Ternyata bukan sesuatu yang mudah, jangan sampai tersalah pilih calon suami dan berkahwinlah bila jumpa lelaki yang sesuai, kemudian bertawakal pada Allah.
Pertama, berikhtiarlah cari calon suami yang terbaik selain dari segi kukuhnya ekonomi. Carilah juga suami yang baik akhlaknya dan beriman.
Namun siapa kita untuk menolak jodoh daripada Allah. Apatah lagi sebelum berkahwin, suami perangainya tip,top. Selepas berkahwin lain pula jadinya, rupanya alim kucing.
Ikuti perkongsian Hafizul Hakim ini dan hadam sebaiknya:
Jodoh kita dengan siapa semuanya telah ditentukan oleh Allah. Kalau boleh kita memang mengharapkan agar dipertemukan dengan seorang lelaki bukan saja yang menyayangi, tetapi mencintai kita sepenuh hati.
Tetapi bagaimana jika kita tersalah memilih suami yang betul-betul sesuai dengan kita. Ketika bercinta, sikapnya lain dan selepas berkahwin barulah sikap sebenar dirinya terserlah.
Sebab hidup seorang perempuan itu berubah semuanya mengikut acuan suaminya. Kasihan. Parasnya cantik. Sudahnya dilayan seperti sampah.
Setelah bernikah, bermakna selangkah kaki ke neraka atau ke syurga. Tak salah memilih supaya korang tak tersalah pilih.
Jangan Sampai Tersalah Pilih
Berkahwinlah bila sudah rasa jumpa orang yang betul dengan ikhtiar dan tawakal pada Allah. Bukan semata-semata sebab hendak tutup mulut orang duduk bertanya bila awak hendak kahwin.
Ads
Nampak remeh tetapi, sesungguhnya berkahwinlah kerana Allah SWT. Ranjau rumah tangga amatlah hebat, tapi mudah-mudahan dapat dilalui dengan petunjuk daripada Allah yang Maha Hebat.
Benar lihat kemampuan duniawi itu penting. Akan tetapi lihatlah jua benar-benar layanannya pada orang tuanya. Ketaatannya pada perintah Allah.
Ads
Dengan siapa kawan-kawan yang kerap berdamping dengannya.
Bagaimana mungkin seorang wanita hendak mengharapkan lelaki yang tak mampu bangkitkan dirinya untuk mengerjakan solat, mengerjakan ibadah, berakhlak mulia untuk memimpin tangan anak isterinya masuk ke syurga?
Berkahwinlah Bila Jumpa Yang Sesuai, Bertawakal
Isteri adalah cerminan suami. Cantik suami mu cantiklah kamu. Elok suami mu. Eloklah kamu. Beriman suami mu maka berimanlah kamu. Ahli syurga suami mu maka kamu jua ahli syurga. Begitu jua sebaliknya.
Wahai sang suami, jika kau merasa isterimu sangat leceh, menyusahkan, keras kepala atau sebagainya. Maka itulah diri kamu sendiri sebenarnya. Kau yang telah mengajar, membentuk dan menyebabkan dia menjadi seperti itu.
“Lelaki yang hebat bukan yang dapat mengahwini perempuan solehah, tapi lelaki yang mengahwini perempuan biasa dan berjaya bimbingnya menjadi perempuan solehah yang taat perintah Allah.”
Ads
Setelah Memilih, Serahkan Pada Allah
Kadang-kadang kita berdoa untuk kuat, tapi banyak pula dugaan yang mendatang, kadang-kadang kita minta cerdik, tapi masalah pula yang bertandang, kadang-kadang kita minta kebahagiaan, tapi huru-hara pula yang menjelang.
Dugaan menjadikan mental kita kuat, masalah menjadikan kita berfikir, huru- hara menjadikan kita tabah. Adakalanya jalan di hadapan kelihatan samar kerana kabus tebal menghalang pandangan.
Semua isteri mengharapkan suami mereka begini.
“My husband has made me laugh. Wiped my tears. Hugged me tight. Watched me succeed. Seen me fail. Kept me strong. My husband is a promise that I will have a friend forever.”
Begitulah.
MW: Itulah pentingnya memilih calon suami. Kadang-kadang selepas memilih pun ada juga yang terkena kerana suami jenis bermuka-muka. Sebelum kahwin punyalah berakhlak mulia, setelah berkahwin lain macam pula perangainya. Hanya kepada Allah sajalah kita berserah.
Apabila seorang wanita itu dimadukan atau diceraikan, ramai yang merasakan kehilangan suami itu satu ujian yang maha hebat. Wanita sedarlah bahawa kehilangan suami adalah kecil berbanding dengan nikmat sempurna tubuh badan yang Allah pinjamkan kepada kita.
Wanita ‘Hilang’ Suami Bila Dimadukan, Diceraikan
Insan bernama isteri ini membawa aura tersendiri. Jika dirinya dianiaya dan ditinggalkan di tidak boleh terlalu leka sebaliknya perlu bangkit membuktikan kebolehan diri dan terus kuat mengubah nasib tanpa insan bergelar suami.
Semangat dan tekad wanita perlu ditanamkan dalam diri demi anak-anak tersayang. Pastinya mereka tidak akan biarkan anak-anak hidup merempat jika tidak ada suami di sisi.
Itu Hanya Kehilangan Kecil Berbanding Nikmat Sempurna Tubuh Badan
Seperti mana perkongsian wanita kuat dan juga pempengaruh di media sosial, Puan Dzuriasikim Dzulkefli punya perkongsian yang boleh memberikan manfaat kepada wanita yang berhadapan dengan masalah rumah tangga dan ditinggalkan suami.
WANITA, USAH MENANGIS. BACA 13 LANGKAH UNTUK BANGKIT.
Tidak kira apa status anda, wanita adalah kaum yang lemah lembut hati dan jiwanya serta mudah tersentuh perasaan.
Bertenang dan baca ini:
SEKIRANYA DIUJI DENGAN PERPISAHAN, DIMADUKAN ATAU APA DALAM RUMAHTANGGA.
PERKARA PERTAMA YANG HARUS ANDA LAKUKAN:
Hitung dan bersyukurlah atas berapa banyak nikmat yang kita masih ada. Walaupun sebaiknya bersyukur ini dilakukan pada setiap hari (di kala senang dan susah), namun ramai yang terlupa untuk melakukannya bukan?
Cuba bayangkan jika pada suatu pagi kita bangun tanpa kedua belah tangan atau kedua belah kaki. (Pejam mata dan bayangkan…).
Atau tanpa nikmat penglihatan kedua belah mata. Bukankah kita akan mula berkata…
“Ya Allah, hamba bermohon kepada Mu Ya Allah. Hamba lupa akan nikmat Mu Ya Allah. Kembalikan kedua belah kaki ku Ya Allah.”.
Kerana saat itu mungkin baru kita akan sedar bahawa kehilangan suami adalah kecil berbanding dengan nikmat sempurna tubuh badan yang Allah pinjamkan kepada kita.
Count every single thing that we still have… Anak-anak di hadapan mata. Pernafasan tanpa bantuan, jantung yang masih berfungsi, malah.. memiliki rambut dan kuku itu pun nikmat!
Jangan lupa akan itu semua.
MasyaAllah tabarakallah.
INGAT ALLAH
Ingat Allah. Usah menangis keterlaluan siang dan malam. Apa lagi merintih memohon simpati dengan orang lain. Menangis tidak akan dapat merubah nasib kita.
Selalu saat kita terlalu bersedih, kita berasa seolah-olah bahagia tidak akan datang lagi. Dan di saat kita bahagia, kita berasa seolah kita tidak akan menangis semula. Selalu cepat terlupa bahawa bahagia dan derita itu juga pinjaman dari Allah.
Sabar adalah sebaik-baik ubat hati. Dan Allah adalah sebaik-baik tempat untuk kita mengadu.
Bersangka baik selalu.
LIHAT MATA ANAK-ANAK
Jika punya anak, usah diabaikan hanya kerana kita berasa kita ini sedang tertekan. Usah kita layan kesedihan kita sehingga kita abaikan tanggungjawab. Anak-anak sangat memerlukan kita. Bangkit dan peluk mereka semua. Biar 10 atau 12 orang anak sekalipun. InsyaAllah akan ada rezeki buat mereka. MasyaAllah, anda kena yakin dengan rezeki Allah. Dia Maha Memberi. Dan Dia memberikan sesuatu dengan sungguh luar biasa.
PILIH KAWAN
Pilih dengan siapa anda berkawan. Ada ramai wanita yang tersalah memilih kawan serta memilih jalan yang salah untuk hilangkan derita. Apa lagi ketika mereka dalam keadaan baru berpisah dengan pasangan. Baru putus tunang. Baru ditinggalkan.
Jika hati kita lemah, kita akan mudah terikut dengan rakan-rakan. Pilih kawan-kawan yang positif, membina dan berkualiti. Tidak selalu mengingatkan kita tentang masa silam hingga timbul dendam dan kesedihan. Yang tidak suka menyalahkan orang lain serta menghasut minda kita untuk melakukan perkara yang tidak baik.
“Tapis” rakan termasuk di media sosial.
Rasulullah SAW bersabda:
“Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
JIKA ADA YANG MENJAUHKAN DIRI
Saat kita susah, itu adalah perkara biasa. Yang luarbiasa adalah ketika rakan dan saudara masih mahu bersama kita ketika susah.
Sahabat Rasulullah Muhammad SAW, Sayyidina Ali Bin Abi Thalib Radiallahu anh. Ilham menuturkan, ketika Sayyidina Ali ditanya salah seorang sahabat terkait siapa yang dimaksud teman-teman dan sahabat Ali.
“Ya Ali kulihat sahabat-sahabatmu begitu setia sehingga banyak sekali, berapakah sahabatmu itu?”.
Sayyidina Ali menjawab,
“Nanti akan kuhitung setelah aku tertimpa musibah.”
Begitulah jawapan Sayyidina Ali.
Letakkan kebergantungan kita hanya kepada Allah. Orang yang meletakkan kebahagiaan diri pada orang lain dan bukan Allah ini akan mudah kecewa. Kasih manusia berubah-ubah. Sedang kasih Allah tanpa syarat. Allah mencintai tanpa ada kenapa dan mengapa.
BETULKAN NIAT
Betulkan niat dalam diri dan terhadap orang lain. Perlu ada alignment dalam diri dan ini adalah sangat penting dalam hidup. Tidak kira samada dalam urusan perhubungan keluarga, sahabat, perniagaan, pekerjaan atau apa sahaja.
The power of niat. Sama-sama kita semak dan perbaharui niat setiap hari. Pastikan apa yang ada dalam minda selari dengan mata, lidah dan hati. Jaga mulut dari mengata, jaga hati diri dan hati orang dan jauhi sifat bersangka-sangka, jaga mata agar sentiasa melihat kebaikan dalam setiap perkara. Jadi mata lebah dan bukan mata lalat.
Sebab syaitan memang selalu menggunakan cara halus untuk pesongkan niat kita. Akhirnya pergantungan kita kepada Rabb akan tergelincir sedikit demi sedikit.
TINGKATKAN DIRI
Cuba baca buku-buku yang boleh memberikan inspirasi dan semangat. Jika tidak mampu untuk membeli buku, cuba buat carian di internet dan baca kisah kejayaan ramai wanita hebat dunia dan bagaimana mereka berjaya bangkit semula dalam hidup. Jika tidak mampu beli data, anda boleh cuba menggunakan wifi percuma yang disediakan di kebanyakan tempat awam. Sentiasa penuhi masa dengan perkara berfaedah dan elakkan dari termenung.
FORGIVE AND FORGET
Cuba sebaik mungkin untuk lupakan kisah silam. Anda perlu melangkah ke hadapan. Melihat ke belakang tidak akan mendatangkan sebarang faedah. Cari kekuatan itu and you need to move on.
APAKAH ANDA PUNYA IMPIAN?
Fikirkan apa cita-cita anda sebelum ini. Inilah masa terbaik untuk anda memenuhi segala impian anda. Cari jalan dan usah sesekali putus asa. Sekiranya ramai yang memburukkan anda kerana bergelar janda, kerana putus tunang, kerana ditinggalkan pasangan, kerana dimadukan… pekakkan telinga sahaja. Jika tiada teman rapat, ingat selalu bahawa kita ada Allah.
Hidup ini biarlah dipuji tak terbang, dihina tak tumbang.
JADI KUAT!
Cuba kawal minda anda. Letakkan masalah peribadi dalam satu “kotak” berbeza. Sentiasa senyum bila berhadapan dengan orang sekeliling terutama anak-anak. Usah sesekali menyalahkan atau memburukkan orang lain (contohnya bekas pasangan) atas apa yang berlaku. Usah salahkan takdir Allah!
Abu Hurairah ra, ia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, Allah berfirman,
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى
_”Aku sesuai dengan sangkaan hamba pada-Ku.”_
(Muttafaqun ‘alaih)
Seburuk manapun bekas pasangan anda, dia tetap ayah kepada anak-anak anda. Usah heret anak-anak ke dalam emosi. Minda anak-anak yang positif dan ceria akan mempengaruhi keperibadian serta pencapaian akademik mereka.
CARI REZEKI YANG HALAL
Jika sukar meninggalkan anak untuk keluar bekerja atau mencari rezeki, usahakanlah sesuatu dari rumah sahaja. Ambil upah jahit butang baju pun tidak mengapa. Ada banyak pekerjaan yang boleh dilakukan selagi kita mahu berusaha. Upah yang diperolehi itu nanti bolehlah dibelanjakan sedikit dan simpanlah juga (walau sedikit untuk kecemasan dan untuk mengejar impian yang ada). Susah sedikit tidak mengapa… belajarlah untuk berdikari.
Sabar sedikit. Ianya mungkin akan memakan masa. Orang yang sabar pasti akan memperoleh kemenangan. Bertahanlah. Saya yakin anda boleh!
JATUH CINTA LAGI
Usah mudah jatuh cinta pula. Belajar dari kesilapan lalu. Jika mahu bernikah lagi, pilihlah pasangan dengan lebih berhati-hati. Sebaiknya anda berikan sedikit ruang untuk diri sendiri. Tingkatkan penjagaan dan kualiti diri. Pastikan anda tampil bersih, berseri, kemas dan rapi walau seteruk manapun kesedihan anda. Utamakan kebahagiaan diri dan anak-anak (jika ada). Ingat, alam perkahwinan tidak sama dengan alam bercinta. Langsung tidak sama seperti dalam kisah Cerekarama atau Sinetron. Usah tersilap langkah untuk kali kedua.
SABAR, DOA DAN TAHAJJUD
Saya suka ingatkan. Usah putus asa untuk berdoa. Jangan lupa bertahajjud. Sehina manapun kita di mata manusia, hanya Allah sahaja yang menentukan untuk menerima segala amal dan doa kita. Percayalah, tidak akan sia-sia untuk bangun pada setiap malam dan bertahajjud.
Solat Tahajjud adalah solat malam, makna Tahajjud adalah solat yang dikerjakan setelah tidur. Waktunya terbentang mulai setelah Isya’ hingga sebelum Subuh, dengan didahului tidur. Dan waktu paling utamanya adalah di sepertiga malam yang terakhir.
“Dan pada sebagian malam hari, solat tahajud-lah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji”
(QS. Al Isra’: 79).
“Doa di saat tahajud adalah umpama panah yang tepat mengenai sasaran.”
(Imam Syafie)
Bersihkan hati. Maafkan orang sekeliling. Jangan berdendam. Yakinlah dengan Tuhan. Strong women never give up.
Perkahwinan antara Hamdan dan Zalikha diatur keluarga. Keduanya tidak saling mengenali hanya berkenalan sebulan sebelum perkahwinan berlangsung. Syukur nampaknya aturan yang dibuat menunjukkan respon yang positif, Hamdan dan Zalikha nampaknya serasi bersama dan tidak ada bantahan dengan perkahwinan yang dirancang oleh kedua keluarga.
Keluarga Hamdan dan Zalikha memang sudah lama saling mengenali. Asalnya kedua keluarga ini tinggal di kejiranan yang sama. Walaupun keluarga Hamdan sudah berpindah kerana ayahnya bertugas di luar. Bagi merapatkan lagi hubungan antara keduanya, ibu dan ayah Hamdan mencadangkan supaya dia dan Zalikha disatukan.
Tidak pernah menyangka Hamdan mempunyai kecenderungan seks sesama gender, mungkin sahaja disebabkan terlalu lama tinggal di luar negara membuatkan dia sedikit sebanyak terpengaruh dengan budaya di sana. Kalau dilihatkan susuk tubuh dan wajah serta perilaku Hamdan, ibu bapanya sendiri tidak pernah tahu bahawa dia seorang gay.
Tapi Hamdan tidak membantah sedikitpun apabila ibunya memaklumkan bahawa dia akan dijodohkan dengan anak jiran lamanya. Bukan Hamdan tidak cuba mahu berubah, pernah beberapa kali dia cuba kembali ke jalan yang benar, tapi gaya hidup di bandar membuatkan dia terus hanyut dalam dunia sosial yang melampau. Lantas cadangan untuk berkahwin dengan pilihan keluarganya dirasakan salah satu jalan untuk dia kembali kepada fitrah.
Tidak Diketahui Isteri
Enam bulan pertama, Hamdan dan Zalikha hidup bahagia. Tapi dalam masa yang sama dia masih tidak dapat melupakan pasangannya yang terdahulu. Hamdan dan pasangan sejenisnya masih saling berhubung. Ada ketikanya bila Zalikha perlu ke luar kota untuk urusan kerja, Hamdan dan pasangan terlarang yang dikenali sebagai Joe tinggal bersama di rumah Hamdan dan Zalikha.
Memang pada mulanya perbuatan sumbang Hamdan dan Joe tidak dapat dihidu, tetapi Zalikha bagaikan dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya itu. Mungkin naluri seorang isteri. Suatu hari terdetik di hati Zalikha untuk mengintip suaminya itu, fikir Zalikha apakah suaminya itu sudah berubah hati dan mempunyai perempuan lain dalam hidupnya. Maklum sahaja Hamdan sekarang bersikap dingin terhadap Zalikha. Setiap kali diajak bersama pelbagai alasan diberi seakan sudah tidak bernafsu terhadap isteri sendiri.
Rahsia Terbongkar
Zalikha berpura-pura perlu ke Melaka selama dua hari untuk bekerja. Dia dapat lihat air muka Hamdan yang kelihatan gembira mendengar perkhabaran tersebut. Hamdan seperti biasa akan mengajak Joe untuk bermalam di rumahnya sepanjang ketiadaan isteri. Namun malam itu semuanya terbongkar, Zalikha pulang ketika Hamdan dan pasangan sejenisnya sedang bermadu asmara di atas katil.
Hancur luluh hati Zalikha melihat apa yang berada di hadapan matanya. Ternyata bukan wanita lain yang menjadi saingannya tetapi seorang lelaki yang yang tidak ada cacat cela di mata orang lain. Setelah semuanya terbongkar, Zalikha minta Hamdan lepaskan dirinya.
Kembali Ke Pangkal Jalan
Perpisahan mereka memberi impak besar kepada kedua belah keluarga, Hamdan mengaku ini semua salahnya. Berkat doa seorang ibu, Hamdan kini berubah secara total. Pernah juga Hamdan cuba mendekati semula Zalikha dan menyatakan hasrat untuk kembali bersama, namun hati Zalikha bagaikan tertutup buat lelaki yang bernama Hamdan. Hamdan berdoa agar suatu hari nanti dia dipertemukan dengan jodoh sebaik Zalikha dan berdoa supaya dia tidak kembali kepada perilaku lamanya yang sukakan lelaki.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Rumah tangga mana tidak dilanda ribut, pasti ada pasang dan surutnya. Namun percayalah bahawa apa yang berlaku dalam rumah tangga adalah ujian, Allah tak akan uji melebihi kemampuan mak,ayah.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami sebaiknya sebagai panduan dalam melayari bahtera rumah tangga.
“Apa pun yang kita hadapi dalam rumah tangga, ingatlah itu semua ujian. Ujian Allah hendak bagi ke suami, nak bagi ke isteri.
Dan kena ingat selalu, Allah tak uji kita lebih daripada yang kita mampu. Kalau ini ujian untuk rumah tangga kau sekarang, maksudnya inilah kekuatan yang kau ada.
Tak perlu sampai nak bergaduh bermusuh. Menyalahkan orang lain. Kalau rumah tangga tak bertahan lama, adalah benda lain yang Allah nak beri pada kau. Yang pasti benda tu akan lebih baik daripada kehidupan kau sekarang.
Itu kena yakin dulu.”
Saya pandang tepat ke mata pak cik Idris. Dia sedang bercerita apa yang dia cakap ke anak buah dia masa dapat tahu rumah tangga anak buah dia bergolak.
Apa Yang Berlaku Adalah Ujian
Ayat begini ringkas, tapi maksudnya dalam. Satu peringatan juga buat saya sendiri.
Pakcik Idris sambung lagi;
“Yang menjadi punca kepada ujian juga tak boleh kita nak salahkan. Adalah sebab Allah jadikan begitu. Untuk dia pun akan ada pengajaran dan kebaikan yang Allah nak bagi. Mesti ada.”
Benarlah pengalamanlah selalunya akan jadi guru yang sangat hebat. Pengalaman orang lama dalam rumah tangga, eloklah kita ambil jadikan panduan.
Kata orang dulu-dulu, “aku makan garam dulu, kadang bukanlah demi nak mengata orang dulu tak pernah salah. Cuma sungguh ada keadaan yang mereka sudah lalui entah berapa ratus ribu kali. Mereka faham sangat dan tahu.
Dah lali.
Sebab itu dalam soal rumah tangga, kita rujuklah juga pada orang lama. Lama berumah tangga. Mereka banyak pengalaman dan banyak juga perasaan.
Dalam banyak keadaan, pesanan mereka boleh jadi panduan untuk kita tenang menguruskan rumah tangga.
Baik kita suami, atau isteri, bertanyalah selalu.
Itulah.
MW: Setiap ujian yang hadir percayalah ianya semua datang daripada Allah. Apa jua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Jika rumah tangga mak,ayah terhenti di tengah jalan juga pasti ada puncanya dan hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Datuk Aaron Aziz terkejut & kecewa! Sebelum ini heboh tentang konflik antara keluarga Aaron dan pempengaruh media sosial, Sharina Richiei ianya bermula selepas tular...