kahwin nak mudah

Banyak sangat kes pasangan kahwin nak mudah, sanggup ke Thailand demi halalkan hubungan. Yang banyak jenis pasangan kahwin jadi nombor dua! Tetapi bila dah bertahun bersama, akhirnya lelaki buat perangai dan gagal tunaikan tanggungjawab. Padahnya hubungan rumah tangga dilanda badai.

Allah… tolonglah sedar wahai kaum wanita! Untuk renungan sebelum bertindak dengan cara yang salah dalam urusan perkahwinan, jom baca perkongsian penulis ruangan RESEPI HIDUP majalah Mingguan Wanita, Puan Suzana Ghazali ini…

“Kak Su, suami saya tak nak daftarkan perkahwinan kami. Dia cakap, kalau saya uruskan juga untuk daftar, jatuh talak satu.”

Antara aduan seorang isteri yang sudah berkahwin di sempadan hampir lima bulan. Suami melarang gara-gara diugut isteri pertama, jika perkahwinan kedua suaminya didaftarkan, dia akan failkan cerai. Suami isteri ini telah bersemuka dengan saya sebelum ini dan saya nasihatkan untuk uruskan permohonan poligami. Lebih kurang sebulan kemudian, saya dimaklumkan oleh si isteri, mereka dah pun berkahwin di sempadan, dengan pujukan si lelaki tika itu bagi memudahkan urusan.

Teringat kata orang: bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah. Ya lah, kalau nak susah tu, mudah saja tapi kalau nak senang belakang hari, perlulah bersusah sedikit di awalnya. Kalau senang dan mudah pada awal tadi, biasanya malah kebanyakan kes membuktikan, akan ada payah dan susahnya di belakang hari.

IKLAN

Ramai yang tahu hakikat ini. Namun, yang menjadi masalahnya ialah tahu tetapi enggan mengambil iktibar. Ada juga yang tahu tetapi bila terkena batang hidung sendiri, bertindak seolah-olah hakikat bukan senang nak senang tu dusta semata-mata. Tetap nak juga ambil jalan mudah dengan pendirian, berdoalah agar mudah juga belakang hari. Ya… memang betul, kita usaha dan yang lainnya kita serahkan kepada AllahYang Maha Kuasa.

Jangan lupa… usaha dan ikhtiar perlulah mengikut jalan dan landasan betul. Sungguh, matlamat tidak menghalalkan cara walaupun jalan yang anda ambil hanyalah bercanggah dengan undang-undang dan bukan hukum syarak. Satu perkara yang perlu diingat terutamanya oleh para gadis dan wanita di luar sana, undang-undang adalah untuk kebaikan anda. Melanggar undang-undang bererti anda menempuh bencana dan paling tragis, ada kes perlanggaran undang-undang dan dalam masa yang sama bercanggah juga dengan hukum syarak.

IKLAN

Bukan Suka-suka

Ketahuilah, perkahwinan bukanlah perkara main-main apatah lagi perkara gurauan atau suka-suka. Perkahwinan memerlukan agar setiap rukun dan syaratnya dipenuhi. Rukun nikah ada lima: calon isteri, calon suami, wali, dua orang saksi dan sighah iaitu ijab dan kabul. Saya tak nak jelaskan dengan terperinci mengenai hukum dan syarat nikah ini. Saya yakin, anda boleh cari faktanya sendiri. Namun, fokus saya ialah mengenai perkara yang selalu diambil mudah dalam perkahwinan iaitu wali dan saksi.

Teringat kes pertama yang saya kendalikan ketika menjalani latihan praktikal di Kuala Muda, Kedah: seorang lelaki ditangkap bersama seorang wanita yang diakui sebagai isterinya. Malangnya ketika tangkapan dibuat, tiada surat akuan nikah yang berjaya dikemukakan. Ketika perbicaraan, lelaki ini mengeluarkan kenyataan amat menggeletek hati saya hinggalah sekarang.

IKLAN

Tika hakim bertanya: siapa wali perkahwinan? Si lelaki menjawab: “saya tak tau yang arif, abang angkat saya yang uruskan”. Hakim bertanya lagi: siapa saksi perkahwinan? Jawapan masih sama: “saya tak tau yang arif, abang angkat saya yang uruskan”. Ya Allah!! Kenapalah boleh jadi begini? Itu kata hati saya tika itu dan setelah hampir 20 tahun terlibat di dalam bidang kerjaya ini, saya kenal pasti satu perkara, ramai yang mencari jalan keluar yang mudah tanpa memikirkan kesan dan akibatnya di belakang hari. Seperti kes lelaki yang terlalu mengharapkan abang angkatnya inilah, khabarnya perkahwinan dijalankan oleh kadi Thailand tetapi bila ditanya di mana tempat nikah, jawapannya: sebuah kampung dekat dengan Kuala Ketil. Alahai, bila pula Kuala Ketil masuk bawah sempadan Thailand?

Itu kisah pada tahun 1996. Saya tahu dan saya yakin, hari ini tika kita disogok dengan pelbagai kemajuan, masih ramai lagi yang terlibat dan bercadang untuk terlibat di dalam perkara yang bodoh seperti itu. Ya, memang perkara bodoh dan juga memalukan.

Saya merayu kepada para gadis atau wanita di luar sana, jangan termakan pujuk rayu lelaki yang konon cintakan anda sepenuh hati. Jika benar cinta, minta si lelaki berkahwin dengan anda mengikut cara yang betul, tidak melanggar adat, menepati kehendak undang-undang dan paling penting bertepatan dengan kehendak syarak.

Ketahuilah dan ingatlah, simpankan kemas di lipatan minda anda… natijah dan kesan daripada perbuatan bodoh itu akan diterima dan ditanggung oleh anda sendirian. Terus terang, hampir kebanyakan kes sebegini, pihak lelaki bertindak lepas tangan. Yang merana dan menderita, yang terpaksa meneruskan hidup dalam sengsara adalah anda!!

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI