Pejam celik  pejam celik sekejap je kita bakal memasuki bulan Zulhijjah. Kurang daripada 30 hari umat Islam akan akan berhimpun, berkumpul didalam persidangan terbesar, hari penuh keberkatan di Padang Arafah. Memuji kebesaranNya dan mengharapkan pengampunan daripadaNya.

Berpeluang menjadi ‘Duyufur Rahman’ atau tetamu Allah ditanah suci pastinya menjadi pengalaman terindah bagi sesiapa yang pernah melaluinya. Kenikmatan melakukan ibadah di tanah haram dan ketenangan jiwa disanubari sungguh tak tergambar dengan luahan kata-kata.

Apa yang saya ingin kongsikan disini adalah pengalaman mak, Hajjah Ainon Abu Bakar,59 dan  abah, Haji Abdul Wahab Bin Abdullah, 68 sewaktu mengerjakan haji kali pertama ketika usia mereka ‘boleh dikatakan’ ketika itu masih muda sekitar pada tahun 1993, kira-kira 24 tahun dahulu.

Alhamdulillah, rezeki yang Allah berikan mak dan abah telah menunaikan ibadat haji dua kali dan ibadah umrah sebanyak empat kali.

Banyakkan Bersedekah

Mak dan abah saya, bukan orang berada. Keluarga kami juga bukanlah orang senang. Ketika itu, abah bekerja sebagai pemandu kren di Tenaga Nasional Berhad, manakala mak pula hanya seorang suri rumah, menguruskan anak-anak seramai 7 orang. Disamping, menjual  kain pasang, karpet, pinggan mangkuk dan pelbagai jenis barangan secara kecil-kecilan dengan jiran-jiran dan saudara mara.

Saya pernah bertanya kepada mak abah, apakah tip yang mereka amalkan sehingga ‘berkemampuan’ dan dijemput menjadi tetamuNya pada usia muda.

Ringkas mak menjawab;

“Banyakkan bersedekah dan beri makan pada orang. Yang paling penting, pasang niat untuk mengerjakan haji/ umrah. Rezeki Insya Allah, Allah akan cukupkan dalam pelbagai cara, cabang dan bentuk. Selain berusaha ke arah itu,”

Saya bukanlah ingin mendabik dada. Namun, sedari saya kecil dahulu malah sehingga kini, mak abah saya memang gemar bersedekah dan suka memberi orang makan. Meskipun pendapatan tak banyak  mana. Baik tetamu yang datang ke rumah pasti ada sahaja yang dijamunya dengan makanan mahupun bersedekah makanan serta bahan-bahan kering seperti gula, beras dan sebagainya di masjid-masjid dan surau.Barulah saya faham keberkesanan konsep bersedekah, lebih dimurahkan rezeki. Lebih banyak yang kita bagi, lebih banyak yang DIA beri.

IKLAN

Kata-kata Suatu Doa

Selain itu, mak cakap, kata-kata orang juga satu doa yang mustajab. Sewaktu menjual kain pasang, karpet, pinggan mangkuk dan pelbagai jenis barangan secara kecil-kecilan dengan jiran-jiran dan saudara mara, Mereka selalu mengusik dengan mengatakan “wah, jual macam-macam,cepat kaya dan cepat pergi haji lah ni”.

Ternyata, kata-kata adalah satu doa yang mustajab. Tak perlu ambil hati dan rasa ia suatu sindiran, sebaliknya terus positif dengan kata-kata tersebut dan anggap ia sebagai satu doa. Ternyata ia dimakbulkan.

Asingkan Duit Gaji

Menurut mak lagi, meskipun tidak bekerja tetap dan seorang suri rumahtangga, dari mula berkahwin, abah akan asingkan sedikit duit gaji setiap bulan kedalam akaun tabung haji mak juga. Abah berniat agar mereka dimurahkan rezeki dan  dapat mengerjakan ibadah haji bersama-sama. Alhamdulillah, niat yang baik dipermudahkan olehNya.

Perbezaan Kesihatan

IKLAN

Ketika saya minta mengimbas kembali kenangan dan perbezaan  sewaktu mengerjakan haji kali pertama ketika mak berusia 35 tahun dan abah 44 tahun. Mak berkata banyak bezanya ketika menjadi tetamuNya buat kali pertama dan tahun-tahun berikutnya.

Ini kerana sewaktu menunaikan kewajipan tersebut pada kali pertama di usia muda, badan masih sihat kuat dan bertenaga sementelah untuk melaksanakan segala rukun-rukun haji pula memerlukan kemampuan dan kekuatan tenaga.

Sangat ketara perbezaan dari segi kesihatan dan tenaga ketika terpilih sekali lagi menunaikan haji buat kali kedua pada tahun 2004. Meskipun perbezaan hanya hampir 10 tahun , namun ingatan semakin lemah, letih dan tenaga tidak sekuat dahulu ketika menunaikannnya pada kali pertama.

Mak cerita lagi, sewaktu tunaikan haji kali pertama, mak antara orang termuda didalam kumpulan haji. Ketika itu, masih sihat, ingatan masih kuat, mak banyak membantu jemaah-jemaah wanita warga emas dengan membawa mereka pergi ke masjid, tunjuk arah pulang ke hotel, membantu bersama-sama melakukan tawaf sunat dan sebagainya.

Persepsi Orang

Selain itu, menurut mak pada zaman 1990-an pendedahan dan kesedaran orang muda  untuk menunaikan haji sangat kurang. Waktu itu tak ramai yang dapat pergi haji waktu usia muda berbanding sekarang.

IKLAN

Sementelah persepsi orang pada waktu itu, selain sebab tiada kemampuan, ibadah Haji hanyalah untuk orang-orang  tua. Ramai yang masih tak bersedia nak pergi haji masa usia masih muda.

Meninggalkan anak seramai tujuh orang, yang paling sulung berusia 14 tahun dan paling kecil berumur setahun ketika itu, ternyata bukan lah keputusan yang mudah. Malah, sewaktu dipanggil terpilih mengerjakan ibadah haji mak sedang berbadan dua dengan usia kandungan satu bulan.

Namun, mak abah percaya dan bulatkan hati bahawa, terpilih dapat mengerjakan haji pada usia muda dan menjadi tetamuNya pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Selain, memenuhi kewajipan sebagai hambaNya ia mampu memberi kekuatan rohani.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi inspirasi buat semua. Jangan sesekali rasa takut  mahupun rasa tidak bersedia untuk menunaikan haji pada usia muda. Rebutlah peluang sementara badan masih sihat dan bertenaga, ingatan masih kuat. Yang paling penting pasang niat dan berdoa untuk menjadi tetamuNya. Rezeki akan datang dalam pelbagai cara, cabang dan bentuk selain turut berusaha kearahNya.

Doakan saya juga iya!

Sekian,Salam Sayang

Suhaidah Abd Wahab

(Mengharap Terpilih Dijemput Menjadi TetamuNya Lagi)

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI