Tak dapat menggambarkan perasaan seorang lelaki bernama suami di kala ini mengenangkan nasib yang sedang dialami oleh si isteri yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Nadzmi Adhwa sememangnya tidak dapat menahan sebak kerana tidak dapat menemani isteri tercinta, Ardell Aryana yang menyertai perjalanan berisiko itu. Namun, dia mengambil pendekatan reda dengan perjuangan Ardell yang membawa misi kemanusiaan sejagat itu.
“Doa suami untuk isteri tiada hijab kan? Ya Allah, dengarkanlah doa ini. Berikan mereka kekuatan, lindungi mereka, berkatilah mereka dan permudahkan urusan mereka untuk sampai ke bumi Gaza.
“Ya Allah, hanya pada-Mu kami berserah,”ujarnya.
Nadzmi berkongsi luahan tersebut menerusi hantaran di platform Threads pada pagi Selasa.
Nadzmi yang juga merupakan bapa kepada dua cahayamata ini turut memaklumkan aplikasi WhatsApp milik isterinya sudah tidak boleh digunakan lagi sepanjang misi tersebut dan hanya dapat dihubungi melalui signal sahaja.
Maklumat tersebut diperolehi melalui mesej daripada salah seorang aktivis yang turut serta dalam konvoi berkenaan.
Difahamkan, misi GSF dijangka memasuki zon merah pada hari ini (1 Oktober 2025) iaitu perairan berdekatan Gaza. Sementara itu, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) menjangkakan misi GSF akan memasuki zon merah pada jam 7 malam waktu Malaysia.
Ardell merupakan antara individu yang mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza sebagai sebahagian daripada GSF dengan tujuan memecah kepungan serta menghantar bantuan makanan dan perubatan kepada penduduk Palestin.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE