Ingat tak masa anak kecil, mak ayah boleh tengok dan suka lihat gelagat anak-anak. Kadang-kadang apa yang anak buat masa kecil dibiarkan sahaja. Kononnya, dia masih kecil dan tidak tahu apa-apa.
Sedangkan masa anak kecil inilah mak ayah kena main peranan dan tunjuk contoh yang baik supaya kelakuan anak-anak tidak terbawa-bawa bila dewasa nanti.
Perkongsian daripada Fariza Nurbaya ini ada benarnya. Anak umpama kain putih dan mak ayahlah yang kena mencoraknya, sama ada kain itu cantik, contang canting dan sebagainya.
1. Kenapa seorang anak boleh memukul ibunya? Sebab semasa anaknya masih kecil, ibu hanya ketawa dan gelak-gelak sahaja apabila anak memukul-mukulnya dan tidak memberitahu anaknya bahawa perbuatan tersebut adalah salah.
2. Kenapa anak remaja sekarang begitu gemar mencarut dan menggunakan kata-kata kasar seperti babi, bodoh, bangang dan sebagainya? Sebab sewaktu kecil ibu dan bapanya hanya gelak-gelak dan ketawa sahaja semasa anak yang masih kecil itu menyebut perkataan-perkataan tersebut, malah tidak menegur kesalahan anaknya. Kata ibu bapanya, lucu dan pandai anakku!
3. Kenapa anak-anak remaja berani keluar pada waktu malam? Sebab dari kecil lagi ibu bapa tidak menghalang anak-anak mereka keluar dan tidak menetapkan peraturan bahawa anak-anak wajib berada di rumah pada waktu malam. Apabila segalanya sudah menjadi kebiasaan kepada anak-anak, maka sudah tentu sukar bagi ibu bapa untuk membetulkan kesilapan tersebut.
Kata orang tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Untuk anak-anak muridku yang telah bergelar ibu atau bapa, ingat pesan guru tua ini.
1. Bercakaplah dengan bahasa yang baik dan sopan dengan anak-anak. Tegur dan berikan hukuman semerta jika anak-anak mengeluarkan kata-kata kesat.
2. Jangan benarkan anak-anak kecil bermain hp. Berikan buku atau permainan yang sesuai dengan umur anak-anak.
3. Jangan dibiarkan televisyen terpasang 24 jam di rumah anda. Hadkan masa menonton, contohnya pada waktu petang sahaja. Malam ialah masa untuk anak-anak mengulang kaji dan bermesra dengan ahli keluarga. Jika anak-anak tidak dibenarkan menonton televisyen, ibu bapa juga hendaklah mengorbankan keinginan sendiri untuk tidak menonton tv juga.
4. Jangan benarkan anak-anak menunggang motosikal apatah lagi memberikan motosikal kepada anak-anak. Biarlah kita yang menghantar dan mengambil mereka jika mereka mahu ke mana-mana. Susah sikit tak apa. Alah bisa tegal biasa.
5. Tiada hp adalah lebih baik. Benarkan anak-anak memiliki hp apabila anak-anak sudah bijak, matang dan dapat memanfaatkan penggunaan hp dengan baik.
6. Solat berjamaah dengan anak-anak terutama pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak sama ada di rumah atau masjid.
7. Waktu antara Maghrib dan Isyak sangat sesuai untuk membimbing anak-anak mengaji al-Quran.
8. Ambil tahu perkembangan pendidikan anak-anak. Semak buku-buku latihan dan kerja rumah anak-anak.
MW: Amat bagus untuk dijadikan panduan mak ayah. Moga bermanfaat.
Bila Allah bagi lebih pada harta pada dia, mungkin ada sudut kurang yang kita tak pernah tahu. Kalau secara logiknya pun, mana mungkin ada pasangan sempurna 100%.
Bak kata saudara Firdaus Shakirin, andai terlihat kebahagiaan pasangan lain, tolonglah jangan bandingkan dengan kemampuan pasangan kita dengan orang lain. Rezeki yang Allah bungkuskan pada hambanya tak akan pernah sama.
Lebih Pada Harta
Untuk kaum hawa yang akan atau dah bergelar isteri, jangan bandingkan hidup anda dengan kawan-kawan anda.
Ada kawan anda, suaminya mampu menyediakan dia rumah mewah, kereta besar, mampu membawanya bercuti di luar negara, mampu belikan dia barang-barang berjenama.
Jangan jeles, jangan iri hati, jangan dengki kerana mungkin suaminya jarang ada masa dengannya, sibuk dengan urusan kerja, outstation sana sini. Dia sunyi di rumah, apa yang dia rasa suaminya tak pernah ambil peduli, kerja rumah semua dibuatnya sendiri dan disebalik kemewahan yang dia ada tu, dia tak gembira dan tak bahagia dengan hidupnya.
Ada kawan anda, suaminya hanya mampu menyediakan dia rumah kos rendah dan kereta kecil, hanya mampu membawanya bercuti di dalam negara, hanya mampu belikan dia barang-barang biasa. Jangan kesian, jangan simpati, jangan pandang rendah pada dia, kerana mungkin suaminya selalu ada di rumah, selalu ambil tahu akan perasaannya, selalu menolongnya melakukan kerja-kerja rumah dan disebalik kesederhanaan yang dia ada tu, dia gembira dan bahagia dengan hidupnya.
Ada kawan anda, suaminya itu nikmat untuknya, dan ada pula kawan anda, suaminya itu ujian terbesar dalam hidupnya.
Mana Ada Pasangan Sempurna
Sebab itu dalam hidup kita ni, Allah tak bagi kita semuanya sempurna dari setiap sudut, Allah tak bagi kita segala-galanya. Bila Allah bagi lebih diharta, maka kurang pada masa. Bila Allah bagi lebih pada masa, maka kurang pada harta.
Jadi, anda bekerja atau tidak, anda duduk rumah mewah atau sederhana, anda bercuti di luar negara atau didlm negara, anda pakai pakaian jenama atau biasa, bila anda dah berkahwin, gaya hidup anda hanyalah mengikut kemampuan suami anda. Kalau hanya itu yang mampu ditunaikannya, diberikan oleh suami anda, maka bersyukurlah dan ucapkanlah alhamdulillah dan terima kasih.
Jangan Bandingkan
Kurang di satu tempat, lebih di tempat yang lain. Jangan bandingkan hidup anda dengan kawan-kawan yang lain, semuanya atas REZEKI masing-masing.
Harus diingatkan, tak semua yang indah itu indah, kerana kita hanya nampak apa yang mereka ada, dan bukan apa yang mereka rasa.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila anak buat salah, terus kena marah. Bukan itu caranya. Tak salah pun untuk mak ayah berlembut dengan anak dahulu sebelum marah tanpa usul periksa.
Kadang-kadang anak nak perhatian dari mak ayah. Mungkin dalam fikiran mak ayah, kalau berlembut dengan anak, nanti dia akan naik ‘minyak’. Tapi ada juga yang tak tahu nak bersopan santun dengan anak sendiri.
Bila dengan orang lain atau luar, boleh pula bersopan santun, lemah lembut. Tapi dengan tidak untuk berlembut dengan anak. Sampaikan anak kecil pun diugut, kalau dia buat perangai di luar rumah.
Sebenarnya, cara kita sebagai mak ayah salah. Kalau anak buat perangai atau salah pun, jangan terus marah, lebih-lebih lagi berada di luar rumah. Ada caranya untuk berlembut dengan anak.
Selesai membeli di salah sebuah gedung membeli belah terkemuka, kami sekeluarga berhenti untuk membeli juadah dari peniaga di kaki lima gedung tersebut.
Sementara menunggu giliran, saya melihat sebuah keluarga yang terdiri dari ibu, ayah dan dua orang anak mereka dari arah kiri saya. Salah seorang anak mereka memegang belon berbentuk (e.g jenis belon yang berbentuk kapal, helicopter atau bola etc) pada talinya. Tali belon tersebut memang agak panjang apatah lagi untuk di pegang oleh anak yang saya yakin tidak lebih besar pun dari usia 6 tahun.
Dalam masa yang sama, dari arah kanan saya, kelihatan sepasang suami isteri muda (atau pasangan kekasih mungkin?) berjalan dengan yang perempuannya sambil ‘bermain’ telefon.
Oleh kerana lorong yang menempatkan kami semua ini agak sempit, dengan orang ramai yang bergerak dari kedua-dua arah, maka tak hairanlah bila belon yang di pegang oleh kanak-kanak tersebut tak sengaja terkena muka perempuan yang berjalan bersama pasangannya itu.
Terus si ayah kepada kanak-kanak tersebut berpaling mengucap ‘sorry’ berulang kali bagi pihak anaknya. Jelas nampak si ayah rasa bersalah.
Pasangan muda tersebut pula membalas dengan senyuman dan sebut ‘tak apa’ beberapa kali sebagai tanda ‘bukan masalah besar’.
Insiden kecil yang saya sangka berakhir di situ rupa-rupanya sekelip mata berubah menjadi drama bila si ayah yang tadinya nampak cukup rendah diri meminta maaf kepada pasangan muda tersebut berpaling kepada anaknya dan mula tinggi suara:
“I told you to wrap the string (tali belon) on your hand!. Tengok, kan dah kena orang? Abah dah cakap tadi pegang elok-elok. Sekarang saya terpaksa ambil sebab dah terkena orang lain.”
Si anak mula menangis bila belonnya ‘dirampas’ si ayah yang terus saja meneruskan perjalanan. Si anak kaku saja berdiri sambil menangis di tempat dia berdiri. Giliran ibu kepada kanak-kanak tersebut pula berpaling kepada anaknya, dan saya pun tak sangka mendengar ayat yang keluar dari mulut si ibu:
“Tak nak ikut sudah. Tinggal kat sini” dan mula berjalan menyusul si suami. Makin kuat jeritan si anak. Setelah beberapa tapak melangkah, si ibu menoleh ke belakang (untuk melihat jika anaknya menuruti langkah mereka) dan bila ternyata anaknya masih kaku menangis di tempatnya, si ibu dengan nada marah sebut, “You want us to leave you here??” (lebih kurang begitu ayatnya). Si anak akhirnya berlari-lari anak mengejar langkah ibu dan ayahnya dalam menangis.
Tiada Siapa Bersalah
Terpaku saya sebentar. Rasa geram tiba-tiba membuak dalam diri. Kerana apa?:
Kerana apa yang ibu dan ayah kepada kanak-kanak itu tidak tahu ialah pasangan lelaki kepada perempuan yang di langgar belon kanak-kanak itu sebenarnya telah pun menarik si perempuan untuk rapat berjalan ke tepi supaya dia yang kusyuk bermain telefon tidak terlanggar sesiapa. Namun kalau mata dah ‘melekat’ di skrin, tak nampak apa yang ada di depan, tentulah tak sempat nak elak cukup segera sebelum dilanggar.
Tambahan pula, kanak-kanak yang memegang belon tersebut tidak di pimpin oleh ibu atau ayahnya kerana si ayah memegang barang-barang dan si ibu pula memimpin si adik. Maka, faham-faham sajalah gaya anak kecil bila berjalan sendiri.
‘Macam ular’: sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan.
Maka atas dua sebab ini saya langsung tak rasa si anak kecil tersebut bersalah.
Andai dia benar bersalah pun, apakah sepadan untuk dia di marahi sedemikian rupa?
Senangnya untuk si ayah bermanis muka dan bersopan santun meminta maaf kepada ‘orang asing’ sedangkan sekelip mata berubah menjadi garang kepada anak sendiri tanpa usul periksa.
Apakah wajar untuk si ayah merampas belon anaknya serta-merta?
Adakah si ayah atau ibu ada memberi pilihan atau ingatan kepada anak tersebut
SEBELUM
membenarkan dia berjalan bersama belonnya ke khalayak ramai? . E.g:
“Tali belon ni panjang, abang pula belum cukup tinggi. Jadi, senang nak terlanggar orang ramai atau tiang. Mesti tak best kalau belon cantik ni pecah, kan? Abah atau mama akan tolong pegangkan belon abang ni supaya ia selamat. Abang boleh ambil belon ni semula masa kita dah sampai dalam kereta. Abang nak abah atau mama yang pegangkan belon abang ni?” Atau
“Abah faham abang nak pegang sendiri belon ni sebab belon abang ni memang cantik betul. Tapi ada ramai orang and its not OK kalau belon ni terkena muka orang. Abang boleh cuba pegang belon ni elok-elok. Tapi, kalau dah terkena orang, abah akan ambil belon ni dan tolong abang pegang supaya kita tak sakitkan orang”
…ada?
Jangan Mneggugut Anak
Paling saya tak gemar ialah bila mendengar mana-mana mak ayah mengugut untuk tinggalkan anak mereka bila si anak ada buat salah. Saya bukan pakar psikologi kanak-kanak dan tak arif nak bercakap panjang tentang hal ini. Tapi setakat yang saya sempat baca dan dengar, saya cukup yakin bahawa perbuatan mengugut atau acah-acah untuk meninggalkan anak sangat tak patut.
Sudahlah menipu anak (mana ada mak ayah yang ugut nak tinggal anak ini akan benar-benar tinggalkan anak mereka. Ramai yang setakat berani cakap saja ), perbuatan tersebut juga bakal kocak emosi anak lebih lagi, terutamanya bila selalu di sebut ketika anak membuat salah atau enggan turut kata ibu ayah.
Tentulah mereka ketakutan atau cemas kerana dah buat silap, perasaan itu kini di tambah pula dengan rasa takut bakal di tinggalkan. Maka tak hairan selalunya amukan atau drama anak jadi lebih besar dari sedia ada.
Ia sampaikan mesej bahawa anak hanya diingini ketika baik dan dia boleh di buang pada bila-bila masa ketika ibu ayah merasa tak gembira dengan mereka atau dengan mana-mana perbuatan mereka.
Sampaikan mesej kepada anak bahawa hubungan mesra dan penuh sayang itu berakhir ketika mereka buat salah. Bahawa mereka bersendirian dan hanya ada diri mereka saja bila keadaan elok bertukar rupa.
Ia buat anak takut untuk terbuat salah , takut nak mengaku salah, takut nak jujur dengan emosi sendiri, takut nak bercakap benar dan takut nak berkongsi masalah kerana takut ditinggalkan oleh orang-orang yang dia percaya dan sayang.
Pilih Untuk Berlembut
Tujuan saya menulis kisah ini walau telah berlalu adalah kerana saya masih tak dapat nak hilangkan imej kejadian tersebut dari dalam minda saya.
Ya kita semua termasuk saya ada dan pernah buat silap dengan anak-anak. Dan kita akan terus terbuat silap dalam langkah kita semasa menjadi ibu bapa mereka.
Namun yang pasti, kita tak mahu kehilangan mereka walau berapa banyak silap langkah yang kita buat dalam usaha menjadi ibubapa terbaik buat mereka.
Maka, pilihlah untuk mudah maafkan anak- anak.
Pilihlah untuk berlemah lembut dengan mereka sebelum memilih untuk berkeras.
Mereka buat silap, sama seperti kita ibubapanya dan orang di sekelilingnya. Maka, mereka layak dihormati walau ketika sedang membuat silap, sama seperti kita mengharap orang melayani kita walau ketika kita terbuat silap.
Mingguan Wanita : Selalu beginilah, mak ayah depan orang boleh berlembut tapi bila dengan anak terus bertukar jadi garang. Maafkan anak, dia masih kecil dan dalam proses pembelajaran.
Hidup berumahtangga sememangnya banyak dugaan. Bagi mereka yang tidak mampu menghadapi akhirnya rumahtangga kecundang. Begitu juga yang terjadi kepada Roslan. Dalam usia 45 tahun dia tidak menyangka dirinya akan hidup sendirian tanpa Syuhada (isteri) dan anak-anak. Malah dia tidak menyangka pertemuan dengan seorang janda yang bernama Zaitun, membuatkan ikatan perkahwinan yang dibina bersama Syuhada selama 25 tahun berakhir begitu saja. Syuhada pula seorang isteri yang cukup setia dan begitu mempercayai suami kesayangannya. Namun wanita ini reda dengan kejadian yang berlaku dan menganggap jodoh bersama Roslan hanya setakat di situ. Walaupun pada awalnya Syuhada sukar menerima hakikat dan sering menangis namun hatinya cukup kental mengenangkan anak-anak.
Semuanya bermula ketika Roslan singgah di warung milik Zaitun. Sebagai seorang pemandu lori, makan dan minum Roslan sememangnya sukar Syuhada jaga. Keluar saja dari rumah dia akan menikmati hidangan tengahari dan minum petang di mana-mana gerai yang dilalui sepanjang perjalanan untuk menghantar barang. Hinggalah pada satu hari ketika menghantar barang di Kuala Pilah, Roslan berhenti seketika untuk menjamu selera di sebuah warung yang terletak di bahu jalan.
Ketika itulah dia bertemu degan Zaitun. Sememangnya pemilik kedai ini seorang yang cukup ramah apatah lagi Zaitun jua seorang yang cantik. Bak kata orang tak jemu mata memandang. Sempat juga Roslan berbual-bual dengan Zaitun sebabnya makanan tengahari yang disediakan cukup sedap terutamanya Daging Salai Cili Padi.
Keesokan harinya Roslan singgah lagi ke warung Zaitun, ternyata dia tidak jemu menikmati hidangan di situ. Ketika itu Roslan sempat menukar nombor telefonnya dengan Zaitun.
Apabila pulang ke rumah, isteri Roslan, berasa cukup hairan apabila melihat suaminya sentiasa memegang telefon bimbit. Dia tidak pernah melihat Roslan begitu ralit dengan telefon. Apabila ditegur, Roslan naik berang dan memberi amaran kepada Syuhada agar jangan sibuk dengan urusannya. Malah anak-anak mereka juga cukup hairan dengan perubahan sikap Roslan.
Melempias Nafsu Serakah
Apabila duduk di rumah Roslan tidak senang duduk. Dia sentiasa teringatkan Zaitun. Malah ketika cuti Roslan sempat bertemu dengan Zaitun. Hubungan mereka semakin hari semakin rapat. Manakala isterinyanya pula dapat menghidu kecurangan suaminya.
“Abang saya tengok awak lain macam saja sekarang ni. Keluar rumah pun pakai minyak wangi bagai. Awak dah kenapa dah buang tabiat ke? Atau awak ada perempuan lain ni?” tanya Syuhada.
Setiap pertanyaan isterinya itu tidak dibalas. Roslan hanya berdiam diri. Malah dia juga tidak seperti dulu, jangan berbual-bual dengan Syuhada.
Di dalam fikirannya hanya teringat akan Zaitun. Sehinggalah pada satu malam, Roslan membawa Zaitun keluar makan. Selesai menikmati makanan, Roslan dan Zaitun terus ke sebuah hotel murah. Mereka berdua melempiaskan nafsu serakah di hotel tersebut.
Keesokan harinya barulah Roslan pulang ke rumah. Sampai saja di rumah Syuhada bertalu-talu tanyakan soalan ke mana suaminya itu tidur. Seperti biasa Roslan hanya berdiam diri.
Segalanya terbongkar apabila Syuhada menemui resit hotel dan dia mengesyaki suaminya itu menjalin hubungan sulit dengan wanita lain.
“Baik abang jelaskan. Kita ni dah tua bang. Tak malu ke buat perangai,” tanya Syuhada.
“Apa awak ni merepak,” jawab Roslan.
“Saya, awak katakan merepek. Abang tak payah sorok lagi ni resit hotel. Abang menginap dengan perempuan tu kan. Saya tahu kemana abang pergi. Saya dan anak kita mengintai awak selama ini. Awak berkenan sangat dengan si janda Zaitun tu kan. Kalau awak angaukan dia baik abang lepaskan saya. Tak ada gunanya ada laki macam awak ni, buat maksiat,” jerit Syuhada.
Roslan yang tidak tahan dengan pertanyaan Syuhada terus menampar muka isterinya itu. Lantas Roslan juga melafazkan talak satu.
Syuhada berasa cukup sedih dengan apa yang berlaku. Walaupun diceraikan namun Syuhada tidak mahu berganjak dari rumah tersebut dan meminta Roslan keluar tinggal di tempat lain. Roslan bersetuju dengan cadangan Syuhada dan dia terus melangkah keluar untuk mencari kebahagiaan dengan wanita yang dicintainya.
Kekasih Bersama Jantan Lain
Roslan terus ke rumah Zaitun. Namun dia berasa cukup terkejut apabila mendapati ada seorang lelaki membuka pintu rumah kekasih hatinya itu. Lelaki tersebut yang sama usia dengan Roslan memanggil Zaitun yang berada di dalam bilik.
“Ya sayang tunggulah nak pakai baju ni,” kata Zaitun. Apabila melihat ke luar alangkah terkejutnya Zaitun melihat kelibat Roslan.
“Ini rupanya kelakuan kau ya, aku ingatkan kau setia. Sehingga aku sanggup ceraikan isteriku. Rupa-rupanya kau perempuan sundal. Tergamak kau lakukan sebegini pada aku,” jerit Roslan.
Sejak kejadian itu, Roslan tidak ada arah tujuan hidup. Dia mahu pulang ke pengakuan isterinya namun dia risau tidak diterima. Malah Roslan juga malu pada yang Esa keraan sanggup melakukan dosa besar. Segalanya sudah berakhir namun Roslan akur dengan takdir yang menimpa dirinya.
Kini dia memberi fokus kepada pekerjaan dan sering ke surau. Dia tidak mahu lagi menjadi manusia lalai dan melakukan dosa. Dia bertekad mahu berubah dan akan pulang ke rumah ke pangkuan Syuhada dan anak-anak. Cuma dia mahu memberi masa kepada Syuhada agar dapat menerima dirinya semula.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Doa ibu dan jaga hati isteri, rahsia lelaki menang 3 biji kereta dalam setahun. Dalam dunia peraduan, ramai percaya kemenangan ditentukan oleh nasib dan...