“Anak saya menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, anak saya sudah tiada.”
Itu luahan penuh sebak Wong Lee Ping, ibu kepada pelajar perempuan yang maut ditikam dalam insiden tragik di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Selasa lalu.
Menurut Lee Ping, hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai melompat dari bahagian atas tandas sebelum menyerang mangsa yang ketika itu berada di dalam tandas berkunci.
“Hasil siasatan polis memaklumkan suspek melompat dari bahagian atas tandas sebelum menikam anak saya yang berada di dalam tandas berkunci. Anak saya menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, anak saya sudah tiada,” katanya dalam nada sebak ketika sidang akhbar di Nirvana Center Kuala Lumpur, Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa anaknya tidak pernah mengenali atau berhubung dengan suspek dan memohon orang ramai berhenti menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menambah kesedihan keluarga.
“Anak saya telah menjadi mangsa dan saya harap orang ramai hentikan berkongsi berita yang tidak benar di media sosial. Anak saya tidak pernah berjumpa dan berhubung dengan suspek,” katanya.
Dalam pada itu, Lee Ping berharap tragedi menyayat hati yang menimpa anaknya tidak akan berulang di mana-mana sekolah pada masa akan datang.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan agar melakukannya secara terus di Nirvana Center, berikutan terdapat individu tidak bertanggungjawab yang mengubah suai kod QR pada poster jemputan penghormatan terakhir yang tular di media sosial.
Terdahulu, kejadian yang menggemparkan negara itu melibatkan pelajar lelaki berusia 14 tahun yang menikam seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun hingga maut di sekolah berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, memaklumkan hasil bedah siasat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati tikaman di bahagian dada dan leher menjadi punca utama kematian mangsa. Proses bedah siasat itu selesai pada jam 10.30 malam, Rabu.
Artikel lain: Tragedi Pembunuhan Pelajar Bandar Utama: Ibu Dedah Anak Ditikam 200 Kali
Nota Terakhir Suspek Tikam: “Dunia Ini Palsu, Saya Sudah Menang…”
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE