kaca mata

Jika boleh, semua orang tidak mahu mengalami masalah penglihatan apatah lagi perlu mula menggunakan kaca mata. Betapa luasnya pemandangan apabila mata boleh melihat dengan jelas. Tetapi tidak semua bernasib baik mempunyai penglihatan yang super terutamanya apabila usia mula menginjak 40-an.

Baru-baru ini saya berpeluang menemuramah seorang optometris atau ahli optik bernama Fair Sulaiman. Banyak jugalah tip-tip yang dikongsinya kepada mereka yang pertama kali menggunakan kaca mata.

Kata Fair, kebanyakan pengguna (tidak kiralah lelaki atau wanita)  yang pertama kali menggunakan kaca mata tidak tahu cara yang betul memakainya.

“Umumnya apabila wanita atau lelaki  yang sebelum ini mata mereka tidak bermasalah, sebaik sahaja berumur 40-an mereka akan mula mengalami masalah rabun terutamanya rabun dekat kerana otot mata sudah tidak kuat. Kanta mata sudah tidak fleksibel dan mata tidak boleh fokus untuk melihat tulisan dengan dekat.

Semua orang boleh mengalami masalah ini. Cuma ada yang awal dan ada yang lewat bergantung pada keadaan mata individu dan cara hidup mata.  Apabila disahkan mengalami rabun dekat atau rabun jauh, individu itu perlulah memakai kaca mata yang telah dipreskripsi dengan tepat oleh optometris.

IKLAN

Tetapi perlu diingat, kaca mata yang dibeli itu bukan sekadar letak di mata dan terus guna,” pesan Fair berkali-kali.

Tiga Jenis Kaca Mata

Berikut ada tip-tip yang boleh diguna pakai oleh mereka yang pertama kali menggunakan kaca mata yang telah dipreskripsi sebaik usia menginjak 40-an.

1-Bagi mereka yang disahkan mengalami rabun dekat, biasanya mereka akan disarankan memakai ‘reading glasses’ atau kaca mata untuk rabun dekat. Gunakan kaca mata ini hanya untuk membaca dan melihat benda yang dekat sahaja. Apabila  mahu melihat pemandangan jauh atau mahu melihat komputer, perlulah membuka kaca mata tersebut.

IKLAN

2-Bagi mereka yang menggunakan kaca mata multifocal, ini agak rumit sedikit penggunaannya sebab di dalam satu kaca mata itu terdapat banyak ‘ power ‘.  Ada kanta dekat, pertengahan dan jauh pada kaca mata mereka ini. Individu  baru sahaja mula memakai kaca mata jenis ini akan mengalami kesukaran untuk memberi perhatian pada pandangan jauh, pertengahan dan dekat pada masa yang sama.

Bahagian atas untuk melihat pemandangan jauh. Bahagian pertengahan untuk jarak pertengahan dan bawah sekali untuk membaca dekat.

IKLAN

Apabila mahu melihat jarak jauh, mata perlu fokus terus ke hadapan. Apabila mahu melihat komputer, anak mata perlu diturunkan sedikit ke bahagian tengah. Apabila mahu membaca anak mata perlu melihat ke bahagian bawah sekali.

Ini bermaksud apabila kita pegang buku dan melihat dengan kaca mata multifocal, kepala tidak boleh menunduk. Hanya anak mata sahaja menurun. Masalah sakit kepala boleh berlaku kalau anda salah cara menggunakan kaca mata.

3-Bagi mereka yang menggunakan kaca mata rabun jauh, mereka perlu fokus untuk melihat terus ke hadapan. Tidak boleh mendongak atau menunduk sebab cara itu akan membuatkan kita melihat dalam kawasan yang salah. Kalau kita menunduk, ia akan membuatkan apa yang kita baca tidak jelas. Sebab itu ada sesetengah pengguna kaca mata rabun jauh akan berasa pening kerana mereka salah cara menggunakan kaca mata. Bukalah kaca mata jika anda mahu melihat dan membaca dengan dekat.

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI