Foto: NoorAzura Abdul Rahman

Allahu, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.Sakit tidak pernah sesekali mengenal usia. Siapa sangka budak perempuan ini baru berumur 10 tahun, namun telah disahkan menghidap kanser ovari.

Tanpa memahami apa yang dilaluinya berjuang dengan penyakit ini, Nur Nadira Balqis Abdul Khalid cekal meneruskan kehidupan tanpa ovari kanan selepas melakukan pembedahan pada Ogos tahun lalu.

Kanser Ovari Tahap 3

Menurut ibunya, Siti Khalijah Che Hat, 51, selepas pembedahan, Nur Nadira Balqis atau lebih mesra dengan panggilan Balqis banyak menghabiskan masa dengan melukis dan berubah menjadi pemalu.

“Pada mulanya dia mengadu sakit perut, saya membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan doktor mendapati terdapat ketumbuhan di ovarinya, selepas itu pembedahan dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan doktor mengesahkan Balqis mengidap kanser ovari tahap tiga.

“Kini dia sudah tujuh kali melakukan rawatan kimoterapi, namun saya perasan selepas disahkan menghidap penyakit itu Balqis berubah menjadi seorang yang pemalu dan kurang bercakap,” katanya ketika ditemui di Kampung Yoi, Pokok Sena, di Alor Setar.

IKLAN

Tumpang Rumah Adik

Ketika ditemui, ibu kepada lima orang anak ini sedang berehat dan masih lemah selepas menjalani pembedahan membuang bisul di belakang tengkuknya di HSB minggu lalu.

Dia berkata, ketika ini, dia dan Balqis terpaksa menumpang di rumah adiknya Mohd Dizan, 41, di kampung berkenaan berikutan tidak mempunyai kenderaan untuk berulang alik setiap hari ke HSB bagi mencuci luka pembedahannya.

Dalam masa yang sama juga, katanya, Balqis juga perlu dibawa ke HPP sebulan sekali untuk rawatan lanjut.

IKLAN

Pendapatan Tak Sampai RM500 sebulan

“Saya dan suami hanya menoreh getah dengan pendapatan tidak sampai RM500 sebulan, tambahan di musim hujan, pendapatan kami akan turut terjejas, saya sekeluarga hanya mengharapkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

“Tiada sebarang persiapan untuk menyambut Ramadan, hendak beli baju raya untuk anak-anak pun tidak mampu, mujurlah anak sulung dan kedua saya sudah bekerja dan mereka lah yang membeli baju raya untuk adik-adik,” katanya yang berasal dari Batu 19, Kampung Bukit, Jalan Naka, Pokok Sena.

IKLAN

Sementara itu, nasib yang menimpa Balqis mendapat perhatian Pengarah Malaysia Global United Pageant 2019 (MGU 2019) yang juga duta kanser kanak-kanak, Tracie Tan dan Presiden Duta Kanser Kanak-Kanak Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), Maznah Tayib.Ketika kunjungan itu, mereka menyerahkan makanan asas serta wang tunai untuk membeli baju raya.

Orang ramai yang ingin membantu adik Balqis dan keluarga boleh hulurkan sumbangan ke akaun Maybank Siti Khalijah (152023491757) atau menghubunginya menerusi nombor 013-4679548.

MW: Semoga adik Balqis cepat sembuh dan cekal melawan kanser ovari yang dihidapinya pada usia muda. Diharap orang ramai dapat membantu keluarga yang sedang dalam kesusahan, lebih-lebih lagi pada bulan ramadan yang mulia ini.

Sumber: Hmetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI