Di sebalik ramai menyangka ia bermotifkan curang tetapi ahli keluarga kepada arwah Nur Syamira tampil menjelaskan bahawa arwah sudah bercerai dengan bekas suaminya sejak setahun lalu dan sudah merancang mendirikan rumahtangga dengan pasangannya, arwah Ku Asyraf atau mesra disapa Pokku dalam masa terdekat.
Seorang wanita dikenali sebagai Rosnani Osman membuat pernyataan “untuk info semua, ini bukan kes curang ya. Arwah yang perempuan meninggal dah bercerai dengan suami dia hampir setahun. Dan dia nak kahwin lain tapi bekas laki gila. Cemburu sangat. Anak pun dia bawa lari. Nie kena tikam pula.
Bapa wanita itu, Khamis Abdul Rahim, 55, berkata Nurul atau lebih mesra dipanggil Mira tinggal bersamanya di Sungai Petani sejak berpisah dengan bekas suami setahun lalu.
Katanya, dia mengetahui kejadian yang menimpa anak sulung daripada enam beradik itu selepas dihubungi jiran yang memaklumkan polis datang ke rumahnya jam 2 pagi tadi.
“Waktu itu saya tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Perak dan saya memang terkejut dengan apa yang berlaku.
“Tindakan suspek sangat kejam sehingga sanggup membunuh anak saya, kalau dia meninggal secara biasa saya boleh terima, tetapi tindakan suspek menikam anak saya dan bakal tunangnya sehingga mati memang kejam.
“Mungkin suspek cemburu apabila mengetahui Syamira dan teman lelakinya bakal berkahwin menyebabkan sanggup bertindak demikian,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.
Khamis berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan kematian anak perempuan serta teman lelakinya itu.
Katanya, Ku Asyraf sangat baik dengannya, manakala Syamira pula seorang anak yang baik dan hasil perkahwinannya terdahulu, dia mempunyai dua anak berusia empat dan enam tahun.
“Saya merestui hubungan kedua-dua anak dan pasangannya. Ku Asyraf pernah menyatakan hasrat untuk meminang Syamira tetapi saya minta mereka tangguhkan perkahwinan sehingga pembinaan rumah di Selama, Perak selesai
“Jika diikutkan, mereka memang nak melangsungkan perkahwinan secepat mungkin, namun tidak kesampaian. Saya serahkan kepada polis untuk siasat kes ini dan berharap pelakunya yang kejam sehingga sanggup membunuh anak saya ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Jenazah Nur Syamira dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Plotan, Bukit Merah di Perak selepas urusan bedah siasat selesai. Sumber :- Berita Harian.