Indahnya kisah yang dikongsikan pelawak terkenal Shuib Sepahtu dalam melayan keinginan arwah isteri, Siti Sarah mahu nasi dan masak telur mata sewaktu hayatnya masih ada. Berbuatlah baik dengan pasangan tanpa berkira.
Biar pun ketika itu dirinya cukup penat dan jam pula sudah 2 pagi, Shuib tetap bangun masakkan lauk yang arwah isteri hajatkan.
Siti Suryani Yaakop berkongsi semula kisah yang pernah meninggalkan kesan mendalam kepada pelawak ini.
Penat.. Tetap Bangun Masak Telur Mata Dan Kicap Untuk Isteri
Tadi lalu di wall saya ni. Tiktok Shuib. Dia cerita tentang satu kisah.
Masa tu arwah Siti Sarah masih ada. Tengah sarat mengandung. Menjadi kebiasaan Shuib buatkan makanan untuk arwah jam 11-12 malam macam tu.
Tapi hari tu jam 2-3 pagi gitu, arwah kejut Shuib dan kata dia lapar. Dia minta nasi. Lauknya nak telur mata dan kicap. Shuib penat. Dah jam 2 pagi. Lagipun esok dia ada kerja. Tapi Sarah merayu kata dia teringin.
Ads
Akhirnya Shuib buat juga. Walaupun dalam keadaan marah. Dan masa dia baring semula nak tidur tu, dia nampak Sarah makan. Selera sungguh. Walau cuma berlaukkan telur kicap.
Jadi Shuib kata dia rasa terkilan sebab ‘termarah’ walau dalam hati. Tapi mujur dia buat jugak. Jika tidak tentu dia akan lebih terkilan lagi.
Dan dia pesan. Selama mana boleh buat baik dengan orang keliling, buatlah baik dengan cara terbaik. Terutama orang yang kita sayang. Sebab kita tak tahu bila orang itu akan pergi tinggalkan kita.
Ads
Buatlah dengan sehabis ikhlas.
Benar.
Buat baik pada orang terutama ahli keluarga sendiri kesannya bukan pada orang tu pun. Tapi pada diri kita sendiri juga. Supaya kita puas hati bagi sepuas hati apa yang kita boleh selama kita boleh. Supaya kita takda rasa apa-apa kekurangan dan penyesalan sebab tak sempat buat kebaikan saat dia perlu.
Ads
Dan saat kita mampu.
Buat benda macam ni kadang masa nak buat tu memang penat. Lagi-lagi kalau kita sendiri pun tengah tak larat. Tapi penat lagi bila tak sempat buat.
Penat yang lebih mendalam. Dan lebih lama.
Mingguan Wanita : Sentiasalah berbuat baik dengan pasangan dan ikhlas memelihara hubungan yang tuhan anugerahkan untuk kita. Walaupun sekadar masak telur mata untuk isteri.. InsyaAllah yang baik-baik nanti berbalik pada anda.
Macam-macam jenis resipi berpantang yang boleh mak-mak cuba, salah satunya ialah Serunding Halia yang cukup mudah dibuat. Serunding Halia ini sangat bagus bagi mak-mak yang masih dalam tempoh berpantang kerana ia dipercayai elok untuk buang angin dalam badan, panaskan badan serta melancarkan perjalanan darah. Tapi bagi mak-mak yang tak berpantang pun elok sangat amalkan serunding halia ni untuk kesihatan.
Berikut merupakan perkongsian oleh Dayang Faridah untuk menghasilkan serunding halia ini.
Dulu masa berpantang saya suka makan ni. Resipi Berpantang paling sedap, senang dan cepat nak buat. Yang tak pantang if nak makan pun elok. Leyak pusuk or Serunding Halia bagusnya dapat buang angin dalam badan, panaskan badan, lancarkan perjalanan darah tu. So, time pantang tak pening, badan pun rasa nyaman dan ringan je.
Bahan-Bahan
Halia
Ikan bilis
*keduanya sama banyak Tip: Halia terbaik , pilih yang muda or halia kampung yang warnanya lebih gelap dan kecik-kecik.
Cara Membuat
1. Buang kulit halia. Potong kecik melawan urat halia. Tip: Nak senang kupas, guna sudu. Cepat dan selamat tangan.
2. Ikan bilis cuci dengan air dan tos.
3. Tumbuk halia hingga lumat, masukkan ikan bilis dan tumbuk lagi sampai lumat. (kalau ada food processor lagi cepat).
4. Panaskan minyak, mesti banyak supaya serunding masak serata dan rangup.
5. Dah panas, masuk bahan ditumbuk tadi.
6. Pastikan, api sederhana dan sentiasa gaul.
7. Goreng sampai kekuningan.
8. Dah garing angkat, toskan minyak.
9. Sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara untuk tahan lama.
Dah siap, makan dengan nasi panas-panas. Sedapnnya.
Terima kasih kepada semua barisan yang tekah bertungkus-lumus menjaga negara sepanjang Covid-19. Jasa kalian sudah tentu tidak mampu dibalas. Op COVID yang telah berakhir nenberi nafas lega kepada barisan hadapan.
Bersyukur kepada Allah selepas 85 hari bertugas tanpa henti, Sarjan Azahar lega apabila dapat menunaikan impian anak bongsunya untuk menyambut hari jadi bersama.
Op COVID Berakhir
“Alhamdulillah. Lega. Segala tugasan Op COVID berakhir malam ini. Dapatlah saya menyambut hari lahir anak bongsu yang ke-11 Jumaat ini.”
Demikian luahan Sarjan Azahar Ayub, 54 tahun, Penolong Pegawai Penyiasat yang bertugas di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Selepas bertugas selama 85 hari tanpa henti, beliau merupakan antara yang paling gembira apabila dua sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini ditutup sepenuhnya jam 12 malam tadi.
Sebak Malam Terakhir Bertugas
Katanya, anak bongsunya, Mohd Aniq Hanafi Azahar, 11 tahun, tidak henti menghubunginya sebaik mengetahui malam tadi adalah malam terakhir dia bertugas di SJR tersebut.
“Anak saya sibuk minta hadiah. Cuma saya seorang saja yang belum beri dia hadiah. Abang-abangnya semua dah beli hadiah untuknya, tempah melalui dalam talian, hantar terus ke rumah.
“Sebab itu dia asyik menelefon saya bertanya, saya nak beri hadiah apa. Saya pun belum beritahu dia apa saya akan berikan sebagai hadiah, saja buat kejutan. Biasanya saya akan belikan kek pada hari jadinya,” katanya.
Dapat Hadiah Kek
Azahar juga turut berterima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang sudi menyambut hari lahirnya di sekatan Plaza Tol Alor Setar Selatan pada 28 Mei lalu.
Malah, malam tadi juga, Azahar bertuah apabila seorang jururawat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berhenti di sekatan itu semata-mata untuk menghadiahkan kek bertulis ‘TQ Frontliners’ kepadanya di atas pengorbanan mereka membantu memutuskan rantaian COVID-19.
Katanya, sepanjang 34 tahun bertugas dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Op COVID adalah tugasan paling mencabar dan akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah hidupnya.
“Memang mencabar. Banyak kerenahnya berdepan dengan orang awam. Yang faham, fahamlah, tetapi yang tak faham, itu yang timbulkan macam-macam masalah.
“Walaupun kerajaan dah umum tak boleh rentas negeri, dia rentas juga. Apabila mereka sampai di sini, kita terpaksa keluarkan saman,” kata Azahar.
Bersedih Dengan Kematian Ketua
Sementara itu, bagi Sarjan Syarifah Norshila Syed Mohamad, 31 tahun, dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kota Setar, Op COVID ini sesuatu yang amat menyedihkan buatnya apabila ketuanya terkorban dalam nahas pada 19 April lalu.
Katanya, mendiang ASP Aldrin Gonda terbabit dalam kemalangan ketika dalam penugasan COVID dan meninggal di tempat kejadian.
“Masa dapat tahu itu, saya terus bergegas ke hospital. Dan saya dapat hantar jasadnya terus ke KLIA. Saya menyaksikan kerandanya masuk ke dalam kargo. Pengalaman pertama bagi saya. Tak pernah dialami sebelum ini, perkara seperti itu terjadi terhadap bos kita,” katanya.
MW: Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa-jasa barisan hadapan. Terima kasih.
Somber/ Foto: Astro Awani
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap kali Roszuati Zahari atau Nadia (nama panggilan mereka yang mengenalinya) keluar rumah, sudah pasti ada yang bertanya mengenai parut pada dahinya. Tidak pernah sekali pun dia rasa marah dengan pertanyaan tersebut. Sebaliknya Nadia tidak segan bercerita mengenai tragedi yang telah mengubah kehidupannya lebih kurang 15 tahun lalu.
“ Saya tidak pernah lupa kemalangan yang telah menimpa saya ketika berusia 20 tahun itu. Kisahnya begini. Saya mendirikan rumahtangga sebelum saya habis belajar. Selepas sahaja saya bernikah dengan suami Mohamed Hisham, keesokan harinya saya perlu kembali semula ke Johor kerana ada peperiksaan di tempat saya belajar, Politeknik Johor Bahru.
Boleh dikatakan saya dalam keadaan tergesa-gesa ketika itu. Pada mulanya saya bercadang hendak naik bas dari Puduraya ke Johor Bahru. Senang kerja. Tetapi suami tidak membenarkannya.
Suami mahu menghantar sendiri saya ke sana. Disebabkan mahu mengejar waktu, kami tergesa-gesa ke sana. Suami memandu dan saya hanya duduk di sebelahnya. Kami bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 12.00 malam.
Disebabkan rasa mengantuk, saya tidur. Suami terus memandu. Apabila suami rasa mengantuk dia akan berhenti seketika untuk berehat. Selepas berehat dia akan menyambung semula pemanduan. Hendak dijadikan cerita, suami yang sedang memandu tiba-tiba terlelap seketika.
Kemudian apabila dia tersedar, buka sahaja mata dia nampak trailer di hadapan mata. Ketika itu kami berada di Simpang Renggam. Suami terkejut dan dia cuba mengelak daripada berlanggar dengan trailer itu.
Kereta yang dipandu suami terseret dan terbalik dan berpusing beberapa kali. Saya sebenarnya tidak sedar apa yang berlaku ketika kemalangan berlaku. Sebaik saya buka mata, saya berada dalam keadaan mamai atau separuh sedar.
Suami panggil nama saya. Dia kata, Nadia, kita kemalangan. Saya tanya pada suami. Siapa Nadia? Suami saya hairan dan fikir mesti tidak ingat siapa diri saya ketika itu. Risau juga dia.
Tanpa berlengah, suami telah memecahkan tingkap kereta dan mengangkat saya keluar daripada kereta. Saya tidak mampu berbuat apa-apa. Suami saya cedera dan patah tangan kiri tetapi dia mampu membawa saya keluar daripada kereta yang telah remuk.
Kereta remuk dengan teruk. Bumbung kereta itu telah menekan tempat duduk saya. Sebab itu saya terperosok ke dalam. Suami berusaha mengangkat saya walaupun dalam keadaan dirinya yang cedera.
Suami telah mengangkat saya dan kemudian meletak saya di tepi jalan. Tidak beberapa lama kemudian, ada sebuah kereta berhenti. Pemandu itu membantu kami dan suami telah mengangkat saya dan meletak saya dalam kereta tersebut.
Kami kemudiannya telah dibawa ke hospital berdekatan iaitu Hospital Kluang. Tidak lama saya di sana kerana kelengkapan untuk merawat saya tidak cukup. Saya kemudiannya dihantar ke Hospital Johor Bahru.
Disebabkan saya jauh daripada keluarga, saya kemudian telah dipindahkan dari Hospital Johor Bahru ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya, Selangor. Nasib baik saya ada kawan-kawan yang berkerja di sana. Mereka telah memudahkan urusan perpindahan tersebut.
Apa yang boleh saya katakan sepanjang proses bertukar hospital itu saya tidak tahu keadaan diri saya. Kemalangan itu menyebabkan tiga jari kanan saya telah putus. Manakala dahi saya telah berlubang sehingga nampak tengkorak.”
Gembira Dikelilingi Mereka Yang Bersikap Positif
Cerita Nadia lagi, selama dua bulan dia dirawat di hospital. Sepanjang dua bulan itu juga dia telah melakukan lima kali pembedahan untuk memperbaik anggota badan yang cedera.
“ Saya tidak tengok cermin sepanjang berada di hospital. Saya juga tidak tahu bagaimana wajah saya ketika itu. Muka saya berbalut dan ini membuatkan saya takut untuk melihat wajah sendiri. Saya juga sedih sebab jari tidak ada.
Namun ketika saya bersedih itu, bapa banyak memberi semangat dan kata-kata nasihat. Dia kata selama 20 tahun Allah bagi pinjam jari kelingking, jari manis dan jari hantu pada saya. Saya perlu redha apabila Allah tarik semua itu.
Suami saya juga memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi. Begitu juga keluarga kandung dan juga keluarga mentua. Sepanjang dua bulan saya menjalani fisioterapi. Saya dan suami tidak sempat berbulan madu. Kami ibaratkan kami ini berbulan madu di hospital. Suami akan sentiasa menemani saya menjalani rawatan di hospital.
Setiap hari sepanjang menjalani rawatan, saya rasa gembira sebab saya dikelilingi oleh mereka yang positif. Orang yang datang melawat selalu bagi sokongan. Malah doktor yang merawat saya pula kalau dia datang jumpa saya dia akan panggil saya pesakit yang comel. Pandai betul doktor itu menjaga hati saya. Dia takut saya sedih.
Disebabkan itu jugalah saya mengambil sikap positif. Saya bina keyakinan diri agar tidak malu berdepan dengan orang ramai sebaik keluar dari hospital.”
Selepas dua bulan, Nadia telah dibenarkan keluar daripada hospital. Dia bersyukur kemalangan tersebut tidak menyebabkan kerosakan anggota dalaman tubuh.
“ Keluar hospital kami terus mengadakan majlis resepsi perkahwinan yang tidak sempat dibuat selepas saya bernikah. Semasa majlis tersebut muka saya masih berbalut. Kalau orang tanya kenapa muka saya berbalut saya beritahu mereka saya kemalangan.”
Walaupun telah keluar hospital, Nadia sentiasa berulang-alik ke sana untuk menjalani rawatan susulan. Sepatutnya dia perlu menjalani pembedahan plastik untuk memperbaik dahi yang berlubang. Tetapi Roszuati mengambil keputusan tidak melakukannya.
“ Sebabnya beberapa bulan selepas keluar hospital saya hamil. Ini membantutkan hasrat untuk pembedahan dibuat. Saya tidak buat pembedahan apabila saya hamil lagi selepas itu.
Suami memberitahu saya yang dia tidak kisah dengan parut pada muka saya itu. Bagi suami saya tetap cantik di matanya.
Mendengarkan penjelasan suami itu, saya ambil keputusan tidak melakukan pembedahan plastik. Saya tidak malu dengan wajah saya ini. Boleh dikatakan dengan parut pada dahi ini orang mudah kenal saya.”
Ibu kepada lima orang anak ini tidak menyambung pengajian selepas kemalangan tersebut. Malah dia juga tidak sempat mengambil peperiksaan yang sepatutnya diambil. Suami memberitahunya bahawa dia mampu menanggung kehidupan mereka sekeluarga.
“ Saya ambil keputusan duduk rumah menjaga anak dan menguruskan rumahtangga. Selepas saya melahirkan anak keempat, saya ambil keputusan pula untuk mencari cari duit lebih. Saya suka membeli beg dan jam tangan. Saya terfikir mengapa tidak saya menjual beg dan jam tangan kepada mereka yang suka.
Pada tahun 2009, saya mula jual melalui Facebook di bawah nama Nursabrina Zahari. Saya ‘gamble’ sahaja. Daripada situ ramai pembeli mula follow saya. Kini saya mempunyai pelanggan tetap. Saya bersyukur dapat mencari duit lebih untuk kegunaan saya dan keluarga.”
Mahu Beri Inspirasi
Nadia sentiasa bersikap positif. Disebabkan itu apabila ada sahaja yang bertanya pasal parut pada dahi, dia akan bercerita apa penyebab parut tersebut.
Saya akan cerita pengalaman saya mengharungi hidup selepas kemalangan tidak kira kepada sesiapa sahaja. Setiap kali saya bercerita saya mahu beri inspirasi kepada mereka yang mendengar.
Pernah juga salah seorang anak saya bertanya pada saya. Mama, tidak rasa malukah apabila orang tengok muka Mama? Saya akan jawab, Apa yang hendak dimalukan. Saya kata dengan parut pada dahi Mama ini buat orang kenal Mama.
Nasihat saya kepada mereka yang pernah mengalami tragedi hitam dalam diri agar sentiasa positif. Kita perlu lihat apa yang ada di sekeliling kita. Jangan lihat apa yang kita tidak ada. Ramai lagi orang sayang pada kita.
Kita perlu tunjukkan kepada orang sekeliling yang kita ini bersikap positif. Kita perlu sedar setiap ujian yang diberikan oleh Allah ini sebenarnya mungkin disebabkan ada kesalahan yang kita lakukan pada masa lalu. Kita perlu redha apa yang berlaku. Saya bersyukur masih diberi peluang untuk menjalani kehidupan bersama keluarga tersayang.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Saya Cuba, Bertahan, Usaha Tapi Gagal. Tiada Lagi Kita” itulah yang diluahkan oleh Aprena Manrose tentang rumah tangganya yang dikatakan sudah berantakan.Pelakon cantik, Aprena...