Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. Perkembangan terkini dilaporkan jasad wanita hamil dan ibu mentuanya yang dihanyutkan kepala air dari rumah mereka di Kampung Iboi ditemukan dalam keadaan berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka runtuh.
Mayat Nurul Anis Abu Hassan, 28, yang hamil empat bulan itu ditemukan bersama ibu mentuanya, Salmah Mat Akib, 53, pada jam 9.30 pagi di bawah timbunan batang pokok yang turut dihanyutkan arus deras.
Jasad Dalam Keadaan Baik
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, kedua-dua jasad mangsa ditemukan dalam keadaan baik dan tiada kesan kecederaan.
Beliau berkata, pihaknya percaya bongkah kayu dilanggar arus deras dan menghempap rumah mangsa.
“Mangsa dipercayai hanyut sebelum tersangkut pada kayu dan batu menyebabkan mangsa terperangkap di bawah timbunan kayu.
“Pasukan penyelamat ternampak kaki mangsa dan berjaya mengeluarkan mangsa pertama dan diikuti mayat kedua,” katanya ketika ditemui di lokasi mencari dan menyelamat (Sar) hari ini.
Pencarian Remaja Lelaki
Sayani berkata, tumpuan kita seterusnya adalah melakukan pencarian remaja lelaki berusia 14 tahun, Khairul Ikhwan Nor Azman yang masih hilang.
Ads
Beliau berkata, operasi masih dilakukan di kawasan pencarian dan akan diperluaskan sekiranya masih belum ditemui.
“Kita turut menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) JBPM untuk melakukan operasi pencarian hari ini,” katanya.
Mingguan Wanita:Salam takziah buat keluarga mangsa dan semua yang terlibat dalam kejadian banjir besar di Baling. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.Alfatihah
Bila sebut hari raya aidiladha tentulah sekali dikaitkan dengan menyembelih haiwan korban. Ini sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya terhadap Allah S.W.T.
Setiap tahun pasti akan ada binatang yang akan tumbang. Kebiasaannya tentulah lembu yang dijadikan korban pada hari tersebut. Kadang-kadang, sebelum menyambut hari raya aidiladha, ada saja gambar-gambar haiwan korban yang dikongsikan atau pun aksi yang mungkin boleh mencuit hati. Ini belum lagi pada hari penyembelihan haiwan korban.
Dek kerana terlalu seronok untuk melalui momen haiwan korban itu disembelih, ada saja gambar-gambar atau video yang ditunjukkan semasa penyembelihan. Namun, tanpa kita sedar ia seolah tidak menghormati sehingga menimbulkan persepsi negatif dan tidak menunjukkan keindahan Islam.
Jadi, apa yang perlu kita buat. Inilah yang dikongsikan oleh Kisah Zakat Malaysia tentang bagaimana untuk kita menjaga adab dan menghormati haiwan korban ketika hari raya aidiladha.
Antara adab sebelum / sewaktu / selepas menyembelih binatang korban yang secara sengaja kita terlupa kerana sangat ‘excited’, elok-eloklah diberi perhatian…
1. Merakam dan memuatnaik gambar (selfie) dengan binatang korban
2. Merakam dan memuatnaik video keadaan binatang korban yang dalam keadaan ‘nazak’
3. Merakam dan memuatnaik gambar (selfie) dengan kepala / bahagian tertentu binatang korban yang mungkin sensitif bagi sebahagian pihak / kaum lain
4. Merakam dan memuatnaik video keadaan2 yang mengaibkan semasa proses penyembelihan
5. Merakam dan memuatnaik gambar binatang korban yang telah disembelih dalam keadaan yang ‘menyiksakan’ …dan lain2 lagi.
Jika ingin juga…
Rakam dan ambillah gambar-gambar yang bersopan & boleh menunjukkan keindahan Islam, bukan yang boleh menimbulkan salah faham dan persepsi negatif.
Kembalilah kepada tujuan dan matlamat korban itu sendiri.
Petikan dari mufti Pulau Pinang:
Jangan Viral Aksi Binatang Yang Hendak di Sembelih
Umat Islam sepatutnya tidak menjadikan haiwan korban sebagai bahan lawak jenaka, demikian tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata demikian setelah kesal melihat segelintir pengguna laman sosial ‘memviral’ gambar lembu korban sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati orang ramai.
“Saya menyeru umat Islam supaya tidak ‘memviral’ gambar gelagat haiwan korban kerana bimbang menimbulkan salah faham serta tanggapan negatif di kalangan masyarakat terutama individu yang ingin memburukkan imej Islam di mata dunia.
“Pada pandangan saya, tindakan ini amat mengecewakan dan jelas masyarakat kita suka berhibur sehingga berlebih-lebihan,” katanya.
Wan Salim berkata, tidak wajar mengambil gambar haiwan korban dengan pelbagai aksinya ketika disembelih.
“Walaupun tiada dalil yg melarang, namun tidak wajar dilakukan kerana mungkin ada yang menganggapnya sebagai perbuatan kejam.
“Di samping itu cara menyembelih yang tidak mengikut etika atau peraturan yang ditetapkan dalam syariat juga mungkin menambahkan lagi salah faham mengenai ibadat ini,” katanya.
Jelasnya lagi, antara etika penyembelihan haiwan menurut syariat hendaklah dilakukan dalam keadaan haiwan tenang dan tidak menimbulkan rasa takut atau resah.
“Justeru disarankan supaya diletakkan pengadang antara haiwan yang disembelih dengan yang menunggu giliran atau dengan cara menutup penglihatannya.
“Kita ingin menasihatkan juru sembelih supaya terlebih dahulu memahami etika sembelihan menurut syariat supaya dengan itu imej Islam sebagai agama rahmat dapat ditonjolkan kepada umum,” katanya.
Ibadat korban sepatutnya dilaksanakan secara serius dan menurut etika penyembelihan yang ditetapkan dalam syariat kerana tujuannya ialah untuk menghampirkan diri kepada ALLAH SWT.
Beliau berkata, individu yang menganjurkan ibadat berkenaan hendaklah menghayati hikmahnya daripada sudut sejarah dan sosial.
“Hikmah ibadat korban daripada sudut sejarah ialah penghayatan terhadap pengorbanan Nabi dua beranak iaitu Nabi Ibrahim yg sanggup menyembelih putera kesayangannya demi mematuhi perintah ALLAH SWT.
“Manakala hikmah ibadat korban daripada sudut sosial pula ialah memberi makan kepada golongan fakir miskin supaya mereka turut bergembira di hari raya yang mulia ini,” katanya.
Wan Salim mengulas isu berkenaan setelah beberapa pengguna laman sosial yang dilihat begitu seronok memaparkan pelbagai gaya lembu korban.
Menyedihkan apabila sesetengah gambar tersebut menimbulkan rasa lucu di kalangan pengguna laman sosial dan menjadikannya sebagai bahan lawak.
Mingguan Wanita : Tak salah untuk berkongsi momen semasa hari penyembelihan tapi biarlah gambar-gambar yang tidak ‘mengaibkan’ atau tidak menjadi bahan lawak bila melihatnya.
Isu yang cukup hangat kebelakangan ini tentulah tentang harga barang mencanak-canak naiknya. Hinggakan pembeli merasakan peniaga hanya kaut untung dan mengambil kesempatan di atas kenaikan harga.
Siapa yang menjadi mangsa? Hanya anda yang tahu jawapannya. Mulalah katakan peniaga hanya kaut untung dengan naikkan harga jualan. Jangan cepat melatah dan rasa tertipu.
Tak dinafikan kenaikan harga barang buatkan semua orang ‘rengsek’. Nak tak nah kena hadap juga dan kehidupan perlu diteruskan. Tapi bagaimana pula dengan peniaga. Bukan nak kaut untung tapi macam mana kalau masih harga sama, dimanakah untungnya. Sedangkan nak kena kira kos-kos tersembunyi yang orang lain tidak tahu.
Inilah yang dikongsikan oleh peniaga nasi kukus ayam berempah tentang kos sembunyi yang orang lain tak tahu. Malah, ia turut memberi panduan dan manfaat untuk anda yang ingin memulakan berniaga.
Berkenaan dengan isu harga ayam, difahamkan ia ditulis oleh seorang doktor perubatan, dan salah satu komen di posting berkenaan menarik perhatian saya.
Jangan salahtafsirkan tentang peniaga kaut untung tentang harga naik sekarang ini. Kena lihat juga kos-kos tersembunyi.
.
Saya pernah berniaga pasar mala, pernah berniaga bazar Ramadan, pernah berniaga tepi jalan nampak apa yang Tn Doktor itu dan kebanyakan orang tak nampak. Ia bukan semudah itu.
Komen oleh Yoep Owsem dalam posting berkenaan;
“Memandangkan saya berniaga gerai nasi kukus ayam berempah, saya nak share juga kos-kos tersembunyi yang perlu diambil kira jika nak mula berniaga:
1. KOS JUALAN TAK HABIS DIJUAL.
Berniaga 2.5 jam, belum tentu boleh habis jual semua. Saya berniaga 7.5 jam baru boleh jual 70 bungkus. Kalau hujan, lagilah teruk. Yang tak habis makan sendiri atau sedekah kat orang, tapi either way kos tetap kena tolak dari keuntungan.
2. AYAM POTONG 14 terlalu kecil.
Kalau ayam RM20 bermakna ayam tu berat dalam 2kg. Ayam 2 kg boleh potong 10 je maksimum, kalau tidak akan mengundang sumpah seranah dari pelanggan, dah la jual rm4.50. Saya jual ayam potong 4, rm6.00 seketul.
3. KOS MINYAK MASAK.
Kalau boleh dapat minyak masak paket sekalipun, akan pakai sehari 4 paket minyak untuk goreng ayam. 4kg x rm2.50 = rm10. Kalau tak dapat cari minyak paket, bersedialah untuk kos yang gila kasar.
4. KOS GAS
Ini yang ramai ambil mudah, hakikatnya kos ni besar dan kerap kena beli. Seminggu saya pakai 4 tong gas untuk jualan di gerai 7.5 jam + masak kuah di rumah 3.5 jam. Ayam goreng berempah ni api kena kuat kalau tak ayam tak masak sampai dalam.
5. KOS BERAS
Saya pakai 8kg beras untuk jualan 70 bungkus. Itu beras ye, bukan nasi. Kalau nak dijadikan nasi ada kos-kos tambahan.
6. KOS BAHAN SAMPINGAN
Contoh kos untuk kuah kari kaki ayam, sambal belacan, kos sayur, rempah perapan. Kos-kos ni besar ye tuan puan sebab cili padi dan cili masak sekarang harganya bukan murah. Sampai rm15 sekilo. Belacan lagi, herba campur, buah keras, serai, lengkuas, kayu manis, bunga lawang, tomato, cili kering, serbuk n daun kari, pandan dan lain-lain.
7. KOS PEMBUNGKUSAN
Kos untuk bungkus barang jualan. Kertas minyak gred B, plastik bungkus nasi 15×15, plastik 5×7 bungkus kuah dan sambal, plastik singlet pelbagai saiz.
8. KOS SANTAN
Kalau berdasarkan kiraan tuan tanah, jualan ialah 70 bungkus sehari. Maka santan sehari kena pakai 1kg untuk kuah kari. Rm7 – Rm10 sekilo.
9. KOS PEKERJA
Pengalaman saya berniaga 7.5jam jualan 70 bungkus memang memerlukan pekerja sebab kita kena goreng n bungkus on d spot. Pelanggan tak nak makanan sejuk. Kalau 2.5 jam nak jual 70 bungkus, saya jamin kena pakai lebih dari 3 orang (termasuk tokey).
10. KOS TRANSPORT
Kos minyak untuk ulang alik ke tapak berniaga, kos pusing merata kedai beli barang mentah yang murah, kos meronda sebab nak cari minyak paket. Kos ni bukan sikit ye, dan saya jamin tak boleh nak naik motor sebab banyak barang yang perlu dibawa.
11. KOS ALATAN BERNIAGA
Saya berniaga stall tepi jalan, kos beli alatan berniaga di tapak + alatan berniaga di rumah mencecah rm10k juga ye. Blender heavy duty pun dah rm500 untuk brand butterfly. Saya pakai brand Khind murah sikit tapi baru pakai 3 bulan dia dah problem, mujur beli baru ada la warranty. Tapi kena beli 2 untuk back up.
12. KOS STORAN
Klu berniaga pada skala jualan 70 bungkus sehari, kita takkan boleh muat dah pakai chest freezer 120liter, pakai peti ais rumah. So kena pakai freezer besar, peti ais kena beli asing untuk simpan stok bahan mentah kalau tak nak keluar setiap hari berbelanja. Freezer besar rm800++, peti ais rm1000 saiz sederhana. Nak jimat beli 2nd, tapi kena fikir jugak kos repair. Kos storan ni akan datang sekali bersama kos letrik ye.
13. KOS KESIHATAN
Cucuk thypoid rm70 ye seorang. Kalau dah 3 orang kira la sendiri. Pekerja yang kita cucuk tu pulak belum tentu kekal nak kerja dengan kita.
14. KOS GAJI
Gaji pekerja kalau setakat offer rm50 sehari kerja gerai, memang kena bersaing la dengan kerja rider yang lebih menarik di kalangan budak-budak muda. Gaji tokey jangan lupa kira ye. Persediaannya bermula awal pagi dari beli ayam dan bahan-bahan mentah, cuci ayam dll, masak kari, berniaga, cuci tapak dan cuci peralatan.
15. KOS RISIKO
Risiko ni boleh datang dari sudut authority, sudut cuaca, dan juga sudut mistik. PBT, Kesihatan, Polis, Imigresen (klu pakai pembantu gerai pekerja asing) dll. Cuaca ribut boleh hancurkan khemah kita. Sihir, santau dan khianat juga boleh jadi risiko yang paling besar pakai kos.
16. KOS TAPAK
Tapak jarang dapat free even berniaga tepi jalan, mesti nak kena bayar. RM5 – RM10 sehari average. Kalau dalam kampung ye la free. Nak tempat ramai orang dalam pekan mesti dah kena bayar, samada pd PBT atau pada gerai yg kita tumpang. Tapak tu pun nak kena dekat dengan air untuk mencuci, klu berniaga malam ada baik klu dpt tarik letrik sekali. Untuk yg menyewa kedai lebih parah, sbb selain sewa, akan kena bayar lesen PBT, lesen papan tanda berlampu, kesihatan (penapis minyak), letrik tarif komersial, IWK dll.
Tambahan: Kalau nak ada untung lebih, kena bukak meja untuk dine in n jual air. Ini semua tambahan kos ye, tapi boleh generate extra profit.
Kepada yang baru nak mencuba, ambil kira kos-kos di atas sebelum anda pertaruhkan baki saving anda untuk mula. Pergi bersembang dengan orang-orang yang dah berniaga (bukan pergi masuk kelas ‘bisnes coaching’ pulak ye).
DISCLAIMER:
*Saya menulis untuk menambah maklumat, bukan untuk merendah-rendahkan.
*Saya bukan sifu/coach untuk bisnes ye, saya cuma ada pengalaman yang boleh dikongsi untuk manfaat bersama.
Mingguan Wanita : Senang saja, kalau rasa mahal, masak sendiri kat rumah. Baru puas hati.
‘Orang bodoh saja percaya scammer.’ Tapi kenapa pegawai bank, cikgu pun boleh kena tipu dengan scammer. Hanya yang pernah kena saja tahu bagaimana perasaan sebenar apabila berdepan dengan scammer.
Sepertimana yang dikongsikan oleh Puan Farizal Radzali ini, pada awalnya dia sendiri hairan mengapalah terlalu mudah orang percayakan scammer. Hinggalah satu hari terkena batang hidung sendiri, barulah persepsinya berubah.
Kongsinya, baru-baru ini saya terbaca kisah seorang pegawai bank kena tipu dengan scammer, kerugian RM600k lebih. Itu pegawai bank tu, yang memang sepatutnya tahu tentang scammer ini. Pun kena tipu lebih dari setengah juta.
Kami ada terima kes kebankrapan seorang guru sekolah menengah. Gajinya RM6k sebulan. Suami seorang ahli perniagaan. Kehidupan agak mewah.
Tapi terpaksa jadi bankrap sebab sanggup refinance rumah dia tanpa pengetahuan suaminya, untuk diberi kepada scammer. Akhirnya dia tak dapat bayar ansuran bulanan sebab duit dia habis kepada scammer. Rumah tergadai, duit habis, diri pula bankrap.
Ada kes, terpaksa pinjam ah long, sebab kena tipu dengan scammer juga. Scammer oversea, sudah beriya nak kahwin. Tinggal tunggu hari saja. Kononnya lagi seminggu nak kahwin, si cinta hati itu hendak datang. Tapi sampai ke hari kahwin, tak nampak bayang pun. Akhirnya cinta tak jadi, dia pula kena kejar dengan ah long sebab tak mampu bayar hutang.
Mak abah saya pun kena. Gores dan menang. Yang datang orang melayu. Siap masuk dalam rumah. Tak tahulah apa yang jadi, abah saya siap pergi keluarkan duit dari ASB. RM3k kot, bagi dekat orang itu. Dan lesap, barangan yang dijanjikan, tiada. Sampai hari ini, bila teringat, abah mesti kata, “Kenapa abah boleh percaya orang tu?”.
Dulu saya rasa benda ini macam boleh dielak. Kita yang salah sebab mudah tertipu dengan scammer ni. Scammer tak akan berjaya kalau kita tak ikut kehendak mereka. Saya pun berfikiran sama macam orang lain yang tak pernah kena dengan scammer. Orang bodoh saja percaya scammer ini, kononnya.
Tapi kenapa pegawai bank pun boleh kena? Cikgu yang berpendidikan tinggi pun boleh kena. Bahkan polis pun pernah kena tipu dengan scammer ni.
Sampailah satu hari, saya yang kena. Mujur tak sampai beratus ribu sebab saya memang tak bawa duit masa tu, dan saya berjaya keluar dari tempat tu. Yang penting, Allah pelihara saya.
Hari itu memang hari kerja. Saya pergi ke sebuah shopping Mall dekat Ipoh, dengan seorang lagi kawan saya yang bawa anak kecil. Nak lunch saja. Baru parking kereta, ada seorang lelaki muda berbangsa cina menghampiri kami. Hulurkan satu kad, suruh kami gores. Katanya saja suka-suka. Kalau dapat hadiah, rezekilah. Kalau tak dapat, tak jadi apa.
Tak tahulah kenapa mudah sangat kami percaya sedangkan selama ini memang kami tahu pasal sindiket gores dan menang ni. Mulanya rasa macam, ahhh gores saja. Bukan jadi apa pun. Lalu saya gores kad tu. Tak nampak apa pun, tapi lelaki tu buat muka macam tak faham. Katanya dia tak pernah nampak logo yang macam tu. Nanti dia tanya kawan dia seorang lagi, sebab dia baru lagi buat kerja tu.
Lalu dia panggil seorang lagi kawannya. Berlarian seorang lagi lelaki cina menghamppiri kami. Dia tengok kad yang berada di tangan kawannya, yang saya sudah gores tadi. Air mukanya berubah. Dia tepuk dahi dengan kuat.
“Apasal?” saya tanya. “Sekejap-sekejap, saya call saya punya HQ. Sbb ini kad arr…. memang ada satu saja dalam seluruh Malaysia. Kami sudah lama buat ini kerja, sudah pusing satu Malaysia, dua tahun woooo…. Takde siapa team kami yang jumpa ini kad. Memang HQ kata ada satu saja ini kad,” katanya.
Saya dan kawan saya, entahlah, nak kata kami percaya, memang tak. Nak kata kami tak percaya, pun tak. Tak tahu rasa apa masa tu. Macam kosong saja.
“Jom pergi HQ sekarang. Saya punya bos sangat terkejut sebab sudah jumpa ini kad.” lelaki cina itu cakap.
“Mana you punya HQ? Saya sedang kerja ooo… Sekarang waktu rehat. Tak sempat nak pergi mana-mana,” saya jawab.
“Tak apa, dekat sini saja. Sana CIMB Bank.” sahutnya.
“You mahu tipu kami ka?” saya tanya balik, mungkin masa tu masih waras. Tapi serius, saya dan kawan saya rasa kosong. Walhal kami datang situ nak makan.
“Haiya, apa macam mahu tipu? Saya ada ambil you punya duit ka? Ok ok, kalau you rasa saya mahu tipu, jom saya naik you punya kereta, kita pergi HQ. Bukan naik kereta saya, nanti you pun takut. Saya naik kereta you,” katanya.
Dan macam orang bodoh, kami benarkan dia masuk kereta dan kami bawa dia ke tempat yang dia cakap. Sebaik naik di tingkat 2 sebuah bangunan, kami disambut dgn tepukan gemuruh. Ada lima orang dekat dalam tu, melayu cina dan india, masing-masing ucap tahniah. Yang perempuan Islam bersalaman dengan kami sambil ucap tahniah berkali-kali.
Mereka asyik kata, tak sangka mereka akan jumpa pemenang kad tu, pada hari tersebut, setelah bertahun mereka cari. Kami dibawa masuk ke dalam 1 bilik. Betul-betul macam orang bodoh, kami ikut saja.
Dekat dalam bilik itu ada seorang lagi tauke besar berbangsa cina, raikan kami. Anak kecil kawan saya sudah terlena, lalu baringkan dekat sofa.
Lelaki itu tunjukkan beberapa keping gambar kemenangan. Ada beberapa keratan surat khabar dan iklan di tv juga. Semua nampak real. Katanya ada 7 hadiah besar, tapi 4 sudah ada pemenang. Ada 3 lagi hadiah yang belum berpunya. Salah satu adalah tanah 5 ekar di KL. Satu lagi wang tunai RM700k.
Dan yang ketiga ialah sebuah SUV mahal. Katanya kalau saya menang kereta, saya cuma perlu bayar duit cukai jalan, imigresen dan tukar nama saja. Dapat sebiji kereta. Kalau saya nak jual pun boleh katanya.
Lalu dia suruh saya pusingkan satu papan, lalu saya buat. Dan saya dapat tanah 5 ekar. Sampai sini, saya masih rasa kosong. Lalu katanya itu adalah hadiah terbesar. Dia minta saya bayar duit duti setem sebanyak RM3k. Kalau fikir logik, saya kerja firma guaman kot. Mestilah saya lebih arif tentang duti setem semua ni. Tapi saya ikut, saya percaya. Tak tahu kenapa.
Saya kata saya perlu ke bank ambil duit. Lalu mereka kata, tak apa, mereka akan teman saya ke bank. Saya kata, saya kena balik ke office dulu sebab masa rehat dah tamat.
Masa ni saya teringat saya belum solat zohor, saya istighfar tengok jam sudah pukul 3 sedangkan waktu rehat saya sampai pukul 2 saja. Anak kawan saya pun terus lena, sedangkan kami belum makan.
Lalu katanya, kalau saya confirm nak hadiah itu, dia suruh saya bayar berapa saja yang ada. Itu sebagai pengesahan bahawa saya akan terima hadiah tu. Nasib baik masa itu saya cuma ada RM50 dalam tangan. Saya cakap saya ada RM50 saja, kalau nak, ambil, kalau taknak, saya lepaskan hadiah tu.
Lelaki itu kata, tak apa, dia ambil RM50 sebagai booking. Bakinya saya kena hantar sebelum pukul 6 petang. Alhamdulillah, kami berjaya keluar dari tempat itu. Sebaik keluar dari bangunan itu, anak kawan saya terjaga dari tidur dan menangis kuat macam kena rasuk. Puas pujuk, akhirnya suap makan biskut, baru dia diam. Jadi, kami rasa dia laparlah.
Masa kami turun bangunan itu, ada sepasang suami isteri sedang menungggu di tangga. Saya syak, mereka juga telah ‘menggores’ kad. Tapi masa tu saya dan kawan masih blur lagi.
Sampai di office sudah pukul 3++. Bos pun bising, marah sebab hilang macam itu saja. Call tak jawab. Nak tak nak,, terpaksa menipu kata kereta rosak dan bateri hp habis. Masa tu baru nampak banyak missed call dan mesej masuk dekat hp, walhal tadi hp diam saja. Call husband, cakap apa yang sudah jadi. Dia kata jangan bagi apa-apaa duit pun pada orang tu. Masa ni saya macam baru nak sedar.
Lelaki dekat tempat tadi call saya pukul 5 petang. Dia tanya saya nak hantar duit pukul berapa. Saya kata, saya nak transfer saja. Katanya tak boleh, sbb mereka kena tengok nombor siri duit tu. Bermakna saya kena bagi cash. Saya kata tak sempat pukul 6, dia kata tak apa, dia bagi sampai pukul 8 malam. Katanya dia cuba pujuk HQ sebab dia pun akan dapat komisen kalau hadiah itu berjaya dimiliki oleh saya.
Tapi masa ini saya sudah keluar dari helah mereka. Saya kerja merangkumi sistem bank juga. Tak pernah lagi orang minta no siri bagi duit untuk sesuatu urusniaga. Balik rumah, saya ceritakan semua keadaan kepada suami. Dia terkejut sebab saya sangat berani izinkan orang yang tak dikenali naik kereta saya. Saya pun mcm terdiam. Haah kan, macam mana saya boleh izinkan seorang lelaki cina yang saya tak kenal, masuk dalam kereta saya, ikut dia naik ke office dia lagi.
Suami saya kata, “Awak tak rasa ke awak dah kena pukau?” Saya terdiam. Macam baru terfikir.
Ya, itulah jawapannya. Saya seorang yang selalu beringat pun boleh kena. Pegawai bank boleh kena, cikgu boleh kena. Saya yakin ada unsur pukau tapi tak tahu dengan cara apa. Pukau mental. Mungkin tak semua, tapi ada unsur itu. Saya yakin.
Lepas dari itu, kalau ada orang kena tipu dengan scammer, saya tak akan salahkan dia secara keseluruhan. Moralnya, jangan mulakan. Itu saja. Terus letak phone kalau itu bukan panggilan yang betul.
Jangan gores apa-apa. Malah, jangan bercakap dengan orang yang tak dikenali. Paling penting jangan mulakan, sebab ia akan berterusan. Sebab mereka ada bermacam cara dan helah. Ilusi mahupun nyata.
Farizal Radzali
Mingguan Wanita : Semoga kita dan keluarga dijauhkan dari scammer yang berhati jahat.
Semakin cantik dan tampak lebih muda, pengacara, Maria Tunku Sabri memilih buat pembedahan bariatrik untuk lebih sihat dan mudahkan dia bergerak aktif dalam menjalani kehidupan harian.