Kehilangan isteri tercinta setahun banyak mengubah kehidupan pelakon versatil, Datuk Jalaluddin Hassan. Setelah setahun kehilangannya, kini Datuk Jalaluddin Hassan kembali menemui cinta baharu.
Segalanya bertitik tolak setelah melihat sikap si dia persis almarhum isterinya membuatkan hatinya terdetik untuk menjadikan wanita tersebut sebagai teman barunya.
Tertarik Dengan Sikap Isterinya
Berkongsi lanjut, Jalaluddin mengakui tertarik dengan Rapidah kerana wanita itu ingatkan dirinya kepada Allahyarham isteri. Sedikit sebanyak perkara ini banyak mempengaruhi beliau dalam membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
“Pertama kali saya jumpa dia adalah di rumah terbuka abangnya, Lokman, pada Syawal lalu. Jujurnya, itulah pertama kali saya jumpa dia. Saya lihat cara pergerakan dan melayan tetamu, persis arwah isteri saya. Ketika itulah hati saya terdetik untuk kenalinya lantas memberi nombor telefon serta bergambar bersama-sama,”ujarnya.
Ads
Dalam pada itu, Rapidah pula menyifatkan suaminya sebagai lelaki dan bapa yang jujur selain penyayang serta bertanggungjawab. Awalnya, memang tiada niat di hatinya untuk berkahwin, tetapi setelah mengenali lebih dekat, sikap Jalaluddin yang sangat penyayang dan bertanggungjawab berjaya menakluki hati Rapidah.
“Malah, anak-anak saya pun setuju saya berkahwin lagi. Masih teringat kata-kata anak saya yang meyakinkan diri saya untuk terbuka hati menerimanya. Kata mereka apabila solat seorang diri tidak banyak pahalanya berbanding solat bersama suami, tinggi ganjaran pahalanya,” celah Rapidah yang kini bersyukur segalanya berjalan dengan lancar.
Saling Melengkapi
Sekiranya dahulu hampir setahun Jalaluddin keseorangan ke mana-mana, kini tidak lagi apabila isterinya saling mengekor ke mana sahaja. Sebagai satu pasukan apabila keluar rumah, jika beliau mengantuk dan letih, sang isteri akan menghulurkan bantuan untuk membantu.
Ads
“Arwah dahulu juga boleh memandu tetapi saya tidak izinkan sebab kesihatannya. Sekarang isteri lebih muda, jadi saya tidak berfikir dua kali apabila si dia ingin bantu saya memandu. Jadi lebih mudah jika ke mana-mana kami boleh saling membantu. Bonus tambahanlah bagi saya,” ujarnya sambil berseloroh.
Dalam masa yang sama, beliau turut merancang untuk membawa isterinya menziarahi ke kubur arwah isterinya jika berkesempatan. Cuma sekarang aktiviti beliau semakin bertambah kerana ahli keluarganya turut bertambah. Selain mendahulukan keperluan keluarga beliau, keluarga isteri juga patut diutamakan.
Ads
Tip Suami Romantik
Sikap romantik yang ada pada diri Datuk Jalaluddin sangat dicemburui wanita di luar sana. Namun baginya itu bukanlah satu perkara yang harus dibanggakan kerana ia adalah anugerah daripada Allah SWT. Menjadi romantik bukanlah boleh dibuat-buat. Tetapi sebenarnya kita mampu berubah ke arah itu jika kita ingin belajar dan ikhlas.
“Sikap romantik ini akan datang dengan sendiri sekiranya kita ikhlas untuk berubah untuk menjadi terbaik kepada isteri tersayang. Selain itu sikap itu bukan tiket untuk kita menunjuk-nunjuk pada orang dan menyalahgunakan sikap romantik hingga membuatkan orang lain kecewa dan ambil hati.
“Jangan sesekali ambil kesempatan dengan kurniaan Allah berikan. Jika anda terlalu bangga dan salah guna kelebihan atau keistimewaan yang diberikan pasti anda akan mendapat kemurkaan Allah. Paling penting sebenarnya perlu ikhlas dan bersikaplah romantik pada yang berhak sahaja iaitu, isteri,” katanya antara tip menjadi suami romantik adalah sentiasa memahami kehendak dan keperluan seorang isteri serta berbincang dengan baik jika timbul salah faham.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Penantian akhirnya terlerai apabila pelakon kecil molek Sari Yanti selamat melahirkan Dariya Inara tanggal 25 April tahun lalu. Ternyata bukan satu pengalaman yang mudah apabila setelah lapan tahun, kini Sari Yanti mengalami proses kehamilan dan melahirkan sekali lagi.
Jantung hati kepada pelawak dan penyampai radio Sinar FM, Jep Sepahtu ini turut berkongsi keterujaan dalam membesarkan permata hatinya Dariya Inara yang kini hampir berusia 11 bulan. Kelahiran bayi yang sangat dinantikan ini mengukuhkan lagi hubungan antara Sari Yanti dan Jep.
Menyingkap kisah pasangan ini yang telah mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2017, sebenarnya Sari Yanti pernah mengalami keguguran kerana mengandung di luar Rahim.
Tambah figura kecil molek dan penuh kelembutan ini lagi, masih segar di ingatannya, ketika di awal perkahwinan, Sari Yanti sering keluar masuk hospital gara-gara disebabkan turun darah.
Selepas menjalani pemeriksaan, barulah diketahui bahawa dirinya mengandung luar rahim. Biar pun kandungan luar rahimnya ketika itu masih kecil tetapi ia membesar dalam tiub fallopian sehingga menyebabkan tiub fallopiannya pecah.
Bimbang dengan risikonya, Sari Yanti mengambil keputusan untuk mengalami pembedahan membuang tiub fallopian berkenaan. Menurutnya, kala itu dirinya tidak menyangka diberi peluang sekali lagi untuk hamil kerana tiub fallopiannya hanya tinggal satu sahaja.
Ternyata siapa kita untuk menidakkan rezeki daripada Allah SWT, Sari Yanti amat bersyukur dengan pemberian yang tidak ternilai ini. Dariya Inara adalah anugerah terindah buat Sari Yanti. Dariya juga membawa lembaran baru dalam kehidupan Sari Yanti dan Jep secara keseluruhannya.
Tidak Kekok
Selain Sari Yanti, tentulah insan yang turut teruja menanti kehadiran Dariya Inara adalah Jep. Berbanding Jep, Sari kelihatan tenang dan tidak kekok untuk menguruskan anak mereka. Pengalaman terdahulu menguruskan dua puteranya, Barr Al Aliy dan Baasit Al Haq banyak mengajar Sari Yanti menguruskan anak perempuannya.
Walaupun kekok apabila diminta menjaga anak di peringkat awal, tetapi Jep tidak berani mencuba. Jelas Sari Yanti setiap kali pulang dari kerja, Jep tidak akan melepaskan peluang untuk manjakan puteri kesayangannya.
Malahan setiap kali mahu tidur atau bangun tidur, Jep akan dapatkan anaknya untuk bermain. Sekiranya berada di rumah, aktiviti Jep adalah menghabiskan masa bersama anaknya.
Menyusu Badan
Namun begitu menurut selebriti ini, dalam memastikan Dariya Inara atau mesra dipanggil Dariya kekal sihat, wanita ini selesa untuk menyusu badan. Walaupun ini bukan pertama kali menyusukan anak, namun bagi Sari Yanti menyusukan anak bukan satu tugas yang mudah.
“Tidak dinafikan terdapat lambakan suplemen untuk kaum ibu tambah susu badan di luar sana. Tetapi saya memang tidak mengambil sebarang suplemen. Paling penting bagi ibu yang menyusukan anak seperti saya sendiri, sentiasa berfikiran positif kerana menyusukan anak bukan perkara yang senang.
“Lebih-lebih lagi apabila bayi makin membesar, proses menyusu badan menjadi lebih susah. Jangan sesekali terfikir atau terdetik di hati yang susu tak cukup nanti kesudahannya susu memang akan kurang. Percayalah permintaan susu akan ada bila ada penawaran. Jadi jangan bimbang susu tidak cukup,”ungkap Sari Yanti panjang lebar.
Berpeluang berkalobrasi bersama Poplook dalam usaha menyumbang 25 peratus keuntungan dana untuk organisasi HOPE Worldwide Malaysia, adalah sangat dinanti-nantikan Sari Yanti. Apatah lagi, dirinya berpeluang menyumbang idea bersama untuk menghasilkan tujuh rekaan bersama Pop Look.
Walaupun begitu, apabila ditanya dirinya akan melebarkan bidang perniagaan dengan menghasilkan jenama pakaian sendiri adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkakan.
Ingin Besarkan Dariya Sendiri
Sejak kelahiran Dariya, Sari Yanti lebih selesa menguruskan anaknya sendiri tanpa bantuan daripada pembantu rumah. Cuma kadang-kadang, ibunya akan hadir membantu Sari Yanti menguruskan Dariya. Lagi pula Dariya masih kecil, terlalu berat untuk Sari Yanti melepaskan tanggungjawab menjaganya kepada orang lain.
Oleh hal yang demikian, apabila disoal bilakah masanya untuk Sari Yanti kembali aktif dalam bidang lakonan, adalah sesuatu yang mustahil dalam masa terdekat katanya. Apatah lagi Sari Yanti menguruskan segalanya sendiri tanpa bantuan sesiapa waima seorang pembantu peribadi, jadi perkara ini membataskan dirinya untuk aktif berlakon.
Biarlah buat masa ini fokusnya lebih terarah kepada Dariya Inara, mungkin apabila sudah besar sedikit, Sari akan kembali memikirkan untuk aktif di bidang seni. Paling penting sekarang adalah kepentingan Dariya dan Sari Yanti dapat menerima keadaan dan fasa kehidupannya yang sebegini buat jangka waktu ini.
Menjadi lumrah seorang ibu apabila menimang cahaya mata, ingin membesarkan anak dengan tangannya sendiri dan tidak boleh berenggang. Bercakap soal menambah ahli keluarga dalam masa terdekat, Sari Yanti menyerahkan segalanya kepada Tuhan.
Sekiranya sudah tersurat rezekinya, dirinya akan menerima dengan tangan terbuka. Lagi pula dirinya tidak pernah merancang kehamilan kerana pernah mengalami masalah ketika mengandung kali pertama dahulu.
Sari Yanti dikira insan terpilih dapat hamil dalam waktu terdekat kerana ada orang yang memiliki tiub fallopian satu sahaja akhirnua akan memakan masa tujuh atau lapan tahun untuk mengandung semula. Oleh itu, dirinya sama sekali tidak akan merancang untuk hamil lagi.
Menyentuh soal penurunan berat badan pula, jelas Sari Yanti, dia masih belum mendapat berat asalnya. Tetapi dia tidak terlalu memaksa diri untuk kurus kerana dirinya sedang menyusukan Dariya.
Begitu juga dengan pengambilan pil pelangsing, dia sememangnya sejak awal letakkan soal itu ditepi apabila mengenangkan buah hatinya. Dia perlu makan dengan banyak dan menu yang sihat untuk membekalkan susu yang cukup untuk Dariya.
*******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Sari Yanti ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita edisi Mac, Volume 1 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!
Kehadiran Mohamad Eidrees Hanif pada akhir Mei 2019 lalu telah memberi kegembiraan kepada Anzalna Nasir dan suaminya, Hanif Zaki. Agak lama juga pasangan muda ini ‘berbulan madu’ sebelum kehadiran Eidrees sebagai pelengkap keluarga.
Sesungguhnya kelahiran Mohamad Eidrees ini menutup mulut masyarakat yang sentiasa bertanyakan bilakah Anzalna dan suaminya mahu menimang cahaya mata sejak mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 2016.
Sesungguhnya Anzalna dan Hanif amat bersyukur dengan zuriat yang dikurniakan oleh Allah SWT ini. Akui Anzalna, sejak adanya Eidrees, hidupnya juga telah berubah 100 peratus.
“Eidrees sebenarnya banyak mengubah hidup saya. Sekarang ini saya sendiri yang menjaga Eidrees. Sebelum ini memang ada pengasuh tetapi saya tidak berpuas hati dengan cara pengasuh itu menjaga Eidrees.
“Saya beritahu pada Hanif yang saya mahu menjaga sendiri Eidrees dan saya telah menjaga Eidrees sejak usianya dua bulan sehinggalah sekarang. Cuma kalau saya perlu menghadiri sebarang majlis yang memerlukan penglibatan saya, Eidrees dihantar ke rumah emak saya atau rumah mak mentua. Kadang-kadang adik-beradik perempuan saya pun turut menjaga Eidrees.
“Saya tidak berapa percayakan orang lain kecuali keluarga sendiri untuk menjaga Eidrees. Penat sebenarnya menjaga Eidrees tetapi saya puas hati dapat menjaganya sendiri. Eidrees mengubah diri saya menjadi seorang yang terlebih rajin.
“Malah apabila saya bawa Eidrees berjumpa doktor, saya sering dinasihatkan untuk menjaga kebersihan ketika menjaga Eidrees. Saya bukannya OCD tetapi kadangkala apabila melihat habuk sikit pun dah tidak boleh tahan.
“Perangai saya yang sentiasa menjaga kebersihan Eidrees ini akhirnya turut diikuti oleh Hanif,” ujarnya.
Akui Manjakan Eidress
Cerita Anzalna lagi, dia dan suaminya amat memanjakan Eidrees.
“Tidak kisahlah orang hendak cakap apa. Memang Eidrees ini our number One. Segala-galanya hanya untuk dia.” Tambah ibu muda jelita ini.
Sebelum memiliki Eidrees, boleh dikatakan Anzalna belajar untuk menjaga dan membesarkan anak daripada kakaknya Diana Nasir. Bergelar ibu saudara kepada The Angguns telah memberikan pengalaman yang paling bermakna buat Anzalna.
“Saya masih ingat lagi yang saya pernah memberi cadangan kepada kakak agar mengambil pembantu rumah bagi membantunya menjaga tiga orang anaknya itu. Saya tengok dia macam penat sangat ketika menjaga anak-anaknya. Tetapi kakak tidak mahu kerana katanya dia masih mampu menjaga anak-anaknya sendiri.
“Hanya setelah ada anak, barulah saya tahu betapa bangganya untuk memberitahu orang lain yang kita mampu buat sendiri. Bahkan saya rasa bangga dengan diri sendiri. Walaupun saya berkerjaya tetapi masih lagi boleh menguruskan anak sendiri tanpa mengharapkan orang lain,” kongsi Anzalna bangga.
Jelas Anzalna lagi, suami dan mak mentua sentiasa menawarkan kepadanya untuk mengambil pembantu tetapi Anzalna keberatan.
“Saya nak Eidrees membesar dan makan hasil air tangan saya sendiri. Jika anak sakit sekali pun, biar kita sendiri yang menjaganya. Lagi berbaloi dan seronok perasaan itu,” tambahnya.
Guna IG @mohamadeidrees Untuk Kebajikan
Sejak Eidrees dilahirkan, Anzalna sering berkongsi perkembangan anak lelakinya itu di dalam Instagram @anzalnanasir88. Dengan cara ini, peminat-peminat Anzalna boleh mengikuti perkembangannya pada bila-bila masa. Namun begitu, sebagai ibu, Anzalna masih ada had dalam berkongsi mengenai hidupnya.
“Sebenarnya kadangkala saya terfikir, sama ada hendak kerap share tentang Eidrees atau tak. Dia masih kecil lagi. Kadang-kadang hendak share terlalu banyak pun, macam tak elok kerana saya tidak mahu terlalu exposed dia. Tetapi sekarang Eidrees sudah berusia 6 bulan. Terlalu banyak perangai dia sudah ‘keluar’. Kadang-kadang ada orang mesej bertanyakan video Eidrees.
“Memang banyak permintaan yang mahukan video dan gambar Eidrees di IG. Selain itu, Eidrees ada IG sendiri iaitu @mohamadeidrees tetapi saya tidak update pun. Tetapi sejak usia 6 bulan ini, rasa seronok tengok perangai dia dan sebab itu saya mula post di IG peribadi dia,” katanya.
“Mungkin sibuk menjaga Eidrees sehingga tidak ada masa untuk update IG sendiri. Malah saya hanya guna IG Eidrees ke arah charity (kerja-kerja kebajikan). Saya juga tidak mahu IG Eidress penuh dengan gambar ‘syok sendiri’. Biasanya baju-baju Eidrees yang sudah tidak boleh dipakai, saya akan bagi pada orang. Ada barang baru dan ada barang terpakai. Saya akan bagi kepada followers Eidrees.
“Dalam membantu orang, saya mahu tolong mereka yang betul-betul susah. Bukannya orang yang masih mampu tetapi sibuk hendakkan pertolongan. Saya betul-betul periksa dahulu latar belakang keluarga itu sebelum membantu mereka.
“Saya sedih lihat keadaan anak-anak yang susah ini. Eidrees dapat macam-macam tetapi anak orang lain tidak. Biasanya saya akan tanya apa yang mereka hendak agar barang yang diberikan itu akan digunakan sebaik mungkin. Biasanya saya akan beri lampin pakai buang dan susu formula,” ulas Anzalna lagi.
Kerja-kerja kebajikan yang dilakukan oleh Anzalna ini turut disertai oleh kakaknya Diana.
Berlakon, Semuanya Bergantung Pada Keadaan
Selepas Anzalna bergelar seorang ibu, dia masih lagi mendapat tawaran untuk berlakon. Malah katanya sebaik habis berpantang 44 hari, pada hari ke-45 dia telah mendapat tawaran berlakon.
Namun Anzalna terpaksa menolak tawaran berlakon kerana merasakan dirinya masih tidak lagi bersedia untuk meninggalkan Eidrees sendirian.
“Saya mahu menjaga Eidrees. Lama saya tunggu kehadiran Eidress. Takkanlah setelah mendapatnya saya mahu tinggalkan dia pula. Mungkin saya akan berlakon semula tetapi semuanya bergantung pada keadaan,” jelasnya.
Ternyata Anzalna teruja apabila bercerita mengenai anak yang comel ini. Ketika penggambaran dilakukan, Eidrees berusia 6 bulan.
“Sekarang ini Eidrees sudah pandai makan. Jadi setiap kali hendak masak, dia mulalah merengek. Saya beritahu suami, kalau hendak ambil pembantu, ambillah pembantu yang boleh tolong saya di dapur. Cepat sikit kerja memasak siap apabila ada orang tolong potong bahan-bahan dan mencuci dapur setelah saya selesai memasak.” Tambahnya.
Hanif Mahu Didik Anak Jadi Ketua
Umum mengenali Hanif Zaki sebagai suami Anzalna. Pada pandangan umum kehidupan pasangan suami isteri ini juga serba mewah. Tetapi siapakah Hanif Zaki itu?
“Saya hanyalah orang biasa yang sangat minat berkecimpung dalam dunia permotoran. Itulah saya daripada dulu sampailah sekarang. Sekarang ini pun saya menguruskan showroom Mitsubishi di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Saya sebagai Branch Manager di sana.
“Di sebalik kemewahan yang orang lihat itu, saya bersyukur semuanya seimbang. Keluarga saya membesarkan saya dalam keadaan cukup semuanya. Sama juga dengan Anzalna. Jadi itulah yang kami adapt dan bagi pada anak kami, Eidrees.” Ujarnya.
Semenjak mendirikan rumah tangga dengan Anzalna, tidak banyak perubahan yang berlaku dalam hidup Hanif. Cuma dia perlu berhati-hati dalam melakukan sebarang perkara. Tambahan pula isterinya itu seorang selebriti dikenali ramai.
“Jadi apa sahaja yang kita buat, orang akan tengok dan perhati. Tetapi saya tetap jadi diri saya. Cuma setiap apa yang saya buat itu saya kena fikir untuk isteri saya juga. Tetapi saya masih yang sama. Tidak ada perubahan untuk cuba menjadi orang lain. Begitu juga dengan Anzalna. Saya tidak mahu ubah dirinya. Saya gembira dengan siapa dirinya yang sebenar.” Tambah bapa muda ini lagi.
Walaupun Anzalna seorang wanita cantik yang menjadi pujaan ramai, Hanif bersyukur kerana tidak mengalami sebarang dugaan dalam melayari bahtera perkahwinan mereka.
“Anzalna seorang yang tahu menghormati suami. Dia tahu menghormati keputusan suami dia dan tahu hendak menjaga hati suami dia. Jadi tidak pernah lagi saya susah hati kerana the trust is always there,” kata Hanif.
Sebagai seorang bapa pula, sudah pasti Hanif mahukan yang terbaik buat anaknya Eidrees. Sebagai seorang bapa, apa arah tujunya dalam mendidik anak?
“Sudah pastilah ke arah kebaikan. Dia seorang lelaki. Kalau boleh saya hendak mendidik anak saya ini menjadi seorang ketua sebab nanti dia harus mengetuai keluarganya sendiri. Saya mahu mendidiknya ke arah menjadi orang yang berguna dan orang yang sentiasa boleh memanfaatkan benda yang baik kepada orang lain,” akhirinya.
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pasangan bahagia ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Januari, volume 2 yang kini telah pun berada di pasaran.
Oleh: Julie Roshana Akma Shafee
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan & Styling Rambut: Ezad Ibrahim
Busana Anzalna: Shiatzy Chen
Busana Hanif & Eidress: Koleksi peribadi Hanif Zaki & Mohamad Eidrees
Lokasi Penggambaran: Studio @flores.kl, Shah Alam, Selangor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sedikit rahsia didik anak, penyanyi lelaki popular, Shah Indrawan atau lebih dikenali dengan nama glamornya Tomok, 33, dan isteri Rahayu Abbas, 38, cukup bertuah kerana dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang cukup bijak dan comel.
Tomok dan Ayu juga menerangkan dalam mendidik anak-anak, mereka tidak memaksa malah kedua-dua anak mereka, Arrianshah Akid atau mesra dipanggil Arrian, 5, dan Andrashah Iman atau mesra dipanggil Andra, 2, mempunyai karektor yang berbeza.
Cara Didik Anak, Bukan Niat Nak Menunjuk
“Tujuan utama saya bukanlah nak menunjuk-nunjuk kisah kehidupan kami sebagai selebriti. Siapalah saya, bahkan saya dan keluarga bukanlah selebriti yang punya nama besar. Di sini, saya cuma mahu berkongsi dengan orang luar mengenai idea mendidik anak-anak. Didikan yang kami terapkan kepada Arrian dan Andra cukup berbeza. Saya tak memaksa tapi ikut kesesuaian anak-anak. Mereka ini punya karakter yang berbeza. Sebenarnya saya tak banyak masa untuk ajar anak sebab sibuk dengan dunia seni. Jadi isteri yang lebih dominan menjaga dan memberi pendidikan kepada mereka,” tambah Tomok lagi.
Ayu pula ketika ditanya menjelaskan dalam mengajar anak-anak dia juga sama seperti ibu bapa yang lain.
“Saya tak ada pengalaman dalam mengajar jadi saya banyak belajar tentang didikan anak-anak menerusi bahan bacaan. Saya kumpulkan bahan-bahan bacaan ilmiah tentang keibubapaan dan pembelajaran awal pendidikan kanak-kanak dan juga sumber Internet, bagaimana untuk membentuk anak-anak kita. Dari situ saya ambil mana yang boleh diterapkan dan bersesuaian dengan anak-anak saya. Kiranya ‘trial and error’. Saya tidak memberi tekanan dan memaksa anak-anak untuk belajar sebab tak nak ganggu proses pembesaran mereka,” ungkap Ayu yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenarnya dan teringin untuk memiliki anak perempuan pula.
1. Berbual-bual
Apabila sering berbual-bual dengan anak walau pun pada ketika itu mereka masih belum boleh bertutur dengan baik lagi ada kelebihannya. Walau pun masih belum mengerti dan faham, minda anak-anak sebenarnya seperti span yang menyerap apa yang dilihat dan didengari. Mereka sebenarnya sedang menajamkan kemahiran berbahasa dan komunikasi. Lebih banyak bercakap kepada mereka, lebih baik.
2. Mengagah
Mengagah bayi adalah salah satu komunikasi awal yang boleh dilakukan kepada anak. Selain merangsang, ia juga menggalakkan deria pendengaran. Bayi yang berumur enam bulan atau tujuh bulan akan mula mengesan dan memusing ke arah bunyi itu. Menjelang usiasetahun, bayi sudah mula mengenalpasti lagu kesukaannya dan cuba menyanyikannya.
3. Membaca Buku
Ramai yang tahu, buku jambatan ilmu. Tapi ramaikah yang membacakan buku kepada anak walau pun mereka masih belum mengerti/faham? Membacakan buku sejak awal lagi boleh membantu mengajar bayi tentang interaksi, komunikasi dan konsep tentang bentuk, warna, abjad, memori, nombor dan tatabahasa dalam cara yang menyeronokkan.
4. Kad Imbasan
Perkenalkan kad imbasan sejak awal melancarkan sebutan dan meningkatkan penguasaan tatabahasa. Mula-mula baca dan sebutkan apa yang ada pada kad. Lama kelamaan anak-anak akan menyebutnya sendiri dan kemudian mengejanya. Ini yang Ayu lakukan kepada Arrian.
5. Bermain
Biarkan anak-anak seronok bermain dengan permainan mereka. Ketika bermain, mereka akan mengeksplorasi, berimaginasi dan menajamkan motor halus. Ia juga merangsang skil kognitif dan penyelesaian masalah. Aktiviti mewarna dan menconteng juga salah satu cara bermain yang digalakkan untuk si manja!
6. Aktiviti Fizikal
Berenang, bermain di taman permainan dan berjalan memberikan anak-anak peluang untuk aktiviti yang dapat menggunakan otot dan anggota badan. Ia dapat menguatkan otot, keseimbangan dan sokongan tubuh. Selain itu, ia juga merangsang keyakinan diri kanak-kanak. Aktiviti seperti melompat, berlari, memanjat, berguling dan merangkak merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor kasar mereka.
7. Menyanyi
Dedahkan bayi kepada lagu kanak-kanak untuk merangsang pendengaran dan apabila anak mula mennyanyikannya, ia menggalakkan aktiviti pada kedua-dua belah otak. Anak-anak juga jadi lebih ceria dan gembira
Hargai Isteri
Itu sedikit perkongsian dalam bab mendidik anak, tetapi Tomok juga dedah cara terbaik menghargai isterinya yang banyak berkorban masa menjaga anak-anak yang tersayang. Haaa… kalau Tomok sediri, dia kebiasaannya akan memberi ganjaran dengan membawa isteri dan anak-anak bercuti bila berkesempatan.
“Selain bercuti saya juga sering bantu isteri dengan memandikan anak-anak atau menukar lampin pakai buang anak-anak. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kerja Ayu.” Ujarnya lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kisah mengharukan tentang Dr Siti Ruqyah Adnan yang kehilangan ayahnya beberapa jam sebelum konvokesyen, namun tetap bangga menunaikan impian ayah untuk melihatnya bergelar doktor.