebih baik?
Justru, dari sini, puan bahawa kita tidak mampu mengubah orang yang kita sayangi, orang yang hampir dengan kita, tetapi kita mampu mengubah diri sendiri yang nantinya insya-Allah mampu pula mengubah orang yang hampir dengan kita.
Luahan Hati ini dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis bebas.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bila bergelar isteri, banyak perkara perlu dikorbankan termasuklah kehidupan bersama rakan-rakan dan hobi. Tidak lagi boleh bebas seperti zaman bujang dulu. Rasanya ramai isteri yang bersetuju dengan kenyataan ini.
Berbanding dengan suami yang biasanya masih boleh meneruskan hobi mereka. Masih ada masa untuk minum kopi dengan rakan-rakan (walau bukan selalu).
Bila sudah bergelar mak, fokus isteri 100% kepada anak-anak terutamanya. Apatah lagi punya anak ramai hinggakan sebahagian besar hidup ditumpahkan menjaga anak-anak.
Bagi yang berkerjaya, balik kerja, anak-anak jadi keutamaan. Kalau hendak ‘outing’ pun mesti bersama suami dan anak-anak. Kecuali andai memiliki suami yang sporting dan memahami. Membenarkan sesekali isteri ber’me time’ dan melakukan apa yang disukai tanpa perlu fikirkan anak-anak sekejap. Tapi ramaikah suami yang begitu?
Memang suami pun ada berkorban perasaan namun rasanya isteri lebih banyak memendam rasa. Dapat pula yang suami yang ‘bossy’ dan suka kita ikut kehendak dia saja. Tak pernah nak faham kepenatan isteri.
Bayangkan, anak-anak masih kecil dan perlu dibantu urus. Isteri bekerja dan suami pula wajibkan isteri untuk masak dan tak nak beli makanan di luar. Walau isteri merungut sangat penat dan minta izin beli saja makan malam untuk hari itu, tapi suami bertegas nak isteri balik masak. Alasan, tekak dia tak boleh terima makanan luar.
Okay tak kisah bila nak minta isteri masak. Tapi sikapnya yang langsung tak membantu memang buat isteri stres. Bila isteri sibuk di dapur, anak nak buang air pun isteri yang kena uruskan juga. Suami hanya duduk layan handphone! Patut tak? Bila isteri bersuara, kena marah dan bergaduh. Akhirnya isteri pendamkan saja.
Sebenarnya banyak sebab boleh sebab isteri stres dan kecewa namun memilih untuk memendam rasa saja.
Isteri bukan tak nak terus terang, tapi akhirnya bertengkar pula. Dah kalau macam itu yang jadi, lebih baik senyap saja. Apa tak puas hati sekali pun, tak payah nak beritahu suami. Kena bersabar sahaja dengan sikap mereka itu walau pun dah bertahun-tahun kahwin.
Ego suami kadangkala yang ‘melangit’ buatkan mereka susah nak dengar pendapat dan teguran isteri. Bagi mereka, isteri yang kena patuh dan dengar cakap mereka. Mereka yang serba serbi betul. Tapi, bagi suami yang boleh terima, tahniah! Memang suami hebat!
Yang ditakuti, akibat terlalu sabar, isteri akan timbul rasa menyampah dan akhirnya benci! Aduh! Itu yang bahaya.
Kena ingat, tahap kesabaran manusia ini ada hadnya. Bila dah ‘over limit’ segala kemungkinan akan berlaku. Jangan terkejut kalau isteri tiba-tiba akan bertindak di luar dugaan. Itu tandanya mereka dah tak mampu lagi nak bendung kesabaran akibat sikap suami.
Oleh sebab itu, sebaiknya kena terapkan komunikasi dalam hubungan. Walau pun tiap kali berterus terang akan ketidakpuasan hati masing-masing, akan timbul pergaduhan, tak apa. Hadap saja. Tapi sekurang-kurangnya kita dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Jadi, beban emosi akan mereda.
Memang sukar nak harapkan seseorang itu berubah tapi teruskan berdoa. Tapi untuk diri sendiri, jangan memendam. Luahkan saja. Lebih banyak buruk bila memendam. Nanti diri sendiri yang stres. Ingat ye, setiap insan punya hak untuk bahagia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!