Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Tapi saya paling sedih bila suami sendiri menuduh saya mandul!
Berusaha Untuk Dapatkan Zuriat
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah, bermakna saya tak mandul. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki pada saya.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, mandul. Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir?
Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah kerana memikirkan mungkin suami ingin rasa seperti memiliki anak sendiri. Tapi saya dapat ‘mengesan’ sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua.
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab oleh Z.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Ads
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Jawapan:
Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya.
Ads
Onak Dan Duri
Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri. Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Onak duri, ombak badai mainan harian. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Puan yang dirahmati Allah. Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangannya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Saya kurang pasti adakah puan dan suami mahu mengambil anak angkat. Dalam keadaan suami telah ada wanita lain untuk dikahwini, mungkinkah puan tidak berhasrat ke arah itu? Tahukah puan ramai dalam kalangan pasangan yang tidak dikurniakan zuriat mengambil anak angkat sebagai penghubung kasih antara suami isteri.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Ads
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan Tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Pandang Hikmah
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, sentiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solatlah malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat, solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jaga aib suami. Mungkin ini yang lebih tepat untuk diberikan kepada setiap wanita yang sudah berkahwin. Rasa tidak puas hati, sakit hati, waima marah sekalipun, tak perlulah nak jaja di media sosial.
Mungkin dengan cara ini, isteri rasa puas dan tenang. Tapi janganlah sampai jaja kebeurukan pasangan. Kena jaga aib suami dan rumahtangga kita. Daripada orang tak tahu, teurs jadi tahu apa yang berlaku dalam rumahtangga.
Diam itu lebih baik dan jaga aib suami serta rumahtangga. Cara ini akan buat kita lebih selamat dan inilah bahagian dari kesempurnaan iman. Antara titipan Sha Ramson Abdullah supaya kita sebagai seorang isteri perlu berdiam dan bertahan. Tak perlu nak jaja aib suami dan rumahtangga kita.
Contohi Mizz Nina.
Langsung tak pernah bercerita tentang aib suaminya.
Dia hadap ujian rumahtangganya namun tak pernah sekalipun dia bercerita kepada umum.
Betapa kuatnya dia berdiam, bertahan dan jaga aib suami dan rumahtangganya. Saya teringat nasihat dari Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid tentang diamnya Rasulullah ﷺ.
Kata baginda Rasulullah ﷺ :
DIAM ITU ADALAH AKHLAK, bukan sekadar diam tapi diam itu ada makna dan tujuan. Ketahuilah DIAM itu boleh menjadi satu ibadah.
Kata Habib Ali Zaenal Abidin, ada satu ibadah yang punya nilai yang tinggi dan baik, bahkan ia bahagian dari kesempurnaan iman iaitu DIAM.
Nabi ﷺ ajar kita tentang DIAM yang bukan diam kosong tapi diamnya itu satu ibadah.
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap baik atau DIAM.”
Kata Nabi ﷺ :
“Barangsiapa yang banyak diam, dia selamat.”
Selamat dari apa?
Selamat dari bahaya percakapan.
Diam Akan Selamat
Bila seseorang itu bercakap, yang keluar dari apa yang dilafazkannya itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat. Jika dia menulis perkara yang tak baik atau tulisan yang mengaibkan, juga akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat.
Yang tidak disoal dan tidak dipertanggungjawabkan adalah bila kita DIAM dan tidak menulis hal yang tidak baik. Ini bahagian pentingnya selamat kerana tidak ditulis perihal buruknya dalam kitab Amal oleh malaikat. Setiap apa yang kita katakan dan kerjakan tidak akan terlepas dari catitan pena malaikat.
Siapa yang DIAM, dia akan terselamat.
Kata Nabi ﷺ, manusia akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan kepala dan hidungnya jatuh dahulu. Bukan kakinya.
Kenapa jatuh kepala atau hidungnya dulu?
“Tidak manusia itu dicampakkan ke dalam neraka kepalanya dahulu akibat dari apa yang keluar (percakapan) dari mulut dan lisannya.”
“Tidak manusia itu dicampakkan ke dalam neraka dengan hidungnya dahulu sebab hidung yang paling hampir dengan mulut, jadi dicampakkan oleh Allah ke dalam neraka akibat mulutnya yang bercakap perkara yang tidak kena pada tempatnya.”
Khususnya bila berlaku FITNAH.
Cukup menjadi pengajaran bagi kita kisah Siti Maryam ketika melahirkan anak tanpa suami. Satu perkara yang luar biasa. Macam mana kita nak jelaskan pada orang?
Apa yang diminta oleh Siti Maryam?
“Aku bernazar kerana Allah Taala bahawa aku tak mahu bercakap.”
Sebab apa Siti Maryam bernazar tidak mahu bercakap?
Kalau bercakap;
orang akan kata dia berbohong, orang akan kata dia berdusta, tidak akan dipercayai sebab ini perkara fitnah.
Bercakap… salah.
Berdiam pun salah.
Maka pilihlah DIAM.
Kerana apa pilih diam?
“Siapa yang DIAM, dia akan terselamat.”
Mingguan Wanita : Betul sangat. Tak perlulah nak membuka pekung pasangan. Sebab kita pun belum tentu sempurna. Diam lebih baik.
Jangan berkira dengan mak ayah. Bila anak-anak dah besar dan punyai kehidupan sendiri, selalu dilupakan mak ayah di kampung. Nak-nak pula bila dah kerja di bandar, lagi susah untuk melihat susuk wajah orang tua.
Biasanya, kalau bekerja di bandar boleh kira berapa kali dalam sebulan, setengah bulan atau setahun kita balik kampung. Itu pun berkira-kira bimbang duit tak cukup bila balik nanti.
Kalau nak tunggu cukup atau mampu memang tak akan balik lah kita. Mak ayah bukan harapkan duit anak-anak, tapi bila balik hilang rasa rindu, selera makan pun mungkin bertambah bila ada anak depan mata.
Persoalannnya bila nak balik. Tak perlulah nak berkira dengan mak ayah atau tunggu mampu baru nak balik. Dikesempatan yang ada inilah masanya untuk kita melihat orang tua. Antara perkongsian daripada Rohana Saad untuk renungan bersama.
Jangan Berkira Dengan Mak Ayah, Tunggu Mampu Bukan Alasannya
Pernah tak, anda dalam situasi seperti ini??
Bawa mak ayah pergi klinik, mak ayah bayar sendiri sebab kita pun tak mampu nak tolong bayar, sedangkan dari kecil mak ayah yang bayarkan bil kita. Kadang terpaksa meminjam, ada yang sampai sekarang masih mengharapkan mak ayah yang bayar.
Bawa mak ayah pegi pasar malam atau supermarket.. mak ayah bayar sendiri, sedangkan dari kecil lagi mak ayah yang turuti apa yang kita nak sampai abaikan keinginan sendiri.
Mak ayah pegang sesuatu yang dia berkenan, tapi kita buat tak tahu, sebab nanti short duit belanja kita. Dulu berguling-guling kita memberontak nak juga sesuatu tu.
Nak keluar makan takut nak pelawa mak ayah sekali sebab nanti kena bayar lebih, padahal dulu kita menangis-nangis nak KFC mak ayah terpaksa ikat perut waktu kerja sebab terguna duit belanja.
Bila Nak Balik Kampung
Nak balik kampung melawat mak ayah pun tak mampu sebab kos minyak, tol dan belanja di kampung, padahal dulu nak ke mana pun mak ayah sanggup pinjam kereta, sanggup naik turun bas bawa kita berjalan.
Waktu balik kampung tak hulur wang belanja padahal dari sekolah mak ayah la yang bagi duit belanja.
Tak payah cakap bab memberi, sampai dah kahwin dah ada anak pun masih meminta pada mak ayah, itu saya dulu waktu seronok, waktu senang.
Insan pertama yang kita cari ialah pasangan kita, rai kan bersama tapi waktu susah, waktu musibah insan pertama yang kita cari ialah mak ayah.
Mak ayah kita tak pernah berfikir dua kali untuk beli atau berbuat sesuatu untuk kita. Walaupun dia pun takda duit waktu tu, tak pernah sebut dan bagi alasan, semuanya ditelan. Kalau cakap takut kita rasa serba salah nak minta tolong, sedangkan kita sekarang mak ayah minta sikit panjang berjela pnerangan kita untuk itu ini.
Sampai BILA?
Persoalannya BILA????
Kita nak mampu beri balik, bukan soal wang sikit atau banyak sebab mereka bukan mengharapkan kemewahan tapi pemberian dari insan bergelar anak walaupun sikit..
ingat, setiap kali alasan yang kita beri. Umur mak ayah kita makin meningkat dan mereka tak ada masa yang banyak untuk tunggu kita “mampu” dan bagi mereka yang sudah tiada mak ayah, ia bukan alasan untuk kita berhenti memberi pada mereka.
Renungkanlah, masih banyak yang harus diperbetulkan, janji untuk jadi yang
terbaik dan beri yang terbaik buat mereka. Jangan sampai jenazah mak ayah masuk ke liang lahad baru kita nak menyesal!.
Mingguan Wanita : Keberkatan tengok mak ayah, insya Allah dipermudahkan. Jangan fikir tak cukup, nanti ada rezeki lain yang datang. Percayalah.
Anak aktif itu juga satu ujian bagi mak-mak. Setiap kali ke rumah saudara mara, anak-anak sering kali jadi tumpuan. Mana taknya, asyik berlari ke hulu ke hilir. Sekali ditegur, duduk diam. Tak sampai 5 minit berlari lagi. Argh! Peningnya!
Mempunyai anak-anak yang aktif memang sangat mencabar. Namun, mak ayah jangan hanya tahu hendak marah dan pukul anak saja. Pada usia 4-6 tahun, anak-anak gemar bereksplorasi.
Kena pandai mengkaji dan mengenal tingkah laku anak sendiri. Sebagai ibu bapa, belajarlah agar anda tahu tangani mereka. Tahu apa kelemahan mereka.
Gunakan pendekatan psikologi untuk mengawal anak-anak. Kalau anda gunakan pendekatan pukul, bukan anak yang sakit, emosi anda pun akan sakit juga.
Sebab itu, al-Quran bekalkan panduan mendidik anak yang tak reti duduk diam ni. Ada doa-doa yang boleh diamalkan oleh mak ayah agar anak anda yang terlebih aktif itu membesar jadi anak yang hebat.
1. Al-Fatihah
Sebagai satu senjata untuk merangsang daripada melakukan sebarang masalah.
2. Ayat Qursi
Untuk menghalau iblis & syaitan. Doa ini juga boleh dibaca untuk menghindarkan anasir negatif yang masuk ke dalam badan anak yang menyebabkan mereka degil atau tak mendengar kata.
3. Surah Alam Nasyrah
Nabi juga menasihatkan Ali supaya membaca surah ini utk menerangkan hati dan mudah ingat. Dan ia dibacakan kepada anak supaya mereka kurang degil dan lembut hati.
4. Surah Adh-Dhuhaa 1-5
Untuk anak yang malas sembahyang, degil, suka bergaduh dan tension. Inilah surah untuk anak menjadi soleh dan solehah, lembut hati dan mendengar nasihat.
5. Doa Nabi Daud
“Ya Allah lembutkan bagi (nama anak) hati sebagaimana Kau lembutkan besi bagi Nabi Daud”.
6. Surah Al-Anbiyaa ayat 69
Untuk anak-anak yang liat hendak sembahyang & doa yg paling mustajab ialah surah Ibrahim ayat 40, bermaksud “Ya Allah jadikan aku dan anak-anakku orang yang mendirikan solat”.
7. Doa Manzzill
Kombinasi ayat al-Quran yang telah diajar nabi pada para sahabat kemudian ditulis oleh ulama.
Mak-mak kenalah cuba amalkan doa-doa ini demi kebaikan permata hari yang cukup disayangi. Sebabnya Doa mak tu memang makbul!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.