
Salah satu cara mengeratkan lagi hubungan suami isteri adalah saling memberi hadiah bagi menggembirakan hati pasangan. Hadiah yang diberikan tak semestinya perlu mahal.Berilah ikut kemampuan yang dimiliki, namun jika mampu berikan hadiah barangan mewah pun apa salahnya.
Seronok melihat kebahagian pasangan suami isteri sama cantik dan sama padan Wawa Zainal dan Aeril Zafrel ni.Baru sebentar tadi, wawa berkongsi berita gembira, menghadiahkan suami tersayang, Aeril Zafril dengan kereta mewah!

Kalau sebelum ini Aeril Zafrel pernah membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah kereta Mercedes Benz C200 kepada Wawa Zainal, kali ini isterinya itu pula membuat perkara yang sama.
Wawa, 27, memberikan hadiah Toyota Vellfire berwarna hitam kepada Aeril bagi membalas kejutan yang dibuat suami kepadanya itu sebelum ini.
“Balas jasa suami belikan I kereta hari tu. Alhamdulillah ya Allah syukur atas kurniaan rezeki.
“Walaupun Aeril sedih sikit sebab sebenarnya dia nak kereta sport. Tahun depan ye sayang,” ujarnya.
Dalam pada itu Wawa turut berkata, tahun ini merupakan tahun paling bermakna buat dia dan Aeril terutama dalam bidang perniagaan.
Dia turut bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepada keluarganya.
“Tahun ni tahun yang sangat bermakna buat kami sikit impian Allah makbulkan. Benarlah kata orang rezeki itu tak pernah lambat tak pernah cepat dan tak pernah salah alamat,” ujarnya.

Sebelum ini pada 3 Jun lalu, pelakon Patahnya Sebelah Sayap itu membuat kejutan istimewa kepada Wawa apabila menghadiahkan sebuah kereta mewah, Mercedes Benz C200 berwarna hitam.
Hadiah itu juga adalah bersempena sambutan ulang tahun kelahiran Wawa ke-27 yang diraikan pada 12 Mac lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Ahmad Fakhruddin Attar, 5, serta Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 3.
Mingguan Wanita tumpang gembira dengan rezeki pasangan ini. Semoga bertambah kebahagiaan didalam rumahtangga dan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Ada rezeki lebih tak salah berkongsi dengan pasangan.
Sumber: Mstar & w4w4_Zainal
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
‘Terlibat Nikah Sindiket Tahun 1994’. 28 Tahun Kahwin, Baru Sedar Sijil Nikah Palsu

‘Terlibat nikah sindiket tahun 1994’. 28 tahun kahwin, baru sedar sijil nikah palsu apabila anaknya ingin berumah tangga. Bayangkan selama hidup bersama, masing-masing fikir bahawa sijil atau surat nikah adalah asli, rupa-rupanya tidak.
Pasti berdebar kerana pernikahan yang berlaku sudah 28 tahun lamanya dan sekarang anak pun dah nak berkahwin.
Bila perkara sebegini berlaku, dinasihatkan untuk pergi ke mahkamah untuk mengesahkan perkahwinan terlebih dahulu dan perkara ini sememangnya mengambil masa.
Ikuti perkongsian Peguam Syarie, Tuan Mohamad Azlin ini dan hadam baik-baik mengapa pentingnya untuk daftar nikah:
Terlibat Nikah Sindiket
NIKAH TAHUN 1994 SAH DAN BOLEH DAFTAR.
………
Alhamdulillah. Hari ni dapat keputusan kes pengesahan nikah tahun 1994 sah.
Sudah beberapa hari dok fikir keputusan kes ni. Debarnya lain macam.
Pasangan ini terlibat nikah sindiket tahun 1994 di satu negeri. Nikah di rumah seorang ustaz. Ada surat nikah tapi palsu.
Tahun 1994
Hasil perkahwinan dikurniakan 3 orang anak. Masing-masing ingat nikah tidak ada masalah dan tak tahu yang surat nikah yang diterima ketika proses pernikahan adalah palsu. Nampak macam sama seperti surat atau sijil nikah asli.
Masalah timbul bila anak perempuan pasangan hendak berkahwin. Bila check surat nikah mereka tiada dalam sistem. Surat nikah diragui. Allah! Tarikh nikah anak sudah ditetapkan. Macam mana nak buat. Kalau tangguh hendak bagi alasan apa pada keluarga sebelah sana?
Pasangan ini datang jumpa saya tahun lepas untuk minta nasihat, saya beritahu memang kena sahkan nikah mak, ayah dulu. Sudah sah baru boleh selesaikan part anak.
Baca Di Sini:
Kesan Nikah Siam Dan Nikah Sindiket, Masalah Menanti Di Kemudian Hari
Sanggup Nikah Ekspres Untuk Bermadu, Jangan Sampai Lelaki Ambil Kesempatan
34 Tahun Nikah, Tapi Tak Sah. ‘Nak Kahwin Buat Cara Betul, Kasihan Anak.’
28 Tahun Kahwin
Terpaksalah mereka naik mahkamah untuk pengesahan. Kalau tak buat memang tak selesai. Dari sebulan ke sebulan proses mahkamah kena lalui.
Hingga terpaksa tangguhkan tarikh kahwin anak dari sebulan ke dua bulan lagi. Sehinggalah tak mampu hendak tangguh lagi sebab sudah buat jemputan.
Ini antara yang mencabar sebab kami bergelut dengan masa. Hendak urus cepat sebab anak nak kahwin. Pihak sana sudah tanya bila nak langsungkan.
Baru Sedar
Anak yang nak kahwin tak boleh sehinggalah pernikahan mak ayah disahkan. Nak sahkan kena pegi mahkamah. Mahkamah pula ada prosesnya dan ia ambil masa.
Nikah pula sudah lama, orang yang terlibat dengan proses pernikahan, ramai sudah meninggal. Wali dan saksi pun sudah meninggal. Tinggal seorang saksi yang sudah berumur.
Sijil Nikah Palsu
Alhamdulillah, keputusan pernikahan pasangan ini sudah disahkan dan boleh didaftarkan. Syukur selesai semuanya. Pasangan ini pun nampak begitu gembira dan lega. Selama hari ini mereka risau dan bimbang akan perkahwinan mereka.
Sudah selesai, so bolehlah diteruskan pernikahan anak mereka.
Ambik iktibar dari kes ini. Jangan lambat daftar pernikahan dan jangan tak daftar pernikahan.
Moga ada manfaat.
Mingguan Wanita : Semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita semua dan jangan lambat daftar pernikahan kerana impaknya cukup besar kepada institusi kekeluargaan.
Sumber : Peguam Syarie, Tuan Mohamad Azlin
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Inilah Simptom Meroyan Yang Isterinya Lalui, Niat Lelaki Ini Cuma Nak Bagi Sokongan Pada Kaum Mak-mak Beranak Kecil

Jangan pandang remeh kalau wanita kesayangan anda mula ada simptom meroyan, mana yang tak tahu sila baca perkongsian saudara Lutfi Lokman, in shaa Allah anda mampu selamatkan orang tersayang daripada gangguan syaitan yang kesannya boleh meragut nyawa anak kecil tanpa disangka-sangka. Jemput selami dan bersedia emosi bila isteri anda dalam pantang…
Berikut adalah catatan peribadi isteri saya. Puan Najwa Abdul Rahman yang sedang berubat baru-baru ini. Puas dia pujuk saya suruh tulis dan kongsikan kepada anda. Katanya, ramai orang di sana yang memerlukan sokongan seperti ini.
Saya pun teringat. Ketika melahirkan anak pertama kami, Dr. Mashitah (salah seorang doktor pakar melayu yang bermastautin di Arab Saudi) telah membisikkan kepada saya,
“Lutfi, jaga Najwa. Bantu dia. Jangan bagi meroyan. Dia ada simptom tersebut,” sejurus keluar daripada menziarahi isteri saya dari bilik di Kota Makkah.
Meroyan? itu adalah kali pertama saya mendengar kalimah tersebut dan saya tidak sangka ia tersangat serius.
…..
Bismillah.
Hi. Saya Najwa. Ini adalah catatan saya ketika terkena penyakit yang disifatkan meroyan. Apa yang saya kongsikan di sini adalah pengalaman saya. Tujuan saya kongsikan adalah kerana di luar sana, saya tahu bukan saya sendiri sahaja yang mengalaminya. Ramai lagi orang lain yang kena juga penyakit ini namun tidak tahu merujuk kepada siapa. Ada yang meroyan bertahun lamanya. Ada yang pulih. Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat membantu mereka yang mengalami masalah sama dengan saya. Anda tidak keseorangan. Kita masih mempunyai harapan. Sinar cahaya masih ada di hadapan. Jangan putus asa.
Meroyan ada banyak jenis. Apa yang Najwa alami sekarang adalah ‘meroyan angin’ dan ‘meroyan darah’. Najwa tertekan dengan kehidupan, dengan anak menangis, suami tiada di sisi ketika melahirkan anak, sakit buasir ketika pantang, pantang tak boleh makan makanan yang biasa kita makan dan paling utama adalah tertekan dengan orang kata-kata orang yang datang ziarah ketika pantang (sebab Najwa beranak caeser).
Perlahan-lahan Najwa cuba berubah. Sampai bila Najwa nak hidup seperti ini. Pasti di sana ada jalan yang boleh memulihkan diri Najwa. Amalan najwa berubat sekarang ialah baca Al Quran setiap hari (sekurang-kurangnya 10 mukasurat ), baca istighfar, baca saidul istighfar (boleh Google) setiap hari dan amalan-amalan lain lagi contoh masuk bilik air baca doa, masuk rumah baca doa dan lain-lain. Najwa jugaf berubat cara tradisional (seperti minum akar kayu Merbu).
Simptom meroyan yang Najwa alami:
1. Apabila baca Al Quran ada bisikan datang suruh buang Al Quran dalam tandas atau pijak.
Astaghfirullah kalau Najwa tak ada asas agama mungkin dah lama tewas. Bila datang bisikan macam tu terus Najwa istighfar banyak-banyak dan cuba sedaya-upaya untuk lawan.
2. Kadang-kadang datang bisikan pasal anak-anak. Suruh buang anak, bagi orang je anak ini, anak ini adalah beban dan mendatangkan malang. Astaghfirullah. Najwa sendiri hairan kenapa aku ni macam ni? Sekali lagi, kalau Najwa tak ada asas agama, tak tahu lah apa dah jadi dengan anak-anak Najwa semua ini. Alhamdulillah, Najwa lawan dan tak ikut apa yang bisikan tu suruh.
3. Bila stress lagi lah bertambah bisikan tu dan Najwa tak ada ubat melainkan baca Al Quran dan Azkar (himpunan doa sunnah).
4. Sensitif tidak bertempat. Contohnya, kalau Najwa beli coklat dan anak-anak makan coklat Najwa itu, Najwa akan menangis dengan sungguh-sungguh.
5. Pemikiran tidak stabil. Masa tu di rumah emak. Rumah bawah. Terasa nak bunuh diri dan tamatkan hidup ini. Namun, terfikir juga berdosa apa yang Najwa buat ini dan sakit juga kalau kena batu. Lagi pula, rumah ni atas tanah. Bukan bangunan 40 tingkat. Nak terjun macam mana. Itulah kali pertama dan terakhir datang bisikan seperti itu. Masa itu pula dalam pantang anak kembar. Namun, Alhamdulillah. Asas agama adalah benteng pertahanan diri kita.
6. Rasa putus asa, rasa bersalah, rasa sunyi, rasa letih, selalu menangis, rasa diri tidak berguna, rasa keseorangan, rasa sedih dan murung.
Itulah perkara yang Najwa alami. Semua orang tak nampak. Orang tak percaya. Hanya diri kita sahaja yang tahu.
Kepada mereka yang mempunyai simptom di atas, cepat-cepatlah berubat kerana jika terlambat boleh jadi gila. Ada yang terlalu berat sehingga membunuh diri dan orang yang disayangi. Meroyan bukan hanya dalam pantang sahaja ya. Ia boleh berlarutan seumur hidup jika tidak berubat.
Paling penting, sokongan keluarga. Suami yang sentiasa ada di sisi. Suami yang melihat perkara ini dan membantu dalam perubatan. Membantu meringankan isteri. Menguruskan anak-anak. Mengemas rumah. Membasuh baju. Memberikan masa untuk Najwa bersendirian. Membantu ingatkan tentang solat dan bacaan Al Quran. Itu antara faktor penting dalam perubatan dan perubahan diri. Ia kembali kepada minda kita. Kekuatan minda yang diperlukan melalui amalan-amalan yang disebut di atas.
Insya Allah. Allah tidak akan sia-siakan hambaNya. Diberinya cubaan dan akan diberikan ganjaran dalam pelbagai bentuk buat kita. Percayalah. Kita mampu untuk menanggungnya dan menguruskannya. Kerana kita adalah makhluk paling sempurna Allah ciptakan.
Silakan kongsi. Semoga bermanfaat buat anda semua. Juga rujukan bagi bakal suami isteri.
Salam sayang,
Najwa Abdul Rahman.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Semenjak PKP, 24 Jam Duduk Rumah, Masalah Makanan Paling Utama

Bagi keluarga mempunyai anak-anak ramai, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah makanan lah antara yang dihadapi keluarga. Terutama mencukupkan makanan untuk keluarga.
Bila dah ramai-ramai berkumpul, pagi petang siang malam, makanlah paling membahagiakan. Tengok dalam grup makan atau masakan di fb pun itulah yang paling meriahnya.
Bagi bapa anak 8 ini, Muhd Nur Syafiq ketika berkumpul dengan anak-anaknya dan bertanyakan tentang apa yang anak-anaknya rindu. Persoalan masalah makanan tak cukup ini ditanyakan oleh anak kecilnya.
Bersembang Dengan Anak-anak, Tiba-tiba Ditanya Masalah Makanan
Semalam cuti. Puas dapat luangkan masa dengan anak-anak. Lepas Maghrib sementara tunggu Isyak, aku ambik kesempatan sembang-sembang sikit.
Topiknya apa yang paling anak-anak rindu? Sengaja nak tahu pendapat anak-anak tentang rindu.
Riuh rendahlah masing-masing. Hahaha. (Padahal tiap waktu pun riuh). Sorang-sorang bersuara.
Rata-rata rindukan rumah sewa yang kami diami hampir 9 tahun di Puchong. Lahir dan membesar di sana, masakan tidak rindu.
Ada juga mereka suarakan rasa rindu nak ke sekolah. Nak jumpa kawan-kawan. Nak travel ke sana ke sini especially ke KL lah.
Tapi paling menyentap rasa bila Rizqi cakap cenggini.
Masalah Makanan Selalu Tak Cukup, Semua Kena Kongsi
“Aci paling rindu masa Aci kecik. Masa adik-beradik sikit.”
(dia memang bahasakan diri dia Aci.Entah singkatan Iqi atau Acik aku pun tak pasti).
“Eh! Eh kenapa pulak rindu masa adik -beradik sikit? Baguslah adik-beradik ramai, ramai kawan. Boleh main. Boleh temankan Iqi kalau Iqi takut.”
“Memanglah seronok. Tapi sekarang makanan selalu tak cukup. Dapat makan sorang sikit. Semua kena kongsi. Dulu, stok makanan banyak. Sekarang, apa pun kena bagi Amjadlah. Kena bagi Ali lagi. Mainan pun dah lama tak beli.”
Dia mula dah. Mencecehla mulut dia macam-macam. Aku diam je. Dengar apa lagi yang dia nak cakap.
Otak aku ligat fikir kebenaran kata-kata dia. Juga mencari kata yang sesuai untuk beri kefahaman mengenai situasi sekarang pada dia.
Aku akui, semenjak PKP dan anak-anak 24 jam di rumah, masalah makananlah paling utama. Dah 24 jam di rumah, sekejap-sekejap depa bukak peti ais. Sekejap-sekejap buka kabinet cari biskut. Sat je stok makanan licin. Tak sempat tunggu gaji hujung bulan, semua dah clean n clear.
Anak-anak Ramai Stok Makanan Kena Banyak
Teringat perbualan aku dengan seorang kawan beberapa bulan lepas.
“Weh Pik, hang satu family sekali makan banyak mana ha? Huish, anak-anak ramai ni stok makanan kena banyak dan selalu ada. Tak dapat aku bayangla macam mana hang boleh hadap. Aku anak tiga ni pun, barang makan jajan depa saja empat lima ratus.”
Aku gelak dengar soalan dia dan mula pecah rahsia.
“Kalau nugget sekilo tu sekali goreng ja. Roti Gardenia jumbo pun sehari boleh habis. Sekali masak nasi 5 pot. Kalau goreng bihun mau 2 bungkus baru semua kenyang.” Aku gelak lagi.
“Seriusla? Hang tau kat rumah aku ni beli roti kadang sampai expired. Sapa tak pandang. Kadang bergaduh-gaduh paksa anak-anak makan. Nugget kalau beli, tunggu la ada orang datang. Waktu tu baru jalan. Syoklah hang. Mesti meriah rumah. Seronok family besar. Makan berebut-rebut. Yang tulah jadi kenangan nanti. Susah sikit sekarang, nanti senanglah hang Pik.”
Lepas tu kawan aku menung. Hahaha agaknya dia fikir susahnya kehidupan aku kot.
Rezeki Allah Bagi, Sorang Sikit
“Hish apa pulak tak cukup makan! Rezeki Allah dah bagi, sikit sorang sikit. Hari-hari makan kan? Ada nasi, ada lauk, syukurlah. Ada orang tak ada apa-apa langsung untuk makan tau.” Zaisya Shukor bersuara.
Rizqi diam. Yusuf pandang aku.
“Dulu masa kami kecik, selalu dapat pergi jalan-jalan. Tidur hotel bila mama ada kerja. (Seminarlah kot maksudnya). Sekarang kena duduk rumah je. Bosanlah! Rindu nak naik kereta lama-lama pergi KL rumah Pak Ngah. “
“Ali pulak rindu mama kena Covid. Bila mama duduk kat hospital lama-lama, kami semua tak kena marah.”
Mak oih ni lain macam jenis kerinduan ni. Hahaha.
mengundang murka si mama.
“Ajad pun rindu balik kampung.” Entah faham ke tidak soal rindu , menyampuk je tahu. Hahaha.
Aku tarik nafas panjang.
“Sekarang semua kena duduk rumah. Tak boleh keluar. Tak boleh jalan-jalan. Nak ke keluar jalan-jalan lepas tu semua kena Covid?” Semua geleng.
“Iqi, Ucop, tak baik mengeluh tak suka adik-beradik ramai. Semua yang ada kena share. Abah dah beli banyak dah tu makanan, dah taktau nak beli banyak mana baru cukup. Kena selalu ada rasa syukur. Kena selalu fikir orang lain yang lagi susah. Yang sakit sampai tak mampu nak kunyah dan telan makanan. Abah dah tak beli mainan sebab semua dah besar, dah sekolah. Kena belajar rajin-rajin. Faham tak?”
Masing-masing angguk kepala.
Baca Sini : 2 bulan makan dalam talam kekadang makanan sikit, ajaibnya tetap cukup.
Maafkan Baba Anak-anak
Waktu-waktu macam ni terjaga, syahdu je rasa. Pandang muka anak-anak seorang demi seorang. Bukan mudah mahu jadi abah yang terbaik. Bukan soal wang ringgit saja. Makan pakai juga perlu dijaga. Selalu tertanya-tanya aku ni jenis abah yang macam mana? Emosi anak-anak aku cakna ke? Masih ada ke hak anak-anak yang aku belum lunaskan?
Berat beban yang abah tanggung. Abah selalu sembunyikan rasa. Abah selalu diam dan senyum. Hanya dua perkara ini yang abah mampu. Bukan aku saja. Semua yang bergelar bapa rata-rata menyembunyikan rasa yang sama aku kira. Bertali-arus benda nak kena fikir. Hal kerja. Hal rumahtangga.
Maafkan abah anak-anak.
Maafkan kekurangan.
Maafkan kekasaran.
Maafkan kegagalan.
Maafkan segalanya.
Kami Tidak Minta Dibelai, Dimanja Bagai Raja
Kadang, lisan kami mengeluarkan kata-kata kesat. Wallahi, ia tanpa niat. Ia cuma mewakili raga kami yang penat.
Kadang, ego kami tercalar bila isteri berleter. Bukan menidakkan apa yang betul, cuma sesekali kami tidak mahu terlalu dikontrol. Nasihatilah kami dengan lemah dan lembut. Penuh belas bila menegur.
Kadang muka kami masam. Kami pilih untuk diam. Kerana dada kami sarat emosi. Akal kami kuat merancang macam-macam. Tetapi malang, isteri dan anak-anak juga tidak faham makna kami mendiam.
Kami tidak minta dibelai dimanja bagai raja. Kami cuma perlukan ruang dan masa sekali-sekala. Kami bapa. Seteruk apa, seburuk mana … namun di lubuk hati paling dalam kami tetap impi bahagia. Bahagia kerana berjaya membahagiakan keluarga.
Selamat hari bapa buat semua yang bergelar bapa. Aku tahu di sebalik senyum dan tawa kita, tersirat seribu satu rasa. Aku tahu semua ini tidak mudah. Berkuatlah! Kerana kita bapa! Selamanya HERO mereka!
Sumber/Foto : Muhd Nur Syafiq
Mingguan Wanita : Walaupun masalah makanan boleh jadi utama, namun setiap anak-anak itu ada rezekinya.
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!







