nak rumah tangga bahagia, isteri elakkan perkara ini

 

Dalam rumah tangga, perlu ada toleransi dan persefahaman di antara suami dan isteri. Barulah perkahwinan akan raih bahagia.

Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, daripada Promind Training & Consultation, yang juga penulis ruangan Nota Untuk Isteri di dalam Majalah Mingguan Wanita berkenaan apa sikap-sikap isteri yang boleh mencabar kesabaran suami dan seterusnya menggugat kebahagiaan rumah tangga.

Impian

Semua orang mahu memiliki keluarga bahagia. Jika diizinkan Tuhan, biarlah hari bahagiaan itu datang segera. Pemerhatian saya mungkin salah, tetapi ada perbezaan apabila lelaki dan perempuan bercakap tentang masa untuk itu semua berlaku.

Walaupun saya mendirikan rumah tangga sebelum usia 25 tahun tetapi ramai kawan-kawan lain yang masih tenang walaupun telah melewati pertengahan 30-an. Namun apabila membaca posting-posting umum di media sosial, ramai orang perempuan mula resah apabila melintasi usia 28 tahun. Usia yang mereka kata sudah terlalu lewat.

Nak Rumah Tangga Bahagia Sampai Ke Tua, Isteri Jangan Lakukan Perkara Ini!

IKLAN

Risau

Melihat dari sudut pandang mereka, saya boleh memahami kerisauan itu. Jika ditolak tepi segala pertimbangan, memang berkahwin itu tidak sukar dan rumit.

Selalu juga saya dengar, “kalau nak fikir semua benda memang tak kahwinlah aku!”.
Sebenarnya perkahwinan itu mudah jika kita betul-betul ikhlas. Perkara baik, pasti Allah mempermudahkan. Namun perkahwinan itu bermasalah jika kita melakukan beberapa perkara yang saya akan kongsi dalam nota minggu ini.

Niat

Pertama sekali, apakah niat anda berkahwin itu? Adakah anda berkahwin itu kerana panik sebab semua rakan-rakan lain sudah berkahwin? Atau anda berkahwin kerana perlukan perubahan status dalam meningkatkan pencapaian kerjaya anda?

Saya tidak tahu dan tidak ada sesiapa pun tahu jika itu niat anda ,asalkan anda tidak memberitahu sesiapa pun. Jika itu hakikatnya, maka simpan rahsia itu baik-baik. Jangan beritahu sesiapa. Tidak semua rahsia kita perlu kongsi terutama rahsia begini dengan suami sendiri sekiranya anda tidak mahu status itu hilang dalam sekelip mata.

IKLAN

Anda mungkin berdarah srikandi keturunan Hang Tuah Melaka. Katalah itu fakta tetapi keberanian menjadikan pertengkaran rumah tangga sebagai drama tontotan hanya memalukan suami dan diri sendiri. Keberanian luar tabii begitu tidak menyelesaikan apa-apa tetapi akan membuatkan suami meninggalkan anda kerana sikap kebudak-budakan itu.

Suka Pamer Bahagia

Anda mungkin suka kalau orang tahu anda bahagia. Anda gunakan sepenuhnya media sosial mempamerkan kebahagiaan itu. Tidak cukup begitu, bila berada di khalayak ramai anda akan menunjukkan betapa sayangnya anda dengan bergayut pada badan suami hingga dia nak melangkah pun susah.

Bagus begitu, tetapi adakah anda kenal suami anda itu lelaki yang bagaimana? Adakah dia suka publisiti begitu? Setiap suami mempunyai pendapat yang sangat berbeza tentang bentuk dan warna kebahagiaan. Dia bukan tidak bahagia tetapi dia tidak suka anda menunjukkan itu semua secara keterlaluan di khalayak umum. Anda boleh cakap itu hak anda jika orang lain yang menegur tetapi jika suami sendiri yang menegur maka isyarat itu adalah lampu kuning yang perlu perhatian serius.

Maaf Dan Lupa

Semua orang pernah buat salah. Siapa yang mengaku tidak pernah buat salah, adalah penipu besar!. Dalam rumah tangga, itu pasti telah dan akan berlaku. Cara paling tepat menyerap impak negatif keadaan ini ialah dengan memaafkan dan melupakan. Tapi ada isteri yang boleh memaafkan tetapi tidak akan melupakan. Bagaimana dengan anda? Adakah anda pantang ada isu, maka pasti anda mengungkit semula koleksi rekod-rekod kesalahan lama suami untuk dipadankan dengan isu tersebut?

IKLAN

Lelaki ada ego di sebalik memori jangka panjangnya yang tidak begitu baik. Egonya tidak boleh bertahan jika selalu sangat berhadapan dengan ungkitan kesalahan lama begitu.

Curiga Tak Bertempat

Cemburu dan curiga itu tanda sayang. Itu betul tetapi bukan cemburu yang melepasi kewarasan. Jika anda tidak ada masalah dengan kesetiaannya maka kenapa anda curi-curi memeriksa telefon bimbit dia?

Saya pernah ada satu kes daripada seorang klien. Dia kata itu sebagai langkah berjaga-jaga. Sudahnya suaminya tidak ada apa-apa skandal tetapi menceraikannya kerana tidak suka isteri yang curiga tidak bertempat.

Sikap dan sifat yang telah saya kongsi itu kelihatan sangat remeh. Namun jangan ambil mudah kerana ini semua adalah sikap yang mengandungi toksin bisa dalam hubungan rumah tangga. Kenal diri suami. Tahu pantang larangnya dan anda mempunyai peluang yang sangat baik untuk tua bersama dengannya. Insya-Allah…

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI