Anak kecil sebenarnya mempunyai imaginasi yang besar. Dan imaginasi yang besar itulah kelak memandaikan anak belajar cari duit bila besar.
Wanita ini, usahawan Bidara Lab, Farlina Abdul Rahaman berkongsi cerita bagaimana dari sebuah imaginasi dari zaman kanak-kanak mampu menjadikan dirinya cemerlang dan berjaya.
Di kampung, sewaktu saya masih kecil… ada banyak buah buahan yang nenek tanam. Tanpa pengetahuan ibu, saya panjat pokok sejak dari kecil. Saya panjat secara senyap senyap. Sebab, Jika ibu tahu mesti dah kena marah.
Masa tu setiap kutipan hasil buah, saya akan hantar ke kedai cina depan rumah atuk. Uncle cina tu akan ambil buah buah yang banyak saya pungut tu dengan upah yang sangat sedikit. Kadang kadang hanya 20 sen. Paling banyak dapat cuma 50 sen. Dulu, upah 50 sen tu dah kira banyak. Dapat beli macam-macam jenis jajan.
Bila saya di bangku sekolah rendah pula, saya minat sangat nak tolong cikgu berniaga di koperasi sekolah. Tapi, saya tak terpilih untuk membantu koperasi jualan tersebut. Sewaktu saya di sekolah menengah, alhamdulillah saya terpilih untuk menjawat jawatan untuk Ahli Tunas Bestari. Jawatan saya ketika itu ialah sebagai Pengurus Pemasaran.
Masa sekolah, saya perlu cari business apakah yang sesuai untuk dibuat jualan. Masa tu, semua ahli jawatan kuasa bersepakat untuk menjual air tembikai dan buah jambu. Nak tahu berapa jualan kami sehari? Bolehlah geli-geli RM100 sehari. Budak budak sekolah macam ikan piranah beratur nak beli air tembikai fresh.
Tip Didik Anak Mudah Cari Duit
Di situ, saya mulai rasa seronok dapat pegang duit. Di minda saya mulai tertanam mudahnya cari duit. Sehinggalah sekarang, minda saya tertanam perkataan “Mudah cari duit”
Hati hati dengan apa yang kita sebagai ibu ayah tanam pada minda anak-anak. Sentiasa benarkan mereka berimiginasi besar. Sentiasa membenarkan mereka berimpian nak jadi apa sahaja yang mereka mahu.
Benarkan mereka menyentuh dan merasai kereta idaman mereka. Benarkan mereka melukis bangunan impian mereka. Pecahkan tembok pemikiran mereka kecil. Jangan kerana kita takut untuk berimpian. Kita juga musnahkan impian anak anak kita.
Sumber/Foto: Farlina Abdul Rahaman
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ketika Anak Jawab Peperiksaan UPSR, Mak Ayah Lakukan 7 Amalan Ini
Doa seorang ibu untuk anaknya, tiada hijab. Ia tembus terus ke langit, sampai kepadanya tuhan. Dan ketika anak menduduki dan jawab peperiksaan besar dalam permulaan hidupnya, iaitu UPSR. Ibu ayah boleh lakukan 7 amalan ini.
Iringi setiap langkah anak dengan doa penerang hati agar anak tenang sepanjang berada dalam dewan peperiksaan. Sebab boleh terjadi, anak tiba-tiba panik lalu tak ingat jawapan yang mahu ditulis. Walhal sebelum ini sudah cukup bersedia dia menghafalnya.
Selain doa dan zikir, 7 amalan ini mak ayah boleh lakukan saat anak menghadapi peperiksaan. Ini yang dikongsikan oleh cikgu Mohd Fadli Salleh III kepada followernya di dalam facebook.
7 Amalan Ibu Bapa Saat Anak Menghadapi Peperiksaan
“Banyak aku baca dan dengar perkongsian tips tentang apa amalan yang baik ibu bapa amalkan saat anak-anak sedang berjuang di medan peperiksaan. Aku kongsikan di sini ya.”
1. Ibu dan bapa hadir di sekolah sepanjang peperiksaan berlangsung. Bersalam dengan anak dan doakan mereka.
2. Saat anak melangkah masuk, ibu ‘hantar’ dengan doa agar anak ditajamkan akal dan diberi kemudahan untuk menjawab semua soalan.
3. Ibu beredar ke surau, buat solat hajat. Solat dhuha, solat taubat dan berdoalah.
4. Membaca Al Quran saat anak menjalani peperiksaan. Antara surah-surah yang disarankan seperti surah Al Fatihah, 3 Qul, Surah Insyirah dan surah Yaasin.
Tiada masalah nak baca mana-mana surah sebenarnya. Semua kalimah Allah adalah mukjizat.
5. Yang tidak boleh solat, selawat banyak-banyak, zikir dan hantar doa tanpa putus.
6. Bersedekah pada masjid dan fakir miskin dengan niat dipermudahkan urusan anak dan keluarga.
7. Puasa sunat bagi yang mampu dan tidak uzur.
Yang tidak dapat hadir ke sekolah, tiada masalah. Amalan-amalan ini boleh saja dilakukan di rumah atau di pejabat.
Malah ada sekolah tidak membenarkan ibu bapa berada dalam kawasan sekolah atas pelbagai faktor. Tenang saja, boleh lakukan di rumah dan di tempat kerja.
Mereka telah usaha, kita ibu bapa juga kena usaha. Sesungguhnya tiada kejayaan tanpa redha Allah taala.
Dekatnya Hubungan Hati Ibu Dan Anak
Ada hubungan hati antara seorang ibu dan ayah dengan anak-anak mereka. Satu hubungan yang sains tak mampu jelaskan.
Doa, zikir, ibadah dan selawat yang kita niat dengan ikhlas khusus untuk anak-anak sampai pada mereka. Membuat mereka tenang dan lapang dada.
Teruslah selawat, zikir, baca Quran dan sebagainya. Dan niatkan agar anak kita tenang dan senang menjawab peperiksaan.
InsyaAllah, ‘kiriman’ kita itu sampai pada mereka. Semoga semuanya berjaya dengan cemerlang. Amin.
Sumber/Foto: Mohd Fadli Salleh III, Kita hidup berTuhan / Berita Harian (Foto: Hasriyasyah Sabudin)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Basuh Pinggan Sebiji Pun 5 Minit’ Fuh! Mencabar Bila Minta Anak Perempuan Buat Kerja Rumah
Mak anak ramai ini cabarannya memang tak terduga. Lagi-lagi bila minta anak buat kerja rumah. Kalau tak sabar, mak bukan takat jadi tarzan, naga.. gorilla semua keluar. Apa pun membesarkan anak agar mereka memahami tanggungjawab bukan satu pekerjaan yang enteng.
Sebenarnya, baik perempuan mahupun lelaki, mereka perlu diajar tanggungjawab buat kerja dapur. Sama rata. Inilah yang cuba disampaikan oleh Puan Farizah Shamsudin, 43.
Ibu anak 5, yang mana masing-masing berusia antara 7 tahun hingga 17 tahun. Cuma, kali ini anak perempuan kecilnya, Syahindah Humaira, 7 tahun menguji kesabarannya sebagai ibu. Bila diminta buat kerja rumah.. buat tak dibuat. Tapi ‘slow’ yakmat. Macamana ibu ini tunjukkan reaksi?
Terdengar Keluhan Berat Bila Diminta Basuh Pinggan
Selesai makan, dia letak pinggan ke dalam sinki. Basuh tangan laju-laju dan bersedia untuk beredar….
“Haipp…!”
Langkah terhenti.
Mata terkebil-kebil pandang mama yang tiba-tiba dah tercegat di belakang.
“Basuh pinggan!”
Pantas mama bagi arahan sebelum dia sempat lari jauh-jauh. Terus dia balas dengan muka macam kucing lemas kena siram air.
“Alamaaak… tak sempat Syahindah nak jadi patung.”
Terdengar satu keluhan berat sebelum dia perlahan-lahan berpaling semula ke arah sinki. Wajah kecewa kerana hajat yang terputus di tengah jalan.
Dia Buka Air Laju-laju, Main Air Sabun
Kurang satu minit, riak wajah itu dah bertukar rupa, bersinar-sinar macam matahari baru terbit. Rupanya ada mentol sedang menyala-nyala dalam minda!
Dia buka air laju-laju. Tadah pinggan kotor. Tutup air. Celup span dalam air sabun. Perah span sampai kempis. Isi penuh-penuh dalam pinggan sampai berbuih-buih. Celup lagi. Perah lagi. Ulang lagi dan lagi. Wajah bahagia tanpa sedikit pun rasa bersalah.
“Syahindah ni memang suka main sabun.”
Mulut bersuara tanpa ditanya. Konon macam Chef Wan dalam rancangan masakan. Sambil campak ramuan sambil ajar. Gitu.
Mama perhatiiii saja dengan nafas turun naik. Ingatkan dah menang tanpa bertanding, rupanya ada ujian tahap dua. Ini ujian maha halus. Melibatkan jiwa dan raga. Tak mahu kalah, terus mama meratib laju-laju dalam hati.
‘Biarlah, asalkan bahagia…’
‘Biarlah, asalkan bahagia…’
‘Biarlah, asalkan bahagia…’
Selepas beberapa ketika, akhirnya dia pun angkat tinggi-tinggi pinggan yang dah siap berbasuh sambil sengih lebar-lebar tayang gigi.
“Ok, dah bersih!”
“Thank you Syahindah!”
Saya hadiahkan dia ciuman paling manis. Paling bersari!
Fuhh! Hampir berjanggut kali ini mama terpaksa tunggu dia selesai membasuh sebiji pinggan. Ya, hanya sebiji pinggan untuk tempoh lima minit. Mengigil buku lali! Hati pun dah ada percikan api.
Mencabar Bila Minta Anak Buat Kerja Rumah
Begitulah. Cabaran nak minta anak buat kerja rumah bukan calang-calang. Nampak remeh, tapi penting. Tak selamanya berjaya dan tak selamanya juga gagal. Ada hari saya mampu tersenyum sampai ke telinga. Ada ketika saya mengamuk macam singa!
Isu culas? Biasalah. Sedangkan dewasa pun sarat dengan isu lari dari tanggungjawab, inikan pula kanak-kanak yang baru kenal hidup.
Lalu cabaran kita sebagai ibu bapa adalah memahamkan mereka bahawa tanggungjawab itu bukan sejenis hobi yang kita punya pilihan untuk melakukannya atau tidak. Sebaliknya, ia adalah satu kemestian yang mahu tidak mahu, satu hari nanti kita memang perlu ambil tahu dan buat!
Lalu, bagaimana mahu membiasakan anak-anak untuk menerima tanggungjawab tanpa berdolak-dalik lagi. Atau muka masam mencuka. Atau bertolak-tolakkan sesama mereka. Abang suruh adik. Adik jeling kakak. Kakak jegil pada adik-adik.
Akhirnya Ibu Praktik 3 Pendekatan : ‘Berdesup Anak Buat Kerja Rumah’
Peringkat 1 – Pendedahan
Haramkan ayat ini dalam hidup kalian – ‘Tak apa. Dia masih kecil lagi’.
Ini ayat makan diri namanya. Tidak perlu terlalu terikat dengan umur. Peringkat umur yang sesuai untuk mula didedahkan dengan tanggungjawab, sangat subjektif. Dua tahun? Tiga tahun? Empat tahun? Tidak ada masalah jika mereka sudah menunjukkan tanda-tanda berminat untuk turut serta melakukannya. Kita lebih kenal kemampuan mereka.
Nampak mereka dah boleh diharap angkat pinggan? Biarkan.
Takut pinggan mahal pecah? Bagi pinggan plastik.
Dah boleh jemur baju? Silakan.
Yang penting, berikan pendedahan dengan tugasan yang mudah. Jangan sesekali memandang rendah kebolehan mereka berdasarkan faktor umur. Potensi anak-anak berbeza antara satu sama lain. Pendedahan dapat memancing kebolehan dan kemahuan mereka.
Mulakan dengan tanggungjawab untuk diri sendiri dulu. Kemudian baru luaskan untuk bantu orang lain juga. Biar mereka berasa diri mereka sama penting dan diperlukan, seperti orang lain.
Peringkat 2 – Pemahaman
Biar dia faham, di peringkat awal yang diutamakan adalah USAHA. Bukan hasil.
Jadi, nampak hasil yang kurang memuaskan, usahakan ’wat lek wat pis’ saja. Baiki dan bimbing dari masa ke semasa. Salah satu sebab manusia kecundang sebab dia tak mendapat kepercayaan. Bila tak dipercayai, keyakinan dirinya akan merudum. Benda yang mudah pun akan jadi sukar. Practice make perfect! Lama-lama oklah….
Yang penting, hargai usaha dia. Puji. Itu perlu sebagai makanan motivasi. Puji pada setiap peningkatan. Bukan hanya tahu marah pada kesalahan sahaja. Biar mereka tahu, kita sedar dan peka dengan setiap usaha yang mereka buat. Gagal atau berjaya, raikan.
Kita mahu mereka terbiasa membantu kerja rumah tanpa rasa terbeban. Malah meraikannya sebagai sebahagian daripada kehidupan.
Nampak dia terkial-kial? Tak apa. Jangan cepat sangat cair kalau anak buat muka simpati. Belajar ‘membaca’ fikiran dia. Kalau nampak seolah dia memang nak lari dari tugas dengan sengaja, maka wajiblah keraskan hati. Ini ujian jiwa raga. Perlu ketahanan mental yang tinggi kalau nak lihat hasilnya yang baik di masa akan datang. Tunjukkan bahawa hati kau keras macam Roy! Langsung tidak terjejas atau terancam dengan sebarang propaganda.
Kalau dia nampak stres dan perlu bantuan, tawarkan bimbingan. Bukan ambil alih. Ingat ya. Bukan ambil alih!
Penting untuk mereka faham bahawa jika mereka tak lakukan sendiri, tak ada siapa yang akan buatkan untuk mereka. Jangan mudahkan jalan untuk mereka lari daripada tanggungjawab.
Peringkat 3 – Penguatkuasaan
Kalau kita sejenis manusia yang malas nak ulang arahan banyak kali, ambil kertas dan tampal di dinding. “Basuh pinggan selepas makan.” Contoh cenggini ha! Nak lagi power, kau ikut mereka macam bayang-bayang selagi tugas tak diselesaikan. Biar stres sampai ke urat nadi.
Itulah yang saya lakukan jika saya dapat kesan siapa yang punya angkara. Saya akan kejar sampai ke lubang cacing! Huh! Dah beritahu berkali-kali, lagi mau lari? Tidak hairanlah untuk hal yang satu ini, sehingga sekarang mama kekal dengan gelaran singa, abah… arnab.
Kalau perlu ulang sehingga 365 hari berturut-turut, silakan.
Kesulitan hari ini adalah untuk kesejahteraan masa hadapan. Gitu.
Sumber/Foto : Farizah Shamsudin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Confirm Ada Penyakit ‘Kulit Gatal’, Cegahlah Pencetus Ekzema Ikut Saranan Doktor
Masalah kulit sensitif atau ekzema ini jangan dibuat main-main. Baik anak kecil, atau orang dewasa bila dah terkena, sakit, gatal, merengsanya sangat.. sangat merimaskan.
Memahami permasalahan yang dialami para pesakit, Dr Nurussyahida Abdul Aziz, Klinik Lathika, Kota Sarang Semut berkongsi informasi lengkap berkaitan ekzema; punca, risiko, pencegahan dan jenisnya.
Sebelum itu kena faham dulu apa itu ekzema. Ia merupakan penyakit kulit gatal disebabkan keradangan dan kulit sensitif.
“Ekzema juga digolongkan dalam penyakit atopi yang merupakan penyakit diwarisi keluarga.”
Justeru, penyakit ini mungkin dilihat ahli keluarga atopi :
- Asma
- Resdung
- Ekzema (atopic dermatitis)
Siapa Berisiko Alami Ekzema Dalam Keluarga
Alergi makanan yang berkait rapat dengan ekzema adalah berkitar di dalam keluarga yang berpenyakit alergi.
Kebarangkalian seorang anak mendapat alergi makanan ialah:
√ 5–15% risiko walaupun tiada sejarah alergi di dalam keluarga.
√ 20 – 40% sekiranya salah seorang darinya mempunyai alergi.
√ 25 – 35% sekiranya adik beradiknya mempunyai alergi.
√ 40 – 60% sekiranya kedua ibubapanya mengalami alergi.
√ 50 – 80% sekiranya alergi ibubapa adalah jenis yang sama.
“Perlu difahamkan sejelasnya, pencegahan ekzema ini cuma dapat mengurangkan, tapi tidak menghilangkan genetik. Disarankan menyusukan anak secara eksklusif sekurang-kurangnya 6 bulan.”
Ini Rupanya Punca Ekzema
Punca sebenar ekzema adalah tidak diketahui oleh namun begitu, ia dikaitkan dengan variasi genetik sesuatu keluarga.
Apa yang sering disalah erti ialah pencetus ekzema bukan penyebab penyakit ekzema.
Ciri-ciri Ekzema Ini Buatkan Mak Ayah Lebih Hati-hati Dengan Penggunaan Sabun
Keradangan kulit disebabkan ekzema menjadikan kulit kering, merah, panas dan bengkak. Dinding perlindungan kulit menjadi rosak dah terdedah.
Maka air daripada dalam kulit keluar melalui bahagian lapisan kulit yang rosak menyebabkan kulit menjadi kering. Ini dipanggil trans epidermal water loss (TEWL)
Kulit pesakit ekzema juga mudah terdedah kepada jangkitan kuman kerana kerosakan dinding pelindungan kulit.
PH kulit yang asalnya berasid (pH4.5) dan jika gunakan sabun biasa yang alkali PHnya akan meneutralkan PH.
Jadi semua sebum/air yang ada di kulit akan hilang dan bertambah kering. Sebab itu, gunakan pencuci yang ekzema friendly.
Ini Yang Pesakit Ekzema Akan Alami Ketika Sakit Menyerang
1) Sangat gatal walaupun mungkin tiada ruam.
2) Ruam berbentuk pelbagai dan merah menyala ketika meradang.
3) Boleh menjadi berair atau bernanah terutamanya jika terkena jangkitan kuman.
4) Jika terlampau kering dan ekzema menebal, kulit boleh menjadi berkerak.
Kadang-kadang susah untuk bezakan dengan jangkitan kulat.
Jenis Ekzema Sebenarnya Tak Sama
Jenis-jenis ekzema berbeza dengan lokasi dan bentuk ekzema itu sendiri. Ekzema yang paling biasa ialah atopi iaitu pada bahagian pipi dan pelipat siku dan lutut.
Ekzema boleh menjadi sangat teruk dan membentuk kerak keras seperti Eczema craquelé disebabkan kulit terlampau kering. Menggosok dan menggaru ruam ekzema boleh menyebabkan ruam menjadi tebal dan berkerak.
Macamana Ekzema Itu Dikenalpasti
Diagnosa ekzema disahkan oleh doktor perubatan atau pakar kulit. Tiada ujian makmal biasanya digunakan.
Doktor akan membuat pemeriksaan fizikal jenis ruam dan bertanyakan soalan terperinci sebelum membuat diagnosa masalah ekzema.
Pesakit ekzema juga kebiasaannya mempunyai masalah alahan dan alergi.
Keduanya merupakan masalah berbeza yang biasanya dicetuskan oleh alergen persekitaran. Ujian alahan dan alergi, walaupun membantu mengenal pasti alergen pencetus, tidak tepat dan mungkin memberi gambaran salah mengenai pencetus alahan pesakit ekzema.
Bila Dah Confirm Ekzema, Basmi Dan Cegahlah Pencetus Ekzema
1. Rawatan Ekzema Moden
Mengikut perubatan konvensional, ekzema merupakan penyakit keturunan yang tidak dapat disembuhkan.
Ekzema cuma dapat dikawal dan rawatan adalah menjurus ke arah mencegah kekerapan keradangan demi meningkatkan jangka waktu kulit bebas ekzema.
Maka kaedah perawatan ekzema menurut perubatan konvensional ialah :
1. Elak pencetus ekzema
2. Emolien dan pelembap mencegah pengeringan kulit
3. Antihistamin untuk mengawal kegatalan Antibiotik untuk membunuh kuman kulit – 90% kes ekzema ada jangkitan bakteria staphylococcal aureus.
5. Penggunaan steroid (lemah hingga sangat kuat)
6. Penggunaan pengubah imuniti badan (Immunomodulator/Chemo)
2. Kenalpasti Basmi, Dan Cegah Pencetus Ekzema.
Jika mampu, elakkan segala faktor pencetus dan menerukkan ekzema.
- Elakkan cuaca melampau (sejuk/panas).
- Hindari pemakaian bulu kasar atau fabrik sintetik.
- Elakkan penggunaan sabun dan detergen.
- Pastikan kuku dipotong pendek.
- Kenal pasti makanan yang menyebabkan alergik seperti seafood
3. Pastikan Kulit Sentiasa Lembap
- Memandangkan dinding perlindungan kulit rosak, kelembapan akan hilang dengan pantas melalui kulit pesakit ekzema.
- Gunakan pelembap atau emolien.
- Penggunaan emolien adalah sangat penting dalam terapi ekzema. Kekerapan dan kuantiti penggunaannya sewajarnya melebihi mana-mana terapi ekzema yang lain.
4. Gunakan Pencuci Yang Friendly Kulit
Khas untuk kulit ekzema seperti cetaphil, ezerra dan lain-lain supaya kulit tidak kering.
5. Jangan Guna Sabun Biasa
Kulit pesakit ekzema juga mudah terdedah kepada jangkitan kuman kerana kerosakan dinding pelindungan kulit. PH kulit yang asalnya berasid (pH4.5) dan jika gunakan sabun biasa yang alkali PHnya akan neutralizekan PH kulit.
Jadi semua sebum/air yang ada di kulit akan hilang dan bertambah kering. Sebab itu, gunakan pencuci yang ekzema friendly.
6. Rawat Kegatalan Dan Cegah Keradangan
Steroid kekuatan rendah boleh digunakan jika penggunaan emolien sahaja tidak dapat mengawal keradangan
Antihistamin boleh melegakan sesetengah pesakit, terutamanya yang mengalami gegata atau resdung, apabila diambil pada waktu malam ketika kegatalan biasanya memuncak.
Agen Immunomodulatory (seperti sapuan tacrolimus atau pimecrolimus) boleh digunakan pada muka, kelopak mata dan celahan kulit, untuk ekzema yang tidak respons kepada steroid kekuatan rendah.
7. Rawat Kurangkan Keradangan
Steroid kekuatan sederhana dan kuat digunakan untuk jangkamasa yang pendek untuk merawat penerukan keradangan ekzema.
Steroid kekuatan ultra hanya boleh digunakan buat jangka waktu 1 hingga 2 minggu ke kawasan selain muka dan pelipat.
8. Rawat Jangkitan Kulit Seawal Mungkin
Jangkitan kulit Staphylococcus aureus merupakan jangkitan berulang yang perlu dirawat menggunakan antibiotik.
Ekzema juga boleh dirumitkan dengan jangkitan virus pada kulit seperti herpes simplex. Diagnosis awal dan penggunaan antiviral mungkin diperlukan. Ketuat (warts) and molluscum contagiosum (ketuat air) boleh jadi lebih teruk daripada pesakit tanpa ekzema.
Jangkitan kulat (yeast and dermatophytes) mungkin merumitkan dan menerukkan ekzema. Diagnosis dan penggunaan antikulat sesuai diperlukan.
Sumber/Foto : Klinik Lathika, Kota Sarang Semut
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI