Malam tadi kita semua menjadi saksi peristiwa terpenting dalam sejarah negara. Kemenangan Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 menandakan ‘ayahanda dan bonda’ bakal kembali, sekaligus membuatkan ramai mak mak menarik nafas lega secara tiba-tiba.
Saya pun merasa excitement yang sama. Agak panjang doa saya menjelang Subuh tadi. Tak lupa saya kirimkan ummul kitab Al-Fatihah buat dua warga emas ini, kerna sayang pada mereka serasa macam ibu bapa kandung pula. Apabila melihat wajah Tun di kaca TV, rasa macam nak ‘throwback’ kenangan manis ni sebagai iktibar bersama.
Angin Putrajaya tiba-tiba sejuk walaupun matahari terik menggigit ubun-ubun. Hari tu saya tiba di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana dengan satu perasaan aneh. Entah bangga, atau berdebar, demi Allah saya tak tahu.
Itu perasaan paling indah untuk saya. Tanggal 14 Mac, dua tahun lepas. Sewaktu saya belum ditugaskan menerajui Mingguan Wanita dan masih berkhidmat untuk majalah Nona bagi melahirkan cover depan eksklusif bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sempena edisi Ramadan 2016.
Tugasan saya adalah menemu bual bonda Tun Siti, sementara Editor Nona iaitu Kiffy Razak bersama Tun Mahathir. Kesempatan hari kemenangan ini, izinkan saya mengimbau terowong memori, mengenang kembali kenangan bersemut itu dengan semua pembaca Mingguan Wanita yang disayangi.
Mereka Adalah #RelationshipGoals Kita
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya saya. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambah rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu.
62 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda.
“Bagi saya, dia macam orang biasa jer. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 92 tahun.
Ads
“Nanti Orang Tak Faham Kita Melawak”
Sambung beliau lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Tapi pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan melucukan.
“Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki.
Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan supaya nampak natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di matanya. Pernah beberapa kali saya cuba suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri baju yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
“Orang Tak Tanya Harga Perhiasan Mutiara”
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya.
Ads
“Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh.
Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Jarang Dapat Jenguk Anak-Anak
Bercerita lanjut tentang keakraban pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk saya gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram.
Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu,” cerita beliau sambil tersenyum.
Ads
“Dalam keluarga, kami tak amalkan favoritism langsung. Kasih sayang kami sama rata untuk semua anak-anak, menantu dan cucu. Saya selalu berpesan, jagalah silaturahim dengan sebaik-baiknya. Sentiasa pelihara hubungan antara suami isteri dan adik-beradik. Penuhkan hidup ini dengan kasih sayang, insyaAllah terjamin kebahagiaan,” ucap Tun Dr. Siti Hasmah.
“Saya Tahu Orang Sayang Pada Dia”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him.
“Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal saya penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat.
Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat peribadi, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,”ulasnya.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” akhiri Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Begitulah antara intipati perkongsian yang saya tulis dalam majalah Nona edisi Jun 2016 lalu. Sesungguhnya keseluruhan isinya adalah lebih panjang dan menyentuh hati, tapi cukuplah kali ni kita sentuh tentang kisah bonda seorang. Boleh baca versi penuh dalam majalah Nona, ada amanat Tun dan anakanda Datin Paduka Marina Mahathir yang lebih padu. Sehingga kita berjumpa lagi!
Salam sayang dari Editor Mingguan Wanita,
Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Memilih pasangan hidup bukanlah sesuatu yang mudah dan hanya ‘petik jari’. Sudah tentu, lelaki atau perempuan inginkan pasangan yang bijak dan menjadikan keluarga no satu.
Perumpamaan yang selalu kita dengar, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Malah, lelaki yang ingin perempuan untuk dijadikan isteri tentulah yang bijak walaupun kadang-kadang ada degil dan keras kepalanya.
Dia tahu, isteri yang dipilihnya itu mampu menjadi suri hati dan menjaga anak dan keluarga kelak. Begitu juga dengan perempuan, tentulah mengharapkan perkara yang sama.
Apa hebatnya memilih perempuan yang bijak sebagai isteri. Hajar Syazwan ada jawapannya.
Nak pilih perempuan ni. Kena pilih perempuan yang bijak. Sebab perempuan makhluk yang sangat beremosi. Jadi kebijaksanaan aka intelligent dia tu yang akan drive haluan hidup dia.
Ayat daripada salah seorang leader lelaki dalam HFG waktu meeting selasa lepas. Dia cakap, dia mungkin fikir pelik dari orang lain. Tapi saya sebagai perempuan entah kenapa saya setuju statement dia.
Saya tak tahu nak huraikan kriteria bijak ni macam mana. Tapi untuk memudahkan kefahaman semua. Pada pendapat saya, perempuan bijak ni dia tahu level mana patut buat, level mana patut teruskan dan level mana patut stop.
Dia tahu timbang tara setiap keputusan dia ambil. Dia kenal diri dia macam mana. Kalau dia tersilap buat keputusan dia tahu macam mana nak selesaikan masalah tu.
Dia lembut taat perintah suami dan mak ayah. Tapi dia tahu level mana aku patut aku patuh. Kalau tak suka, dia tahu macam mana nak handle situasi dan cuba berbincang. Takde dia menonong ikut apa suami cakap sampai korbankan perasaan sendiri.
Dia keras ikut kepala dan keinginan hati dia. Tapi dia ada prinsip hidup. Keluarga tetap no 1. Walaupun apa dia buat, keputusan dia ambil. Hanya satu. Kebaikan untuk keluarga semata-mata.
Perempuan bijak tak diukur dalam akademik semata-mata. Bukan level belajar SPM, Diploma, Degree atau PHD. Bukan juga kira jawatan dia eksekutif, kerani atau suri rumah.
Dan bukan juga kira berapa income dia RM1200 atau RM10K sebulan. Bukan. Bukan..
Tapi perempuan bijak ini adalah cara pembawakan diri dia setiap hari. Just my two cents.
Korang pula rasa macam mana?
Mingguan Wanita : Betul sangat. Bijak dalam pembawakan diri. Sudah tentua semua perempuan bijak kan!
Emosi ibu mengandung ini memang sensitifnya lain macam. Bukan sebab dia mengada-ngada atau apa, tapi itulah yang dinamakan ‘pembawaan budak’.
Janganlah suami pun sama sensitif tak tentu hala. Bila nampak emosi isteri mengandung lain macam, dia pun samalah naik meragam.
Tak ada kesudahan jadinya. Sepatutnya bila isteri mengandung sensitif dan mula rasa dirinya menyusahkan suami, ambillah jalan memujuk.
Itu je pun yang isteri mahukan. Kuasa pujukan, sentuhan dan belaian suami lah buatkan emosi rentan tu sedikit reda dan akhirnya dengar kata.
Dan inilah yang dikongsikan oleh BroOhsem, Akhtar Syamir tatkala isteri meluahkan emosi sensitifnya ketika hamil.
Kandungan Cecah 31 Minggu, Isteri Rasa Diri Menyusahkan
Soal isteri kepada saya semalam dengan memegang erat tangan saya. Matanya merah menahan air mata dari berlinangan kerana menganggap dirinya menyusahkan saya dengan kandungannya yang sudah menghampiri 31 minggu.
Ini kerana kelmarin, beliau untuk kali ketiganya menjalani ujian BSP (Blood Sugar Profile). Jadi boleh dikatakan berkampunglah kami di klinik kesihatan untuk mengambil bacaan darah sebanyak 4 kali dalam sehari.
Setelah 2 kali BSP sebelum ini mencatatkan bacaan yang baik, namun kelmarin bacaan pertama pada pukul 8 pagi menunjukkan bacaan 5.3 tahap gula dalam darah. Jika mengikut kadar biasa, bacaan itu adalah baik. Masih di bawah 6.1.
Tetapi mungkin orang mengandung ini standardnya berlainan kerana 5.3 pada bacaan pertama hari ujian BSP dianggap sebagai tinggi.
Hasilnya, selepas berjumpa Doktor semalam, isteri diarahkan untuk membuat BSP sekali lagi pada hari ini. Agak mengecewakan juga kerana ujian BSP ini 4 kali. Bermakna 3 kali perlu dibuat di klinik kesihatan dan yang terakhir di klinik biasa atau farmasi.
Jadi, saya perlu menemaninya lagi dua hari iaitu hari ini (BSP) dan besok untuk berjumpa Doktor sekali lagi. Bayangkan 4 hari berturut – turut ke Klinik Kesihatan yang sememangnya penuh setiap hari.
Silap Saya Tertunjuk Muka Kesal
Mungkin ternampak sedikit kekesalan di air muka saya semalam yang membuatkan isteri terfikir yang dia menyusahkan saya. Saya akui memang silap saya tertunjuk muka.
Selalunya saya memang akan sorok apa jugak kepenatan dalam membantu dia. Saya tidak kesalkan bacaan gula isteri pun sebenarnya. Cuma agak stress dengan keterpaksaan berkunjung ke Klinik Kesihatan 4 hari berturut – turut.
Mungkin memang tidak boleh ditangguh lagi ujian BSP itu. Kalau boleh ditunda ke minggu hadapan alangkah baiknya. Kerana 4 hari berturut – turut memang memenatkan. Tapi demi keselamatan baby, saya harus terus positif.
Sehingga hari ini saya cuba menenangkan perasaan dia. Sesungguhnya saya sedar perkara ini harus dilalui oleh kebanyakan orang yang mengandung.
Tidak ada istilah menyusahkan sebenarnya. Malah saya yang patut bersyukur kerana isteri sudi bersusah payah dengan sakitnya, loyanya, muntahnya untuk kami menambah zuriat. Tidak ada apa lagi yang sepatutnya saya harapkan dari dia melainkan sentiasa cuba meringankan bebannya.
Kagum Dengan Ibu Mengandung Yang Buat Pemeriksaan Kehamilan Sendirian
Kadang – kala saya terlihat ada ibu – ibu yang datang ke klinik kesihatan bersendirian ataupun bersama anak yang masih kecil. Terdetik juga rasa kasihan tetapi saya lebih berasa kagum dengan kekentalan mereka. Semoga semua ibu yang menjalani saat – saat ini dipermudahkan segala urusan.
Doakan juga urusan kami dipermudahkan dan semoga isteri saya Nora Azni dan kandungan sentiasa sihat walafiat. Due adalah pada 20hb Oktober ni. Boleh juga bagi kata – kata semangat kat dia. Nampak sedikit down dari semalam lagi.
Korang pernah kena buat BSP? Serik tak? Pengalaman korang macam mana?
Kebiasaannya, pasangan mudah cari kebahagiaan di luar bila keadaan rumah tidak lagi tenang dan serabut. Persekitaran rumah yang serabut dengan anak yang semakin membesar, lasaknya dan lebih teruk ada saja pergaduhan dengan pasangan.
Psangan saling menyalahkan antara satu sama lain. Bila sampai di rumah, mulalah terasa panas dan serba tak kena. Tambahan pula, stress di tempat kerja juga tapi bawa masuk ke rumah. Inilah juga boleh menjadi salah punca yang membuatkan pasangan cari kebahagiaan di luar.
Tanpa kita sedar, rumah boleh jadi lebih tenang dan sejuk kalau kita tahu kendalikan dan masa yang sama tahu membantu pasangan dirumah. Jangan harapkan hanya isteri semata-mata.
Ini antara tip berguna yang dikongsikan oleh Dr Taufiq Razif tentang cara nak pastikan rumah jadi lebih tenang dan sejuk.
1. Jangan masuk rumah dengan membawa keserabutan daripada pejabat dan tempat kerja
Tenangkan diri dan buat Deep Breathing dulu sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Jangan bawa masuk stress kerja ke dalam rumah hingga anak anak dan pasangan pun kena tempiasnya
2. Sebelum masuk rumah baca doa dulu. Jangan main masuk je.
Kita nak set minda kita bahawa kita sedang memasuki ‘ zon keberkatan dan kebahagiaan ‘. Latih juga mindset ni pada anak kita bahawa rumah ni adalah tempat yang penuh dengan kebahagiaan. Baru la anak kita tak merapu mencari kebahagiaan di luar rumah!
3. Sesekali tu ajar anak kita organizational skills juga :
a) Bila dah habis main, kat mana nak simpan
b) Bila dah buka baju, kat mana nak letak
c) Bila dah mandi, nak simpaj tuala kat mana
d) Bila dah makan, nak cuci dan simpan pinggan kat mana
Bukan rumah je kurang bersepah, kemahiran anak pun kita boleh asah!
4. Hadkan bilangan mainan di rumah. Mainan tu bagus untuk anak kita tapi sebenarnya ‘ less is better ‘. Mainan yang lebih sedikit membuatkan anak kita lebih fokus. Bila mainan terlampau banyak ni, bukan kita je pening. Anak pun naik pening nak memilih!
5. Kita kena mahir membaca raut wajah, tone suara dan bahasa tubuh pasangan kita
Kita kena faham, masa pasangan kita tu nak bagitahu kita sesuatu :
a) 7% je yang sampai melalui PERKATAAN
( verbal communication )
b) 38% maksud perkataan tu terkandung dalam NADA SUARA
c) 55% maksud perkataan tu terkandung dalam gerakan tubuh dan mimik muka
Bila isteri kata “Takpe. Saya ok je. Abang rehat la “. Aduiii..Jangan la terus percaya! Tu baru 7% daripada hal yang sebenar je tu!
Tengok dulu raut wajah dia, ada tak tanda tanda redup akibat KEPENATAN? Dengar dulu nada suara dia, ada tak suaranya mendatar akibat cuba menyorokkkan STRES yang melampau?
Bila kita dah mula pandai baca bahasa tubuh pasangan, insya Allah ni la baru dikatakan RUMAHKU, SYURGAKU!
Mingguan Wanita : Pasangan pun kena main peranan dan fahami bahasa tubuh pasangan. Bukannya buat tak tahu dan meletakkan 100 % kerja rumah di bahu isteri.
Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli 'bawah karpet'-"Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan." Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.