Anak-anak perlu mengamalkan adab-adab yang baik bukan hanya kepada ibu bapa, tetapi juga kepada sesiapa saja, termasuklah segala perkara di sekeliling mereka.
Walaupun ia tidak berunsur akademik, nilai kesopanan ini adalah tunjang kejayaan menjadi seorang yang bijaksana.
Tetapi kita perlu juga menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka. Malah ada yang berpendapat tidak guna bijak jika tidak beradab.
Menurut Pakar Keibubapaan dan Ilmu Menguruskan Anak-Anak, Puan Saleha Idris, Anak-Anak Perlu Dibentuk Ikut Acuan Sesuai Dengan Diri Mereka.
IKLAN
“Pada pendapat saya, cara didikan itu terpulang kepada ibu bapa itu sendiri . Ada ibu bapa harini yang mendidik anak untuk mempunyai disiplin yang tinggi, tidak kira dari segi akademik mahupun sahsiah dan sebaliknya. Anak-anak ini pelu dibentuk mengikut acuan sesuai dengan diri anak, memaksa dalam mendidik bukan jalan yang terbaik cuma kalau perlu dipaksa, gunakan cara dan konsep yang betul.
“Kalau orang lama, mendidik anak supaya menjadi manusia berguna, mereka akan merotan atau menggunakan tali pinggang dan seumpanya, tetapi cara sebegitu untuk dilakukan sekarang agak kurang sesuai kerana kehidupan anak-anak sudah dikelilingi dgn ‘bayangan-bayangan’ hidup yang indah-indah sahaja.
“Kita tidak boleh memandang perkara ini sebagai masalah yang datangnya dari ibubapa. Pada hari ini, memang yang bekerja bukan sahaja bapa tetapi juga ibu kerana mereka perlu mencari rezeki utk menyara keluarga dan anak-anak. Tetapi disini perlu di jelaskan bahawa, sebuah keluarga yang aman damai, ibu bapa itu sendiri perlu ada masa untuk keluarga. Bukan balik kerja terus masuk bilik tidur, sekurang-kurangnya ambil masa sedikit untuk lihat keadaan anak itu macam mana, sihat ke tidak, dah makan ke belum ? Dan sebagainya.
IKLAN
“Senario seperti kurang adab ini juga boleh dilihat dalam kalangan anak-anak yang ibubapa disiplinnya tinggi, kenapa saya kata begitu? Kerana apabila ibu bapa terlalu memaksa anak untuk menjadi seorang bijak pandai, mereka terlupa untuk menerapkan sikap-sikap beradab pada diri anak-anak. Itu yang boleh ada keluar dalam akhbar “pelajar sekolah maki cikgu” / “anak tendang bapa” dan lain-lain.
PERLU ADA SIKAP HORMAT MENGHORMATI
“Sebagai ibu bapa dan orang tua. Kita adalah role model kepada anak-anak kita, kalau kita boleh tunjuk rasa hormat kita pada manusia, anak juga akan ikut sikap kita. Tidak kira di mana-mana pun dan bila-bila masa, sikap hormat menghormati ni juga dituntut dalam Islam, bagaimana mungkin kita nak suruh anak hormat kita sedangkan kita sendiri tiada sikap itu .
“Mengenal. Kita perlu kenal anak kita siapa, siapa dirinya, sikap dia bagaimana, perlu dididik dgn acuan apa ? Kalau acuan donat (caranya mengikut peredaran masa kerana donat itu bulat dan perlu diterap konsep-konsep yang betul dan buang pekara-perkara negatif). Kalau kuih lopis (ada kuahnya, bentuknya agak bersegi. Bermakna ibu bapa tidak perlu tergopoh gapah dalam mendidik anak-anak, beri sedikit pemanis kata agar anak dapat dibentuk dengan sebaiknya) dan lain-lain acuan.
IKLAN
JANGAN INGKAR JANJI DENGAN ANAK-ANAK
“Sebagai seorang ibu bapa anda mahu utamakan pendidikan yang macam mana? Akademik dahulu atau sahsiah? Mengikut cara siapa? Utamakan hal anak-anak atau hal di tempat kerja?
“Kita laksanakan apa? Laksanakan tanggungjawab kita sebagai ibubapa pada anak-anak. Mengabaikan tanggungjawab bukanlah cara ibu bapa yang bijak, malah boleh menyakiti hati anak-anak itu sendiri. Contohnya, sekiranya sudah berjanji untuk makan bersama, laksanakanlah. Anak-anak mudah untuk terasa sekiranya janji-janji itu datangnya langsung dari ibu bapa dan ibu bapa tidak menepati janji-janji itu.
“Teruskan buat langkah-langkah mula ini, dan terapkan sebaik-baiknya dalam diri ibu bapa dan juga anak-anak. Apa yang diamal sedikit sebanyak akan membantu dalam membahagiakan sebuah keluarga. Macam kita solat, ada rukun-rukun sah nya. Kalau kita amalkan setiap hari mengikut tertib InsyaAllah tiada masalah juga untuk kita amalkan sikap-sikap yang positif dalam mengajar anak-anak untuk lebih beradab di masa akan datang.”
Assalamualaikum puan. Sebenarnya masalah yang saya ingin kongsi ini adalah berkenaan dengan sahabat baik saya, M, yang relakan dirinya ‘disimpan’ lelaki kaya demi menanggung kekasihnya. Manakala kenali saya sebagai K.
Saya dan M sebaya, berasal dari satu kampung, di sebuah negeri di pantai timur. Kami mula rapat sejak di tingkatan dua. Mak M dah lama meninggal dunia, sejak usianya 10 tahun dan dia dijaga oleh ayahnya. Sebelum menduduki SPM, ayahnya pula meninggal dunia akibat kemalangan maka M hilang tempat bergantung.
Yatim Piatu
Sebenarnya M seorang pelajar yang cemerlang namun kematian ayahnya memberi impak besar pada dirinya hingga dia tiada lagi semangat untuk berjaya. Saya tahu segala kisah suka dukanya dan menjadi tempatnya meluahkan perasaan. Keluarga saya juga banyak membantunya, mana yang kami termampu.
Dipendekkan cerita, selepas SPM, saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej manakala M tidak menyambung pelajarannya. Hubungan kami renggang kerana masing-masing membawa haluan sendiri.
Kami jarang jumpa kerana dia sudah tak balik ke kampung sejak bekerja. Universiti tempat saya belajar pula berlainan dengan negeri tempatnya bekerja. Hanya sesekali kami berbual menerusi telefon kerana M tak ada FB atau IG.
Kembali Rapat
Selepas tamat pelajaran, saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat di KL dan meminta pertolongan M yang memang tinggal di sana. Dia yang carikan rumah sewa untuk saya. Pernah saya tanya, tak bolehkah saya menyewa bersamanya, tapi dia memberi alasan dia tinggal di nurseri tempatnya bekerja.
Jika ada masa terluang, kami akan keluar bersama dan biasanya M yang akan datang ambil saya di rumah dengan kereta miliknya. Hairan juga saya kerana melihatkan kereta yang M pakai bukan murah, kereta jenama luar negara. Takkan dengan gaji guru tadika dia boleh pakai kereta sebegitu? Tapi saya bersangka baik, mungkin dia ada kerja sampingan lain.
Kekasih M
Satu hari saya diperkenalkan dengan seorang lelaki yang merupakan kekasih M. Orangnya memang handsome tapi kali pertama bersua, saya tidak menyukai lelaki itu. Saya dapat rasakan dia tidak ikhlas terhadap M. Pandangan matanya juga menakutkan saya. Tapi saya dapat rasakan M benar-benar sayangkan lelaki itu.
Pada satu kesempatan, saya mengajak M bermalam di rumah sewa kerana kebetulan waktu itu tiga rakan serumah pulang kampung. Ketika itu saya cuba selidik tentang teman lelaki M. Dia mengakui, lelaki itu sangat dicintainya dan dia sanggup berkorban apa demi lelaki itu. Malah, kepada lelaki itulah yang diserahkan kehormatan dirinya. Terperanjat besar saya dibuatnya. Tak sangka M sejauh itu.
Tanggung
Lebih membuat saya terkejut, M mengakui, dia yang menanggung teman lelakinya itu yang masih belajar di sebuah kolej swasta. Paling membuat saya tak percaya, M mengaku demi untuk mendapatkan wang lebih, dia sanggup menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki kaya kerana ingin memberikan kemewahan kepada teman lelakinya itu! Mengucap panjang saya mendengarnya.
Sebagai sahabat, saya hanya mampu menasihati tapi saya tak mahu terlalu berkeras dengannya kerana cara itu akan membuatkan dia lagi jauh daripada saya.
Puan, saya sayangkan M dan anggap dia seperti adik-beradik kandung. Saya kasihankan dia yang sanggup merosakkan diri kerana seorang lelaki yang tak ikhlas cintakan dia. Saya berani katakan begitu kerana dalam diam, teman lelaki M pernah cuba menggoda saya!
Saya juga risau kalau lelaki kaya yang membela M tahu akan tembelang M, sesuatu yang buruk akan terjadi pada M pula. Bagaimana caranya saya boleh lakukan untuk membantu sahabat saya ini keluar daripada maksiat itu dan menyedarkan dia bahawa teman lelakinya itu hanya mempergunakan dia demi duit saja? Nak berkongsi dengan mak ayah saya, takut merek tak dapat terima keadaan M dan mungkin akan minta saya jauhi M pula…
Cik K, Putrajaya.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Saudari adalah antara orang yang memelihara hubungan dalam persahabatan. Malah persahabatan yang saudari jalinkan sejak kecil hingga menganggapnya seperti adik beradik sendiri adalah tindakan yang mulia. Saya memahami bagaimana saudari mahu agar sahabat saudari kembali ke pangkal jalan, tidak lagi bergelumang dengan dosa dan membiarkan diri dipermainkan lelaki.
Untuk membawa insan lain ke jalan yang diredai Allah bukan suatu yang mudah. Sebagai insan yang ingin membantu insan lain, saudari hanya berusaha, yang akan menentukan dia berubah adalah hidayah dari Allah. Maka, kesabaran perlu ada untuk membawa insan lain kembali ke jalan yang diredai. Mungkin beberapa tip ini boleh membantu saudari untuk membantu rakan saudari.
Pendekatan
Pertama, anggap saudari membantunya sebagai ikhtiar untuk dia berubah, hanya Allah yang mampu mengubahnya dengan usaha saudari dan usahanya sendiri.
Kedua, dekatinya dengan santun. Dengar apa yang diluahkan. Saudari boleh jadi pendengar yang setia. Cuba lihat adakah cara berceritanya ada sedikit penyesalan tetapi tidak tahu nak atasi macam mana atau berbicara itu tanpa ada menyesal pun dengan apa yang dilakukannya.
Cara mendekatinya mungkin sedikit berbeza. Jika tidak nampak bunga-bunga penyesalan, cara dekatinya agak berbeza. Pendekatan saudari perlu dengan cara tanya persoalan-persoalan tentang erti kehidupan, biar dia menjawab soalan itu. Nasihat tidak sangat memberi kesan.
Persoalan Dan Jawapan
Beberapa soalan yang boleh tanya bergantung kepada dua keadaan yang saya nyatakan di atas. Antara soalan-soalan yang jika dia tidak nampak rasa penyesalan boleh ditanya seperti berikut:
1. Apa tujuan hidup kita?
2. Kenapa kita dilahirkan?
3. Ke mana destinasi akhir kita?
4. Adakah apa yang M lakukan itu diterima Allah? Diredai oleh ibu bapa M yang telah mati?
5. Bagaimana ibu bapanya yang telah mati. Adakah jika mereka hidup mereka suka cara hidup M begitu?
6. Bayangkan jika M jadi ibu dan anak M jadi seperti M sekarang, apakah yang M rasa?
7. Dan beberapa persoalan yang saudari rasa sesuai ditanya yang boleh menimbulkan kesedaran kepadanya untuk kembali ke jalan Allah.
Beri masa dan ruang padanya untuk menjawab soalan-soalan itu. Malah jika ditulis adalah lebih baik. Jawapannya mesti ikhlas datang daripadanya.
Jika nampak ada sedikit penyesalan dan dia mahu berubah, tetapi buntu bagaimana ingin berubah maka antara soalan-soalan yang boleh ditanya:
1. M benar-benar mencintai K (katakan kekasihnya). Adakah K setia padanya? Jika ditakdirkan K menjadikan orang lain dalam hidupnya apa M akan buat?
2. M sedar atau tidak bahawa K hanya mengambil kesempatan terhadapnya?
3. Sampai bila M akan berterusan begitu. Jika K2 (orang kaya yang menyaranya) dapat tahu apa agaknya akan berlaku?
4. M mahu berubah atau tidak daripada cara hidupnya sekarang? Mengikuti cara hidup yang lebih baik mengikut landasan agama? Jika jawapannya Ya, maka saudari perlu pandu soalan-soalan bagaimana atau apa langkah-langkah yang dia perlu buat.
5. Jika masih belum bersedia, tanyakan soalan-soalan yang boleh menyedarkan dirinya bahawa apa yang dilakukan sebenarnya amat merugikan dirinya.
Ingatkan Dia Tentang Solat…
Dekati dia dengan santun dan sering ambil berat terhadapnya. Perlahan-lahan beri dia ilmu keagamaan yang membawanya kepada kehidupan sebenar. Selalu hadiahkan sesuatu, walaupun kecil tetapi tanda ingatan. Selepas hadiah berbentuk ini, hadiahkan buku agama, telekung dan sejadah agar tanda saudari menyayanginya kerana Allah.
Bila saudari bersamanya, sedaya mungkin cuba ajak dia solat sekali, membaca ayat-ayat Allah mana yang dia tahu. Sering ingatkan dia tentang solat. Jika mampu sering ingatkan dia jangan tinggal solat. Walau buat maksiat pun sekali-kali jangan tinggal solat, yang ini selalu memperingatkan dia. Jika dia berkata, “aku buat maksiat, buat apa solat, Allah tentu tak terima”. Katakan bahawa Allah itu Maha Pengasih..Maha Pengampun…solatlah walaupun bergelumang dengan dosa. Itu pesanan yang saudari berikan padanya. JANGAN TINGGAL SOLAT.
Mohon Pertolongan Allah
Seterusnya, sering-seringlah menghantar artikel atau kata-kata melalui whatsapp yang mengajak kepada kebaikan dan kehidupan yang diredai Allah. Berbicara yang paling baik dengannya tentang erti kehidupan yang sebenar dan diredai Allah. Teruskan mengajaknya kepada kebaikan.
Saudari sendiri perlu banyakkan solat memohon Allah mengampunkan dosanya. Dan saudari perlu yakin bahawa Allah akan bantu saudari untuk membantunya jika saudari juga kuat solat dan selalu berdoa agar Allah lembutkan hatinya dan membawanya pulang ke jalan yang diredai Allah.
Moga sedikit panduan ini dan kegigihan saudari membantu membawanya pulang ke jalan Allah diperkenankan Allah.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, juga penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selepas melahirkan anak, pemilihan pemakanan yang betul sewaktu tempoh berpantang adalah penting bagi mempercepatkan pemulihan luaran dan dalaman. Berikut antara amalan pemakanan yang perlu diambil oleh mak-mak selepas bersalin yang dikongsikan Kak Engku Bidan Bersalin yang merupakan Ketua Jururawat serta Bidan Kerajaan Berdaftar, sebagai rujukan;
Apa yang dimakan semasa tempoh berpantang akan mencerminkan kesihatan kemudian hari. Oleh itu, mak-mak perlu mengetahui amalan pemakanan yang betul semasa menjalani tempoh berpantang.
Pemakanan antara aspek yang amat penting dalam rawatan semasa pantang bersalin. Keperluan ini perlu diutamakan kerana proses kehamilan telah mengganggu kesimbangan hormon dalam badan. Jika tidak dikawal dan dijaga pemakanan dalam tempoh berpantang, mak-mak akan mengalami pelbagai masalah kesihatan yang akan mengganggu penyembuhan dalaman dan luaran.
Minggu Pertama Berpantang
Lazimnya pada awal minggu pertama, digalakkan makan makanan yang kering untuk tujuan mengecutkan rahim. Pastikan waktu makan anda tepat untuk mengelak perut masuk angin. Jika anda mengambil nasi, makan semasa nasi masih panas dan ambil dalam kadar yang sederhana.
Jangan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak dalam satu masa. Jika masih lapar,boleh makan secara kerap. Untuk minum petang pula, anda boleh makan biskut tinggi serat (elakkan mengambil roti kerana kandungan yis yang tidak elok untuk proses pengecutan rahim).
Minggu Kedua Berpantang
Apabila memasuki minggu kedua dan seterusnya, sudah boleh mulai makan makanan yang berkuah seperti sup ikan, sup sayur dan buah-buahan supaya mendapat khasiat yang seimbang dalam pemakanan.
Semasa dalam pantang juga makanan yang dilarang makanan adalah bersifat sejuk, berangin, gatal dan berbisa. Minuman berais tidak dibenarkan. Ini adalah antara amalan pantang larang yang mesti dialukan semasa berpantang untuk menyembuhkan dan menyegarkan kembali badan selepas menjalani proses bersalin.
1.Elakkan Makanan Berlemak
Semasa berpantang kuantiti dan kualiti makanan yang diambil akan memberi impak besar terhadap berat badan dan kesihatan. Jadi, dilarang untuk mengambil makanan yang boleh menggemukkan sewaktu berpantang. Disyorkan mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan ulam-ulaman di samping masakan yang menggunakan pelbagai jenis rempah ratus yang terbukti dapat memulihkan kesihatan dan mengurangkan masalah berat badan yang anda alami ketika ini.
2.Melancarkan Proses Penghadaman
Halia dipercayai memiliki sifat panas dan kering. Sekiranya anda kerap mengambil makanan yang mengandungi banyak halia sepanjang berpantang, anda sebenarnya telah membantu diri untuk memecahkan angin, menghilangkan sejuk badan dan melancarkan proses penghadaman.
3.Atasi Masalah Kemurungan
Salah satu jenis ulam-ulaman yang terkenal di kalangan ibu berpantang ialah daun pegaga. Daun ini disifatkan sebagai tonik saraf kerana fungsinya yang membantu merehatkan dan menambahkan ingatan. Antara kelabihan lain yang ada pada daun pegaga ialah ia dapat mengatasi kemurungan yang mungkin timbul disebabkan oleh masalah fizikal selepas bersalin.
4.Pembuang Angin
Bagi masyarakat india, sayur sawi menjadi keutamaan bagi wanita india yang berpantang. Ini kerana pengambilan sayur sawi bertujuan untuk membuang angin. Sebaik-baiknya sayur ini dicelur terlebih dahulu dan dimakan bersama nasi panas.
5.Penambah Pengeluaran Susu
Pengambilan peria, pegaga, lobak putih dan cekur manis oleh ibu berpantang dapat mengatasi masalah kesukaran membuang air besar dan menambah penghasilan susu ibu. Sekiranya kerap diamalkan ia dapat membersihkan dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh.
6.Kecantikan Wajah
Dalam usaha mengekalkan kesegaran tubuh, makanlah ikan haruan dan tenggiri sebagai makanan tambahan (boleh dibuat sup). Selain dapat melicinkan dan menegangkan kulit tubuh, ia membantu menyembuhkan luka dalaman dan luaran tubuh. Ia terjadi hasil daripada kandungan asid amino dan lemak yang ada pada kedua-dua jenis ikan ini. Apa yang lebih menarik ialah daging ikan-ikan ini yang bebas kolesterol akan membuatkan wajah kelihatan lebih berseri.
7.Lawas Buang Air Besar
Dengan mencampurkan perahan air asam jawa ke dalam sebarang jenis hidangan ibu berpantang, ia dapat memudahkan anda untuk membuang air besar selain daripada menyegarkan tubuh.
8.Hindari Kembung
Seelok-eloknya setiap hidangan dimakan bersama nasi putih yang baru sahaja dimasak. Tujuannya ialah untuk memastikan khasiat dan kesegarannya berkekalan. Oleh itu, elakkan daripada memakan nasi sejuk kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kembung perut.
9.Minuman Penambah Tenaga
Bagi mengembalikan semula tenaga tubuh, digalakkan untuk minum air rebusan serai (dititik), halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Dengan meminum air rebusan ini setiap pagi dan malam, badan akan kembali menjadi ringan dan tambah bertenaga.
10.Caesarean : Kurangkan Lada Hitam
Tujuan utama penggunaan lada hitam dalam penyediaan masakan ibu berpantang ialah untuk memanaskan badan. Namun yang demikian, bagi ibu berpantang yang melahirkan anak secara ceaserean, anda kurang digalakkan untuk mengambil lada hitam dalam kuantiti yang banyak.
11.Anti Oksidan
Terdapat pelbagai jenis ulaman berkhasiat yang sesuai dimakan semasa berpantang antaranya daun pegaga, cekur, pucuk mengkudu, ulam raja, kunyit hidup, daum kesum seta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan untuk menyegarkan dan membuang toksin dalam badan.
12.Pengambilan Cecair
Wanita selepas bersalin tidak dibenarkan mengambil air dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan perut menjadi buncit, peranakan kembang, melambatkan pengecutan rahim, faraj mudah longgar serta berair terutama jika minum air sejuk atau air batu. Pengambilan air dibenarkan secara kerap tetapi dalam jumlah yang sedikit dalam satu masa. Air penting untuk proses penyembuhan dan mengalakkan pengeluaran susu ibu.
13.Pemakanan Ikan
Makan ikan segar dan tidak gatal seperti haruan dan ikan sardin yang segar (bukan dalam tin). Ikan haruan juga dipercayai dapat memulihkan luka luaran dan dalaman (bersalin caesarean). Elakkan juga ikan berbisa dan gatal seperti ikan kembung, cencaru, tongkol, bawal hitam, terubuk dan parang. Kesannya menyebabkan kegatalan, timbulnya reaksi alahan dan boleh menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
14.Pengambilan Sayuran Dan Buahan
Setiap buah-buahan pula, ia mempunyai khasiat tersendiri antaranya buah oren yang mengandungi banyak vitamin C yang membantu pemyembuhan luka disamping fiber untuk melawaskan air besar. Manakala elakkan makan sayuran menjalar, sejuk dan berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, bayam, kacang panjang, petola, petai, jering dan terung.
Minuman seperti tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, nangka, cempedak dan pisang nangka, antara minuman jenis yang sejuk dan tajam. Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi.
15.Kecutkan Rahim
Kunyit yang sering diminum sebagai jamu terutamanya oleh ibu yang berpantang berupaya mengecutkan rahim dan mencuci darah. Selain itu, jika kunyit dimakan bersama nasi selama 40 hari, anda mampu mengembalikan kecergasan tubuh dan menyembuhkan luka dalaman.
“Errr… doktor, malulah saya nak cakap. Tapi kali ni dah tak tahan sangat, sebenarnya saya ada buasir! Sekarang dah makin teruk, macam mana ni…”
Serius, ibu hamil pasti akan mula gelisah kalau tahu ada lebihan daging bahagian dubur. Sakitnya usah dikata, ada kala berdarah dan gatal teramat ketika meneran semasa membuang air besar dan sembelit terjadi. Ya, itulah buasir.
Pembahagian buasir terjadi di luar dalam dan mempunyai simptom yang berbeza.
Buasir dalaman
Salur darah vena yang bengkak di lapisan dalam rektum. Ibu akan mengadu terdapat pendarah selepas membuang najis tanpa kesakitan. Ada juga ibu akan terasa seperti daging yang terkeluar dari dubur selepas membuang air besar. Daging ini mungkin hilang sendiri atau ada juga yang perlu menolak balik ke dalam.
Buasir luaran
Salur darah vena di bahagian bawah kulit luar dari dubur. Pesakit akan mengadu sakit, berdarah, gatal atau bengkak semasa membuang air besar. Kesakitan akan dirasai seseorang itu mungkin berbeza. Ada ibu yang mungkin merasa sedikit tidak selesa, tetapi ada juga yang merasa panas atau amat pedih.
Inilah Punca Buasir
1. Masalah bengkak urat pada bahagian dubur. Penghidap akan rasa tidak selesa sepanjang masa.
2. Buasir memang sering terjadi semasa hamil. Sesetengah ibu mengalami masalah ini ketika hamil buat pertama kali. Jika ibu pernah mengalaminya ketika belum hamil, besar kemungkinan masalah ini akan berulang semasa hamil.
3. Ibu cenderung untuk mendapat buasir akibat pengaruh hormon semasa hamil. Dinding dan injap urat yang berada di sekitar dubur menjadi tegang. Pengaliran darah menjadi perlahan lalu mengakibatkan urat saraf bengkak dan berdenyut.
4. Saiz kandungan yang semakin membesar turut menjadi penyumbang kepada masalah ini. Tekanan yang diberi oleh kandungan terhadap saraf-saraf sekitar pelvik menyebabkan pengaliran darah menjadi perlahan.
5. Akibatnya saraf membengkak. Masalah lazim yang dialami oleh ibu hamil akan rasa penuh pada bahagian dubur, gatal, sakit ketika membuka dubur dan ada kalanya berdarah.
Cara Elak Buasir
1. Letakkan pek ais (yang lembut) pada bahagian yang bermasalah beberapa kali sehari. Ais dipercayai dapat membantu menghilangkan bengkak dan rasa tidak selesa.
2. Rendam punggung ibu dalam air suam.
3. Bersihkan kawasan yang bermasalah dengan tisu lembut tanpa haruman. Ibu juga boleh gunakan tisu pelembap atau tisu berubat yang dibuat khas untuk masalah buasir.
4. Ibu juga boleh dapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor.
Jom, Rawat Sebelum Terlambat…
1. Ambil makanan yang kaya serat dan minum banyak air untuk mengelak sembelit.
2. Semasa mengembangkan usus, cubalah untuk bertenang dan jangan meneran.
3. Kerap melakukan senaman pelvik dapat membantu meningkatkan peredaran darah pada kawasan tersebut.
4. Minum air dengan banyak untuk mengelak sembelit. Ia membantu najis menjadi lembut.
5. Jangan duduk terlalu lama. Jika di tempat kerja, berehat seketika dengan berjalan-jalan selepas duduk untuk satu tempoh yang lama.
6. Kalau ibu berada di rumah, baring secara mengiring semasa tidur, membaca ataupun menonton untuk mengurangkan tekanan pada bahagian usus dan meningkatkan peredaran darah pada bahagian bawah badan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
"Nahas helikopter TLDM, individu komen biadap "askar lain semua mati masa perang..." Di sebalik nahas dua helikopter semasa raptai sempena hari Tentera Laut DiRaja...