Dalam diam penuh syukur, pelakon dan pengarah berbakat Yana Samsudin bakal menyambut cahaya mata keempat pada Oktober ini. Baru sahaja setahun melahirkan anak ketiga, Yana, 41, mengakui kehamilan kali ini datang dengan lebih mudah dan tenang, berbanding pengalaman sebelum ini yang penuh cabaran.
“Alhamdulillah, anak keempat. Kali ini kurang mencabar berbanding hamil anak nombor tiga. Dulu sampai enam bulan saya tak boleh bangun. Sekarang dah masuk lima bulan pun masih boleh buat kerja sikit,” ujar Yana menerusi satu perkongsian di TikTok.
Ads
Rezeki Yang Tidak Disangka
Apa yang membuat perjalanan ini lebih mengharukan, Yana yang diketahui menghidap PCOS (polikistik ovari) sebelum ini, tidak menyangka akan hamil dalam tempoh yang begitu singkat selepas melahirkan anak ketiga.
PCOS (Polycystic Ovary Syndrome) atau Sindrom Ovari Polisistik ialah gangguan hormon yang biasa dialami wanita usia subur. Ia memberi kesan kepada fungsi ovari dan boleh menjejaskan kesuburan.
Ads
“Semua tahu saya ada PCOS. Anak pertama, kedua dan ketiga semua selang empat tahun. Tapi kali ini, anak ketiga baru setahun setengah, saya hamil lagi. Ya Allah, ini memang impian saya, nak anak ramai. Allah makbulkan.”
Sedar akan faktor usia, Yana turut mengambil langkah berjaga-jaga demi kesihatan bayi dan dirinya dengan menjalani ujian pranatal tidak invasif (NIPT) – sejenis ujian darah yang boleh mengesan sebarang keabnormalan kromosom pada janin.
Ads
“Sebenarnya usia saya sudah meningkat, saya kena buat pemeriksaan NIPT. Ini cabaran yang saya kena fikirkan sekarang.”
Yana bukan asing dengan pengalaman kehamilan yang mencabar. Tahun lalu, beliau selamat melahirkan anak ketiga walaupun berdepan masalah preeclampsia, sejenis tekanan darah tinggi yang boleh membahayakan ibu dan bayi.
Sebelum ini, pengarah filem Selamat Pagi Cinta itu pernah dikejarkan ke hospital dan disahkan menghidap praeklampsia.
“Pernah juga dikejarkan ke hospital. Masa tu dua anak saya sangat aktif, sampai saya tertekan. Itu mungkin puncanya,” kongsi Yana dengan jujur.
Namun sebagai ibu, Yana terus kuat dan reda. Bersama suami tercinta, Fadzil Zahari, pasangan ini kini membesarkan tiga cahaya mata: Aisy Mateen, 8; Aura Aisy Sofea, 4; dan Hakeem, 1.
Suami nak kahwin lagi, jangan diam-diam, bincanglah dengan isteri dulu. Bila suami mula timbulkan hasrat nak tambah satu lagi, memang bukan benda yang mudah untuk isteri hadam. Lebih menyakitkan adalah bila perkara itu disembunyikan, dan isteri dapat tahu dari orang lain atau lebih teruk, mimpi pun boleh jadi ‘alarm’.
Macam satu kisah yang dikongsi oleh Dr. Khairul Faizie baru-baru ini, bila isterinya sendiri bercerita tentang mimpi pelik masa mereka sedang santai bersarapan.
“I mimpi kita pergi Melaka. Lepas tu tiba-tiba jumpa isteri kedua you. Rupa-rupanya dah kahwin senyap 6 tahun, siap ada anak seorang,” kata isterinya sambil ketawa kecil.
Dr. Khairul sendiri tergamam, dan berseloroh katanya, dia lupa nak tanya rupa bini nombor dua tu macam mana.
Tapi dari mimpi pun kita boleh ambil pengajaran, sebab isu poligami bukan main-main.
Berikut antara perkara penting yang lelaki (dan wanita) patut renungkan:
Kalau betul nak kahwin lagi, suami kena ada keberanian untuk maklumkan pada isteri. Tak perlu sorok macam buat benda salah. Kalau benar niat kerana agama dan yakin mampu berlaku adil, kenapa perlu diam-diam?
Menyorok perkahwinan kedua bukan saja menipu isteri pertama, tapi juga menghina kepercayaan dan usaha dia dalam membina keluarga. Isteri mungkin marah, itu normal. Tapi lebih baik hadap kemarahan secara jujur daripada menanggung dosa kerana menipu bertahun-tahun.
Isteri yang marah bila suami nak kahwin lagi – itu bukan bermaksud dia tak faham hukum. Cuma, poligami menyentuh emosi paling sensitif seorang wanita. Jadi, jangan expect mereka terus redha tanpa rasa. Namun, kalau dibawa berbincang dengan tenang, mungkin jalan masih terbuka.
Kalau suami betul-betul ikhlas dan telus, itu lebih baik daripada dia berzina atau curang secara senyap. Tapi, suami juga kena terima kalau isteri minta dilepaskan – bukan sebab dia tak izinkan, tapi mungkin dia tak sanggup.
Waktu itu, banyakkan solat, doa, dan minta Allah beri petunjuk. Kalau benar jalan itu yang terbaik, Allah akan lorongkan juga.
Kita semua hanya dipinjamkan satu sama lain. Suami isteri bukan hak milik, tapi amanah yang perlu dijaga. Apa pun berlaku, ingat – perkahwinan bukan tiket untuk berkuasa atas pasangan. Kalau sayang pasangan kerana Allah, kita juga kena redha dengan takdir-Nya, walaupun pahit.
Tapi ingat juga, kalau suami yang dah beristeri mahu kahwin lagi, tanggungjawab dia berganda. Kalau culas, isteri ada hak untuk buat laporan dan tuntut hak melalui saluran undang-undang syariah.
Kepada wanita yang akan jadi isteri kedua, tolong jangan aniaya kaum sendiri. Kalau kau sanggup rahsiakan hubungan dengan suami orang, dan bersubahat dengan dia menipu isteri pertama, kau jangan terkejut kalau satu hari nanti kau pula yang merasai perkara sama.
Hari ini kau isteri kedua. Kalau esok suami kau kahwin lagi secara rahsia, kau pula yang bakal rasa peritnya. Poligami itu sah dari sudut agama, tapi mesti telus, berdaftar, dan ikut undang-undang. Jangan ikut jalan mudah ke sempadan untuk nikah diam-diam.
Poligami bukan soal siapa menang, siapa kalah. Ia soal tanggungjawab, keadilan, dan kejujuran. Kalau rasa mampu dan yakin boleh berlaku adil, bawa berbincang dengan isteri dengan hati yang tenang. Kalau tak mampu hadap, jangan mula.
Dan buat isteri pula, kalau suami datang dengan niat nak kahwin lagi – tenang, jangan terus meletup. Mungkin tak mudah, tapi cuba dengar dulu dengan akal, bukan emosi.
Hidup berumah tangga ini bukan perlumbaan siapa lebih berkuasa. Ia soal saling memahami dan menjaga amanah Allah, dengan ikhlas.
Lelaki bila dah berjaya, ramai ‘suka’ berkongsi kejayaan dengan wanita yang tak pernah hidup susah dengannya. Setiap insan mendambakan kejayaan dalam hidup, lebih-lebih lagi bagi lelaki yang sering dipikul sebagai ketua keluarga dan tonggak harapan. Kejayaan itu tidak hadir sekelip mata, ia menuntut usaha, pengorbanan, kesabaran dan ketabahan yang tinggi.
Ramai lelaki yang bermula dari kosong, bekerja keras, bersusah payah dan berjuang mengubah nasib diri serta keluarga. Namun, hakikat pahit yang sering berlaku ialah apabila kejayaan mula dikecapi, ramai yang terlupa siapa yang pernah berada di sisi mereka sewaktu jatuh bangun itu berlaku.
Fenomena ini bukan sesuatu yang asing dalam masyarakat kita hari ini. Tidak sedikit lelaki yang setelah berjaya, berkongsi kekayaan, kesenangan dan kemewahan dengan wanita yang tidak pernah bersama mereka di saat hidup penuh dengan kepayahan.
Ada yang mudah terpengaruh dengan kehadiran orang baru yang hanya mengenal mereka ketika sudah berada di puncak kejayaan. Malangnya, wanita yang pernah bersusah payah, yang sanggup berkorban, menahan ragam, memberi sokongan tanpa jemu ketika hidup masih serba kekurangan, akhirnya dilupakan begitu sahaja.
Sewaktu lelaki masih berusaha mencari arah, masih tercari-cari peluang dan menanggung beban hidup, sering kali wanita yang setia di sisi inilah yang menjadi kekuatan utama. Mereka bukan sahaja menjadi pendengar setia, malah turut menyokong secara moral, emosi dan kadangkala kewangan.
Ada isteri atau pasangan yang sanggup menanggung sebahagian perbelanjaan keluarga, membantu dari sudut mental dan spiritual, serta mengorbankan masa dan tenaga demi melihat lelaki yang mereka cintai berjaya. Tetapi, apabila semua keperitan itu berganti dengan keselesaan dan kemewahan, sesetengah lelaki mula alpa.
Ada juga yang tergoda dengan pujian dan perhatian orang baru, sehingga sanggup melupakan insan yang pernah berjasa. Mereka seolah-olah terlupa bahawa kejayaan yang diraih bukanlah hasil usaha sendiri semata-mata, tetapi turut dibina atas sokongan, doa dan kesetiaan insan yang bersama dari awal.
Fenomena ini sangat menyedihkan kerana ia bukan sahaja melukakan hati orang yang pernah berkorban, malah memperlihatkan betapa mudah manusia berubah apabila diuji dengan nikmat.
Mencintai orang baru bukanlah satu kesalahan. Perasaan itu boleh hadir dalam pelbagai situasi, lebih-lebih lagi apabila kehidupan sudah berubah. Namun, yang menjadi persoalan ialah apabila kita gagal menghargai orang lama yang pernah bertahan bersama dalam susah senang.
Tidak kira sejauh mana kejayaan dicapai, sehebat mana harta dikumpul, atau setinggi mana kedudukan dalam masyarakat, harga sebuah kesetiaan dan pengorbanan tidak boleh dibayar dengan wang ringgit.
Hakikatnya, kejayaan sebenar bukan sekadar memiliki kekayaan atau mencapai impian peribadi. Kejayaan sebenar adalah apabila kita tidak pernah melupakan asal-usul kita, insan-insan yang pernah membantu di saat tiada siapa percaya kepada kita, dan mereka yang sanggup berada di sisi ketika hidup masih kelam.
Kesetiaan dan keikhlasan insan seperti ini adalah anugerah yang lebih berharga daripada kemewahan dunia yang bersifat sementara.
Justeru, kepada lelaki di luar sana, renungkanlah kembali perjalanan hidup anda. Siapa yang pernah bersama anda sewaktu segala-galanya sukar? Siapa yang sanggup berkorban demi melihat anda berjaya?
Jangan kerana kehadiran orang baru yang hanya mengenal kesenangan, anda lupa insan yang pernah memegang tangan anda di saat tiada siapa pun mahu mendekati. Hargailah mereka yang setia dari mula, kerana itulah lambang kejayaan sejati yang bukan semua orang mampu miliki.
Ibu hilang 4 anak, seorang menantu sekelip mata, status whatsApp terakhir jadi petanda. Perjalanan yang sepatutnya menjadi detik menggembirakan bertukar menjadi peristiwa hitam apabila lima sekeluarga terkorban dalam kemalangan tragis melibatkan dua kenderaan di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, tengah malam semalam.
Tragedi ini bukan sekadar satu kemalangan ngeri, ia meragut nyawa satu pasangan suami isteri muda bersama tiga adik ipar mereka, sekali gus menghancurkan harapan dan kebahagiaan sebuah keluarga yang merancang untuk berhari raya bersama sanak saudara di kampung.
Mangsa-mangsa yang maut menaiki kereta jenis Perodua Bezza dan dalam perjalanan ke rumah bapa saudara mereka di Jerantut bagi menghadiri kenduri korban keluarga. Mereka ialah Muhammad Ikmal Ishak, 26, pemandu kenderaan dan suami kepada Nur Arfiqah, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, isteri Ikmal dan tiga adik Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli Aziz Jaafar, 21, Mohamad Azizul, Hakimi Aziz Jaafar, 19 dan Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17
Kemalangan berlaku sekitar jam 12.40 tengah malam apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah Toyota Alphard. Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ibu kepada empat daripada mangsa, Zaini Noh, 52, menyatakan bahawa sejak awal dia sudah merasakan sesuatu yang tidak kena. Beliau beberapa kali melarang anak-anaknya untuk pergi, lebih-lebih lagi kerana beliau sendiri tidak sihat dan tidak dapat menyertai perjalanan itu.
“Saya cakap dengan mereka, kalau mak tak pergi, tak payahlah pergi. Tapi mereka bersungguh-sungguh sangat nak pergi.”
Namun dek keinginan untuk bersama keluarga dan menyertai kenduri korban yang dianjurkan oleh bapa saudara mereka, mereka tetap meneruskan perjalanan. Saudara-mara lain termasuk anak bongsu pasangan itu telah bertolak sehari lebih awal menaiki dua lagi kenderaan.
Kali terakhir Zaini melihat anak-anaknya ialah pada hari Selasa, apabila mereka datang mengambil barang sebelum bertolak. Mereka semua kelihatan ceria, tanpa menunjukkan sebarang petanda akan berlaku sesuatu yang buruk.
Beliau mengingati kisah yang diceritakan oleh rakan-rakan arwah anaknya, bahawa anak ketiganya, Mohammad Zulkifli, sempat membelanja 10 orang kawannya makan nasi bungkus sebelum bertolak. Tindakan itu kini menjadi kenangan terakhir yang amat menyentuh hati mereka yang mengenalinya.
“Saya tengok mereka semua ceria masa kali terakhir jumpa… saya tak sangka itu kali terakhir.”
Abang kepada Muhammad Ikmal, Muhammad Ridzuan Ishak, 33, masih terkesan dengan apa yang dilihatnya pada malam kejadian. Sekitar jam 10 malam, beliau sempat melihat status WhatsApp adiknya yang berbunyi:
“Itulah jalan pertama dan terakhir akan dilaluinya.”
Kata-kata itu yang pada mulanya dianggap biasa, rupa-rupanya menjadi petanda bahawa perjalanan malam itu adalah yang terakhir buat mereka berlima.
Ridzuan yang bekerja sendiri berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya adalah pada hari Rabu, ketika semua adik-beradik berkumpul di Taman Malar, Tambun, Perak. Ia merupakan pertemuan yang tidak disangka akan menjadi kali terakhir mereka berjumpa.
“Arwah memang periang dan sangat disenangi keluarga. Saya tergamam bila terima berita.”
Berita kemalangan diterima keluarga dalam suasana yang sangat mengharukan. Ridzuan menerima panggilan telefon daripada abang kepada isteri adiknya sekitar jam 1.30 pagi. Pada mulanya beliau tidak percaya, namun setelah mendapat penjelasan, hatinya luluh dan tidak mampu berkata apa-apa.
Sementara itu, Zaini dan suaminya menerima berita itu melalui jiran mereka yang menghubungi dan memberitahu tentang kemalangan. Namun, berita sebenar bahawa semua anaknya telah meninggal dunia hanya diketahui kemudian. Detik itu menghancurkan hati seorang ibu yang baru sahaja melihat anak-anaknya ceria beberapa jam sebelumnya.
“Jiran telefon, kata anak eksiden, tetapi dia tak cakap lagi pasal meninggal. Dah lama lepas itu baru kami tahu semua dah tak ada.”
Pada mulanya, keluarga bercadang mengebumikan jenazah di Tambun, namun atas permintaan keluarga mentua arwah, jenazah kelima-lima mangsa akhirnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan, Perak.
Solat jenazah dilakukan di Masjid Jamek Bota Kanan pada hari Sabtu, dalam suasana penuh pilu. Sanak saudara, rakan-rakan dan penduduk setempat hadir memberi penghormatan terakhir kepada lima insan yang pergi serentak dalam tragedi yang menyayat hati ini.
Kini, Zaini dan suaminya hanya tinggal dua orang anak, anak sulung dan anak bongsu. Walaupun berat, mereka memilih untuk reda dengan takdir Tuhan.
“Apa saya boleh kata… saya reda,” ujar Zaini dalam esak tangis yang ditahan, menunjukkan ketabahan luar biasa seorang ibu yang kehilangan hampir seluruh isi rumahnya dalam sekelip mata.
Nora Danish baiki diri sepanjang Ramadan, tak mahu buat solat dengan tergesa-gesa. Semakin manis dan dilihat semakin banyak berkongsi perkara yang baik.