Warga emas tegur remaja main motosikal maut dipukul besi cota. Seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun maut selepas dipercayai dipukul dengan sebatang besi cota dalam kejadian di Kampung Buluh, Gual Ipoh pada petang Khamis.
Mangsa, Shamsuddin Mohamad, mengalami kecederaan parah pada wajah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sekitar jam 5.30 petang. Suspek dipercayai seorang remaja lelaki berumur 18 tahun, yang dikatakan berdendam kerana pernah ditegur oleh mangsa berhubung cara menunggang motosikal secara merbahaya di kampung tersebut.
Menurut adik tiri mangsa, Hasnah Ghazali, 40, ketika kejadian abangnya sedang berbual dengan seorang rakan di bangsal bersebelahan sebuah kedai runcit. Suspek kemudiannya datang dan mengajak mangsa ke bahagian belakang premis tersebut sebelum memukulnya.
“Abang saya rebah dan tidak sedarkan diri selepas dipukul,” katanya kepada media pada Jumaat.
Hasnah memaklumkan kejadian disedari oleh seorang lelaki yang kebetulan berada di kawasan itu. Beliau dimaklumkan mengenai insiden berkenaan sekitar jam 5.45 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Waktu saya sampai, abang sudah berlumuran darah,” ujarnya lagi.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat.
Tambah Hasnah, kali terakhir beliau bertemu abangnya adalah pada Rabu lalu semasa berada di rumah ibu mereka. Katanya, mereka ada mendengar cakap-cakap mengenai rasa tidak puas hati suspek kerana pernah ditegur oleh mangsa sebelum ini.
Jenazah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kelupang, Gual Ipoh selepas solat Asar pada hari Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah turut mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sumber: Sinar Harian
dan Harian MetroBaca artikel lain juga: Remaja 17 Tahun Tikam Ibu & Abang Kandung Hingga Maut, Tekanan Belajar, Sering Dimarahi Dikenal Pasti Jadi Punca
Isteri Maut Dikelar Suami, Suspek Cuba Bakar Rumah Ibu Mentua
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE