Jadi suami kenalah selalu melihat, kena peka dan sentiasa mendengar. Cukupkan apa yang kurang.
Sekiranya dikurniakan isteri yang berat mulut dan lebih banyak memendam, suami harus mainkan peranan. Sesekali luangkan masa bersama isteri, habiskan masa bersama agar saling memahami.
Jadi Suami Kenalah Selalu Melihat
Kongsi Ustaz Firdaus Mokhtar ini, suami, sesekali kena masuk ke dapur. Bukan setakat basuh tangan. Tolonglah memasak.
Bukan apa, kadang waktu itulah kita dapat tengok rupanya dapur masak isteri kita tu apinya dah kecil. Dah tersumbat sebelah. Tinggal sebelah sahaja yang elok.
Kabinet dapur punya laci sudah tercabut. Tunggu nak roboh saja.
Tengah potong sayur, pisau tak lut. Belum cuba potong daging lagi. Entah macam mana punya payah isteri kita cuba tekan pisau.
Blender pun dah macam bunyi enjin lori. Bunyi bising tapi bahan masak tak lumat pun.
Kena Peka & Sentiasa Mendengar
Banyak yang nak kena ganti dah.
Suami, sesekali basuhkanlah baju dekat rumah. Guna mesin basuh yang ada tu. Bukan setakat letak baju dalam bakul baju kotor sahaja.
Kadang masa itu baru kita perasan, pair air sudah bocor. Air menitik tak berhenti. Hos tempat air keluar daripada mesin basuh sudah rupa apa entah. Pecah pecah sampai air melimpah sana, sini.
Waktu itu juga baru kita tahu besi penyidai baju kita dah 10 tahun tak ganti. Daripada awal kahwin pakai yang sama. Siap berkarat sana sini.
Suami, sesekali jenguklah almari baju dekat bilik. Tolong kemas dan susunkan kain baju yang banyak dalam tu.
Kadang masa itu baru kita tahu, rupanya pintu almari tu tak boleh pakai. Sendal macam gitu sahaja. Silap sikit boleh terbalik pintu almari.
Iron baju kita pun silap-silap sudah barai. Jenuhlah isteri ini ironkan baju. Hati-hati takut terbakar baju. Yang ada tu jenis masukkan air, melimpah pula keluar. Basah bajunya.
Suami, jenguk lah juga sesekali ke bilik tidur anak-anak. Lapik kayu katil anak tu ada yang sudah patah. Anak asyik melompat selalu, patahlah. Bila tidur senget dah.
Langsir bilik anak pun sudah luntur. Warna sudah tak berseri. Kita tak pernah pandang.
Ads
Ada banyak lagi kerja rumah yang kita boleh buat. Bukan setakat dapat membantu isteri, tapi lebih utama kita tahu keadaan semasa rumah kita.
Mana yang rosak, perlu diganti atau cuma perlu dibaiki. Benda benda ni kita jarang perasan sebab kita tak pernah tengok.
Yang kita tahu persoal ke isteri bila lambat masak. Lembap kita kata. Padahal dapur rosak sebelah.
Baju kerja kita rosak. Bau kepam. Kisahnya mesin basuh rosak. Jadi basuhan tak sempurna. Kita marah marah je tahu.
Nak cari seluar kerja tak jumpa. Iyalah dah almari separa roboh. Memanglah jadi tak tersusun. Nak mencarinya bukan main payah.
Isteri tu bukan tak nak bagitahu. Diam sebab tak nak susahkan kita. Tak nak bebankan kita. Dia guna segala apa yang ada.
Selalu Mendengar Luahan Isteri
Jadi, kitalah kena selalu melihat. Tengok apa yang perlu.
TV, aircond, extension plug, meja kerja dekat rumah, sofa dan katil kita tidur memang lah kita tengok selalu. Sebab tu barang kita. Barang yang isteri guna hari hari ni kena perhati juga.
Ads
Begitulah hidup suami isteri. Ada banyak lagi. Tinggal kau kena peka dan selalu mendengar.
Sekian.
Firdaus Mokhtar,
Suami juga.
Mingguan Wanita: Hidup berpasangan begitulah, kena saling memahami serta bertolak ansur. Jika berdepan masalah, luahkan pada pasangan, jangan dipendam hingga timbul mudarat.
Sebagai seorang isteri, kita hanya nampak kita saaja yang stres dengan menguruskan anak-anak dan rumah tangga. Kita nampak suami hanya diam, tak tunjuk apa-apa tindak balas, umpama tak ada langsung rasa stres. Kadang-kadang, isteri mula naik geram, bila suami buat tak tahu.
Lebih-lebih lagi, bila suami banyak diam, tidak banyak bercakap. Firasat isteri, suami penat di tempat kerja. Sedangkan isteri lagi penat dengan tugas-tugas di tempat kerja dan balik ke rumah dengan uruskan rumah tangga lagi.
Walau bagaimanapun, isteri kenalah sama-sama memahami dan jangan fikirkan stresnya sahaja. Bahaya menanti buat suami jika dia pun alami stres ini. Malah lebih terus boleh membahayakan kesihatan.
Ikuti perkongsian daripada Imam Muda Hassan tentang perkara ini.
Jangan Tambahkan Stres Suami
Saya tahu, ramai isteri yang mungkin tidak setuju dengan apa yang saya katakan ini. Sebab kalau nak diikutkan isteri lebih stres, tekanan tempat kerja, balik nak jaga anak, nak hadap suami yang macam-macam karenah. Tak masuk lagi suami main kayu tiga.
Baik suami baik isteri masing-masing ada ujian. Cuma mungkin berbeza cara suami dan isteri hadapi tekanan hidup. Tidak seperti isteri, suami jarang memperlihatkan perasaan mereka di khalayak ramai.
Suami lebih gemar menyembunyikan perasaan mereka, termasuk stres, disebabkan oleh faktor ego atau tidak mahu membesarkan perkara yang dianggap remeh.
Mungkin disebabkan oleh tanggapan yang remeh ini juga, suami tidak begitu mempedulikan tanda stres yang berlaku pada diri mereka. Sedangkan perkara ini agak merbahaya, ia boleh mengundang kemurungan.
Suami yang kemurungan boleh bertindak di luar kawalan, sehingga boleh mengambil tindakan membunuh isteri dengan cara yang tidak disangka.
Sebelum suami kemurungan, isteri perlu bantu suami, teman faham isteri juga stres. Tapi stres seorang suami susah nak nampak, ia makan dalam dan akan memendekkan umur suami. Stressseorang suami akan menurunkan sistem imun tubuh dan mudah diserang penyakit kronik. Kasihanilah suami kalian.
Simptom Fizikal Stres Suami
1. Sakit pada bahagian dada. 2. Jantung yang berdegup laju. 3. Tekanan darah tinggi. 4. Tercungap-cungap. 5. Keletihan. 6. Dorongan seks yang semakin menurun. 7. Sakit pada bahagian otot seperti sakit belakang dan sakit leher. 8. Sakit kepala. 9. Pening. 10. Rasa kering pada bahagian tekak. 11. Sembelit atau cirit-birit. 12. Peluh meningkat.
Macam mana nak melegakan stress suami? Suam isteri kenalah sama-sama terbuka dan berbincang ye.
Hassan Adli
Suami yang tak nak stress
#jiwatenang
MW: Memang isteri ingat dia stres tapi suami pun alami yang sama, kita saja yang tak tahu ke atau buat-buat tak tahu. Kenalah sama-sama faham ye!
Kehidupan wanita bernama Rosnah bt Nordin berubah seratus peratus sebaik tragedi kemalangan meratus nyawa suaminya berlaku kira-kira lapan tahun lalu.
Tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan bersendirian tanpa suami membesarkan anak-anak yang semakin meningkat dewasa.
Reda Apa Yang Terjadi
Namun takdir Tuhan siapa yang mampu menghalang. Rosnah hanya mampu memanjatkan doa pada Ilahi agar memudahkan kehidupannya sebaik bergelar ibu tunggal. Kini ibu kepada empat orang cahayamata lelaki ini bahagia semakin redha dengan apa yang telah berlaku.
Masih kekal dalam ingatan Rosnah saat-saat suami menghembuskan nafas di hadapan matanya. Kelihatan air bergenang pada matanya ketika mengingati kembali saat-saat tersebut.
“ Kemalangan itu berlaku pada bulan Ramadan 2011. Suami saya seorang pemandu bas pelancong. Hari itu dia mahu membawa saya melihat bas yang dia bawa. Suami akan bawa saya ke mana-mana sahaja pada hari dia cuti.
Habis tengok bas, kami balik. Dalam kereta suami dan saya bersembang. Cadangnya keesokan hari selepas bersahur kami mahu balik ke kampung. Sedang kami bersembang itu secara tiba-tiba kereta yang dipandu suami terkeluar dari laluan jalan.
Suami mahu masuk ke laluan jalan semula. Tetapi lain yang berlaku. Kereta kami terbabas. Mungkin suami tertekan minyak menyebabkan kereta tidak dapat dikawal dan akhirnya kereta terlanggar tiang pembahagi jalan.
Akibat kemalangan saya mengalami kecederaan teruk. Tangan kanan seperti tercabut. Manakala peha dan leher tidak boleh bergerak. Kalau melihatkan kecederaan teruk itu, seperti saya yang akan meninggal dunia. Suami pula luarannya tidak ada apa-apa. Dia mengalami kecederaan dalaman.
Dibaringkan Berdekatan Suami
Sebaik dikeluarkan dari kereta oleh orang yang berada di tempat kejadian, saya dibaringkan berdekatan dengan suami. Kami tidak dapat melihat satu sama lain tetapi saya mendengar suara suami. Dia tanya bagaimana keadaan saya. Dia juga minta air untuk diminum. Saya juga mendengar dia bercakap seorang diri bagaimana dengan anak-anak kalau dia mati.
Tidak lama kemudian, saya dan suami dibawa ke hospital. Kecederaan suami rupanya agak parah. Melihatkan keadaan suami itu, doktor telah membawa saya yang ketika itu memang teruk kecederaan yang dialami untuk bertemu dengan suami. Sempat lagi saya bertemu suami sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.”
Betapa sedihnya Rosnah apabila suami tersayang pergi meninggalkannya. Hatinya semakin pedih memikirkan nasib diri dan anak-anak kerana mereka telah kehilangan ketua keluarga pencari rezeki utama.
“ Sewaktu suami hidup saya tidak bekerja. Anak sulung saya pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti belajar tetapi saya tidak benarkan. Saya mahu semua anak-anak saya meneruskan pelajaran. Biarlah saya sahaja mencari kerja untuk menyara mereka.”
Berkat Kuasa Doa
Rosnah dan anak-anak tinggal di Bandar Tun Razak selepas kematian suami. Mereka tinggal di rumah sewa yang diduduki bersama suami ketika arwah masih hidup. Tanpa suami, kini anak-anak menjadi penguat semangat buat Rosnah untuk meneruskan kehidupan.
“ Selepas saya keluar hospital, saya cari kerja. Nasib baik ada kawan yang baik hati membenarkan saya menjaga gerai nasi lemak miliknya. Saya ingat lagi saya bekerja dalam keadaan tangan yang ‘tergantung’. Walau sudah ada kerja hati saya tetap tidak tenang kerana perlu memikirkan bagaimana mahu mencari rumah baru kerana tuan rumah yang menyewakan rumahnya kepada kami mahu mengambil semula rumahnya.
Ke hulu hilir saya memohon rumah DBKL. Akhirnya berkat doa yang tidak putus-putus pada Allah, saya mendapat sebuah rumah di PPR Kg Muhibbah, KL. Bersyukur saya kerana selesai masalah besar dalam hidup saya ketika itu.”
Kerja Baru
Berpindah ke rumah baru menyebabkan Rosnah perlu mencari kerja baru. Rosnah mengambil keputusan menjadi pengasuh menjaga anak jiran di rumahnya kerana dia memang suka kanak-kanak.
“ Mula-mula saya menjaga tiga orang budak. Selepas itu bertambah lagi seorang. Lama juga saya jadi pengasuh. Namun tanpa sebarang sebab, ibu mereka telah mengambil mereka semula. Hati saya jadi tidak senang kerana punca pendapatan sudah tidak ada.
Namun kuasa doa itu amat besar. Tidak sampai dua minggu tanpa sebarang kerja, tiba-tiba cikgu Tadika Kemas di kawasan perumahan saya menelefon. Dia menawarkan kerja sebagai pembantu cikgu Tadika kerana dia mahu membuka kelas Tadika baru.
Saya terima tawaran tersebut. Bermula dari situlah saya jadi Pembantu Cikgu Tadika. Walaupun pendapatan di Tadika tidak banyak seperti jadi pengasuh namun saya bersyukur. Saya seronok kerja di Tadika kerana jiwa saya dekat dengan budak-budak.”
Diam tidak diam sudah 7 tahun Rosnah bekerja sebagai Pembantu Cikgu Tadika di PPR Kg Muhibbah.
Seronok Sertai Persatuan
Bergelar ibu tunggal satu cabaran hebat buat Rosnah. Dia sentiasa berhadapan dengan pandangan serong dan negatif masyarakat sekeliling. Apa sahaja perkara yang dibuatnya sudah pasti ada yang mengeji.
Namun Rosnah cekalkan hati dan sentiasa tabah dalam menghadapi segala cabaran. Bagi memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan positif, Rosnah sentiasa cuba aktif dalam aktiviti di blok tempat tinggalnya dan juga di surau. Rosnah juga aktif dalam Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Cheras.
“ Saya berterima kasih kepada Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak Puan Nani Zakaria yang sentiasa mengadakan aktviti bermanfaat buat ahli-ahli persatuan. Saya seronok menyertai persatuan kerana mendapat kawan-kawan baru.”
Akhir kata Rosnah sempat menitip nasihat kepada wanita bergelar ibu tunggal lain agar kuat menghadapi kehidupan mendatang.
“ Jadi ibu tunggal segala-galanya kita kena buat. Hendak tidak hendak kita perlu berhadapan dengan setiap cabaran yang berada di hadapan mata. Jaga anak dengan baik kerana anak adalah harta yang ditinggalkan suami.
Saya sendiri rasa bersyukur kerana sejak ditinggalkan arwah suami, saya mampu membesar dan memberi pelajaran pada 4 orang anak yang kini 3 telah pun berjaya. Namun masih ada debaran dan kerisauan menunggu yang bongsu yang kini sedang belajar dalam tingkatan 6. Apa pun saya sentiasa ingat yang baik, fikir yang baik, minta yang baik, doa yang baik. Allah akan bagi yang terbaik. InsyaAllah,”akhirinya.
Syukur anak-anak mampu dibesarkan dengan sebaik mungkin
Foto: Azfarina Sulaiman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Peguam syarie kongsi kes cerai, isteri tidur air liur meleleh, darah ‘period’ bocor atas tilam. Sekarang, kes cerai makin meningkat. Ada yang bercerai sebab pasangan lupa beli makanan kegemaran, ada yang gaduh sebab tukar siaran TV, ada juga yang cerai sebab suami tak balas mesej cepat.
Peguam Syarie Kongsi Kes Cerai, Isteri Tidur Air Liur Meleleh, Darah ‘Period’ Bocor Atas Tilam
Kalau difikirkan, perkara-perkara ini bukanlah sebesar mana, tapi kenapa makin ramai yang ambil jalan mudah untuk bercerai? Perkahwinan bukan kisah dongeng yang sentiasa bahagia.
Akan ada naik turun, akan ada hari yang pasangan buat kita marah atau kecewa. Tapi kalau setiap masalah nak diselesaikan dengan cerai, apa gunanya lafaz akad nikah dulu?
“Pelik-pelik betul la bila datang mahkamah, tengok kes orang nak bercerai atas alasan yang remeh,” itulah luahan yang dikongsikan Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli menerusi catatan di kumpulan Telegram, Nota Syarie by Fahmi Ramli.
Katanya, selain isu curang, pelbagai alasan pelik turut menjadi punca keruntuhan sesebuah rumah tangga antaranya keadaan ketika tidur yang kurang memuaskan pasangan.
“Terkejut betul bila hakim tanya nak cerai sebab apa? Tak sefahaman. Ye la, tak sefahaman atas isu apa? Kita ingatkan isu curang ke, isu nafkah ke, bergaduh sebab lemah batin ke. Rupanya bergaduh sebab tak berkenan cara bini tidur. Sebab air liur meleleh.
“Tak pastilah yang ni memang isu seriuslah kot bagi sesetengah orang. Tapi, apalah sangat kerana isu tu sampai nak bercerai berai,” katanya.
Tambah Khairul Fahmi, ada juga pasangan yang bergaduh sehingga berlaku perceraian disebabkan kes period si isteri.
“Ada yang lafaz cerai bergaduh di rumah sebab isu bini tertumpah darah period atas tilam. Itu pun nak marah ka? Cabut cadar basuh je la kan.
“Heran sungguh. Mudah betul nak baran, bergaduh hanya kerana isu yang boleh selesai dengan satu tindakan mudah, mencuci,” kongsinya.
Beliau turut meninggalkan pesanan mengingatkan suami isteri untuk sentiasa bertolak ansur dalam berumah tangga dan tidak mudah berbalah hanya kerana hal remeh.
“Istighfarlah. Air liur meleleh itu mungkin tandanya penat. Fikirlah tentang kepenatan pasangan untuk bantu uruskan rumahtangga.
“Darah period bocor atas tilam pun bukan disengajakan. Benda yang orang lelaki tak tahu apa perempuan rasa pun,” katanya.
Perkahwinan bukan tentang siapa yang menang dalam pergaduhan. Bukan tentang siapa yang lebih hebat. Tapi tentang dua orang yang sanggup bertahan, walaupun susah dan senang.
Jangan biarkan perkara kecil meruntuhkan sesuatu yang dibina dengan janji dan harapan. Perkahwinan bukan untuk sehari dua, ia untuk selamanya.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Gadis 15 tahun hilang sejak Oktober 2025 dan keluarganya merayu bantuan orang ramai. Baca laporan penuh dan ketahui ciri-ciri Qaseh untuk membantu pencarian.