Kata orang tua, garang biarlah bertempat dan jangan pula terbawa-bawa hingga berpasangan. Sikap garang jika kena pada tempatnya tidak salah, namun jika hingga tidak menghormati orang lain terutamanya suami atau mertua amatlah tidak wajar.
Berhubung dengan isu Isteri Garang, Kecilkan Hati Mertua, Dr Ben Fadzil Mohd Salleh cuba berkongsi pendapatnya dengan pembaca Mingguan Wanita.
Garang adalah satu sifat ego seseorang yang mempunyai perwatakan semula jadi atau yang sengaja dibuat untuk mendapatkan perhatian dan juga untuk menakut-nakutkan orang lain.
Ianya juga adalah sifat yang sering dibuat-buat untuk menunjukkan sikap kelebihan diri seseorang kepada orang lain. Adakalanya ia adalah sifat yang sengaja dilakukan atau diadakan dengan niat menunjuk.
Selain itu, dikatakan ianya berlaku apabila kita ingin memberitahu dengan bahasa badan bahawa kita berkuasa dan bukan jenis untuk dipermainkan atau diperlekehkan. Sikap garang boleh memberi salah tafsiran kepada orang yang melihatnya seperti sombong, menunjuk-nunjuk, riak dan juga bongkak.
Tidak ada mertua yang suka menantunya bersifat atau berlaku garang dihadapan mereka. Kebiasaannya mertua inginkan menantu mereka mempunyai sifat penyayang dan lembut serta memberi mertua penghormatan sebagai mertua dari anak menantu dan bukan menunjukkan betapa garangnya kelakuan menantu mereka.
Ads
Isteri yang garang sudah pastin akan mengecilkan hati mertua sebab mertua akan merasa rendah diri serta rasa dibuli oleh anak menantu mereka. Sifat garang akan menyukarkan lagi pergaulan di antara mertua dengan menantu kerana mertua akan berasa tiada kebebasan berbicara dan bergaul.
Cara Lembutkan Sikap Garang
Bagi melembutkan sikap isteri yang garang, seorang wanita itu perlulah mempunyai sikap hormat-menghormati, bertolak-ansur, mempunyai perasaan kasih sayang seperti menyayangi mertua seperti ibu bapa mereka sendiri, banyak mengalah dan kurangkan perasaan membanggakan diri.
Ibu mertua adalah orang yang paling rapat dengan suami dan memahami setiap perangai si suami tersebut.
Ads
Langkah yang paling efektif untuk memulihkan hubungan ibu mertua dan isteri ialah dengan membawa isteri berjumpa dengan mertua dan mengadakan komunikasi kekeluargaan.
Di samping itu, suami hendaklah menjalankan tugasnya dengan merapatkan hubungan isteri dengan mertua dengan memastikan mertua dilayan dengan baik dan dihormati oleh isteri mereka.
Akhir kata, anggaplah mertua seperti ibu dan bapa sendiri. Sebagai menantu, isteri tidak sepatutnya ada istilah menyakitkan hati mertua kerana ianya seperti menyakitkan hati ibu bapa isteri sendiri.
Ads
Sebaiknya sebagai seorang isteri patut menjaga tertib dengan setiap hubungan bersama mertua dalam menjaga hati, harmoni kekeluargaan dan silaturahim dengan mertuanya.
Langkah menghindarkan diri pulang ke kampung atau jarang pulang ke kampung hanya akan menjauhkan perhubungan di antara isteri dan mertua dan ia bukanlah alternatif terbaik.
Oleh hal yang demikian, segala masalah di antara menantu dan mertua perlulah diselesaikan dengan baik dalam suasana yang damai.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jangan jadikan kebiasaan suami isteri, tinggal satu rumah tapi tidur asing asing. Alasannya ada anak kecil. Mahu jaga keselesaan isteri dan anak. Oh! jangan biasa-biasakan. Sebab kesannya lebih buruk pada emosi isteri.
Berdasarkan pengalaman beliau sendiri; tidur berasingan suami isteri itu disebabkan :
Untuk satu katil bersaiz queen atau king sekalipun, memang agak sempit dan membahayakan jika 2 orang dewasa dan bayi atau anak kecil tidur bersama. Risiko terhempap dan tertutup ruang untuk bayi bernafas amat menakutkan sekali. Semasa tidur, tidak semua boleh sedar apabila ianya terjadi.
Disebabkan itu, ramai pasangan mengambil keputusan untuk tidur berasingan. Selalunya si suami akan mengalah dan tidur di tilam lain di sebelah katil atau di bilik yang lain. Ini dapat mengelak dari risiko perkara yang tidak diingini berlaku dan memberi ruang kepada isteri untuk tidur dengan lebih selesa.
Masalah ini subjektif, ada keluarga dapat tangani masalah ini dengan mudah. Penerimaan dan kefahaman anak pun mudah. Namun, ada juga keluarga yang masih bergelumang dengan masalah ini. Kerjasama dari anak kurang, ketegasan dari kedua ibu-bapa pun kurang. Ada kalanya, masa juga memainkan peranan. Bila tiba masanya, anak itu akan rasa mudah untuk tidur bersendirian.
Untuk menyelesaikan masalah ini, saya cadangkan ibu-bapa sediakan tempat tidur yang selesa dan menarik buat anak. Janganlah ala kadar sahaja. Bagi mereka rasa yang itu adalah khas untuk mereka. Bagi mereka rasa yang itu zon selesa buat mereka. Jika anak perempuan, hiaslah dengan cantik. Jika anak lelaki, mungkin adanya mainan boleh membantu.
Selepas itu, boleh juga amalkan menemani mereka beberapa ketika sebelum mereka tidur. Sambil lampu tertutup, usap mereka, bercakap dengan mereka dan biarkan mereka tenang dan rasa selamat. Cara ini sangat membantu.
Ketegasan juga memainkan peranan penting. Sampai bila kita perlu dikawal oleh anak? Tidur berasingan ini mendatangkan kesan dan masalah yang lebih mendalam.
Masalah ini tidak kami jangkakan sebenarnya. Setelah mempunyai 3 orang anak barulah kami sedar. Ada kemungkinan, isteri saya telah merasakannya dahulu tetapi tidak sampai ke tahap ini. Tetapi, ia mungkin juga akan terjadi kepada anda seawal anak pertama lagi.
Dari pengalaman kami sendiri buat masa ini, ada beberapa kesan yang tidak baik akibat dari tidur berasingan ini.
Untuk makluman, seorang wanita bergelar isteri dan mempunyai anak, hampir pasti akan mengalami stres di rumah. Tidak kira bekerja atau suri rumah sepenuh masa, mereka akan stres dengan kerja-kerja di rumah, dengan anak, dengan suami dan lain-lain.
Secara semulajadinya, tidur bersama suami akan mengurangkan stres dengan amat berkesan. Sentuhan dan pelukan suami sangat membantu menenangkan jiwa, menjadikannya selesa, melapangkan fikiran dan mengurangkan tekanan yang ada.
Apabila tidur berasingan, stres yang terkumpul dari pagi lagi itu tidak dapat dikurangkan dengan berkesan.
Akhirnya ia akan sentiasa bertambah dan bertambah dan mengakibatkan masalah lain seperti kemurungan.
Apabila pasangan tidak tidur sekali, perasan dimanja itu hilang. Dari sinilah bakal mendetikkan perasaan tidak disayangi, dicampur dengan pemikiran lain seperti suami telah berubah hati dan lain-lain lagi.
Sangatlah tidak baik kerana apabila adanya tanggapan negatif seperti ini yang sentiasa bermain di fikiran isteri, bakal menyebabkan pergaduhan yang suami sendiri tidak tahu puncanya.
Inilah sebabnya suami perlu faham perkara yang nampak ringan sebegini kerana bagi isteri, perkara ini adalah serius.
Antara salah satu makna perkahwinan adalah hidup berpasangan, berdua dan saling lengkap-melengkapi. Jika tidur berasingan ini diamalkan, akan ada rasa kekurangan dalam hidup. Kenikmatan alam perkahwinan dirasakan tidak sempurna dan tidak lengkap.
Isteri bakal bertanya pada diri sendiri, kenapa begini? Kenapa ada yang tidak kena? Dia kan suami aku? Aku kan isteri dia? Kenapa tak tidur bersama? Kenapa rasa macam sunyi ni? Walaupun suami melayan isterinya dengan baik. Itulah kesan yang semakin lama semakin memakan diri.
Akhirnya si isteri akan rasa tidak bahagia dan suami akan terpinga-pinga mencari di mana silapnya.
Betul, hari-hari jumpa. Betul, masa untuk bersama itu sentiasa ada. Tapi saat dan ketika waktu sebelum tidur dan perasaan adanya insan yang paling disayangi di sebelah itu hilang apabila tidur berasingan.
Pernah tak terjaga di malam hari dan merasakan kehangatan pasangan anda di sebelah? Kemudian, dengan perlahan-lahan anda pun memeluk erat tangannya, merapatkan diri dengan badannya dan bersama di dalam selimut yang sama? Saya jamin, anda rasa sangat bahagia walapun orang di sebelah tak sedar langsung, siap boleh berdengkur lagi. Bayangkan kenikmatan ini ditarik dengan situasi tidur berasingan ini? Sangat mengecewakan.
Tidak dinafikan juga, hubungan bersama akan menjadi kurang. Jika seorang di dalam bilik dan seorang lagi di luar, memang kebarangkalian itu sangat tipis.
Hubungan spontan yang sangat memberi kesan baik kepada suami dan isteri juga tidak terjadi.
Itulah serba sedikit kesan buruk apabila suami dan isteri tidur berasingan. Memang kadang-kalanya suami dan isteri terpaksa tidur berasingan kerana situasi anak kecil itu. Tetapi, percayalah, jika diusahakan, pasti boleh. Kita tak usahakan kerana kita tak tahu kesan buruk situasi tu. Sekarang kita dah sedia maklum. Jadi, saya sarankan anda semua mengambil berat masalah ini dah cuba usahakan sebaik mungkin.
Tak sangka nak tidur sekali pun susah walaupun sudah berkahwin.
Itulah dia antara cabaran alam perkahwinan. Banyakkan membaca supaya kita menjadi pasangan yang berilmu dan tahu bagaimana mengatasi masalah apabila ia timbul.
Kongsikan penulisan ini supaya lebih ramai pasangan suami isteri sedar dan kembali tidur bersama.
Adakah anda sedang tidur berasingan? Rasa tak stres tu?
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa.
Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi http://t.me/broohsemfans
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Cabaran mendidik anak-anak pada zaman sekarang teramat besar. Lebih-lebih lagi dengan teknologi yang serba canggih ini.
Jangan ingat, dengan mengawal anak-anak untuk berada di rumah sepanjang masa, mereka ‘terselamat’ daripada segala perkara negatif yang kita rasa hanya berada di luar rumah saja.
Mak ayah zaman sekarang kena tahu, di dalam bilik pun macam hal boleh jadi selagi di tangan ada telefon bimbit atau gajet yang membolehkan mereka melayari internet! Kalau tak, takkan terjadi kes anak lari dari rumah ikut teman lelaki yang dikenali di laman sembang online sedangkan sepanjang masa berkurung dalam bilik!
Tanyakan kepada mak ayah, pasti rata-rata bersetuju, terlalu sukar untuk mendidik anak-anak zaman sekarang. Sebab itu, ada masanya perlu bersikap tegas dan garang dengan anak-anak. Tak bermakna kalau kita garang, kita tak sayang anak.
Tapi ini semua dilakukan demi untuk mendidik dan membimbing anak-anak di landasan yang betul. Pukul anak, bukan nak menyakiti, tapi untuk bagi pengajaran. Marah anak bukan benci, tapi nak menasihati!
Siapa lebih garang dalam mendidik anak-anak? Selalunya orang cakap, ayah yang lebih garang. Kalau depan ayah, anak tak berani nak membantah. Baru berdehem, anak dah kecut. Berbeza kalau dengan mak. 10 kali suruh solat pun belum tentu angkat punggung! Namun ada juga si ibu yang lebih garang dalam mendidik berbanding si ayah yang lebih ‘cool’ dan tenang.
Walau bagaimana pun, ada juga ibu bapa yang tidak bersetuju mendidik anak dengan sifat garang kerana kata mereka zaman sudah berubah. Nak didik anak-anak perlu gunakan pendekatan psikologi, lebih berkesan kata mereka. Dah tak relevan corak corak didikan garang dan tegas dengan anak-anak sekarang. Betul ke?
Ikuti kupasan lanjut berkenaan topik “Ibu Atau Ayah, Siapa Yang Garang” di dalam Mingguan Wanita Talkshow di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 esok, jam 11 pagi hingga 12 tengah hari bersama hos Siti Elizad, Erra Fazira dan Norman Hakim, serta tetamu-tetamu istimewa yang akan diundang ke studio.
Sekiranya ingin berkongsi pengalaman, pendapat atau persoalan berhubung topik ini, bolehlah menghubungi talian Teman Wanita Anda di 03 89389647 atau komen terus di ruangan komen yang disediakan. Jangan lupa temu janji kita esok ye!