Seusia 22 tahun, Iqbar Hakim Jasman, dipertanggungjawab untuk mengemudi D’Nars iaitu perniagaan ibunda tercinta. Arwah ibunya, Faziani Rohban Ahmad pergi menghadap Ilahi setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya tahun lalu.
Sebagai anak sudah tentu Iqbar tidak mampu melupakan kenangan bersama ibunya. Malahan hingga saat ini, dirinya masih menyimpan segala perbualan dengan ibunya kerana semuanya adalah pesanan.
“Dia ajar saya macam mana mahu bercakap dengan media, live di TV dan banyak pesanan dia pada saya tentang selok-belok perniagaan. Kadang-kadang saya rasa walaupun dia sudah tiada, jiwa dia ada dalam jiwa saya.
“Setiap kali rindukan ibu, saya akan tengok gambar, video dan sedekahkan surah Al-fatihah buat dia,” ujarnya memulakan perbualan.
Tanggungjawab Besar
Biar pun bukan mudah dan masih muda, Iqbar Hakim Jasman atau dikenali dengan Iqbar tidak pernah merasakan ianya sebagai bebanan. Sebaliknya dia menganggap segala yang berlaku adalah aturan daripada Allah SWT.
“Arwah bukan berasal daripada orang yang senang dan saya sendiri pun sempat merasa kesusahan itu dengan dia. Ketika masih kecil, bagaimana dia membesarkan saya dan ia bukanlah satu tugas yang senang dengan keadaan rumah tangga yang tiada jodoh, membesarkan saya sebagai ibu tunggal, kereta kena tarik, bayar sewa pun tak mampu. Tetapi arwah tetap kuat kerana anak-anak dia.
‘Akhirnya apabila berjumpa dengan ayah tiri saya, Tuan Haji Rizal, ketika itu mereka masing-masing tengah membina kehidupan dan setersunya membina jenama D’Nars. Dalam masa yang sama ibu kerap mengheret saya untuk masuk dalam bisnes ini, tahu selok-belok industri kosmetik.
“Sebenarnya ini bukan minat saya, tak dinafikan saya memang minat berniaga kerana saya sendiri ada Diploma dalam jurusan perniagaan, tetapi bukanlah kosmetik. Tetapi jalan Allah memang sudah tersusun cantik, dalam masa enam bulan hingga setahun sebelum ibu pergi, dia mengajar dan mendidik saya hinggalah akhirnya saya akur.
“Buat masa ini, saya memberi fokus sepenuhnya kepada D’Nars dan kami telah tembusi pasaran Indonesia. Semuanya berjalan dengan baik dan saya mengharapkan tahun 2020 walaupun keadaan ekonomi yang kurang stabil, saya harap D’Nars terus megah,” katanya ketika ditemui di majlis Nona Top Beauty Entrepreneur Award minggu lalu.
Tidak Pernah Salahkan Takdir
Walaupun dalam usia yang mudah iaitu 22 tahun, Iqbar Hakim Jasman perlu memegang amanah yang terlalu besar, namun empunya diri tidak pernah menyalahkan takdir. Sebaliknya dia terus positif dan menerima apa yang berlaku atas kehendak Allah.
“Selain saya, arwah ibu juga meninggalkan beberapa orang anak lagi. Sebagai abang sudah tentu memikul tanggungjawab yang besar di samping menguruskan D’Nars. Sebelum ini mungkin saya terkejut dengan kehilangan ibu tetapi tidak terkejut menerajui perniagaan . Ianya telah menjadi tanggungjawab dan sebahagian amanah untuk saya terima.
“Pada peringkat permulaan memang kekok, tetapi lama-kelamaan makin seronok dan rasakan ia agak menarik. Tidak kisahlah kosmetik sekali pun, Datuk Sri Aliff Syukri sendiri juga lelaki dan dia berjaya. Jadi ia bukan masalah dan menjadi isu pada saya,” katanya lagi.
Manakala, biar pun bukan tugas yang kecil Iqbar menguruskan adik-beradiknya. Maklumlah seorang abang menguruskan adik-adik perempuan, biasalah setiap orang ada ragamnya dan ia bukan senang.
Tetapi sebetulnya kini alhamdulillah mereka memahami keadaan sekarang bila arwah ibu sudah tiada lagi. Selain Iqbar, papanya yang lebih banyak menguruskan adik-beradiknya dan memikul tanggungjawab itu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI