
Rupanya ada cara mudah untuk mak-mak boleh buat sendiri rak buku di rumah dengan bajet yang sangat rendah tapi hasilnya cukup puas hati.Yang penting kena kreatif. Siapa sangka hanya menggunakan bakul yang boleh dibeli di kedai Eko pada harga RM2 seunit ini boleh hasilkan rak pelbagai guna. Menariknya bukan sahaja boleh dijadikan rak buku, malah boleh dijadikan rak untuk menyimpan baju bayi, mainan anak-anak, barangan menjahit dan sebagainya.
Berikut perkongsian oleh Puan Siti Fairuz Samsul sebagai rujukan;
“Terjebak DIY jadikan rak buku.Semua sebab join group diy barang eco dan mr.diy memang macam-macam idea boleh dapat dari group tu.Terima kasih pada yang sudi share, kredit pada tuan post idea anda saya guna pakai dan jimat.”
“Bakul tu beli dekat kedai rm2 je.Total RM18 termasuk tali nak ikat tu, tali pun ade baki boleh guna untuk rak yang lain. Terima kasih Encik Suami tolong ikatkan.”
“Macam-macam boleh simpan, buku, mainan anak-anak, barang jahit, baju-baju baby ke, atau apa-apa je la barang yang kita nak simpan dan yang ada anak-anak bulus tu, pun boleh jadi tempat tidur kucing-kucing.”
Bahan-Bahan: (Kos RM18)
Bakul (RM2 x 8 unit)
Cable tie (tali pengikat) RM2

Cara Membuat:
1.Cantumkan bakul secara bertindih seperti dalam gambar.

2.Gunakan Cable tie untuk mengikat bakul-bakul tersebut.

3.Susun secara bertindih bakul-bakul tersebut seperti dalam gambar.

4.Siap! Bolehlah susunkan buku-buku, majalah atau apa sahaja barangan yang diinginkan.

Mudah je kan cara buat rak bajet ini. Macam-macam barangan boleh disimpan dengan lebih kemas dan paling penting kosnya pun murah je dan menjimatkan!
Selamat mencuba! Semoga bermanfaat.
Sumber: Siti Fairuz Samsul
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tragisnya “Perginya Seorang Adik, Berusaha Menyelamatkan Kakak dan Anak Buah Terkena Renjatan Elektrik”

Pemain gitar profesional, Wan Radzie atau Eddy Wan Othman 30, meninggal dunia di kediamannya, di Gombak, kelmarin dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

Turut terkorban dalam insiden tersebut ialah kakaknya, Wan Zunira, 32, sementara anak saudaranya yang berusia tiga tahun, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang.
Berita Duka Dikongsi Abang Allahyarham Eddy

Berita duka tersebut dikongsikan abang Allahyarham iaitu Wan Razmie Wan Othman menerusi laman Facebook miliknya.
“Dukacita dimaklumkan bahawa kedua adinda saya, Wan Zunira dan Eddy Wan Othman sudah berpindah alam menghadap Ilahi malam tadi.
“Kedua jenazah mereka kini di Forensik Selayang dan anak bongsu kepada adinda saya Allahyarhamah Wan Zunira, kini di ICU selayang kerana terlibat sama,” ujarnya.
Perginya Seorang Ibu Ketika Sedang Memandikan Anaknya
Dalam perkongsian sama, Wan Razmie memberitahu kejadian tersebut berlaku ketika Allahyarham Wan Zunira sedang memandikan anak bongsunya. Renjatan elektrik tersebut dipercayai berpunca daripada alat pemanas air elektrik.
“Perginya seorang ibu ketika sedang menyempurnakan tugasan terakhir beliau memandikan anaknya.
“Perginya seorang adik kerana berusaha menyelamatkan kakak dan anak buah yang sedang dalam renjatan elektrik.
“Semoga keduamu pergi sebagai syahid dan syuhada. Berehatlah kedua adikku. Tugasan kalian di dunia dah berakhir. Semoga Allah menerima kebaikan kamu berdua,” luahnya.
Difahamkan jenazah kedua-duanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, pada petang semalam.

Dikenali Sebagai Eddy Malmsteen
Sepanjang pembabitannya dalam dunai muzik, Eddy yang turut dikenali sebagai Eddy Malmsteen pernah mengiringi persembahan barisan artis popular tanah air seperti Datuk Hattan, Joey BPR dan lain-lain.
Sumber/Foto: Facebook Eddy Wan Othman dan Facebook Wan Razmie Wan Othman
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Senyap-senyap Suami Gadai Emas Isteri, Harta Kira Lupus Jika Hilang Bukti

Jarang ada isteri yang tolak bantu suaminya hadapi sesak kewangan gara-gara nak bayar bulanan kereta mewah tertunggak. Paling tidak, akan diserah seketul dua barang kemas, atau emas isteri yang ada di badan. Pajaklah suami di kedai pajak, selesaikan hutang, bila dah pulih kewangan tebuslah kembali emas isteri itu.
Punyalah sayang isteri, tak nak bagi suaminya susah. Malangnya, ada suami mula ambil kesempatan. Selepas diserah emas pertama, diam-diam suami ambil tanpa pengetahuan.. barang kemas isteri yang seterusnya.
Pajakkan di kedai pajak. Tiba-tiba, tuhan nak tunjuk nampak surat pajak itu. Kecewalah hati isteri ini. Ansuran kereta tak juga selesai, barang kemas dah tergadai. Bergaduh besarlah keduanya. Di pihak isteri, boleh kah nanti dia tuntut haknya kembali?
Peguam Syarie, Khairul Fahmi Ramli terangkan apa yang sepatutnya isteri buat, bila berdepan kes seumpama ini.
Emas Isteri Tergadai Gara-gara BMW Suami
Sering saya mendengar, ada pergaduhan suami isteri saja, mesti ada benda yang tergadai. Antara yang pernah berlaku, barang kemas isteri seperti rantai, gelang dan cincin yang digadai di Ar-Rahnu oleh suami untuk beli barang-barang rumah.
Ada keadaan yang isteri meredhai perkara tersebut sebab faham tentang kesesakan yang dilalui suami. Ada juga suami yang sangat bertanggungjawab untuk ‘pinjam’ dan tebus semula barang tersebut. Suami seperti ini tahu, barang itu walaupun dibeli olehnya, tapi bukan lagi miliknya setelah dijadikan mas kahwin.
Cuma, yang tak berapa nak cantik, bila ada suami yang senyap-senyap ambil barang kemas isteri, ketika isteri tidur malam. Ala, macam dalam cerita Bujang Lapok, Zaiton pelan-pelan cabut cincin maknya. Macam itu lah cerita yang selalu berlaku.
Kisah sebenar yang berlaku adalah, barang kemas isteri, yang diperolehi sebagai Mas Kahwin, dicuri oleh suaminya dan dipajak gadai di kedai pajak gadai biasa. Perkara tersebut diketahui isterinya bila terjumpa satu surat pajak gadai yang ada tulisan Cina, dekat pekan yang tak berapa jauh daripada rumah mereka.
Alangkah geram dan sedihnya bercampur baur seorang isteri bila dia dapat tahu perkara tersebut. Dia tahu, suaminya sebelum ini telah diberhentikan kerja kerana kesalahannya sendiri. Akibatnya, isteri inilah yang terpaksa tanggung makan, minum dan tempat tinggal yang mereka duduk sekarang.
Cuma, yang tak dapat ditanggung adalah kereta BMW 3 series yang sudah tertunggak lebih daripada 3 bulan. Baru ini, ada orang yang nak datang tarik kereta tapi mujurlah abang isteri datang bantu dahulukan duit. Tapi, tak disangka, tindakan seterusnya adalah MENCURI & GADAI barang kemas isteri tanpa pengetahuan.
Bila ditanya suami, kenapa buat begini, katanya terdesak nak bayar kereta mewah tersebut. Sebelum ini dah suruh dijual, tapi suami enggan sebab tak ‘standard’ katanya kalau pakai kereta lain.
Adakah Barang Kemas Tersebut Milik Suami Juga?
Apabila sesuatu barang kemas telah dihadiahkan sebagai hantaran kahwin, atau mas kahwin, secara langsung ia adalah 100% milik isteri. Tidak lagi menjadi milik suami. Ini adalah sama dengan bentuk hibah. Suatu harta yang diserahkan sebagai hibah semasa hidup seseorang, adalah menjadi milik sepenuhnya penerima hibah.
Hanya hibah bapa kepada anak sahaja yang boleh ditarik balik mengikut hukum syarak. Jadi, tindakan suami mengambil semula barang kemas isteri, adalah dikira sebagai mengambil hak orang lain dan boleh dianggap mencuri.
Apakah Boleh Tuntut Fasakh?
Ya, di dalam seksyen 53(1)(h)(iv) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang, seseorang wanita berhak mendapat fasakh jika suami menganiyai isteri dengan melupuskan harta isteri atau melarang isteri menggunakan haknya keatas harta miliknya disisi undang-undang.
Bukti
Yang menjadi masalah besar, kalau gadai tersebut tidak ada bukti bertulis. Bila sebut digadai, mesti kena ada bukti pajakan. Surat pajak gadai adalah bukti bertulis.
Kalau surat pajak tersebut adalah bukan daripada Ar-Rahnu, Bank atau mana-mana institusi kewangan yang sah, mesti dibuktikan dengan kesaksian. Melainkan, suami mengakui tentang gadaian tersebut.
Kesesakan suami
Rasanya ada isteri yang faham, kadangkala ada kesesakan berlaku dalam kewangan. Cuma, tindakan melupuskan harta isteri, tidak boleh diterima kalau dilakukan tanpa keredhaan isteri. Lebih teruk kalau tidak ditebus dan biarkan barang tersebut tergadai.
Jika Isteri Yang Gadai Untuk Beli Keperluan
Kalau isteri yang gadaikan untuk keperluan diri seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal, dan lain-lain yang menjadi tanggungjawab suami, maka, itu bukan tindakan suami melupuskan harta isteri.
Sebaliknya, ia dikira sebagai hutang nafkah. Ia hanya boleh dituntut sebagai tuntutan tunggakan nafkah. Kalau suami mengambil duit isteri contohnya dan berjanji untuk bayar sebagai hutang, itu namanya hutang dalam perkahwinan. Ia boleh dituntut sebagai hutang suami kepada isteri di dalam Mahkamah.
Kesimpulannya, tindakan suami menggadai barang kemas isteri adalah sangat tidak wajar. Tambah pulak digadai tersebut untuk bayar sesuatu yang bukan keperluan. Ada isu, gadai barang isteri untuk berjudi. Itu memang lebih teruk. Pesanan saya untuk isteri-isteri, jaga betul-betul barang kemas yang bernilai. Kalau tahu barang dah tergadai, simpankan betul-betul suratnya.
Kalau takut pakai barang kemas, simpan di bank, pakai emas korea, lelaki tak banyak tahu yang mana emas tulen dan suasa. Betul tak?
MW : Selalunya begitulah, bila isteri baik sangat. Suami pun mula pijak kepala. Isteri kena tahu macam mana nak tuntut haknya di mahkamah. Hadam kemas-kemas ya.
Artikel berkaitan :
- Isteri teraniaya perbuatan suami, Peguam Syarie ajar tuntut hak sepatutnya
- Isteri minta fasakh tuntut RM50,000 tebus talak, ini pula jawapan hakim
- Kata Peguam Syarie, bila dicerai tanpa sebab munasabah, hak-hak ini isteri boleh tuntut
Sumber/Foto : Fahmi Ramli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Budak Perempuan 9 Tahun Kes Termuda Lahir Anak Luar Nikah, Mangsa Seksual Abang Sendiri!

Cukup risau dan membimbangkan masalah sosial generasi hari ini. Negara mencatatkan kes termuda kelahiran anak luar nikah membabitkan kanak-kanak perempuan sembilan tahun selepas menjadi mangsa seksual abang sendiri yang terpengaruh dengan video pornografi.
Kes Kelahiran Anak Luar Nikah Membimbangkan
Pengerusi Yayasan Ikhlas, Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, usia muda bagi kes yang berlaku tiga tahun lepas di Pulau Pinang itu amat membimbangkan kerana sebelum ini hanya melibatkan remaja berusia 17 dan 18 tahun.
“Jika dulu kes kelahiran anak luar nikah dalam kalangan remaja usia 17 hingga 18 tahun tetapi sekarang berlaku di usia sembilan hingga 13 tahun.
“Di Negeri Sembilan dan Terengganu ada kes kanak-kanak 11 tahun. Ini amat membimbangkan kerana kadar remaja yang terlibat dengan kes kelahiran anak tidak sah taraf meningkat 11 peratus.
“Satu daripada 10 remaja di negara ini pernah melakukan hubungan seks bebas tanpa ikatan perkahwinan,” katanya sempena pelancaran Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif (ReproAlert) di Putrajaya.

Modul yang digubal Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) itu merupakan satu modul pendidikan seksualiti dan kesihatan reproduktif berpandukan Islam bagi menangani masalah seksual dalam kalangan kanak-kanak serta remaja pada masa kini.
Turut berlangsung forum bertajuk Antun Seksual dan Dera: Selamatkah Anak Kita? yang menampilkan Pegawai Perubatan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Siti Nurhayati Adznan; Pensyarah Perubatan dan Pakar Pediatrik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Azyati Yusoff; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan; peguam, Fatihah Jamhari sebagai panelis.
Terdedah Media Sosial- Hubungan Seksual
Tambah Zainur, kebanyakan pelaku melibatkan remaja lelaki lingkungan usia 13 hingga 16 tahun kerana terdedah dengan media sosial berkaitan hubungan seksual.
Ujarnya, golongan itu mudah mendapatkan video pornografi yang dikongsi rakan sebaya dalam aplikasi WhatsApp atau Telegram.
“Faktor lain adalah kerana cinta, kerelaan sendiri dan konflik keluarga. Ada satu kes yang saya kendalikan, seorang pelajar tingkatan satu dan cemerlang tetapi terlanjur dengan sepupu berumur 14 tahun.
“Kejadian itu terbongkar selepas remaja berkenaan dibawa ke hospital kerana sakit perut tetapi rupa-rupanya sakit hendak melahirkan anak.
“Keluarga orang susah, ibu menjual kuih dan bapa bekerja dua syif. Mereka tiada masa untuk anak menjadi antara punca keterlanjuran itu berlaku,” jelasnya.

Justeru, beliau meminta ibu bapa memainkan peranan dengan mengutamakan komunikasi bersama anak seperti meluangkan masa melakukan aktiviti sukan, mendaki atau melancong.
Mesti Baca:Dilema Anak Luar Nikah, Nasib Anak Tak Sah Taraf
Baca Lagi Di Sini:“Saya Sudah Bertaubat, Dia Tetap Tak Maafkan.” Ayah Tergamak Buang Anak Hamil Luar Nikah
Artikel Menarik:Mak Sanggup Buang Anak Perempuan 11 Tahun, Suami Baru Tak Nak ‘Masalah’
Mingguan Wanita: Cukup membimbangkan masalah sosial generasi sekarang, usia yang masih muda seawal 9 tahun telah lahirkan anak luar nikah. Semoga dipelihara anak-anak dan keturunan kita daripada masalah sosial begini.
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

