
Sebenarnya tak perlu tunggu bila ada duit atau bila rasa senang mahupun kaya barulah nak bersedekah. Ini kerana amalan bersedekah, membantu orang lain dalam kesusahan besar pahalanya. Tak kiralah berapa pun jumlahnya asalkan hati ikhlas dalam memberi.
Jemput baca perkongsian Cikgu Muhammad Yusof yang boleh dijadikan panduan
Pengalaman hari pertama aku di sekolah menyedihkan.
Ada anak yatim piatu 3 beradik masuk ke asrama sekolah aku. Kesian dorang. Disaat anak-anak membesar dengan kasih sayang mak ayah, dorang 3 beradik diuji dengan kehilangan mak dan ayah pada usia muda. Besar betul dugaan dorang.
Aku saje edarkan sampul surat kat budak-budak asrama untuk membantu seikhlas hati meringankan beban 3 beradik ni. Sape nak derma, derma. Tak nak takpe. Biasanya awal-awal ni mak ayah ada bagi duit lebih sikit buat belanja, tapi itulah aku tahu kebanyakan mak bapak dorang bukannya orang senang. Ada yang kerja kilang, ada yang kerja cleaner. Ada yang jualan kat pasar malam.
Beri Derma
Masa aku nak balik ke rumah, ada sorang pelajar panggil aku. ‘Ustaz nak derma..’. Aku kenal dia ni sebab aku pernah hantar dia ke rumah. Keluarganya nampak macam orang agak susah. Rumah pun rumah papan biasa-biasa.
‘Ustaz, saya nak derma..’ Dia pun keluar duit syiling masuk dalam sampul surat putih yang aku bawak. Aku tak tahu berapa jumlah dia yang aku tahu duit syiling sebab bunyi keceng, keceng..
Aku tanya awak ada duit tak ni nanti nak gi kantin makan macamana? Aku saje tanya sebab aku tahu latar belakang keluarga dia.
‘Takpe ustaz, bapak saya pesan kalau ada derma untuk anak yatim, orang susah, kena bagi derma. Saya syukur ada mak ayah lagi ustaz. Kesian dorang takde mak ayah dah.’
Jangan Tunggu Ada Duit Baru Sedekah
Sebak aku bila dengar jawapan budak ni. Benar, kita jangan tunggu bila ada duit baru nak sedekah. Bila rasa senang baru nak sedekah.
Allah, Allah, kadang-kadang kita yang dewasa, yang berduit ni pun kadang-kadang tak mampu nak jadi macam budak ni kan?
Aku belajar sesuatu dengan budak ni, kita kalau nak sedekah, sedekah je. Sedekah ni bukan kira banyak ke sikit. Yang penting kita ikhlas. Selagi kita boleh sedekah, sedekahlah. Selagi kita boleh tolong orang, tolonglah.
Sampai masanya nanti, Tuhan akan mudahkan orang lain untuk bantu kita, masa kita susah.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat, membuka mata kita agar bersedekah pada bila-bila masa. Tak kiralah jumlahnya asalkan hati ikhlas dan tak perlu tunggu bila rasa senang atau bila ada duit.
Sumber: Muhammad Yusof
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tahun Ini Penuh Pengajaran, Allah Didik Kita Jadi Hamba Dicintai-Nya

Tahun ini, bermulanya 18 Mac 2020 kita melalui fasa yang tak pernah terjangka dalam fikiran kita. Kehidupan kita berubah 180 darjah. Saya juga tidak terlepas daripada melalui fasa tersebut.
Tahun Ini Banyak Belajar Hal Baru
Jika sebelum ini saya tidak memberatkan hal-hal online tetapi kini saya sangat sedar bahawa ianya satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan. Tempoh berkhalwat dalam rumah yang dikurniakan Allah SWT saya gunakan sepenuhnya untuk mempelajari hal-hal baru dalam menempuh kehidupan yang mendatang.
Pada awal tahun ini saya telah diajak oleh seorang teman untuk menyertai satu perniagaan pendidikan. Katanya tahun 2020 ini adalah tahun pendidikan. Tahun yang mana mereka yang berada dalam industri pendidikan akan mengaut keuntungan yang banyak.
Katanya lagi, sangat rugi orang seperti saya mengabaikan peluang yang datang entah berapa tahun sekali. Saya tidak menyatakan apa-apa persetujuan dan tidak juga memberi sebarang komen tentang perniagaan yang diceritakan itu. Dalam banyak hal saya lebih senang untuk mendiamkan diri dari memberi pandangan tanpa diminta.

Tahun Penuh Dugaan
Dua minggu selepas PKPP diumumkan, beliau kembali menghubungi saya. Namun kali ini nadanya sangat berbeza. Katanya beliau telah meletakkan modal yang tinggi demi memastikan keuntungan yang lumayan dalam perniagaan yang pernah disarankan kepada saya.
Beliau tidak pernah menjangkakan PKP akan berlaku hingga menyebabkan semuanya rancangannya terencat. Justeru, sekarang beliau sedang mencari-cari peluang baru yang dapat menebus kembali kerugian yang ditanggungnya sejak beberapa bulan yang lalu. Sesuatu yang menarik dari semua kata-katanya ialah “untung tuan tak masuk, kalau tidak jadi macam saya.”
Masih Beruntung
Benar, mungkin saya beruntung.Tetapi dia juga masih beruntung kerana masih boleh meneruskan kehidupan. Ramai teman-teman saya yang berniaga bukan sahaja berkeluh kesah tetapi ada yang menangis memikirkan perniagaan yang tidak berupaya untuk bergerak ke hadapan walau seinci.
Sewaktu orang bercerita tentang tahun Pendidikan dan pentingnya untuk berada dalam industi pendidikan pada tahun ini, saya berkongsi pemahaman saya terhadap tafsiran angka dan tahun yang saya pelajari sejak tahun 2004.
Pada saya numerologi tetap mempunyai angka yang sama, 0 hingga 9. Apa yang membezakan bukanlah formula kiraannya tetapi tafsirannya.Setiap ilmu itu bergantung orang yang menfsirkan dan orang mengamalkan. Jika tafsirannya kurang tepat makan amalannya juga akan kurang efektif.
Baca lagi di sini:
Ujian & Musibah Penghapus Dosa, Moga Digantikan Dengan Sesuatu Lebih Baik!
Allah Ciptakan Virus Covid-19 Sebagai Peringatan, Hanya Taubat Jadi Penawar Virus
https://www.instagram.com/mingguanwanita
Didikan Allah
Tahun 2020 ini adalah tahun pendidikan yang perlu kita lalui. Kita akan diberi didikan oleh Allah SWT. Mahu tidak mahu kita perlu melalui semuanya. Sama seperti saya, biarpun sebelum ini saya tahu pentingnya hal-hal online tetapi saya tidak memberatkannya.
Nah, apabila datang didikan dari Allah SWT, saya tiada alasan lagi. Saya perlu melalui fasa pembelajaran ini. Saya pernah memberitahu seorang sahabat saya sewaktu kami berbual di telefon mengisi waktu terluang semasa PKP. Saya katakan padanya inilah waktu yang terbaik untuk mengubah diri. Inilah waktu terbaik untuk mendisiplinkan masyarakat.
Tahun Penuh Perubahan
Hasil dari PKP, kita dapat melihat perubahan disiplin pada masyarakat. Biarpun segelintir dari masyarakat masih cuba melanggar peraturan yang ditetapkan tetapi pada saya tiada apa pun dalam dunia yang sempurna 100%. Jika wujud kesempurnaan itu maka kita tidak memerlukan undang-undang dan penjara.
Biarpun kini kita sudah melepasi fasa PKPP, kita perlu sentiasa mengekalkan disiplin yang ada. Biar kita hidup seperti zaman ayah dan ibu kita. Hidup di zaman mereka tiada banyak tekanan kerana kita tidak terlalu sibuk mengejar hal-hal dunia. Kedai-kedai dahulu semuanya mula tutup jam 10 malam. Rancangan televisyen juga akan berakhir selepas berita tengah malam. Mereka hidup sihat,berfikiran positif dan sentiasa berdisiplin menghadapi hari esoknya.
Didikan Untuk Dekatkan Diri Pada-Nya
Kini kita kembali ke zaman itu. Aktiviti selepas jam 12 malam tidak lagi seperti dahulu. Masuk sahaja jam 11 malam masing-masing sudah mula sibuk untuk pulang ke sangkar. Kita sentiasa ada masa yang berkualiti untuk bersama keluarga. Ketakutan kita pada musuh yang tidak nampak mengubah hubungan kita dengan Allah SWT.
Akhirnya kita semakin rapat dengan Allah SWT. Kita semakin ingat dengan Allah SWT dan kita semakin patuh segala suruhan-Nya. Bukankah ini satu didikan. Manusia adalah makhluk yang degil. Makanya didikan itu tidak boleh sehari dua atau seminggu dua mahupun sebulan dua.
Kita perlu dididik untuk masa yang panjang agar kita sentiasa ingat dan patuh kepada jalan yang telah ditunjukkan oleh para rasul. Kita memang perlu dididik kerana kita sudah mula lupa jalan untuk pulang biarpun kita selalu bercerita tentangnya. Semoga kita berhasil menjadi hamba yang taat dan dicintai Allah SWT.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Surip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Orang Suka BERSEDEKAH, Janji Allah Harta Tak Akan Berkurang Tetapi Makin Bertambah!

Perlu tahu bahawa dalam bahagian harta yang kita ada, bahagian untuk orang lain yang perlu dikongsi. Berkongsilah dan rajinlah bersedekah kerana banyak kelebihanannya. Jangan takut harta berkurangan tetapi yakinlah ia akan semakin bertambah. Itu antara janji pasti daripada Allah kepada golongan yang suka bersedekah. Biar sedikit namun konsisten diamalkan bersedekah secara berterusan kepada yang memerlukan.
Baca perkongsian mengenai kelebihan bersedekah daripada Puan Dzuriasikim Dzulkefli ini.
HARI INI SAYA ASYIK MENANGIS
Bukan kerana sedih, tetapi kerana terlalu bersyukur.
Kuala Lumpur dibasahi hujan malam ini dan sewaktu melalui lorong pandu lalu sebuah restoran, saya ternampak seorang wanita seusia saya sedang menjual jajan dalam kesejukan.
Ya Allah betapa saya amat sayu melihatnya. Seolah melihat diri saya sendiri suatu masa dahulu.
Wang hasil jualan, adalah buat sesuap nasi untuk diri dan anak-anak. Dan saya selalu tidak berfikir untuk esok. Esok cerita esok. Yang pasti hari ini kita makan dahulu apa sahaja rezeki yang ada.
Andai ternampak orang berniaga dijalanan, usah fikir panjang lagi. Bantulah mereka. Sekurang-kurangnya mereka berusaha dengan cara yang halal.
Jika bukan untuk diri. Belikan untuk guard mana-mana atau hulurkan sahaja wang sebagai sedekah buat mereka. Atau boleh juga berikan wang semampu mungkin. Dan kita boleh pesan kepada penjual untuk sedekahkan makanan buat orang lain yang memerlukan. (Biar nanti, jika mereka ternampak ada orang yang memerlukan, bolehlah mereka sedekahkan makanan jualan mereka dan anggaplah ianya sudah dibayar…).
Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tiada satu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa, Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa, Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan sedekah dan kedekut kemusnahan.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6 Janji-Janji Allah Kepada Golongan Yang Suka Bersedekah
1. Menghapuskan Dosa-Dosa Orang Yang Bersedekah
Janji Allah yang pertama bagi orang yang rajin bersedekah adalah sedekah itu dapat menghapuskan dosa orang yang mengerjakannya.
Rasulullah SAW, beliau bersabda :
“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.”
(HR. Tirmidzi)
2. Dapat Berteduh Di Hari Kiamat
Nabi SAW menceritakan tentang 7 jenis manusia yang akan mendapat berteduh pada hari yang tidak ada teduhan dari kepanasan di Padang Mahsyar. Salah satu golongan yang mendapat teduhan itu adalah orang yang suka bersedekah.
Rasulullah SAW bersabda :
“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.”
(HR. Bukhari )
3. Harta Tidak Akan Berkurang Tetapi Makin Bertambah Banyak
Janji Allah SWT yang sangat hebat bahawa harta orang yang rajin bersedekah tidak akan berkurang meskipun disedekahkan semuanya, hanya sedikit yang tersisa buat keperluan sehari-hari.
Rasulullah SAW bersabda :
“Harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kebaikkan baginya”
(HR. Muslim)
4. Dapat Membebaskannnya Dari Seksa Kubur
Rasulullah SAW bersabda:
“Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.”
(HR. Ath-Thabrani)
5. Terdapat Pintu Syurga Hanya Untuk Orang Yang Bersedekah
Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:
“Orang memberikan menyumbangkan dua harta di jalan Allah, maka dia akan dipanggil oleh salah satu dari pintu syurga: Wahai hamba Allah, ke marilah untuk menuju kenikmatan. Jika dia berasal dari golongan orang-orang yang suka mendirikan solat, dia akan dipanggil dari pintu solat, yang berasal dari kalangan mujahid, maka akan dipanggil dari pintu jihad, jika dia berasal dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.”
(HR. Bukhari dan Muslim)
6. Menjauhkan Diri Dari Api Neraka
Janji Allah terakhir kepada mereka yang rajin bersedekah adalah akan menjauhkan diri dari api neraka.
Rasulullah SAW bersabda:
“Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma. Jika kamu tidak punya, maka bisa dengan kalimah thayyibah”
(HR. Bukhari dan Muslim)
BEST SANGAT KAN?
#JOMBERSEDEKAH
Baca Lagi Di Sini:Pesan Ebit Lew,”Belanja Atas Isteri & Keluarga SEDEKAH Paling BESAR Nilainya”
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sama-samalah kita jadikan amalan sedekah satu kebiasaan, biar sedikit tapi berterusan bagi merebut ganjaran yang dijanjikan Allah ini.
Sumber: Dzuriasikim Dzulkefli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hukum Membahagikan Bacaan Juzuk Al-Quran Secara Berkumpulan, Adakah Kita Dikira Khatam Quran?

Hukum membahagikan bacaan juzuk Al-Quran secara berkumpulan, adalah kita dikira khatam Quran? Tak berapa lama lagi, kita akan menyambut Ramadan, bulan penuh kemuliaan dan keberkatan.
Di bulan Ramadan, segala amal kebaikan dan pahala kita dilipat kali gandakan dan ia bulan ditunggu-tunggu oleh orang-orang yang beriman kepada Allah taala untuk meraih redhaNya.
Sebelum memasuki Ramadan, biasa sudah wujud perbincangan secara berkumpulan untuk membahagikan bacaan juzuk Al-Quran dan di penghujung Ramadan, majlis kharam Quran dilakukan secara beramai-ramai.
Hukum Membahagikan Bacaan Juzuk Al-Quran Secara Berkumpulan
Adakah perbuatan membahagikan juz ini dikira khatam Quran sepenuhnya? Mufti Wilayah Persekutuan menjawab persoalan ini.
Rasulullah S.A.W tidak menentukan kaifiat atau cara khusus untuk mengkhatamkan Al-Quran. Maka, umat Islam bebas melakukan apa-apa sahaja kaifiat dan cara untuk mengkhatamkan al-Quran kerana ia termasuk perkara yang boleh diijtihadkan.
Umumnya kita mengetahui bahawa orang yang membaca Al-Quran memperoleh pahala yang sangat besar, antaranya berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
Riwayat al-Tirmizi ( 3158)
Terdapat beberapa Hadis yang membicarakan berkenaan khatam Al-Quran ini, antaranya:
عن عبدِ اللَّهِ بنِ عمرٍو أنَّهُ قالَ: يا رسولَ اللَّهِ! في كم أقرأُ القرآنَ؟ قالَ: في شَهرٍ. قالَ: إني أقوى من ذلِكَ، يردِّدُ الْكلامَ أبو موسى وتناقصَهُ حتَّى قالَ: اقرأْهُ في سبعٍ. قالَ: إني أقوى من ذلِك. قالَ: لاَ يفقَهُ من قرأَهُ في أقلَّ من ثلاثٍ
Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Amr bertanya kepada Nabi S.A.W: Berapa hari saya harus menyelesaikan pembacaan seluruh Al-Qur’an, Ya Rasulallah? Baginda menjawab: Dalam satu bulan. Beliau berkata: Saya lebih bertenaga untuk menyelesaikannya dalam tempoh kurang daripada ini. Beliau (Abdullah) terus mengulangi kata-kata ini dan meminta dikurangkan tempoh sehingga baginda berkata: Lengkapkan pembacaannya dalam tujuh hari. Beliau sekali lagi berkata: Saya lebih bertenaga untuk melengkapkannya dalam tempoh yang kurang daripada ini. Nabi S.A.W bersabda: Barangsiapa yang mengakhiri pembacaan Al-Quran dalam waktu kurang dari tiga hari maka dia tidak akan mengerti” Riwayat Abu Daud (476)
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Khatam Al Quran Ganjaran Diri Seniwati Sarimah, RUTIN Setiap Kali Hari Jadi
Fouziah Gous Kongsi Tip Dua Kali Khatam Al-Quran Sepanjang Ramadan
Satu Hari Kita Baca Satu Muka Surat Mana Tahu Lama-Lama Khatam – NABILA HUDA
Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa pembaca Al-Quran tidak boleh terlalu gopoh dan terlalu cepat mengkhatamkan Al-Quran iaitu kurang daripada 3 hari. Seharusnya pembaca memfokuskan kepada kualiti bacaan dengan meraikan hukum tajwid dan tadabbur iaitu memahami dan menghayati makna Al-Quran itu sendiri.
Namun begitu, Imam al-Zarkasyi menyebut di dalam kitabnya: “Pandangan yang terpilih ialah perkara tersebut (yakni tidak boleh khatam Al-Quran kurang daripada 3 hari) adalah berbeza mengikut keadaan seseorang iaitu (dilihat) dari segi kesungguhannya, kekurangannya, tadabburnya, dan kelalaiannya dalam bacaan. Hal ini kerana, diriwayatkan bahawa Saidina Uthman R.A telah mengkhatamkan Al-Quran dalam satu malam.” (Rujuk: Al-Burhan fi Ulum al-Quran, 1/471)

Kesimpulannya, tiada halangan untuk membahagikan bacaan Al-Quran samada sejuzuk seorang atau selainnya. Dalam hal ini, ia merupakan salah satu ikhtiar para alim ulama’ untuk menggalakkan masyarakat agar memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan pelbagai cara dan kaifiat.
Justeru, kita dapat lihat ada yang mencadangkan agar dikhatamkan al-Quran sebulan sekali iaitu dengan membaca sejuzuk sehari, atau dengan cara membaca 4 muka surat setiap kali selepas solat fardhu agar dapat mencapai 1 juzuk sehari dan sebagainya. Perkara ini terpulang kepada kebijaksanaan dan kreativiti masing-masing.
Adakah Kita Dikira Khatam Quran?
Kesimpulan
Tuntasnya, amalan membahagi-bahagikan bacaan Al-Quran seperti yang diamalkan dalam masyarakat hari ini merupakan suatu amalan yang baik dan dituntut. Hal ini kerana Nabi S.A.W tidak menetapkan kaedah tertentu dan terpulang pada kita untuk membacanya dengan apa cara sekalipun. Tambahan pula, ia dapat menggalakkan orang ramai memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia.
Namun begitu, seseorang itu hanya diiktibar khatam Al-Quran apabila dia berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk secara penuh (iaitu dari juzuk 1 hingga juzuk 30) atau dia mendengar bacaan 30 juzuk secara bertadarrus iaitu saling memperdengarkan bacaan masing-masing sesama ahli tadarus. Sekiranya dia membaca bahagiannya atau juzuk tertentu sahaja, dan tidak pula membaca atau mendengar bacaan daripada juzuk-juzuk berbaki maka hal itu tidak dianggap sebagai khatam al-quran.
Bagi majlis khatam Al-Quran pula:
Sekiranya terdapat salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut berjaya mengkhatamkan Al-Quran dengan bacaan penuh, maka fadhilat majlis khatam al-quran itu akan diperoleh oleh semua orang yang menghadirinya. Ia berdasarkan kepada athar daripada Anas bin Malik R.A yang telah disebutkan sebelum ini.
Namun, sekiranya tiada dalam kalangan ahli kumpulan tersebut yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran secara penuh, maka ahli kumpulan tersebut tidak mendapat fadhilat khusus majlis khatam al-quran. Akan tetapi mereka tetap mendapat kelebihan majlis zikir yang juga dihadiri oleh para Malaikat. Wallahu a’lam.
Semoga Allah S.W.T memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
JANGAN TAKUT UGUTAN AH LONG. INI KADAR BAYARAN SEPATUTNYA. Hanya perlu bayar Ahlong 1.25% daripada jumlah pinjaman! Jangan tertipu dan terpedaya disebabkan rasa takut.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

