Bayi Dilahirkan Secara Caesarean Ketika Ibu Di ICU & Ada Covid-19

Sedihnya mendengar berita ini. Seorang bayi lelaki dilahirkan secara pembedahan caesarean ketika ibunya yang dijangkiti COVID-19 koma di ICU.

Gillian McIntosh melahirkan anak keduanya pada hari Selasa lepas, tetapi dia belum mengetahuinya.

Melalui laporan yang dipetik daripada Global News, wanita berusia 37 tahun itu masih berada di unit rawatan intensif (ICU) di Abbotsford Regional Hospital.

Dia telah dikomakan dan turut menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator) kerana  kes COVID-19 yang agresif.

Lahir 2 Minggu Lebih Awal

Anaknya dilahirkan secara pembedahan kecemasan caesarean, dua minggu lebih awal. Bayi lelaki tersebut masih berada di unit rawatan intensif neonatal, walaupun keputusan ujian COVID-19 adalah negatif.

“Kami memiliki bayi lelaki yang sihat, tetapi ibunya tidak tahu bahawa dia telah melahirkannya, atau bahawa dia mempunyai anak lelaki,” kata suami Gillian, Dave McIntosh kepada Global News, Jumaat lalu.

Namun begitu Dave tidak dapat memegang bayi itu sehinggalah pada hari Khamis lalu. Ini kerana dia dan anak perempuannya, Gemma yang berusia dua tahun terpaksa mengasingkan diri sehingga mereka kembali semula ke hospital selepas keputusan ujian COVID menunjukkan negatif.

IKLAN
Bayi Dilahirkan Secara Caesarean Ketika Ibu Di ICU & Ada Covid-19
Dave memegang dan memangku anak keduanya yang masih berada di hospital
Pembedahan Serta-Merta

Keluarganya masih tidak tahu bagaimana Gillian boleh dijangkiti virus COVID-19 itu.

“Kami memang tidak tahu. Disebabkan dia hamil, Gillian tidak pergi ke mana-mana kecuali hospital atau ke pusat jagaan kanak-kanak untuk mengambil anak kami,” ujar Dave.

Gillian telah pergi ke hospital kerana mengadu dirinya mengalami masalah pernafasan. Dia kemudiannya telah didiagnos dijangkiti COVID-19 pada 6 November.

Pihak hospital telah mengawasinya selama beberapa hari, dan ketika itulah keadaan menjadi semakin buruk.

IKLAN

“Secara tiba-tiba saya mendapat panggilan daripada pihak hospital. Mereka perlu melakukan pembedahan kecemasan Caesarean (c-section) dengan serta-merta kerana kesihatan Gillian mula merosot,” jelas Dave.

“Ia sangat sukar. Tidak ada sesiapa pun yang dapat melakukan apa-apa.”

Dave mengatakan bahawa dia diberitahu bahawa paru-paru Gillian telah “berdegup”, dan dia hanya membuka matanya sekali sahaja sejak dibius.

“Tidak ada sesiapa pun yang boleh menjangkakannya. Tidak ada sebuah buku pun menulis mengenai bagaimana untuk menangani perkara seperti ini.”

IKLAN
Bayi Dilahirkan Secara Caesarean Ketika Ibu Di ICU & Ada Covid-19
Dave dan Gillian bersama anak sulung mereka, Gemma yang berusia 2 tahun.

Baca Sini:
Hebatnya! Ibu & Anak Perempuan Lakar Sejarah Terbangkan Pesawat Komersial Bersama-Sama
Kembar Lahirkan Anak Perempuan Selang 90 Minit Pada Hari Lahir Mereka

Saling Bantu-Membantu

GoFundMe telah dibuat oleh rakan kepada keluarga ini buat keluarga McIntosh. Dave mengatakan dia amat terharu dengan sokongan dari rakan-rakan dan orang yang tidak dikenalinya.

Sementara itu, Dave bergantung pada keluarganya dan Gemma, untuk membantunya mengatasi ketakutan dan kegelisahan berhadapan situasi tersebut.

“Apabila saya mula merasa sedikit sedih atau terlalu memikirkan banyak perkara, saya hanya memandang Gemma atau memerhatikan apa yang sedang dilakukannya dan ia hanya mengambil masa beberapa saat sebelum saya tersenyum atau ketawa,” katanya.

“Dia juga sangat merindukan ibunya, tapi kami pasti saling bantu-membantu melalui saat ini,”luah Dave lagi.

Sumber/Foto: Global News/Vancouversun

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI