UAI Jawab Hukum Trend Cipta Imej Realistik Patung Maya

Share

UAI jawab hukum trend cipta imej realistik patung maya. Sejak kebelakangan ini, dunia media sosial menjadi tumpuan dengan trend unik iaitu menghasilkan imej figura realistik menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) seperti Google Gemini Nano Banana.

UAI Jawab Hukum Trend Cipta Imej Realistik Patung Maya

Gambar yang terhasil seolah-olah benar-benar memaparkan model mainan komersial yang dipamerkan di atas meja. Hal ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat, apakah hukumnya mencipta patung maya sebegini menurut syarak?

Kredit: Kosmo

Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam salah satu ceramahnya menjelaskan bahawa hukum berkaitan patung bergantung kepada bentuk dan tujuan ia dibuat.

“Nak tengok hukum kena tengok adakah patung itu jadi pada alam nyata atau gambarnya sahaja. Kalau jatuh patung itu di alam nyata, boleh ada bayang, maka tengok tujuan pula.

Membuat patung ini ada dua hukum iaitu harus dan haram. Harus apabila dibuat untuk tujuan pembelajaran,” katanya.

Beliau turut memberi contoh bagaimana patung digunakan di universiti atau kolej bagi membantu proses pengajian, khususnya dalam bidang perubatan, seni bina dan kejuruteraan. Malah, ada juga patung yang dibina untuk tujuan keselamatan jalan raya seperti patung polis atau patung isyarat trafik.

“Kalau patung-patung macam tu, hukumnya harus. Ulama’ kata harus, dalam kitab Arab, kitab Jawi pun ada (dinyatakan hukum) dalam mukadimah kamus al-Marbawi depan sekali,” jelas UAI.

Kredit foto: Kosmo online

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa patung yang dimuliakan atau diagungkan tetap dihukumkan haram berdasarkan ijmak ulama tanpa khilaf.

“Ada pun kalau tidak menjelma di alam nyata, hanya duduk di alam maya sahaja, sekadar imej untuk simpan dalam album atau dilihat secara suka-suka, tidak jatuh kepada haram melainkan ada rupa yang mengaibkan,” katanya lagi.

Dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang-orang yang membuat gambar.” Hadis ini menjadi peringatan agar umat Islam tidak leka dengan aktiviti yang boleh membawa kepada pengagungan patung atau imej bernyawa.

Kesimpulannya, mencipta imej figura melalui aplikasi AI tidak menjadi kesalahan selagi ia kekal di alam maya, tidak berbentuk penghinaan serta tidak dijadikan bahan untuk diagungkan. Namun sebagai Muslim, kita diingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan setiap amalan. Apa sahaja yang dilakukan hendaklah membawa manfaat, bukan sekadar hiburan yang melalaikan.

Baca artikel lain juga: “Suami Jangan Menipu, Beritahu Isteri Elok-Elok..” Ustaz Azhar Idrus Kongsi Rahsia Kahwin Ramai

Topup Belanja Rumah, Suami Jangan Terus Suruh Isteri Bayar, Ini Pesan UAI

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has