Pengesahan jantina selepas kelahiran bayi sangat penting dalam dalam menentukan kehidupan bayi pada masa akan datang. Akibat kesilapan perubatan boleh merubah segalanya.
Siapa sangka seorang ‘wanita’ dari Arab Saudi hanya menyedari bahawa dia sebenarnya seorang lelaki selepas 21 tahun dilahirkan disebabkan oleh ‘kesilapan perubatan’, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.
Alat Sulit Lelaki Tersembunyi Dalam Perut
Menurut saluran televisyen Al Ekhbariya, individu berkenaan tidak mengetahui bahawa dia mempunyai alat sulit lelaki yang tersembunyi di dalam perutnya.
Semasa kelahirannya di sebuah hospital kerajaan di Riyadh, dia mengalami beberapa kecacatan pada bahagian kemaluan.
Bagaimanapun, doktor menyangka bayi itu adalah perempuan dan keluarganya menamakannya sebagai Randa Shabeli.
Bagaimanapun, semasa umurnya semakin meningkat, Randa semakin curiga apabila dia tidak mengalami sebarang tanda-tanda akil baligh seorang wanita.
Ads
Apabila mengunjungi hospital untuk menjalani pemeriksaan menyeluruh, dia terkejut apabila diberitahu memiliki alat kelamin lelaki yang tersembunyi di dalam perutnya.
“Pada awalnya, perasaan saya sama sekali pelik, seolah-olah mereka berbohong kepada saya. Ia tidak logik seolah-olah kembali memulakan hidup. Nama dan identiti baharu, tiada kawan dan saudara-mara.
“Kini, saya sepatutnya menjalani pembedahan untuk mengeluarkan kemaluan yang tersembunyi. Seorang doktor mengesyorkan saya perlu pergi ke Britain untuk pembedahan,” kata Randa.
Failkan Aduan
Menurut Al Ekhbariya, keluarga Randa memfailkan aduan kepada bekas Menteri Kesihatan Arab Saudi, namun tiada tindakan diambil.
Ads
Bapanya berkata, dia cuba menghubungi hospital tempat Randa dilahirkan tetapi tidak berjaya.
Mingguan Wanita:Tak sangka ada juga kes sebegini. Siapa sangka dilahirkan sebagai ‘wanita’, membesar sebagai wanita’ ‘rupanya secara biologinya adalah lelaki. Kasihan sungguh.
Kenyataan Ifa, Ini Teguran Ustazah Asma’ “Hati-Hati Dengan Apa Yang Diberi, Bimbang Ia Musibah Tersembunyi”. Mengambil pendekatan untuk memberi teguran dan penjelasan tentang kenyataan “Saya dah 3 kali pergi umrah, yang pakai tudung tak dijemput pun” oleh Ifa Raziah.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ifa yang membidas komen para netizen yang menempelak dirinya tidak menutup aurat menerusi live di akaun rasmi Tik Tok penyanyi sensasi itu.
Kenyataan Ifa, Ini Teguran Ustazah Asma’
Mengambil pendekatan untuk menasihati, pendakwah terkenal Asma’ Harun & Tim Penyelidikan menerusi perkongsian di akaun rasmi Facebook Ustazah Asma’ Harun menyatakan;
“Harus faham, hukum menunaikan umrah ialah sunat muakad, iaitu sunat yang amat dituntut, namun hukum MENUTUP AURAT IALAH WAJIB. Ramai salah faham tentang keutamaan ini menyebabkan perkara wajib dilengah-lengahkan tapi yang sunat atau harus pula dikejar sehingga terabai yang wajib.
“Ada juga sebahagian yang merasakan tidak mengapa jika tak menutup aurat, yang penting hati mereka baik. Jika kita ke kedai buah, mana yang kita akan pilih, buah yang luarnya baik atau yang sudah dipenuhi lebam dan busuk?
“Apabila pilih yang luarnya baik, ada kemungkinan isinya segar atau rosak, tetapi luar yang buruk sudah pasti isinya juga telah rosak.
Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”
“Seandainya kita sentiasa diberikan nikmat yang melimpah-ruah tanpa henti walaupun hidup dalam keadaan fasiq iaitu berterusan melakukan maksiat yang nyata, berhati-hatilah dengan rezeki yang dikurniakan Maha Pemberi Rezeki kepada kita.
Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”
(HR Ahmad, hadis Hasan)
“Tanda istidraj ke atas seseorang itu adalah Allah membiarkan dia dalam kemaksiatan yang dilakukan dan tidak disegerakan azab ke atasnya. Allah SWT berfirman:
سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Qalam: 44)
Syeikh Ibnu ‘Athoillah al-Sakandari pernah menyatakan di dalam kitab Hikam:
Maksudnya: “Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj.”
“Allah berhak memberi apa sahaja kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan termasuk yang mensyirikkan-Nya dan bermaksiat kepada-Nya. Namun perbezaan besar adalah sama ada apa yang diberi itu dengan kasih sayang atau murka-Nya.
“Alhamdulillah, peluang untuk menunaikan haji atau umrah itu memang direzekikan kepada mereka yang terpilih, namun kayu ukur yang lebih penting ialah APA PERUBAHAN yang berlaku pada diri kita SELEPAS PULANG daripada haji atau umrah? Adakah akhlak dan ibadah kita lebih baik, sama sahaja atau semakin buruk? Allahu Akbar.
“Jangan salah faham, orang yang menegur bukan buat kerja Tuhan, tapi sedaya upaya melaksanakan kerja yang Tuhan perintahkan sebagai seorang saudara se-Islam.
“Saya percaya ramai yang bimbangkan keadaan masyarakat dan generasi anak-anak kita yang mudah sekali dirosakkan minda dan akhlak mereka oleh segelintir selebriti, influencer, founder produk dan sesiapa sahaja yang tidak bermoral di media sosial.
“Para pendakwah, orang awam termasuk saya yang menegur bukan nak tumpang populariti sesiapa atau nak kejar rating. Popular dan pengaruh bukanlah satu kebanggaan atau anugerah, sebaliknya hanya alat dan amanah untuk digunakan kepada jalan mengajak kebaikan atau mencegah kemungkaran. Kita akan dipertanggungjawabkan kelak, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya (kuasa), jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemah iman.”
(HR Muslim, hadis sahih)
“Menutup aurat bukan ertinya berlagak suci, juga yang berhujah dengan ayat “kita tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup masing-masing, jangan disebut aib orang secara terbuka dll.” SEMUA AYAT ITU HANYA HUJAH AKAL UNTUK HALALKAN DOSA SECARA TERBUKA.
“Bila ada yang menegur, bukan bermaksud nak ME-NERAKA-KAN sesiapa, tetapi Allah dan RasulNya sendiri telah memberitakan ciri-ciri mereka, apa yang Nabi SAW sebut lebih 1400 tahun lepas telah terbukti satu demi satu. Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya: “Dua golongan daripada penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti seperti ekor lembu untuk mereka memukul manusia dengannya dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (memakai pakaian tetapi menampakkan bentuk badan), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya. Kepala mereka mempunyai sanggul seperti bonggol unta yang senget (atau apa sahaja daya tarikan supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan dapat masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu dari jarak perjalanan tertentu.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Sekarang mari kita semak dengan jujur, adakah kita termasuk golongan yang disebutkan Nabi Muhammad SAW di atas, atau adakah kita nak marahkan Baginda?”. Asma’ binti Abu Bakar pernah memakai pakaian yang agak nipis ketika perintah menutup aurat masih dalam proses secara beransur, Nabi Muhammad SAW terus menegur dan beliau terus ubah tanpa bantah dan beralasan, bahkan ketika turunnya ayat tentang hijab (tudung), terus para wanita ketika itu mencari dan mengambil apa sahaja kain yang ada untuk menutup TANPA BERTANGGUH.
“Pernahkah terfikir bagaimana jika suatu hari nanti dipanggil bertemuNya, saat jasad sudah masuk ke liang lahad, namun dosa masih berjalan kerana gambar atau video mendedahkan aurat masih kekal berada di media sosial?. Nauzubillahiminzalik. Moga sempat dipadam oleh diri sendiri, bukan waris, kerana itu adalah tanda sempat bertaubat sebelum mati.
“Kita tidak pernah tahu bilakah detik kematian akan kunjung tiba, namun yakinlah setiap hela nafas yang Allah masih pinjamkan buat kita saban hari, itulah peluang berharga untuk kembali kepadaNya. Balaslah kasih sayang Allah dengan mentaati setiap perintah dan meninggalkan laranganNya.
“Ingatlah setiap rupa, kekayaan, kemasyhuran, pengaruh, keuntungan, pujian manusia dan bakat yang ada pada diri kita menjadi anugerah dan ibadah jika dimanfaatkan ke arah yang baik, namun apabila digunakan ke jalan bercampur maksiat, ia adalah satu musibah!
“Penulisan ini lahir daripada rasa kasih sayang dan hormat kepada semua, atas dasar saudara se-Islam juga teguran ini dibuat. Sebagai seorang wanita Islam, cara hidup kita di atas bumi Allah ini bukan semata-mata bersandarkan kepada logik akal atau pendapat peribadi, tetapi setiap perkara ada garis panduannya menurut alQuran dan hadis Nabi Muhammad SAW.
“Semoga kita semua sentiasa dalam taufiq dan hidayah-Nya serta bersegera memohon keampunan dan rahmat-Nya.
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.”
Cita-cita untuk berkahwin awal membuatkan Elyana nekad untuk melamar suaminya dahulu. Malah tak kisah pandangan orang lain dengan istilah ‘perigi cari timba’. Sekaligus ia demi mencapai impian untuk bergelar seorang ibu.
Pelantun lagu popular Kalis Rindu, Erneelya Elyana Emrizal, 35 mendedahkan perkara tersebut menerusi hantaran di akaun Instagramnya baru-baru ini.
“Cita-cita saya dari dulu adalah ingin menjadi seorang ibu dan nak kahwin awal.”
“Sebab tu saya yang MELAMAR suami saya..masa tu tak kisah langsung orang gelar perigi cari timba, yang penting nak kahwin.”ujarnya.
Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin,47 pada tahun 2010. Usia perkahwinan yang memasuki 12 tahun, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata, Cinta Sumayyah, 12 dan seorang anak angkat, Ramadhani yang kini berusia tiga tahun.
Ternyata jarak usia 12 tahun bukanlah penghalang dalam mengecap bahagia. Malah sehingga kini Elyana bahagia melayari bahtera bersama suami tercinta yang sentiasa berada di sampingnya.
Sementara itu, Elyana yang juga merupakan seorang pejuang kanser melahirkan rasa syukur apabila dirinya bebas sepenuhnya daripada kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya selama 11 tahun telah hilang.
Mingguan Wanita:Wah tak sangka Elyana yang melamar suami dahulu.Bagi wanita, jika sudah berjumpa jodoh dan pasangan yang serasi, memang tiada salahnya untuk ‘memulakan langkah’ melamar kekasih hati dahulu. Tiada istilah ‘perigi cari timba’ untuk tujuan yang baik. Lambat-lambat nanti melepas! opps.
‘Walaupun sedih, kami reda & tak berdendam dengan pemandu.’ Bayi meninggal dilanggar bas. Keluarga ini sedar bahawa kejadian yang berlaku adalah takdir dan mereka tidak berdendam dengan sesiapa.
Memanglah sedih dengan apa yang terjadi, namun sebagai hamba-Nya apa lagi yang dapat dilakukan selain reda dengan takdir yang ditentukan.
Ibu kanak-kanak perempuan yang maut dilanggar bas sekolah di Taman Anggerik, Sepang, reda dengan pemergian anak ketujuhnya itu serta tidak mahu mengambil sebarang tindakan ke atas pemandu berkenaan.
Menurut Zainab Mohideen Abdul Kadar, 37, keluarganya sudah lama menggunakan perkhidmatan pemandu bas berkenaan untuk menghantar anaknya berulang-alik dari sekolah.
Katanya, walaupun sedih dengan kejadian berkenaan, namun dia memahami kejadian itu tidak disengajakan oleh pemandu bas berkenaan.
“Saya belum lagi bertemu dengan pemandu bas berkenaan, sebab dia masih lagi trauma dengan apa yang terjadi. Tapi dia sudah menghubungi saya dan minta maaf atas apa yang berlaku dan saya maafkan.
“Saya pun tidak boleh salahkan pemandu bas, ketika keterangan yang diberikan kepada polis pun saya beritahu supaya pemandu ini tidak diapa-apakan. Tiada dendam pun saya simpan untuk pemandu bas ini, dia pun sudah lama menjadi pemandu bas iaitu kira-kira 25 tahun.
“Saya tiada masalah dengan dia (pemandu bas), begitu juga dengan suami, kita terpaksa reda dan tidak boleh berdendam,” katanya.
Semalam kanak-kanak perempuan berusia setahun empat bulan maut dilanggar bas ketika mengekori kakaknya ke sekolah.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa keluar rumah dan mengekori kakaknya yang sedang menaiki bas untuk ke sekolah.
Sementara itu, saksi kejadian yang juga kakak ketiga kepada mangsa, Nurul Aishah Mohamad Kassim, 13, dia berada di tangga bas untuk memberikan duit poket kepada adik kelimanya yang ketika itu sudah berada di dalam kenderaan.
“Lepas saya bagi duit pada adik, saya turun dari bas. Saya nampak bas itu bergerak dan melihat Zahida (mangsa) sudah berada di bawah bas. Saya terus menjerit dan mengambil adik yang pada ketika itu sudah terperosok. Tindakan itu diambil kerana saya takut Zahida akan digilis kali kedua dengan tayar belakang bas berkenaan.
“Nenek dan jiran yang mendengar jeritan saya kemudiannya keluar dan bertanyakan apa yang berlaku sebelum jiran menolong kami menghantar Zahida ke klinik berdekatan,” katanya.
Tambah Nurul Aishah, selepas pemandu bas menyedari kejadian itu, dia terus meminta maaf berulang kali kepada nenek dan memaklumkan tidak menyedari Zahida berada di bahagian kiri bas terbabit.
“Selepas meminta maaf, nenek menyuruh pemandu bas itu menghantar murid lain ke sekolah sebelum terlambat. Pemandu bas sangat bertanggungjawab kerana selepas menghantar kesemua murid itu, dia datang ke rumah bertanyakan keadaan Zahida.
“Dia sekali lagi meminta maaf, kerana tidak nampak Zahida dan kejadian itu tidak disengajakan. Mak kata tidak mengapa, dia tak salahkan pakcik ataupun saya. Kami berdua tidak perasan Zahida keluar dari rumah,” katanya.
Mengenangkan keletah adik bongsunya itu, Nurul Aishah berkata, Zahida manja dengan semua orang dan sangat rapat dengan bapa serta neneknya.
“Saya memang rapat dengan Zahida, dia memang suka ‘mengekor’ walaupun ke mana saja saya pergi, saya juga selalu bergurau dengannya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dibawa kepada pihak pendakwaan.
“Pemandu bas berkenaan sudah ditahan semalam dan selesai memberi keterangan kepada polis. Dia juga sudah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga ini dan diharap mereka tabah berdepan dengan ujian berat ini.
Tak sangka anak pergi tiba-tiba, ibu tak sempat sambut kepulangan si anak, Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee yang berniat nak bercuti di kampung hujung bulan ini apabila anggota polis itu maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik semalam.