Berita Sosial

Bapa Tayang Mewah Di Media Sosial Akur Bayar Tunggakan Nafkah Anak RM56,100, Elak Penjara 15 Hari

Share

Bapa tayang mewah di media sosial aku bayar tunggakan nafkah anak RM56,100, elak penjara 15 hari.

Perjuangan seorang ibu menuntut hak empat orang anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) akhirnya berbuah manis apabila si bapa yang gagal melunaskan nafkah tertunggak berjumlah RM56,100 akur membuat bayaran penuh.

Lelaki yang bekerja sendiri dan dikatakan sering mempamerkan gaya hidup mewah di media sosial itu memilih untuk melunaskan tunggakan selepas berdepan hukuman penjara selama 15 hari sekiranya gagal membuat pembayaran dalam tempoh 30 hari.

Kisah tersebut dikongsikan oleh Peguam Syarie, Suriati Ghani menerusi media sosialnya selepas beliau memuat naik semula keputusan kes anak guamnya pada tahun 2025.

Tunggakan Nafkah Anak RM56,100 Akhirnya Dibayar Penuh
Peguam, Suriati Ghani bersama anak guamnya yang berjaya dalam tuntutan nafkah anak tertunggak

Menurut Suriati, kes berkenaan melibatkan nafkah empat orang anak termasuk seorang anak OKU yang sebelum itu tidak ditunaikan sehingga tunggakan mencecah RM56,100.

“Nafkah empat orang anak termasuk seorang anak OKU diabaikan, alhamdulillah hari ini Mahkamah luluskan permohonan ibu untuk penjarakan ayah yang gagal patuh perintah Mahkamah, 15 hari penjara jika tak bayar nafkah tertunggak anak sebanyak RM56,100 dalam tempoh 30 hari,” kongsinya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi apabila ada yang mempersoalkan tempoh hukuman penjara selama 15 hari malah ada yang berpendapat si bapa mungkin lebih rela dipenjarakan daripada membayar tunggakan berjumlah RM56,100.

Menjelaskan perkara tersebut, peguam syarie mendedahkan bahawa bapa berkenaan akhirnya memilih untuk melunaskan keseluruhan tunggakan dalam tempoh yang diberikan.

“Alhamdulillah si bapa telah selesaikan bayaran RM56,100 tersebut dalam masa 30 hari, so dia pilih bayar daripada masuk penjara,” jelasnya.

Menurut Suriati, hukuman penjara walaupun hanya sehari boleh memberikan kesan kepada seseorang khususnya penjawat awam. Namun, lelaki dalam kes yang dikendalikannya si bapa bukanlah penjawat awam sebaliknya bekerja sendiri dan sering mempamerkan gaya hidup mewah di media sosial meskipun mempunyai tunggakan nafkah terhadap anak-anak.

perjuangan seorang ibu menuntut hak nafkah empat anak termasuk seorang anak OKU sehingga tunggakan RM56,100 akhirnya dilunaskan selepas si bapa berdepan hukuman penjara 15 hari. Gambar ilustrasi AI.

“Si bapa dalam kes ini bukanlah penjawat awam, dia bekerja sendiri dan sering kali menunjuk-nunjuk gaya hidup mewah di media sosial sedangkan orang yang bekerja sendiri pun tak nak masuk penjara dengan memilih untuk membayar,” katanya.

Suriati turut menjelaskan bahawa sekiranya lelaki berkenaan memilih untuk menjalani hukuman penjara daripada membayar RM56,100 seperti dipertikaikan ramai orang selepas postingnya viral, dirinya sudah membuat perancangan lain.

“Jika sekalipun dia memilih untuk ke penjara dari membayar RM56100 tersebut, saya sudah plan sebaiknya apa yang akan dibuat selepas itu. Kami tidak akan membiarkan dia terlepas begitu sahaja tanpa membayar. Untuk pengetahuan client saya tu bukan orang senang pun, ada tolak ansur daripada pihak peguam untuk bayaran secaran ansuran.

“Yang kata saya bodoh post keputusan ini di media sosial, kalau bapa tu masuk penjara macam mana dia nk bayar nafkah anak-anak dia?

“Dia duduk di luar penjara pun tak bayar juga nafkah anak bertahun. Lebih baik masuk penjara sebagai peringatan kepada dia yang bekas isterinya tak bodoh biarkan dia begitu sahaja dengan tidak bertanggungjawab.

Tujuan saya post keputusan kes ni juga adalah untuk bagi celik sikit mata ibu-ibu tunggal terutamanya, jangan dok diam tanpa buat apa-apa tindakan, insya-Allah penat anda akan berbaloi jika anda ikut saluran Mahkamah daripada anda tunggu sampai sudah bekas suami tak bayar nafkah tertunggak.
“Buat sampai dia ke penjara, kalau tak mampu guna khidmat peguam buatlah sendiri sekurangnya dapatkan nasihat peguam apa yang perlu dan patut dibuat,” katanya yang sudah 18 tahun berpengalaman mengendalikan kes-kes di mahkamah syariah.
Published by
Almaswa Haji Che Ros