Selalu hati sendiri akan memberontak bila diri mula berasa dianiaya oleh orang yang sangat kita percayai. Sakitnya hati bila bertemu dengan orang yang salah. Kesannya, sehingga mahu membalas perbuatan yang dilakukan itu.
Nasihat pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun ini bagus untuk anda hadamkan baik-baik. Ada hikmah dalam setiap ujian getir bertemu dengan orang yang salah ini.
Tuhan bukan saja-saja menguji, tentunya ujian ini adalah untuk kita kembali kepadaNya. Hadamkan.
Ads
Ada Sebab Tuhan Temukan Dengan Orang Yang Salah
Allah menemukan kita dengan manusia yang mengecewakan, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia tempat berharap. Allah menemukan kita dengan manusia yang menyakitkan hati, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang menyembuhkan. Allah menemukan kita dengan manusia yang mengambil haq kita, kerana Dia ingin kita faham bahawa tiada apapun milik kita. Allah menemukan kita dengan manusia yang menzalimi, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang Maha Adil. Allah menemukan kita dengan manusia yang tidak menghargai, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang memberi ganjaran. Belajarlah mengikuti sebagaimana perkataan para Nabi dan orang yang ikhlas:
ﻭَﻣَﺎ ﺃَﺳْﺄَﻟُﻜُﻢْ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻣِﻦْ ﺃَﺟْﺮٍ ۖ ﺇِﻥْ ﺃَﺟْﺮِﻱَ ﺇِﻟَّﺎ ﻋَﻠَﻰٰ ﺭَﺏِّ ﺍﻟْﻌَﺎﻟَﻤِﻴﻦَ “Dan aku sekali-kali tidak minta upah/balasan kepadamu atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Rabb semesta alam.” [asy-Syu’ara’:164] Muhasabah jauh ke dalam diri, boleh jadi kitalah orang yang menzalimi, menyakiti, mengkhianati dan mengecewakan ?
Allahu Akbar. Teruskan jadi baik, jangan merasa sudah baik, lebih baik rasa masih kurang baik, lalu sentiasalah buat baik. Moga hidup dan mati baik dan Syurgalah sebaik-baik tempat kembali.
MW : Ringkas pesanan ustazah Asma, namun setiap baik katanya menusuk hingga ke dasar hati. Wahai hati yang sedang berduka, bangkitlah dan ingatlah bahawa setiap ujian itu, Allah beri kerana dia sayang. Mahu hambanya dekat dan ingat padaNya.
Sebagai ibu ayah sudah tentu kita mahu yang terbaik buat anak-anak. Sebenarnya ibu ayah sedarilah 90 peratus tabiat anak mengikut tabiat kita.
Seperti mana yang dikongsikan oleh Ustazah Asma’ Harun (UAH) menerusi perkongsiannya di laman sosial, Facebook, Ustazah Asma’ memberi tips untuk ubat tabiat anak.
Ternyata ilmu yang dikongsikan ini cukup bermakna boleh menjadi panduan buat para ibu bapa.
“Iya, kita semua mahu anak kita suka buku, membaca dan menambah Ilmu. Atas sebab itu, kita jadi sedih dan marah bila anak-anak tunjuk muka tak minat dengan buku, mengantuk dan baca sekejap sahaja.
“Berbeza pula bila mereka tonton tv, main game, main luar rumah, dll. Mereka menunjukkan minat dan memberi tumpuan sepenuh hati.
Jadi. Siapa dan dimana silap.
“90% tabiat anak mengikut tabiat kita, Jika marah anak tentang sesuatu, sebenarnya kita sedang marah diri sendiri. Apabila kita mengadukan perihal anak, seolahnya kita sedang mengadukan tentang perangai sendiri.
“TABIAT IBU AYAH, contohnya solat di awal waktu, kerap baca Quran, zikir dan doa selepas solat, bersedekah, dll Amal soleh yang diperlihatkan kepada anak-anak akan lebih kuat mempengaruhi tabiat anak, berbanding hanya melalui perintah perkataan.
Apa yang dilihat dengan mata lebih kuat terakam dalam memori daripada apa yang didengar dengan telinga.
“Jadi, IBU AYAH SEKALIAN, ketika kita melakukan suatu amal soleh boleh perlihatkan kepada anak-anak dengan niat untuk menjadi ikutan dan salah satu bentuk pendidikan.
“Ada sesetengah ibu suka solat dan baca Quran di dalam bilik, katanya lebih tenang dan boleh fokus. Anak-anak jarang sekali melihat ibunya duduk atas sejadah, zikir, baca Quran dll.
“Ada baiknya jika kita boleh kerap perlihatkan, InsyaAllah tidak timbul isu bimbang riya’, ujub, takabbur dll. Dengan anak sendiri, insyaAllah kita boleh hindari penyakit hati.
“Begitu juga tentang amalan sunat, contohnya sedeqah, ada ketikanya perlihatkan dan terangkan tentangnya. Begitu juga solat sunat, biarkan anak bertanya, ibu solat apa lagi tu?. Ambil peluang dan jelaskan. Dll.
“Ada kisah ibu yang hebat, beliau bercerita kepada saya. Dia sangat penat untuk mengajak anak-anaknya suka baca Quran, jika baca mesti laju-laju dan cukup 1ms sahaja. Jika minta tambah terus buat muka.
“Satu ketika, beliau nekad tidak mahu mengajak lagi. Rasa ingin merajuk. Dalam waktu yang sama, beliau melakukan solat Taubat kepada Allah atas dosa kelalaiannya dalam mendidik sehinga anak-anaknya ketagihan gajet.
“Doa dan istighfar diulang, mohon petunjuk daripada Allah swt. Akhirnya beliau mula membaca alQuran setiap kali lepas solat 1 juz. Dilakukan secara rutin, di ruang utama rumah yang mana semua boleh melihatnya.
“Diulang lagi, dibuat dengan ikhlas hati untuk mengubah diri. Beliau percaya, untuk orang yang disayangi berubah, diri sendiri perlu berubah dahulu. Dan InsyaAllah, pertolongan Allah akan tiba bagi yang benar² ikhlas.
“Akhirnya dalam tempoh lebih kurang seminggu dua, seorang demi seorang anak-anaknya datang tanpa diajak untuk sama-sama membaca alQuran.
“Daripada beberapa helai sahaja, sehingga peringkat beliau berkata, anak-anak dah mula “ketagih” alQuran. Allahu Akbar. Dengan air mata beliau bercerita.
“Ustazah, dulu saya banyak bebel, marah, ajak dengan paksa, akhirnya saya penat dan rasa nak mengungkit itu ini, selalu nak salahkan suami dan melepaskan marah pada suami.
“Rupanya Allah sebenarnya nak saya berubah menjadi seorang yang mencintai alQuran, barulah anak saya akan mengikuti jalan yang sama. Saya syukur Allah uji anak-anak saya begitu dahulu, jika tidak mungkin saya hanya sekadar meminta anak untuk cintai alQuran, sedangkan saya sendiri jauh sekali”.
“Allahu Akbar. Begitulah.
Kita Tak Boleh Ubah Hidup Selagi Tak Ubah Rutin Harian
“Ingatlah, kita takkan boleh mengubah hidup kita selagi tidak mengubah rutin harian. Kita tidak boleh mengubah insan yang disayangi selagi tak mengubah diri sendiri.
“Rupanya Allah ingin kita berubah dahulu, bukan fokus ubah orang lain. Anak dan pasangan, adalah perantaraan Allah untuk membentuk diri kita menjadi siapa.
“Saya selalu cuba amalkan doa ni, bila lihat wajah anak, atau teringatkan mereka, juga ketika teruji dengan sikap atau kerenah anak, sebagaimana doa Nabi Ibrahim AS :
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
“Robbi hablii minash shoolihiin”
[Ya Rabbku, kurniakanlah kepadaku (anak) yang termasuk orang-orang yang saleh]”.
(Surah AsSaffaat: 100)
“Semoga bermanfaat. Nukilan hati muhasabah diri seorang Umi kepada 7 orang anak, yang selalu juga terduduk lemah, marah dan kalah. Tapi tetap bangkit untuk perbaiki diri tanpa henti, insyaAllah sampai mati,” kongsi ustazah Asma’.
Bukan mudah untuk menyebarkan dakwah dan ajaran Islam. Jika mampu mengislamkan walaupun seorang pun dah besar ‘ganjarannya’ di sisi Allah, apatah lagi jika berjaya mengislamkan satu kampung! Alhamdulillah atas usaha Ustaz Ebit Lew, Pendakwah dermawan yang cukup dikenali atas kerja-kerja sukarelawan ini berjaya mengislamkan seramai 157 penduduk kampung.
Ya Allah menangis saya hari ini gembira. Seramai 157 orang mengucap syahadah. Satu kampung memeluk Islam petang ini. Semuanya dengan rela tanpa paksaan memeluk Islam. Dari suku Bajau Laut atau gipsi laut. Pulau Tatagan Semporna. Mereka tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut.
Saya ke sana untuk beri bantuan. Dengar mereka susah dan putus bekalan makanan. Mereka susah sangat. Bajau laut kumpulan manusia tanpa negara. Tengok anak kecil terus menangis. Berebut-rebut datang dekat saya. Mereka beri nama anak selepas setahun kerana risiko kematian tinggi untuk anak bawah setahun.
Tiba-tiba ramai tanya saya siapa tuhan. Tuhan tu apa. Saya terus sebak. Saya dengan penterjemah tanya pernah tak sesiapa terangkan tentang agama. Mereka jawab tiada. Kami tak tahu. Tolong bagitahu kami. Saya terus sebak. Saya kumpulkan semua dikeliling bot tadi.
Mereka semua terus percaya. Saya ajar mereka syahadah. Inilah hari paling sedih gembira dalam hidup saya. Terima kasih Allah.
Saya akan terus bantu makanan untuk seluruh kampung atas laut ini. Saya tengah urus untuk bina sekolah. Tengah cari guru ustaz untuk mengajar mereka.Ya Allah bantulah mudahkanlah diriku untuk pastikan anak-anak ini menjadi manusia berguna.
MW: Alhamdulillah, tahniah ustaz atas usaha murni ini berjaya mengislamkan seluruh penduduk kampung dan menyebarkan lagi ajaran Islam. Semoga segalanya dipermudahkan dan lebih ramai lagi yang memeluk Islam atas usaha ustaz.
Kadang-kadang kita berkira untuk bersedekah sebab memikirkan kita sendiri pun rasa tidak cukup. Ini belum lagi, bila kita rasa malas, susah hati membuatkan kita rasa semua kerja tidak dapat dilakukan dengan baik dan mulalah hati tidak tenang.
Sebenarnya, semua itu kita kena tolak ketepi dan cara mudah untuk kita hilangkan rasa malas, susah hati adalah dengan bersedekah.
Ada juga, kita fikir tak nak memberi kerana diri sendiri pun rezeki sempit dan bimbang diri tidak cukup bila bersedekah. Semua ini adalah tafsiran diri dan takut dengan apa yang Allah tetapkan.
Lagipum bersedekah bukan hanya dengan memberi duit semata-mata. Kadang-kadang dengan memberi senyuman pun sudah cukup. Kita tak tahu, rezeki kita sempit boleh bertambah dengan hanya bersedekah.
Sebab itu, kalau kita rasa malas, susah hati, orang tak suka dengan kita dan sebagainya, cubalah bersedekah. Dengan cara ini, kita akan rasa lebih tenang seperti apa yang dikongsikan oleh Bonda Nor ini.
Perancangan saya tak menjadi, saya sedekah.
Bila saya susah hati, saya sedekah.
Begitu juga orang fitnah saya, kawan khianat saya, saya sedekah.
Orang benci, dengki, sindir, sihir, saya sedekah.
Malah, kalau ada kesalan dengan dosa yang saya buat, mengumpat, buat maksiat, saya sedekah.
Sungguh saya tak pandai, tak banyak ilmu, bukan hafaz Quran.
Saya juga malas duduk atas sejadah, zikir lama-lama.
Bagi orang jahil dan malas macam saya, sedekah ialah amalan paling senang dan buat kita tenang.
Tidak kisah banyak atau sedikit, yang penting saya sedekah.
Memberi tanpa harap balasan. Beri tanpa harap pujian dan lupakan.
Sebab itu hak Allah belaka. Saya cuma perantara.
Saya tulis ini bukan dalam iman yang humble, bukan tawadhu’.
Tapi dalam keadaan jujur, sejujurnya. Saya sedar diri, memang faktanya, bukan orang banyak ilmu, tak ada PHD, tak berpangkat besar dan saya belajar pun setakat diploma saja.
Saya banyak kongsi pengalaman saja. Sungguh, hanya itu saja yang saya mampu.
Tapi Allah Maha Bijaksana, Dia uji saya dengan sedikit pengaruh dengan rezeki percaya daripada orang sekeliling saya.
Jadi, Alhamdulillah… buku saya laku, cakap saya laku.
Saya tak kaya, tapi rezeki tak pernah putus.
Malah dengan saya memberi, rezeki tak pernah habis , sentiasa bertambah.
Sungguh, saya malu dengan Allah.
Jadi saya sedekah.
Dapat rezeki, saya berbagi-bagi bukan sebab saya baik hatoi atau murah hati.
Tapi sebab saya tak tahu amalan apa lagi yang boleh saya buat untuk pamer rasa syukur.
Saya tak kuat untuk buat amalan lain yang mampu layakkan saya ke syurga.
Maka, saya sedekah dan ajak orang lain buat macam saya.
Ya, kalau ada baiknya amalan kecil ini hingga tuan puan rasa terinspirasi, buatlah juga.
Hidup ini, entah apalah yang kita nak kejar sangat. Bila-bila masa saja akan kita tinggalkan.
Hati manusia, manalah mampu kita nak puaskan semuanya. Ada-ada saja kekurangan kita yang mereka pertikaikan.
Jadi, kita buat sajalah pada kadar yang kita mampu.
Kita terus doa moga Allah jaga hati kita. Kuatkan semangat kita.
Nak istiqamah dalam mujahadah, dalam ibadah mulakan dengan sedekah.
Ketika rezeki sempit atau mewah, tetaplah bersedekah.
Ada ketika sakit atau sihat, gembira atau susah hati, sedekah.
Moga jadi asbab Allah redha dan kita redha dengan takdir Allah.
Maafkan salah silap saya kalau sepanjang usaha dakwah ini saya mengguris hati sesiapa.
MW: Betul tu, bila kita bersedekah, kita akan rasa tenang sangat. Bukan sebab nak menunjuk tapi ada perasaan lain yang datang.