
Dunia hiburan dan digital diserikan lagi dengan usaha Usanita Sdn Bhd melalui cabangnya, Usanita Entertainment, apabila ia memperkenalkan UTV – sebuah platform penstriman (OTT) baharu yang bukan sahaja menyajikan hiburan, tetapi juga menyentuh hati dan menyatukan jiwa.
Dijangka dilancarkan secara rasmi hujung Mei ini, UTV hadir dengan tagline “Stream For You” dan menawarkan pengalaman tontonan yang peribadi, inklusif dan penuh makna – seiring dengan keunikan rakyat Malaysia yang pelbagai latar budaya, nilai dan cerita.
UTV bukan sekadar satu lagi platform hiburan, tetapi ia dibina sebagai ruang untuk meraikan kisah-kisah autentik, suara-suara yang tulus, dan karya-karya asli – khususnya dari bakat tempatan, termasuk wanita-wanita kreatif yang mahu menonjolkan potensi mereka dalam industri ini.
Kandungan Lebih Menyerlah
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan, UTV lahir dari impian untuk menyediakan pentas digital yang membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni tanah air – baik pelakon, pengarah, penulis mahupun pembikin kandungan kreatif – untuk menyerlah dan membawa karya mereka kepada khalayak yang lebih luas, termasuk wanita-wanita inspirasi yang punya cerita tersendiri untuk dikongsikan.
“Kami percaya Malaysia kaya dengan kisah yang mampu menyentuh hati, memberi inspirasi dan menyatukan. UTV diwujudkan bukan hanya untuk menayangkan kandungan hiburan semata-mata, tetapi juga untuk mendidik, memperkasakan suara masyarakat dan membuka lebih banyak ruang buat wanita – agar mereka tampil yakin dan dihargai dalam dunia hiburan digital,” ujar beliau penuh semangat.
Lubuk Drama Tempatan
Antara kandungan yang bakal ditawarkan UTV termasuklah drama bersiri tempatan, telefilem, filem-filem asli, dokumentari, rancangan bual bicara, serta pelbagai program gaya hidup dan belia – semuanya dikurasi bagi memenuhi selera penonton moden yang mencari sesuatu yang dekat di hati dan memberi nilai.
Lebih menarik, Usanita Entertainment turut menampilkan pengarah dan penerbit tersohor tanah air, Erma Fatima, sebagai Channel Advisor – sebuah peranan penting untuk memastikan setiap naskhah di UTV tampil berkualiti tinggi dan mampu bersaing di peringkat lebih luas.
Sempena pelancaran UTV, dua persembahan eksklusif turut diumumkan hasil kerjasama Usanita Entertainment x Mask Team – iaitu An Evening With Nadeera Zaini pada 30 Mei 2025 (Jumaat), dan Hael Husaini Antonim Night pada 31 Mei 2025 (Sabtu). Kedua-duanya bakal berlangsung di NERO Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), dari jam 8:30 malam hingga 10:30 malam.
Persembahan ini dijangka menyentuh emosi dan menjanjikan pengalaman muzikal yang istimewa – mendekatkan seni dengan penonton yang menghargai kehalusan karya tempatan.
“Melalui persembahan sebegini, kami ingin mencipta momen yang lebih peribadi antara artis dan peminat. Ia juga sebagai penghargaan buat semua yang terus menyokong industri hiburan tanah air, terutama wanita yang menjadi tunjang kekuatan banyak kisah indah yang belum diceritakan,” kata Datuk Adzliana lagi.

Kedua-dua pengumuman bermakna ini dibuat dalam suasana penuh meriah di Majlis Sambutan Aidilfitri Usanita Sdn Bhd yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur, dengan kehadiran ramai selebriti tanah air seperti Fattah Amin, Scha Alyahya, Nora Danish, Aina Abdul, Erma Fatima, Datuk Rossa dan ramai lagi.
UTV adalah satu permulaan baharu – bukan sahaja untuk hiburan digital, tetapi untuk memperjuangkan lebih banyak suara wanita, kisah-kisah yang menyentuh hati, dan karya yang memberi inspirasi.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI