
Komunikasi diantara suami isteri sangatlah penting dalam hubungan perkahwinan. Tak kiralah apa juga topik, penting atau remeh rajin-rajinlah ringankan mulut berborak dengan pasangan. Isteri akan lebih gembira bila suami saling berkongsi cerita dengannya. Ia membuatkan isteri rasa lebih dihargai, dipercayai dan disayangi berbanding orang lain.
Perkongsian daripada Dr Mahyuddin Mohamed ini boleh dijadikan panduan pasangan suami isteri;
Teman 80:20
Malam ni saya berborak dengan isteri. Berkongsi cerita & mengenang kisah lama.
Ada suami yang tidak suka berborak dengan isteri. Lebih suka berkongsi dengan kawan. Dengan isteri, semuanya RAHSIA.
Pada saya itu adalah kesilapan yang besar. Jika kita ada masalah, berkongsilah dengan isteri. Wanita ni lain fikiran dia. Dia pasti ada sisi pandang yang berbeza. Ada masanya isteri kita nampak penyelesaian yang kita tak nampak.
Jadi Pendengar Yang Baik
Buat para isteri pula, jadilah pendengar yang baik. Elakkan daripada menyampuk atau membebel pula. Hargai suami anda yang berkongsi kisah atau masalah beliau.
Paling tidak pun, berkongsi dengan isteri ni therapeutics. Lega bila dah luah perasaan. Percaya cakap saya. Isteri gembira bila anda berkongsi dengannya. Beliau rasa dihargai, dipercayai & disayangi.
80:20
Saya ingat pesanan Prof. Muhaya, suami ni dia berkehendakkan 80 peratus hormat daripada isteri & baki 20 peratus lagi ialah kasih sayang. Isteri pula sebaliknya. Isteri perlu 80 peratus belaian kasih sayang. Jadi suami perlu zahirkan dengan ucapan & belaian.
Hubungan suami isteri yang berkasih sayang akan melahirkan suasana rumahtangga bahagia yang kondusif untuk pembesaran anak-anak yang sihat emosi & berakhlak mulia.
Pesan saya, berkongsilah dengan suami dan isteri anda jika anda ada sebarang masalah. Itulah perkahwinan. Jika anda hadapi sendiri kelak memakan diri sendiri nanti.
Baca Lagi Di Sini:Isteri Jadi Wanita Paling Bahagia Bila Suami Rajin Layan Bersembang
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Pesanan buat para suami, rajin-rajinlah berborak dan berkongsi cerita dengan isteri.Memang ada benarnya, ia mampu buat isteri bertambah bahagia dan lebih gembira.
Sumber: Dr Mahyuddin Mohamed
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jaga Isteri Dalam Pantang, 8 Tugas Ini Suami Patut Buat

Jarang kita dengar suami yang sanggup jaga isteri dalam pantang. Selalunya isteri ‘dipos’ ke kampung. Alasannya suami tidak pandai. Masa anak pertama mungkin alasan ini bolehlah diterima tapi bila anak dah masuk nombor dua dan seterusnya, suami kenalah belajar menjaga isteri dalam pantang.
Tempoh berpantang akan lebih indah bagi seorang isteri apabila dijaga oleh suaminya. Jangan terkejut kalau ada isteri yang menangis kerana hatinya begitu tersentuh dengan pengorbanan suami yang tidak cukup rehat dan tidur semata-mata nak pastikan isteri dan anak selesa.
Kalau nak isteri semakin sayang, suami kena sahut cabaran menjaga isteri dalam pantang. Berusahalah sepenuh hati pasti pengalaman ini mencatat memori indah dalam perkahwinan korang. Kepada encik suami, ikuti panduan ini. Tak susah pun jaga isteri dalam pantang syaratnya kena ikhlas, sabar dan gigih :.
Panduan Jaga Isteri Berpantang
1. Mandikan Bayi
Dalam pantang kalau nak isteri berehat sepenuhnya suami kenalah belajar mandikan anak. Minta panduan daripada emak atau orang yang lebih tua. Kalau nak mudah, mandikan baby di dalam tub. Gunakan set mandian bayi jangan main bantai ja. Kena ingat ye kulit baby sensitif. Lepas mandikan baby, urut perut baby dengan minyak telon supaya perut baby tak kembung. Sapukan minyak telon pada perut, belakang betis, tapak kaki dan belakang badan baby.
2. Sediakan Air Herba Untuk Mandian Isteri
Jika mampu sepanjang 44 hari, sediakan air herba untuk mandian isteri. Sekurang-kurangnya bagi isteri mandi air herba selama tujuh hari. Air rebusan herba ini membantu menghangatkan tubuh isteri, melancarkan perjalanan darah dan menyegarkan badan. Tak payah pening-pening, suami beli sahaja set mandian herba di toko jamu. Cara nak guna pun senang, rebus set herba sehingga mendidih, lepas tu tunggu suam baru bagi isteri mandi.
3. Cari Tukang Urut
Sediakan tukang urut untuk isteri. Jika isteri bersalin normal, hari kelima isteri dah boleh urut badan. Tapi jika isteri bersalin secara pembedahan, disarankan seminggu baru isteri berurut. Hanya urut badan ye jangan bagi bidan urut perut kerana bimbang jahitan pembedahan terbuka dan dijangkiti kuman.
4. Masak Menu Pantang
Masa isteri hamil, suami dah boleh cuba memasak menu dalam pantang. Google je resipi dalam pantang dan ikuti langkah mudah memasak. Bila dah selalu cuba, insya-Allah masakan akan sedap. Pasti kan isteri diberi makan makanan yang berkhasiat, elakkan makanan sejuk dan berangin. Tak sesuai untuk wanita lepas bersalin. Menu yang paling senang masak sayur sawi, ulam pegaga, ikan bakar atau sup ayam.
5. Jangan Lupa Tungku & Bengkung Isteri
Lepas isteri diurut, bengkung isteri. Jangan lupa sapu minyak panas supaya badan isteri tidak masuk angin. Bagi isteri yang bersalin normal, suami perlu bakar tungku antara 10 hingga 15 minit supaya isteri dapat bertungku. Lapik tungku dengan daun herba seperti daun kunyit dan mengkudu. Tungku isteri sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Daun kunyit boleh dibeli di kedai runcit atau di pasar tani.
6. Bagi Isteri Makan Jamu
Bagi menjaga kesihatan dan kecantikan dalaman isteri, belikan jamu atau herba. Tanya isteri atau ibu mentua agar memilih produk yang tepat. Pasti kan isteri makan jamu secara konsisten untuk kesan yang terbaik.
7. Beli Ubat Lembutkan Najis
Suami kena tahu, lepas bersalin biasanya bahagian intim isteri dijahit. Jadi ramai isteri yang fobia nak buang air besar. Bagi isteri minum air suam secukupnya agar tidak sembelit. Suami juga boleh beli ubat lembutkan najis di farmasi.
8. Pastikan Isteri Cukup Rehat & Bagi Sokongan Moral
Emosi isteri biasanya mudah terganggu dalam pantang kerana isteri penat dan melalui proses penyembuhan selepas ‘bertarung nyawa’. Jadi suami kena banyak bersabar dan bagi sokongan moral. Pasti kan isteri cukup rehat dan cukup tidur. Jika baby berjaga malam, suami kena bergilir dengan isteri menjaga baby.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sarungkan Cincin Kahwin Bukan Sekadar Subur Rasa Cinta, Malah Peroleh Pahala Gembirakan Hati Isteri

Cincin perkahwinan itu besar nilainya pada pasangan suami isteri. Cincin yang kekal disarung bukan sekadar simbolik perkahwinan tanda cinta dan kasih seorang suami pada isteri. Rupa-rupanya ada pahala yang suami boleh peroleh dengan menyarungkan saja cincin perkahwinan di jari.
Ikuti perkongsian manis daripada seorang suami dan bapa anak dua, saudara Bijen Mohd tentang bagaimana hanya dengan sebuah cincin dapat membahagiakan hati isterinya.
Heart Beat Cinta Kanda
Tak lama lagi, insyaAllah genaplah 5 tahun usia perkahwinan saya dan isteri. Saya lihat di jari, masih tersemat cincin perkahwinan kami. Romantik bukan? (Err…)
Bagi orang perempuan, pakai cincin kahwin itu biasa. Tapi orang lelaki, cukuplah pakai sebulan atau setahun dua saja. Bukan apa, tugas harian orang lelaki membuatkannya tak berapa relevan untuk dipakai sentiasa.
Tak percaya cubalah check tangan mereka, berapa kerat saja yang masih ada cincin kahwin di jari? Boleh kira dengan jari.
Saya sebenarnya pun sama, rasa geli.
Hinggalah pada satu hari, ketika daurah kitab Syamail Muhammadiah, tuan guru mensyarahkan bab cincin Nabi.
Beliau beritahu cukup seseorang itu memakai cincin pinjam walau seketika, dia sudah pun mendapat pahala.
Maksudnya di sini, Ali jumpa Abu. Ali cakap pada Abu nak pinjam cincin dia.
Abu melurut keluar cincin dari jarinya dan memberikan kepada Ali. Ali menyambut cincin tersebut lalu menyarungkan ke jari manisnya.
Selepas beberapa saat, Ali pun menanggalkan dan memulangkannya kepada Abu dengan ucapan terima kasih.
Itupun sudah dikira mendapat pahala Sunnah. Wahh! Mudah sangat nak dapat pahala.
Lepas dengar saja perkara itu, saya terus bersemangat nak beramal. Bila balik rumah, saya pun carilah apa cincin yang ada sehinggalah terjumpa cincin kahwin dulu kala.
Saya tabahkan hati memakainya. Niat nak amal Sunnah semata-mata.
Nak dijadikan cerita, isteri bila tengok kita pakai cincin kahwin yang dia bagi dulu, hatinya pun mula berbunga-bunga. Amboi!
Rupanya orang perempuan ni bahagia bila kita memakainya. Mungkin dia rasa kita akan sentiasa ingat padanya. Ataupun sebagai petanda kepada makwe-makwe di luar sana bahawa lelaki tersebut sudahpun berpunya.
Kurang-kurang kalau lelaki dia nak pergi karaoke waktu dia tengah berpantang, tengok cincin teringatlah juga. Eh!
Tapi seriuslah. Bila pakai cincin kahwin ni rasa macam cinta tu segar-bugar saja. Rasa macam baru kahwin pun ada. Sudahlah amal Sunnah dapat pahala berganda, gembirakan isteri pun ada pahalanya.
Orang perempuan, setujukah anda?
P/s: Ini heart beat cinta kanda bila teringatkan dinda.
Sumber/Foto: Bijen Mohd via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bantu Suami Mengurangkan Kemudaratan Kesihatan Dengan Produk Alternatif

Memang bukan mudah untuk terus berhenti merokok apatah lagi setelah bertahun-tahun menjadi perokok tegar, namun ia tak mustahil. Malah menjadi impian setiap isteri agar suami dapat berhenti tabiat merokok kerana bimbangkan kesihatan suami yang berisiko boleh menghidap pelbagai penyakit berbahaya. Antaranya seperti kanser paru-paru, kanser mulut, sakit jantung dan sebagainya.
Bukan itu sahaja ia bagi mewujudkan persekitaran rumah yang lebih selesa, hirup udara segar, bebas bahaya asap rokok pada diri sendiri dan anak-anak. Sekaligus dapat mengelakkan pembaziran ’bakar’ duit yang boleh dimanfaatkan untuk simpanan dan kegunaan keluarga.
Sebenarnya, selain tekad keazaman yang tinggi dan sokongan orang sekeliling untuk berhenti merokok, isteri memainkan peranan penting dalam terus memberi kata-kata semangat serta sokongan, bersikap positif kepada suami agar cekal untuk melalui proses berhenti merokok.
Namun untuk berhenti merokok tak semudah disangka. Kandungan Nikotin dalam rokok yang menjadi punca utama ketagihan, dan kepuasan ‘menikmati’ saat merokok, sekaligus sering menggagalkan niat suami untuk berhenti rokok.
Malah untuk berhenti merokok memerlukan tempoh masa tertentu dan juga bantuan daripada produk alternatif untuk mengurangkan/ menghentikan ketagihan supaya benar-benar berjaya.
Dalam fasa ini, isteri boleh bantu suami untuk menggunakan produk alternatif bebas asap rokok bagi mengurangkan risiko kemudaratan pada kesihatan.
Pendekatan Pengurangan Kemudaratan Tembakau
Perlu tahu bahawa Pendekatan Pengurangan Kemudaratan Tembakau (Tobacco Harm Reduction) semakin popular di peringkat global. Selain boleh membantu perokok mengurangkan kemudaratan, ianya juga boleh membantu perokok tegar untuk berhenti merokok melalui pengenalan produk alternatif yang kurang mudarat.
Penggunaan produk alternatif yang kurang mudarat ini berbanding rokok tradisional terbukti efektif dalam menurunkan kadar individu merokok di negara ini. Ianya bukan sekadar mengurangkan kemudaratan, tetapi juga berkesan dalam mengurangkan kekerapan merokok.
Malah dalam Forum global, 4th Scientific Summit Tobacco Harm Reduction: Novel products, Research & policy anjuran SCOHRE, perbincangan bersama panel pakar mengenai isu-isu Pengurangan Kemudaratan Tembakau, Dr Loannis Boukovinas, MD, PhD, Ahli Onkologi perubatan bersetuju bahawa produk pengurangan kemudaratan adalah alternatif untuk mereka yang ingin berhenti merokok.
Elemen Pembakaran, Nikotin & Tar Dalam Rokok VS Produk Alternatif Bebas Asap Rokok
Ramai para suami sebenarnya memang tahu bahawa merokok itu tak baik untuk kesihatan diri dan keluarga, namun tetap ‘memilih’ untuk merokok. Ini kerana mereka menghisap rokok bukan semata-mata kerana ketagihan, sebaliknya kepuasan ‘menikmati’ saat atau ritual merokok itu sendiri.
Jadi jika ingin membantu suami untuk mengurangkan kemudaratan akibat tabiat merokok yang boleh menjadi risiko pelbagai penyakit berbahaya, para isteri perlu ambil tahu puncanya terlebih dahulu. Iaitu apabila sebatang rokok dihisap, ia melibatkan elemen pembakaran, kandungan nikotin dan tar.
1. Pembakaran
Suhu tinggi yang disebabkan oleh pembakaran tembakau daripada rokok menghasilkan banyak bahan kimia berbahaya. Dalam asap rokok terdapat lebih daripada 6,000 bahan kimia dan kira-kira 100 daripadanya telah diklasifikasikan sebagai berbahaya atau berpotensi membahayakan oleh pihak berkuasa kesihatan awam. Malah sebatian berbahaya yang ada pada asap rokok yang dihasilkan melalui pembakaran inilah yang menjadi sumber utama pelbagai penyakit yang disebabkan oleh rokok.
Sebaliknya,Produk Alternatif Bebas Asap Rokok pula tidak menghasilkan asap kerana ia tidak membakar tembakau. Aerosol yang ada produk bebas asap rokok pula berbeza dengan rokok tradisonal yang mempunyai asap, kerana tiada berlaku pembakaran.
2.Nikotin
Walaupun nikotin bukan bebas risiko (not risk-free) dan boleh menyebabkan ketagihan, namun ia bukanlah punca utama kepada pelbagai penyakit berbahaya berkaitan dengan tabiat merokok. Nikotin berlaku secara semula jadi dalam tembakau dan boleh menyebabkan kesan farmakologi, seperti meningkatkan kadar jantung dan tekanan darah.
Sebaliknya Produk Alternatif Bebas Asap Rokok pula memberikan nikotin untuk perokok dewasa yang mencari alternatif. Perokok tetap rasa ‘puas’ merokok dan dapat membantu mereka menukar sepenuhnya dan beralih meninggalkannya rokok dengan lebih mudah.
3. Tar Rokok
Tar rokok terhasil apabila tembakau dibakar. Tar rokok bukanlah bahan, sebaliknya ia sisa zarah yang terhasil selepas nikotin dan air dikeluarkan daripada asap rokok.
Sebaliknya bagi produk alternatif bebas asap rokok pula tar biasanya tidak digunakan. Ini kerana kandungan bahan kimia komposisi aerosol (atau ‘wap’) pada asasnya berbeza dengan rokok kerana produk bebas asap. Ia tidak membakar tembakau dan tidak menghasilkan asap.
Tukarlah Kepada Produk Alternatif Bebas Asap Rokok
Jadi buat suami yang ingin berhenti tabiat merokok atau mengurangkan kemudaratannya, isteri boleh mempertimbangkan dan sarankan untuk beralih daripada rokok biasa kepada produk alternatif bebas asap rokok ini. Ini kerana kandungan nikotin yang ada, perokok tetap rasa ‘puas’ merokok dan dapat memberikan pengalaman yang sama.
Malah sebenarnya terdapat pelbagai jenis produk alternatif bebas asap rokok ini. Kategori produk seperti produk tembakau yang dipanaskan (HTPs), e-rokok (vape), snus dan kantung nikotin oral (oral nicotine pouches).
• Produk tembakau yang dipanaskan (HTPs), mengandungi nikotin aerosol dengan memanaskan tembakau pada suhu yang secukupnya untuk melepaskan nikotin dan perisa daripada tembakau, tanpa terbakar.
• E-rokok, juga dikenali sebagai vape, produk e-vapor atau sistem penghantaran nikotin elektronik. E-rokok memanaskan cecair larutan yang mengandungi nikotin (jus vape) dan perisa kepada menghasilkan aerosol yang dikenali sebagai ‘wap’.
Produk-produk ini menggunakan pelbagai kaedah berbeza untuk menyalurkan nikotin tanpa pembakaran (terbakar). Ia memberi kepelbagaian kepada perubahan citarasa pengguna pada masa yang sama seiring perkembangan sains dan teknologi.
Oleh yang demikian, dengan memilih Produk Alternatif Bebas Asap Rokok sekurang-kurangnya ia dapat menghapuskan pembakaran, mengelak daripada menghasilkan asap dan mampu mengurangkan bahaya bahan kimia yang terhasil berbanding dengan asap rokok. Malah pastinya telah dinilai secara saintifik penggunaannya.
Produk Produk Alternatif Bebas Asap Rokok bukanlah bebas risiko sepenuhnya, tetap mempunyai nikotin, namun berpotensi untuk menjadi kurang berbahaya dan mudarat berbanding rokok biasa kepada pengguna.
Produk Produk Alternatif Bebas Asap Rokok yang disokong sains juga adalah salah satu pendekatan yang boleh membantu perokok yang gemar merokok untuk jauhi rokok tradisional, mengurangkan kemudaratannya sekaligus mampu membantu menghentikan tabiat merokok.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI