Gara-gara dendam dan marah dengan keluarga Siti Masitah Ibrahim, 11, dipercayai menjadi punca kanak-kanak perempuan berkenaan dibunuh oleh suspek yang dikenali mereka.
Kanak-kanak berketurunan Kemboja berkenaan dipercayai dipukul dengan objek tumpul di bahagian kepala oleh suspek berusia 23 tahun pada hari dia dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu.
Cedera Parah Bahagian Kepala
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati terdapat tiga kecederaan di rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri belakang kepala mangsa.
“Hasil pengakuan awal suspek, polis telah merampas senjata kayu yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.
“Motif kejadian adalah dipercayai kerana dendam atau marah terhadap keluarga mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Siti Masitah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Medang Hilir di Pekan dekat sini untuk ke kedai dengan menunggang basikal kira-kira pukul 5 petang 30 Januari lalu.
Mayat anak ketiga daripada empat beradik itu ditemukan kira-kira pukul 4 petang kelmarin oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di dalam semak bersebelahan sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Medang Kemahang, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
Othman bagaimanapun tidak menjelaskan punca yang menyebabkan suspek berdendam dengan keluarga mangsa.Kata beliau, suspek yang merupakan warga negara Kemboja adalah kenalan kepada keluarga mangsa dan mereka tinggal sekampung.
Kredit Foto: Utusan
Nafi Aktiviti Penjualan Organ
Hasil soal siasat, kata beliau, suspek pada awalnya tidak membuat pengakuan berkenaan kehilangan mangsa namun akhirnya mendedahkan penglibatan dirinya berkaitan kehilangan kanak-kanak berkenaan.
Ads
“Polis menafikan penularan berita yang tidak berasas bahawa terdapat organ-organ badan mayat berkenaan yang hilang yang kononnya dikaitkan dengan aktiviti penjualan organ manusia.
“Polis tidak menolak kemungkinan keadaan mayat yang tidak sempurna boleh diakibatkan oleh haiwan liar dan faktor mayat terdedah dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.
Ibu Melutut Dan Merayu, Pulang Anak
Sementara itu, ibu kanak-kanak perempuan yang ditemui mati dalam keadaan tragis di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, di sini, Sabtu lalu, Siti Masitah Ibrahim, 11, bertindak melutut dan merayu kepada suspek supaya memulangkan semula anaknya.
Perkara itu diceritakan semula ibu saudara mangsa, Norasiah Abdul Manan, 33, selepas suspek ditahan penduduk kampung pada malam 30 Januari lalu.
Katanya, ibu mangsa, Solihah Abdullah, 35, merayu kepada suspek yang dikenali sebagai Assom itu untuk memberitahu di mana Siti Masitah berada memandangkan dia adalah individu terakhir dilihat bersama kanak-kanak itu.
“Sambil menangis Kak Long meminta Assom memulangkan Masitah, malah dia terus berlutut dan merayu kepada suspek, namun suspek berkeras dengan mengatakan dia tidak tahu.
Ads
“Kami sememangnya mengenali suspek kerana dia pernah tinggal di kawasan kejiranan ini namun difahamkan sudah berpindah dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Pekan, hari ini.
Suspek Individu Terakhir Bersama Mangsa
Difahamkan, suspek yang berusia 23 tahun itu adalah individu terakhir dilihat membawa mangsa menaiki motosikal pada hari dia dilaporkan hilang.Dalam kejadian jam 5 petang Sabtu lalu, mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan tangannya diikat ke belakang dan tidak berseluar di dalam ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan.
Lebih memilukan kepala mangsa didapati terpisah dari badannya manakala beberapa organ dalamannya hilang.
Norasiah berkata, dia hairan bagaimana Siti Masitah boleh mengikut suspek sedangkan anak ketiga dari empat beradik itu bukan seorang yang mudah mesra dengan orang.
Ads
“Walaupun suspek biasa datang dan bermalam di rumah mangsa, namun Masitah tidak begitu rapat dengannya, sebab itu saya hairan bagaimana dia boleh mengikuti lelaki itu.
“Setahu saya sebelum kehilangannya Masitah memberitahu ibunya mahu ke kedai runcit untuk membeli mi segera, jarak kedai runcit itu hanyalah kira-kira 200 meter dari rumahnya..saya tidak tahu di mana Masitah berjumpa lelaki itu,” katanya.
Norasiah berkata, keluarga mangsa melayan suspek dengan baik dan sering memberinya makan apabila datang ke rumah mereka di Kampung Kemahang, Tanjung Medang.
Katanya, walaupun sudah berpindah ke Kampung Parit Tengah sejak dua tahun lalu namun suspek selalu singgah ke rumah keluarga mangsa.
“Kak Long selalu menjamunya makanan apabila berkunjung ke rumah, kami pun hairan mengapa dia bertindak kejam sebegitu rupa dan melupakan layanan baik diberikan keluarga Kak Long kepadanya.
“Kejadian ini sangat menyedihkan dan berharap keadilan dapat ditegakkan untuk Siti Masitah,” katanya.
MW: Salam takziah buat keluarga Siti Masitah semoga bersabar dan redha dengan segala ujian yang diberikan. Sesungguhnya ajal dan kematian adalah ketentuan dariNya. Semoga, pelaku menerima hukuman dan diberi pembalasan yang setimpal. Pesanan juga buat mak ayah agar lebih berhati-hati dalam melindungi anak-anak.Jenayah cukup kejam, tanpa mengira mangsa.
Pagi ini Mingguan Wanita dikejutkan dengan berita pemergian Hajarul Aswad Mat Kar, 34 jururawat Desa yang dilaporkan semalam demam bengkak susu rentetan kehilangan dua anak serentak akibat kemalangan membabitkan kenderaan jenis Perodua Kancil yang dipandunya dengan pacuan empat roda.
Menurut bapa saudaranya, Mohd Syukri Said, 57, Hajarul menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 3.13 pagi tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
“Semalam lebih kurang pukul 9.15 malam pihak HUSM telefon Azami memaklumkan yang isterinya ada masalah sikit.” ujarnya ketika dihubungi.
Jenazah Hajarul akan disolatkan di masjid besar Tanah Merah selepas solat Zohor ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Banggol Kemunting, Tanah Merah. Tempat yang sama bersemadinya jasad kedua-dua anaknya yang terbabit dalam kemalangan yang sama tempoh hari.
“InsyaAllah, suami Hajarul, Azamin Setapa dapat menerima ujianNya.” Tambah bapa saudaranya lagi, dia memastikan anak saudaranya itu untuk menjaga kesihatan dengan baik dan meminta agar redha dengan ketentuanNya.
“Begitulah redha yang Allah turunkan ke atas diri kita dan mungkin ada yang terbaik lagi Allah akan beri pada Azamin. Itu sajalah kata-kata semangat abe Ye selalu ucapkan pada Azamin.” Sambungnya mengakhiri temu bual bersama Mingguan Wanita.
Sebelum ini, arwah Hajarul yang terlibat dalam kemalangan dilaporkan dalam keadaan stabil dan mengalami demam bengkak susu selepas anaknya, Muhammad Azam Tamim, 6 bulan dan Nur Alya Nisrina, 12 tahun meninggal serentak akibat kemalangan yang membabitkan mereka.
Itu reaksi spontan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika dilontar soalan mengenai pasangan hidup baginda Tuanku itu.
Tuanku bertitah demikian sewaktu ditemubual Editor Eksekutif Astro AWANI Ashwad Ismail dan Editor Kanan Astro AWANI Cynthia Ng sempena Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, pada 30 Julai ini.
“Permaisuri begitu tahu selok-belok tentang masakan dan masak sendiri, dan kalau makan dia rasa lain macam, dia tahu apa yang kurang. Lebih daripada itu, saya nak berkongsi di sini bukan saja dia pandai memasak, tetapi dia cepat pula memasak.
“Dan ini yang saya cukup kagumlah. Saya… kalau saya duduk di meja makan tu, oh dia kata dia nak masak ini sekali untuk saya ni, tak sampai berapa minit dah siap,” titah Tuanku.
Kredit Foto: Astro AWANI
Berkongsi mengenai masakan daripada air tangan Raja Permaisuri Agong, Tuanku ada berkongsi beberapa jenis kegemarannya.
“Gulai kicap, ayam masak kicap.. masakan orang putih.. Western food, as I said just now, burger, roasted beef, Shepherd’s pie, chicken pie… dan macam macam lagilah.
“Antara lauk yang suka, saya suka taucu, dulu taucu sotong, taucu ikan, dan golek ayam… Laparlah pula,” seloroh Tuanku.
Kredit Foto: BERNAMA
Dalam pada itu, Tuanku turut berkongsi harapan baginda mengenai cucundanya, yang bakal mewarisi takhta Kesultanan Pahang Moden, dan seterusnya bakal menjadi Yang di-Pertuan Agong seterusnya mengikut sistem Majlis Raja-Raja.
“Saya harap, saya berdoa itu cucunda saya, cucunda yang akan saya dapat ni, nanti juga, harap mereka jadi anak yang berwibawa ataupun cucu yang berwibawa, dan mempunyai sifat-sifat yang mulia, dan yang baik, dan pandai ya.
“Dan saya harap… saya sentiasa berdoa supaya mereka menjadi insan yang berguna kepada keluarga dan negara, Insya-Allah,” titah Tuanku lagi.
Wawancara Eksklusif Pada 30 Julai
Wawancara eksklusif bersama Al-Sultan Abdullah akan disiarkan di saluran 501, Astro AWANI pada 30 Julai bermula pukul 9 malam dan turut ditayangkan di saluran 104, Astro RIA, saluran 301 (Astro AEC), saluran 201 (Astro VAANAVIL) dan saluran 110 (Astro HELLO).
Para pelanggan Astro juga berpeluang untuk mengenali sisi Al-Sultan Abdullah yang berbeza menerusi satu tayangan perdana dengan baginda pada 30 Julai ini ditonton di www.astroawani.com/live-tv bermula pukul 12 tengah hari.
Sementara itu, pada hari Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai ini, Astro AWANI akan menayangkan secara langsung dari Istana Negara, Kuala Lumpur.
Nek Minah masih kuat panjat pokok di usia 71 tahun, lakukan pekerjaan sejak usia remaja. Ramai beranggapan, wanita apabila memasuki usia 50-an akan mula memperlahankan kegiatan melibatkan fizikal kerana bimbang tidak kuat sebagaimana usia muda.
Namun begitu, istilah ini tidak terfikir oleh Minah Omar. Nenek berusia 71 tahun ini masih lagi cukup kuat iaitu mampu memanjat pokok duku yang mampu menjana pendapatan baginya. Jika sebahagian wanita pada baya ini lebih gemar menelek cucu dan melakukan kerja-kerja biasa tetapi Nenek Minah sangat bertenaga pada usia 70-an.
Nek Minah Masih Kuat Panjat Pokok Di Usia 71 Tahun
Memetik perkongsian Harian Metro, nenek Minah atau digelar “Tok Minah Nenek Atas Pokok” masih aktif memanjat pokok duku setiap kali musim buah ini di kampung mereka sebelum memungut hasilnya untuk dijual.
Berasal dari Kampung Sekayu, Kuala Berang, Nenek Minah mengakui lebih gemar memanjat pokok duku kerana buah yang dipetik terus dari atas pokok lebih tahan lama berbanding yang dikait menggunakan galah.
“Alhamdulillah, pada usia senja ini saya masih diberikan kudrat untuk memanjat pokok yang pekerjaan ini biasa dilakukan orang lelaki atau orang muda.Apabila tiba musim duku dan buah lain yang memerlukan dipetik dari pokok, perasaan ingin memanjat membuak-buak.
“Berbekalkan kain batik pada bahu, saya memanjat pokok duku untuk memungut buahnya,” katanya yang masih aktif melakukan kerja kebun dan bercucuk tanam.
Lakukan Pekerjaan Sejak Usia Remaja
Menurutnya, ketika muda dia mengambil upah memanjat pokok duku dan sekarang hanya memanjat pokok milik sendiri.
Katanya, dia bersyukur kerana diberi kesihatan baik dan mampu memanjat untuk mendapatkan hasil selagi kudrat masih kuat.
“Anak melarang saya memanjat pokok kerana bimbang keselamatan memandangkan saya menjangkau usia emas. Namun, saya memaklumkan saya masih mampu memanjat pokok kerana pekerjaan itu dilakukan sejak remaja.
“Alhamdulillah, sepanjang melakukan kerja memanjat tiada kejadian tidak diingini berlaku dan ia perlu dilakukan secara cermat serta berhati-hati,” katanya.
Katanya, selain memanjat, dia turut meredah hutan dan bukit apabila tiba musim buah perah di mana aktiviti itu dilakukan sendirian.
“Memanjat pokok duku hanya setinggi lima ke enam meter saja, namun bagi mendapatkan buah perah perlu berjalan lebih 10 kilometer pergi dan balik meredah hutan dan bukit,” katanya.
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.