Ini peringatan manja buat orang yang nak menyewa rumah orang, tolong lah jaga hak orang sebaik mungkin seperti mana kita sayangkan hak kita.
Bukan kes baru, memang sudah banyak kes penyewa yang masuk elok-elok tetapi tinggalkan rumah dengan cara yang paling kelat. Lagi teruk sampai keadaan rumah pun tak macam rumah.
Sebelum keadaan menjadi lebih keruh, jemput hadam nota yang dikongsi oleh Puan Farizal Radzali ini. Kalau pernah buat, mohon jangan ulang dan betulkan.
Ada kes sewa rumah. Penyewa dah keluar rumah bulan lepas tapi dia tak bayar sewa bulan akhir kerana katanya tolak je lah deposit masa mula-mula dia bayar dulu. Lepas tu tinggalkan rumah dalam keadaan yang teruk, dengan pintu pecah, paip tercabut, lantai pecah dan sebagainya. Terkial-kial lah si tuan rumah mencari dana nak repair balik rumahnya.
Ok, dah banyak silap faham pasal deposit sewa rumah. Tuan rumah dan penyewa juga. Ramai yang faham, deposit sewa sebulan itu adalah wang yang perlu dipegang oleh tuan rumah andai penyewa tak bayar sewa dan tinggalkan hutang utiliti. Ini salah.
Ads
Deposit sewa dan deposit utiliti adalah dua perkara berbeza.
Deposit utiliti adalah untuk membayar segala hutang utiliti jika penyewa tak bayar hingga akhir tarikh dia menyewa. Utiliti tu apa? Bil-bil elektrik, air, indah water, dan apa-apa yang termaktub dalam perjanjian sewa.
Ads
Manakala deposit sewa adalah sebagai jaminan buat tuan rumah andai rumahnya rosak akibat kecuaian penyewa.
Jaga Hak Orang Baik-baik
Kena ingat, bila kita menyewa rumah orang, rumah itu tetap bukan milik kita. Jagalah ia sebagaimana hak orang. Jika tuan rumah tak berpuas hati dgn kerosakan rumahnya disebabkan kecuaian penyewa menjaga rumah tersebut, maka tuan rumah berhak menggunakan deposit sewa untuk membaiki rumahnya yang rosak.
Ads
Andai tuan rumah berpuas hati dgn keadaan rumahnya selepas penyewa keluar, barulah tuan rumah akan membayar balik deposit sewa kepada penyewa.
Jadi, jangan pandai-pandai potong sendiri duit sewa rumah kononnya dah bayar deposit sewa, ok.
Dan jangan pandai-pandai tak bayar utiliti di bulan akhir kononnya dah bayar deposit utiliti tau.
Hak orang tetap hak orang. Tolong buat perjanjian bertulis, jangan buat perjanjian lisan. Demi masa depan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Bagaimana caranya untuk saya yakinkan hati untuk mempercayai kembali suami yang pernah curang?”
“Saya telah memaafkan segala perbuatan curangnya terhadap saya tetapi masih tidak berjaya untuk melupakannya terus. Saya sedaya upaya cuba untuk mempercayainya semula tetapi perasaan curiga itu tetap ada.”
Persoalan dikongsi pada awal perbincangan kali ini adalah luahan klien yang bertemu janji bersama saya menerusi e-mel.
Ingin saya menarik perhatian para pembaca semua untuk memahami satu perkara: Minda atau daya ingatan kita sebagai manusia tak sama seperti memori komputer – bila tak nak, boleh delete dan masuk recycle bin, kemudian delete terus. Langsung payah nak dicari semula.
Sebaliknya memori kita tak mungkin dapat bertindak seperti itu. Memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis, tragedi pahit, selalunya akan tetap kekal dalam ingatan.
Paling tragis bila hadapi luka kekecewaan berpunca daripada pasangan. Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tersebut tetapi hampa, ia tetap kekal malah bertambah segar.
Realitinya, usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya adalah usaha anda untuk terus mengingati perkara tersebut. Ingat lawannya adalah lupa; ia berpunca daripada satu sumber iaitu minda anda.
Anda tak mungkin dapat melupakan dalam usaha anda untuk melupakan kerana ia lebih kepada satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut.
Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Bila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi; tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut.
Ingat! Bila anda bersedia untuk memulakan hidup baru dengan pasangan anda, betul-betul mulakan buku baru, bakar terus buku lama biar jadi abu.
Memang sukar mempercayai sesiapa saja yang telah diketahui pernah menipu kita sebelumnya. Terus terang, saya sendiri juga sukar percaya namun sebagai manusia, kita sewajarnya MEMBERIKAN PELUANG kepada sesiapa sahaja apatah lagi kepada pasangan sendiri.
Islam mengajar kita untuk memberi peluang kepada pasangan hidup – cerai terbahagi dua iaitu cerai rajei dan cerai bain. Cerai rajei ialah cerai yang boleh dirujuk kembali tanpa akad baru di dalam tempoh edah yang tertentu.
Terdapat dua peluang untuk rujuk kembali sekiranya berlakunya perceraian rajei. Jika cerai bain pula, tidak boleh dirujuk sebaliknya perlu nikah semula kecuali bain kubra.
Ringkasnya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi peluang kepada pasangan masing-masing demi keharmonian rumah tangga.
Lumrah hidup, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan serta tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan lantas BERIKANLAH KEMAAFAN kepadanya.
Anda dan pasangan anda adalah insan biasa, sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika Yang Maha Kuasa boleh menerima taubat hamba-Nya, siapalah kita untuk mendabik dada enggan memaafkan insan lain.
Berikan kemaafan yang lahir daripada hati, bukan sekadar angguk atau pengakuan lisan. Saya faham anda telah memaafkan tapi tolong koreksi diri, apakah anda benar-benar ikhlas memberi maaf? Anda perlu ikhlas ketika meluahkan “saya maafkan!!” atau apa sahaja ayat yang anda gunakan dengan tujuan memaafkan tersebut.
Maafkanlah walau terlalu sukar untuk anda melupakan segala luka atau derita yang diberikannya kepada anda. Memaafkan adalah amalan yang amat mulia.
Rasulullah s.a.w, seorang yang maksum dan dijanjikan dengan syurga sanggup memaafkan nenek tua yang sering memaki hamun baginda dengan pelbagai kata nista. Malah si nenek sanggup membaling najis kepada baginda ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat.
Kita sebagai umat baginda, sewajarnya lebih bersifat memaafkan kerana memberi kemaafan adalah dendam yang terindah, itu antara lirik lagu popular penyanyi Aishah.
Apabila anda bersedia dan ikhlas memaafkan kesalahan orang lain ataupun pasangan anda sendiri, tanpa perlu dipaksa anda akan dapat menerima pasangan anda kembali.
Menerimanya seperti biasa. Seperti tidak pernah wujud sengketa sebelumnya, insya-Allah.
Saya akui, terlalu banyak masa yang perlu untuk mewujudkan keadaan tersebut, keadaan seperti tidak pernah berlaku apa-apa masalah namun, percayalah…. anda akan mampu menerimanya jika anda bersedia dan sanggup memberi peluang.
Dalam masa yang sama, berdoa agar anda diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan hidup bersama pasangan anda.
Mohon agar pasangan anda berubah menjadi yang lebih baik, tidak lagi terlibat di dalam insiden-insiden yang boleh melukakan hati anda semula.
Mohon juga agar anda mampu membiarkan pengalaman perit yang lalu berlalu begitu sahaja tanpa anda sendiri mengungkit atau membangkitkannya semula.
Penulis : Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, kolumnis ruangan Resepi Hidup di majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Usianya sudah hampir mencecah tiga tahun. Namun begitu Muhamad Rais Haziq bin Meidi Erfen tidak mampu berjalan laju seperti kanak-kanak seusianya. Pergerakannya agak lambat. Dia hanya mampu duduk dan mengengsot. Muhamad Rais juga tidak boleh bercakap. Jika dia mahukan sesuatu, Muhamad Rais akan menangis.
Apa masalah yang berlaku pada Muhamad Rais? Sebenarnya Muhamad Rais mengalami masalah kepala besar atau hidrosefalus. Saluran pernafasannya sempit. Paru-paru sebelah kanan besar sebelah. Ibunya, Zuraini Sulaiman masih ingat lagi pesanan doktor kepadanya.
“ Saya perlu terima hakikat sekiranya anak saya tidak lama kerana doktor memberitahu anak saya ini turut menghidap Megalencephaly dan capillary malformation syndrome. Mereka tidak boleh jamin berapa lama umur anak keempat saya ini.”
Mengimbas semula kisah kehamilannya, Zuraini , 42, berkata apabila melakukan pemeriksaan pada bulan keempat kehamilannya di klinik kesihatan, doktor mendapati kepala anaknya lebih besar daripada badan.
“ Terkejut saya mendengarnya. Doktor kemudian memberitahu dia akan melakukan semula imbasan pada bulan hadapan. Kali ini doktor itu akan membawa seorang lagi doktor pakar untuk melihat keputusan imbasan tersebut.
” Saya datang semula pada bulan hadapan. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor pakar turut memberikan keputusan yang sama. Saya kemudiannya diminta merujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan selanjutnya.
” Di sana, sewaktu doktor pakar melakukan imbasan, memang jelas kepala anak saya besar dari badan. Ketika itu usia kandungan adalah 5 bulan. Doktor kemudiannya memberitahu pada usia kandungan 7 atau 8 bulan, mereka mahu mengambil sedikit air ketuban. Mereka mahu memeriksa simptom apa yang berlaku pada anak saya.
” Doktor memberitahu saya perlu membayar RM600 kerana air ketuban saya itu perlu dihantar ke Amerika Syarikat untuk diuji. Saya beritahu doktor saya tidak ada duit sebanyak itu. Ditambah pula pada ketika itu saya ada tiga orang lagi anak-anak yang sedang bersekolah.
” Ketika kandungan berusia 7 hingga 8 bulan, pemeriksaan yang dilakukan mendapati bacaan kepala anak saya itu terlebih dari carta yang ada pada doktor. Doktor mahu juga mengambil air ketuban, tetapi dia kata saya perlu bayar.
” Saya menolak kerana tidak ada duit. Doktor memberitahu jika saya tidak beri, risikonya anak akan cacat dan sebagainya. Saya beritahu pada doktor, saya terima anak saya seadanya.”
Ketika kandungannya 35 minggu, doktor memberitahu Zuraini perlu bersalin dan pembedahan perlu dilakukan. Pada 2 Mac 2016, Muhamad Rais telah dilahirkan secara pembedahan.
Kehidupan Muhamad Rais selepas dilahirkan tidak semudah yang disangka. Selepas dilahirkan anaknya itu terus dimasukkan ke dalam ICU kerana mengalami masalah pernafasan. Selama seminggu Muhamad Rais berada dalam ICU. Doktor mendapati saluran pernafasan Muhamad Rais sempit dan pembedahan perlu dilakukan.
“ Dua minggu kemudian pembedahan memotong saluran pernafasan dilakukan. Satu alat diletakkan bagi merenggangkan sedikit saluran pernafasan yang sempit itu. Selepas itu anak saya duduk di hospital selama 3 bulan.”
Keluar hospital tidak bermakna masalah telah selesai. Muhamad Rais perlu kerap kali dibawa berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan susulan.
“ Ketika berusia 10 bulan, doktor mendapati lilitan kepala anak saya itu berukuran 68 cm. Kepala anak saya lebih besar dari badan. Doktor melakukan x-ray dan mendapati air bertakung di dalam kepala. Terus anak saya ditahan di wad.
” Selepas itu pembedahan membuang air dan memasang satu alat iaitu VT Shunt di dalam kepala. VT Shunt akan bertindak sebagai penyedut air. Doktor kata anak saya tidak ada saluran air dalam kepala. Seumur hidup dia perlu pakai VT Shunt itu untuk membuang cecair berlebihan daripada kepalanya.”
Selama 3 tahun, Muhamad Rais telah dibawa berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Dia aktif seperti biasa. Bersyukur Zuraini dengan keadaan anaknya itu.
Namun pada 29 Disember 2018, Muhamad Rais mula muntah-muntah dan tidak aktif. Dia terus dibawa ke hospital.
“ Doktor pakar memberitahu VT Shunt yang ada tidak boleh lagi berfungsi. Ia perlu dicabut. Sementara itu Shunt baru perlu dimasukkan. Pada 4 Januari 2019 lalu, Muhamad Rais telah dimasukkan ke wad.
” VT Shunt yang digunakannya itu telah dibuang dan diganti dengan Shunt yang baru. Shunt bermagnetik ini berharga RM3500.Doktor memberitahu Shunt ini boleh tahan sehingga Muhamad Rais besar. Sekali lagi saya dan suami mengumpul duit untuk membayar kos pembedahan tersebut.”
Banyak perubahan Muhamad Rais setelah Shunt bermagnetik ini dipasang. Lilitan ukuran kepalanya telah semakin berkurangan. Kini Zuraini dan keluarganya mampu bernafas lega seketika. Namun dalam pada itu melihatkan anak semakin membesar, Zuraini semakin risau kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada anaknya kelak.
Dahulu apabila mengetahui anaknya tidak sama seperti anak-anaknya yang lain, Zuraini sedikit kecewa. Tetapi kini Zuraini sudah dapat menerima hakikat keadaan kesihatan anaknya ini. Namun dia sedar di luar sana ada juga ibu bapa yang turut memiliki anak dalam keadaan yang sama seperti anaknya. Apa yang mampu Zuraini katakan kepada ibu bapa ini adalah bersabar.
“ Suami menasihatkan saya agar redha dengan apa yang Tuhan berikan kepada kami. Saya terima seadanya apa yang berlaku pada anak saya ini. Nasihat saya kepada ibu bapa yang dapat anak sebegini kena tumpukan perhatian kepada anak mereka kerana anak ini masih kecil mereka tidak boleh bercakap. Jadi kita faham anak ini agar mudah kita tahu dia sakit atau tidak.
” Tidur ibu bapa anak sebegini tidak cukup lama kerana banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku pada anak. Anak sebegini mudah tersedak. Dan kalau secara tiba-tiba air bertakung di kepala, muka anak akan berubah jadi biru. Ibu bapa jangan tidur lena. Mereka kena berkorban demi anak.
Pesan saya, kalau dapat anak sebegini, ibu kalau boleh jangan bekerja. Saya sendiri terpaksa berhenti kerja dan mengorbankan kerana perlu menjaga anak. Sejak tiga tahun lalu keluarga kami ini hanya bergantung pada suami untuk mencari rezeki.”
Ingin bantu keluarga ini, bolehlah memberi sumbangan pada akaun CIMB 7010743104 Zuraini Sulaiman.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Takut nak dekat dengan manusia yang suka iri hati dan dengki, walau nampak baik dari luaran tetapi kalau hatinya busuk maka rosakkan hubungan yang terjalin.
Tak kira lah darah daging sendiri atau orang luar, andai tersimpan satu perasaan negatif ini kalian tidak akan bahagia sampai ke hujung nyawa. Malah apa yang orang lain buat, semua nampak salah.
Untuk renungan bersama, jemput hadam perkongsian Puan Hajjah Rohana Saad sejenak, baiki dan betulkan jika pernah ‘terbuat’ sebelum ini.
Hidup jangan terlalu dengki dengan kelebihan orang lain. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Cuma sentiasa kena bersyukur dengan apa yang ada. Jangan pernah iri terhadap kejayaan orang lain, kerana kita tidak pernah tahu letihnya ia dalam memperjuangkan kejayaannya dan berapa kali ia jatuh namun bangkit kembali. Iri hati membuat kau sedih melihat orang lain bahagia. Dan bahagia saat melihat orang lain sedih.
Melihat pencapaian orang lain? Terinspirasi jangan iri, jangan dengki. Kalau lapang hati, lapang pula rezeki. Jangan iri dan dengki dengan kejayaan dan pencapaian orang lain, kerana setiap orang yang menerima lebih akan diminta lebih juga dalam hidup ini, sehingga kita tak perlu iri, tapi bersyukur apa yang diberi ALLAH saat ini. Kunci nikmat itu merasa memiliki dan menikmati apa yang ada, bukan dipaksa untuk harus ada. Satu tips untuk berjaya, jangan ada sifat iri hati dan dengki dengan kejayaan orang lain. Sebab? Itu rezeki dia, rezeki kau ALLAH bagi nanti, sabar!
Bila air yang sedikit dapat menyelamatkan kau dari dari rasa haus. Tak perlu meminta air yang lebih banyak yang kemungkinan akan menenggelamkan kau. Selalulah belajar merasa cukup dengan apa yang kau miliki. Saat hati sempit, rasa benci, rasa sakit hati dan segala rasa yang menyesakkan segera buka Al-Quran, baca dan resapi ertinya. ALLAH janji penyembuh dari segala penyakit hati. Perbanyakkan zikir. Perbanyak mengingat ALLAH. Hanya dengan mengingat ALLAH hati menjadi tenang.
Ketika kau merasa lebih gagal dibandingkan dengan orang lain. Ketika kau merasa miskin sedangkan orang lain kau lihat mereka senang dan mewah. Kau tidak perlu kecewa dan bersedih. Kekecewaan dan kesedihan tidak akan mengubah hidup kau. Yang paling penting kendalikan hati agar tidak iri dan dengki. Semakin kau iri dan dengki, semakin banyak ALLAH tarik kau punya rezeki. Sedangkan jika kau bersyukur, pasti ALLAH melipat gandakan rezeki kau lagi. Perasaan yang paling bahaya adalah iri dan dengki, kerana ia melahirkan kebencian. Dan kebencian akan membunuh kau perlahan.
Iri hati dan dengki adalah penyakit hati yang mampu memporak-perandakan hidup. Selama kita punyai rasa iri hati dan dengki, jangan harap kita akan bahagia. Jangan pernah iri dengan apa yang orang lain ada, setiap orang punya masalahnya sendiri. Jadi bersyukurlah. Iri hati dan dengki menghapus kebaikan dan kebahagian, hidup penuh tekanan dan kekecewaan. Kalau hati kita senang melihat orang lain susah, maka hati kita tengah sakit. Dan segerakanlah ubati sebelum hati mati. Dengan apa?.. Banyakkan syukur, banyakkan istighfar.
Antara barangan yang terlibat ialah produk mandian dan penjagaan diri, termasuk satu unit Carrie Junior Hair and Body Wash, dua unit Selsun Shampoo 2-in-1, satu unit Lifebuoy Body Wash serta sehelai singlet jenama Byford.