Lokasi ladang kelapa sawit tempat kanak-kanak yang ditinggalkan hilang. (Foto: Ihsan Bomba)

Entah apa di fikiran bapa kanak-kanak ini apabila meninggalkan anaknya yang baru berusia tiga tahun sendirian sebelum melangsaikan kerja-kerjanya. Bayangkan sepanjang tempoh ketiadaan itu, apa yang kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa ini lakukan.

Namun, segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Barangkali juga bapa ini terdesak dan terpaksa tinggalkan anaknya sendirian. Sudah tentu bapa kanak-kanak yang hilang ini menyesal atas apa yang terjadi dan berusaha gigih mencari anaknya.

Ditinggalkan Bersama Sebotol Susu

Kecuaian seorang lelaki meninggalkan anaknya yang hanya berusia tiga tahun sendirian di sebuah pondok di ladang kelapa sawit di Rapak Baru, Pantu di Sri Aman mengundang padah apabila kanak-kanak itu dilaporkan hilang hari ini.

Difahamkan, kanak-kanak lelaki itu mengikut datuk dan bapanya mengiringi kakitangan Sarawak Forestry Corporation (SFC) melakukan kerja pemasangan papan tanda pada pokok di hutan bersebelahan ladang kelapa sawit itu pada tengah hari tadi.

Berikutan laluan pendakian menuju ke tempat pemasangan papan tanda itu agak tinggi, kanak-kanak itu ditinggalkan di pondok kecil dengan hanya berbekalkan sebotol susu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, jarak antara pondok dengan tempat pemasangan papan tanda itu dianggarkan kira-kira satu kilometer.

IKLAN

Pada pendakian pertama, datuk dan bapa kanak-kanak itu membawa satu papan tanda dan selepas sampai ke destinasi, mereka turun semula untuk mengambil satu lagi papan tanda.

“Ketika itulah datuknya menyedari kanak-kanak itu tiada lagi di pondok berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi mencari

Beliau berkata, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerah ke lokasi selepas pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman pada 2.33 petang.

IKLAN

Sebaik tiba di lokasi, ada saksi mendakwa ternampak kanak-kanak itu berjalan sendirian ke tempat parkir motosikal bapanya.

“Penduduk kampung yang kebetulan menuai padi di lokasi yang sama juga mendakwa turut ternampak kanak-kanak berjalan ke arah sama yang jaraknya kira-kira 200 meter dari pondok tempat dia ditinggalkan oleh bapanya,” katanya.

IKLAN

Berikutan itu, katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sebaik maklumat diperolehi daripada beberapa saksi.

Bomba dan polis turut dibantu penduduk kampung untuk menjalankan pencarian di kawasan sekitar ladang sawit itu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

MW: Semoga kanak-kanak ini dapat ditemui segera dan Allah mempermudahkan urusan mencari. Semoga keluarga kanak-kanak ini tabah menerima ujian ini dan bersabar atas apa yang berlaku. Ini bukan masanya untuk kita menuding jari siapa yang salah dan siapa yang betul, sebaliknya mendoakan kanak-kanak ini selamat dan ditemui segera.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI