Kawal Diri. Berleter Dalam Rumah, Hilangkan Nikmat Tenang Waktu PKP!

Sepanjang PKP ini pasti seribu satu rasa yang kita pendam. Kawal diri. Jangan biarkan emosi menguasai sehingga wujud rasa marah dan suka berleter sepanjang tempoh PKP ini.

Yalah, selama ini kita bebas keluar ke sana ke sini tanpa sebarang halangan. Tiba-tiba datang wabak Covid-19, kita dipaksa untuk ‘berkurung’ di dalam rumah demi mengelakkan kemudaratan pada diri dan masyarakat sekeliling.

Perkongsian Zuraini Bt Razali, Kaunselor Berdaftar, Universiti Tenaga Nasional, Kampus Putrajaya ini boleh dijadikan sebagai panduan.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dielakkan sepanjang tempoh PKP:

  1. Kawal diri. Jangan terlalu lama melayari media sosial, fb, instagram, twitter. Banyakkan berkomunikasi dengan orang-orang di hadapan kita.
  2. Jangan terlalu mengikuti berita-berita tentang Covid-19 secara berlebihan. Cukup sekadar mengikuti laman-laman yang berautoriti menyampaikan berita yang sahih.
  3. Jangan berfokus kepada masalah, limitasi dan kekangan yang dihadapi. Fokus kepada memperkasakan diri fizikal, mental, emosi dan spiritual dengan sumber yang sedia ada.
  4. Jangan mewujudkan situasi negatif seperti marah-marah, berleter dan bermasam muka. Kawal diri sebaik mungkin.
  5. Jangan cepat terpengaruh dengan berita semasa yang belum tentu benar yang tersebar di media sosial. Tetaplah semangat melalui hari.
Pesanan Buat Wanita Bekerjaya.

Bagi yang berkerjaya,

1-Ambil masa ini untuk PERSIAP DIRI kita. Kerana dijangkakan keadaan ekonomi akan meleset dan peluang perkerjaan akan terjejas. Kita tidak pasti, adakah kerjaya kita akan kekal selamat. Adalah lebih baik kita persiapkan diri dengan sebarang kemungkinan.

2-BELAJAR berniaga secara online contohnya. Dekati mentor-mentor yang mengajar bisnes secara online. Anda juga boleh belajar kemahiran-kemahiran yang sentiasa menjadi keperluan semasa seperti memasak, menjahit, mengajar, membaik pulih, perubatan alternatif, merawat dan seumpamanya.

Jadikan diri kita mampu menjana pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung pada organisasi. Namun selagi kita boleh membantu organisasi, bantulah setakat yang boleh.

3-24 jam kita berada di rumah. Jika suami juga berperanan membantu, kita akan ada sangat banyak masa ‘me time’. Ambil la peluang untuk KAYAKAN DIRI dengan membaca buku-buku ilmiah.

IKLAN

Saya lebih memilih membaca buku-buku agama, inspirasi, psikologi, motivasi dan bisnes. Ilmu-ilmu tersebut akan membantu mengubah pemikiran, mencetus idea dan menjana pendapatan.

Kawal Diri. Berleter Dalam Rumah, Hilangkan Nikmat Tenang Waktu PKP!
Zuraini bt Razali

4-BERKONGSI di laman sosial. Setiap perkara positif yang kita perolehi atau pelajari, kongsikannya. Besar manfaat bagi yang sentiasa memberi dengan berkongsi. Kongsi ilmu, kongsi pengalaman, kongsi idea, kongsi kata-kata semangat dan sokongan melalui penulisan, rakaman video, facebook live dan sebagainya.

Saya mengambil peluang menulis di facebook dan blog sebagai jurnal peribadi dan atas niat memperingatkan diri sendiri. Saya sendiri tidak menyangka, ramai kenalan facebook yang terkesan dengan perkongsian itu dan mereka berubah menjadi lebih baik.

Setiap dari kita punya pengalaman berbeza. Itulah keunikan dan keistimewaan kita yang tidak ada pada orang lain.

Belajar Seni Menyampaikan

5-MENULIS juga adalah terapi yang bagus menghadapi tempoh PKP ini. Belajar menulis. Belajar seni menyampaikan. Dengan kemudahan teknologi telefon pintar dan wifi percuma hari ini, semua bidang ilmu boleh diakses dengan mudah.

IKLAN

Google, youtube merupakan chanel pembelajaran yang mudah diakses. Jika kena gayanya, menulis boleh membuatkan kita dikenali dan mendapat banyak peluang untuk berkembang dan berjaya.

6-Gunakan pengalaman sepanjang tempoh PKP ini sebagai IDEA. Contohnya, koleksi resipi sepanjang PKP, cara meningkatkan imun tubuh, cara mengisi masa sepanjang PKP, cara mendidik anak, cara menyusun hiasan dalaman rumah, cara simpan bahan mentah supaya tahan lama dan macam-macam lagi.

7-Macam-macam kita boleh HASILKAN daripada idea dan rutin sepanjang PKP. Kita boleh hasilkan ebook, boleh wujudkan kelas perkongsian online, berkongsi kepakaran dan sebagainya.

8-Saat ini juga, jika pandai mengurus masa, kita boleh kenalpasti HOBI, MINAT dan KEBOLEHAN semulajadi. Mungkin kerana sibuk dengan kerjaya dan keluarga, kita dah lupa dengan hobi kita. Ada yang suka melukis, memasak, berkebun, membuat kraftangan, mewarna, menjahit dan bertukang.

Inilah masanya untuk kita asah kembali kebolehan kita itu. Jangan fikir usia, kekangan duit, masa, sumber yang menjadi halangan. Teruskan dengan apa yang ada ditangan.

IKLAN

Kesimpulannya, pastikan dalam tempoh PKP ini, kita keluar dari gua keajaiban dan menjadi orang baru yang lebih positif, kuat dan berjaya.

In shaa Allah, tempoh ini jika kita manfaatkan sebaiknya, ia akan menjadi ‘booster’ yang akan membangkitkan jati diri insan sejati yang sesungguhnya.

Yang kenal kekuatan, kelemahan, kelebihan dan potensi yang mampu dimanfaatkan untuk kebaikan sesama. In shaa Allah.

Baca sini juga:

bila-respon-gerak-tubuh-tindakan-terkawal-maknanya-emosi-isteri-sihatlah

kejap-kejap-lap-sekejap-lagi-sapu-cerewet-pun-kenalah-pada-tempatnya

wanita-lebih-mudah-mendapat-penyakit-autoimun-doktor-ini-jelaskan-sebabnya

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI