Berita

Tiga Beradik Bergelar Yatim Piatu, Ibu & Ayah Meninggal Dilanggar Ketika Beli Kelengkapan Sekolah

Share

Tiga beradik bergelar yatim piatu, ibu & ayah meninggal dilanggar ketika beli kelengkapan sekolah. Awal persekolahan tahun ini memberikan berita sedih buat tiga beradik apabila ibu dan ayah mereka terkorban dalam satu kemalangan jalan raya tragis di Jalan Tamparuli–Ranau berhampiran Kampung Koporingan dalam kejadian 9 Januari lalu.

Dalam kejadian menyayat hati itu sepasang suami isteri berasal  dari Kampung Bongol, Mustofa bin Toyib dan  Nur Shilla binti Abdullah, disahkan meninggal dunia  selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Dari video dashcam yang tular, jelas pemandu Ford Ranger Raptor ini yang bekerja sebagai arkitek jelas memasuki laluan bertentangan untuk memotong kenderaan di hadapan sebelum merempuh pasangan suami isteri ini  di satu selekoh sehingga mengakibatkan kedua-duanya meninggal di lokasi kemalangan.

Arwah memuat naik kata-kata pada awal Januari dan pergi meninggalkan anak-anak seminggu kemudiannya. Buat selama-lamanya.

Sangat meruntun perasaan, pasangan suami isteri ini dikatakan  dalam perjalanan ke pekan Tamparuli bagi membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka pada hari kemalangan tragis ini terjadi. Niat baik seorang ibu dan ayah untuk memenuhi keperluan anak-anak memasuki alam persekolahan  dengan tragedi, meninggalkan tiga orang anak berusia 17, 12 dan 7 tahun yang masih bersekolah sebagai yatim piatu.

Kini, anak-anak tersebut terpaksa melangkah ke alam persekolahan tanpa pelukan, doa dan bimbingan ibu bapa  satu kehilangan yang bukan bersifat sementara, tetapi akan mereka tanggung sepanjang hidup.

Dua anak kecil ini merindui ibu bapa mereka yang telah tiada

Dalam satu perkongsian Marysia Joannes iaitu adik  kepada arwah  Nur Shilla binti Abdullah @Sila Joannes di media sosialnya, jelas Marysia mereka sekeluarga menuntut keadilan buat anak-anak arwah.

7 HARI BERLALU, KEADILAN MESTI DITEGAKKAN

“Hari ini genap tujuh hari pemergian arwah kakak kami, Nur Shilla binti Abdullah dan abang ipar kami, Mustofa bin Toyib.
“‎Air mata kami sekeluarga masih belum kering. Kehilangan ini terlalu perit untuk digambarkan dengan kata-kata. Dua insan yang kami sayangi pergi selamanya, meninggalkan anak-anak kecil yang kini terpaksa membesar tanpa pelukan dan kasih seorang ibu dan ayah.
‎”Setiap hari kami bangun dengan luka yang sama, rindu, sedih dan persoalan yang belum terjawab. Sebagai ahli keluarga, kami dengan penuh rasa dukacita benar-benar menuntut keadilan untuk arwah. Kami mengharapkan agar siasatan dijalankan secara adil, telus dan menyeluruh, dan kebenaran ditegakkan tanpa mengira siapa yang terlibat.
“‎Ini bukan soal dendam. Ini adalah soal nyawa manusia, kebenaran dan keadilan. ‎Kami tidak akan melupakan mereka. Kami tidak akan berdiam diri. Keadilan untuk arwah mesti ditegakkan,”katanya yang mahukan keadilan buat anak-anak arwah yang ditinggalkan.
Difahamkan, suspek sudah direman dua hari selepas terlibat nahas ngeri ini dan sehingga kini siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa.

Published by
Almaswa Haji Che Ros