Apabila peranakan terkeluar dari pintu kemaluan, ada yang mendiamkan diri kerana malu nak merujuk hal sulit itu kepada doktor. Hanya apabila nak berjalan pun tak selesa, ketumbuhan yang menjulur keluar itu sudah bergesel dengan celah paha ketika berjalan.
Geseran itu membentuk ulser sekaligus mengundang infeksi kuman dan bauan tidak menyenangkan. Ketika itu jika anda jumpa perawat urutan tradisional sebagai alternatif, mereka pastinya akan menggesa anda segera merujuk masalah itu kepada perubatan bertauliah bagi mencari penyelesaiannya.
Pernahkah anda mendengar tentang tombong? Apa itu tombong? Tombong dalam bahasa mudahnya adalah peranakan jatuh atau saintifiknya prolaps uterus atau rahim. Kondisi ini boleh disahkan melalui pemeriksaan pangkal rahim dengan membandingkan ketumbuhan yang keluar (kemungkinan serviks atau rahim) relatif dengan aras tertentu bahagian pelvis bawah.
Tahap prolaps dibahagikan kepada tahap satu, dua dan tiga bergantung kepada bahagian pangkal rahim yang menonjol keluar dari pintu kemaluan. Ia berlaku disebabkan otot lantai dan ligamen yang menyokong rahim tidak lagi utuh. Jika dahulu tombong ini lazimnya dialami oleh wanita yang menopaus, sekarang tidak lagi. Menurut Dr. Ida Lilywaty Md Latar (Pakar O&G, Hospital Pantai Cheras, Kuala Lumpur) mengejutkan apabila wanita seawal usia 30-an dan belum berkahwin juga terdedah kepada tombong disebabkan gaya hidup mereka.
Bagi pengamal perubatan dan urutan Melayu, Nur Aziemah Ahmad dari Naurah Beauty Home Spa, pengalaman didatangi wanita muda seawal usia 21 tahun… belum berkahwin datang dalam keadaan menunduk dan berbau, mengadu sedang mengalami masalah tombong. Sebaik diselidik kondisi tombongnya sudah serius, mempunyai ulser yang menyebabkan ia berbau. Tambah Aziemah lagi, wanita itu memaklumkan tugasnya di sebuah gerai makan membuatkan dia sudah terbiasa mengangkat tong gas yang berat sendirian. Impak dari kekerapan mengangkat berat yang berlebihan menyebabkan beliau mengalami tombong.
Ads
Risiko buang rahim
Untuk tombong tahap satu, pesakit tidak perlu risau kerana kaedah senaman boleh dilakukan untuk menguatkan otot pelvis yang dinamakan senaman kegel. Selain itu, cuba berusaha untuk mendapatkan berat badan yang ideal.
Ads
Tahap dua juga boleh dirawat dengan menggunakan alatan sokongan pessary di dalam vagina untuk menolak rahim ke posisi atas.
Tahap tiga pula memerlukan rawatan segera sekiranya melibatkan pundi kencing atau usus. rawatan yang disyorkan ialah pembedahan histerektomi (pembedahan pembuangan rahim).
Jangan sampai hilang kemahkotaan wanita – Datin Rebecca Nur Al Islam
Ads
Culas pantang dan angkat berat yang berlebihan termasuk mendukung anak antara dua kepantangan yang dielakkan aktres Datin Rebecca Nur Al Islam. Menerusi perkongsiannya dalam Mingguan Wanita Talkshow hari ini, terbiasa dengan mengamalkan pengambilan jamu sejak kecil…ibu kepada lapan cahaya mata ini mengakui dia seorang berpemikiran tradisional terutama apabila menyentuh hal dalaman wanita.
Menurutnya lagi,proses berpantang itu…waktu untuk dirinya fokus kepada memulihkan kesihatan dalaman, berurut, menjaga pemakanan, bertungku, makan jamu, menggunakan perubatan herba dan minyak urutan yang bersesuaian.
Selain pantang ‘bersama suami’, Rebecca juga mengamalkan teknik senaman kagel bagi menjaga kesihatan bahagian intimnya. Tegasnya lagi, menjaga itu lebih elok daripada merawat. Dia juga tidak mahu wanita di luar sana ‘hilang kemahkotaan wanita’ apabila gagal menjaga aset itu sebaiknya.
Jangan lupa saksikan siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow jam 5 petang hari ini yang memaparkan isu, Tombong Digeruni Wanita! di Astro Prima 105 dan di PrimaHD 121.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami wanita ini kaya sifat penyayang dan bertimbangrasa. Isterinya juga begitu bahagia kerana dimewahkan dengan pelbagai hadiah. Tapi semua itu 7 tahun sebelum ulang tahun perkahwinan mereka apabila suaminya minta izin kahwin lain.
Wanita yang mahu dikenali sebagai ‘ISTERI SERBA SALAH’ ini berkongsi cerita bagaimana suaminya mahu berkahwin lain selepas 7 tahun mereka tak dikurniakan cahaya mata.
Sungguh, permohonan suami merobek hati isteri ini. Sehingga dia tidak sanggup lagi berdepan permintaan suami. Dan berkongsi rasa hatinya dengan Mingguan Wanita.
Assalamualaikum Puan,
Saya berusia 39 tahun, sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga. Suami merupakan rakan sepengajian ketika di universiti dahulu. Cinta yang disemai sejak zaman kampus akhirnya membawa kami ke alam rumah tangga.
Saya bersyukur kerana memiliki suami yang Penyayang dan bertimbang rasa. Saya sering kali dimanjakan dengan pelbagai hadiah dan tugas di rumah juga sering kali dipikul bersama.
Tanpa disuruh, dia akan membantu melakukan kerja rumah. Dia faham saya juga sibuk bekerja. Percakapannya lembut dan sejak kahwin, dia tidak pernah menengking atau bercakap kasar. Pendek kata, bagi saya, dia cukup sempurna sebagai suami.
Setiap kali ada cuti, kami akan luangkan masa untuk pergi bercuti tidak kira di dalam mahu pun luar negara. Malah, soal kewangan juga tidak pernah jadi masalah buat kami kerana kami berkerjaya mantap.
Dua Kali Keguguran, Rahim Saya Tak Kuat
Hanya satu saja kekurangan dalam rumah tangga kami iaitu, cahaya mata. Pelbagai cara pernah kami cuba namun masih belum berhasil. Namun, sepanjang perkahwinan, saya pernah mengalami dua kali keguguran, bermakna saya mampu hamil. Cuma terdapat beberapa masalah seperti rahim saya yang ‘tidak kuat’.
Kali terakhir saya keguguran kira-kira tujuh tahun lepas. Saya benar-benar sedih namun saya redha dengan ketentuan Allah yang belum mengizinkan saya mengandung.
Pernah juga terlintas hendak mengambil anak angkat, tapi dari sehari ke sehari, ia hanya tinggal niat tanpa sebarang tindakan untuk direalisasikan sebagai kenyataan.
Saya bersyukur kerana suami memahami dan sering memujuk dan menenangkan hati saya setiap kali kesedihan jika berkait soal cahaya mata.
Suami Pujuk Agar Terima Keputusannya
Awal tahun lepas, suami menghadiri satu kursus di utara dan dia pernah bercerita yang dia terjumpa seorang wanita yang baru kematian suami dan punya seorang anak berusia tiga tahun.
Saya tidak syak apa-apa kerana suami akan bercerita apa saja kepada saya termasuk jika ada wanita yang cuba memikatnya.
Baru-baru ini, ketika kami bercuti di Bali, suami telah berterus terang dengan saya bahawa dia ingin berkahwin lagi dan calon madu saya itu adalah wanita yang pernah diceritakan kepada saya dahulu.
Namun, katanya dia takkan berkahwin jika saya tidak setuju. Dia juga berjanji kasih sayangnya tidak akan berubah terhadap diri saya. Keputusannya itu adalah demi untuk mendapatkan zuriat.
Puan, Tuan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Sehingga kini dua bulan berlalu dan saya belum berikan kata putus. Saya sedar dia berhak untuk berpoligami kerana dia mampu.
Tapi saya masih belum dapat berikan persetujuan. Wanita mana yang sanggup dimadu? Tapi, jika tidak izinkan, saya yang berdosa. Bagaimana saya boleh dapatkan kekuatan untuk memberikannya persetujuan?
Isteri Serba Salah, Gombak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri itu sifatnya penuh emosi. Baik ketika menguruskan anak-anak mahupun menguruskan keperluan suami, isteri akan uruskan dengan perasaan. Sebab isteri bukan robot.
Biasalah kadangkala ada merungut sikit, menegur sikit, luahan hati sikit. Kalau suami yang tak faham dikatakan isteri membebel, saja nak bagi hangat keadaan. Walhal itulah kasih sayang isteri yang prihatin.
Tugasan isteri ini mencabar sebenarnya. Baik yang bekerja mahupun yang duduk rumah sepenuh masa. Sampai 24 jam tak berhenti dan rehatnya cuma sekejap saja.
Balik kerja pun masih nak kena sediakan makan minum suami dan anak-anak. Isteri yang baik, dia tak merungut. Buat saja, tapi keletihannya kalau tak dibalas dengan rasa cinta suami memang boleh makan dalam.
Jangan Jadikan Isteri Robot, Suami Tolong Buat 5 Perkara Ini
Pertama : Tolong Basuh Baju Dan Sidai Di Ampaian
Kalaulah dari kecil mak tak ajar suami memasak, cubalah ajar diri jadi tukang cuci keluarga yang hebat. Belajarlah sabun mana yang perlu diguna, punat mana yang perlu ditekan nak bagi baju bersih ikut standard keluarga.
Lakukan sampai isteri anda kata ‘Tak tahulah nak guna mesin basuh tu macam mana, sebab selama ini abang yang buat’. Haa.. tak ke bahagia isteri tu.
Kedua : Tolong Belanja Isteri Pelukan Dari Belakang
Masa isteri tengah penat memotong bawang ke, basuh pinggan mangkuk ke, peluklah isteri dari belakang. Pelukan tu biarlah pelukan yang penuh kasih agar dapat meredakan rasa lelah isteri.
Nak lagi best, cium sekali pipi ke bibir isteri. Haih! Dah halal kan? Mengadalah tu bagi alasan segan.
Bukan luar rumah. Dalam rumah kot!
Sesekali buat kejutan begini memang membahagiakan. Nanti bila gaduh-gaduh kecil, isteri akan kenang tindakan simple yang lagi membahagiakan ini.
Bila rasa nak merajuk lama-lama pun tak jadi.
Ketiga : Tolonglah Imamkan Solat
Kalau tak dapat buat setiap 5 waktu, dapat buat waktu maghrib setiap hari pun dah seronok sangat.
Isteri dan anak-anak akan rasa tenang hidup disamping pemimpin yang hebat lagi bertanggungjawab.
Lagi bagus, waktu berdoa kuatkan bacaan dan doakan untuk anak isteri. Biar mereka dengar pengharapan anda.
Jangan lupa beri tazkirah dan harapan anda sebagai suami dan ayah. Aura positif dari tindakan ini hasilnya memang lain dari yang lain.
Keempat : Tolong Bawa Isteri Jalan-jalan.. Itu Penting
Walaupun isteri anda berdikari orangnya. Tapi bawalah dia berjalan ke tempat yang dia suka. Pegang tangannya masa berjalan.
Isk! Masa bercinta yang dilarang tulah nak buat.
Ni dah jadi suami isteri, kenalah usaha pegang tangan bila berjalan. Jangan pula bagi isteri pegang ‘handbag’ (anak-anak), awak tu pegang handphone.
Tu memang tak bermakna langsung konsep tolong bawa isteri jalan-jalan.
Bila isteri bahagia, cinta mekar subur seiring dengan usia perkahwinan itu. Makin lama, cinta makin dalam.
Kelima : Tolong Ya.. Setiap Bulan Belilah Belanja Dapur
Beli yang asas; beras, gula, susu, sayur, ikan. Yang lain-lain boleh tong-tong dengan isteri. Jangan sampai isteri fikir ‘asyik-asyik duit kita yang keluar’.
Bahaya betul pemikiran sebegini. Boleh buat hubungan jadi makan dalam, bernanah dan akhirnya berdarah.Bahagikanlah siapa yang bayar bil, rumah atau kereta.
Kalau anda mampu tak perlu bebankan isteri. Duit isteri bekerja biarlah dia nak buat apa pun. Percayalah isteri yang baik dia akan tahu bahagikan kepada simpanan anak-anak, simpanan kecemasan dan masa depan.
Jangan segan berkongsi masalah kewangan dengan isteri. Bila anda tak pernah berkira dengan isteri, ketika anda susah, simpanan isteri itulah yang akan dikongsi dengan anda tanpa perlu memulangkannya semula.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!