Berita Sosial

Terputus Silaturahim Bertahun-Tahun, Abang Menyesal Hanya Bertemu Jenazah Adik di Unit Forensik

Share

Terputus silaturahim selama bertahun-tahun akhirnya membawa penyesalan yang sukar digambarkan. Seorang lelaki hanya sempat bertemu adiknya di Unit Forensik selepas arwah disahkan meninggal dunia dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Momen pilu itu dikongsikan Pengurus Squad Urus Jenazah Seremban (SUJS), Ustaz Abd Rahman Daros, berdasarkan pengalaman sebenar yang dilaluinya ketika membantu menguruskan jenazah seorang mangsa kemalangan sekitar tahun 2024.

Terputus silaturahim selama bertahun-tahun akhirnya membawa penyesalan yang sukar digambarkan

Terputus Silaturahim Bertahun-Tahun

Menurut Ustaz Abd Rahman, ketika itu beliau baru selesai menghantar satu jenazah sebelum kembali ke Unit Forensik untuk mengambil kereta.

Sebelum pulang, beliau singgah ke tandas dan terlihat sepasang suami isteri berdiri di luar bangunan forensik dalam keadaan termenung sambil memegang telefon bimbit.

Rasa ingin tahu mendorong beliau menegur pasangan berkenaan sebelum dimaklumkan bahawa mereka sedang menunggu urusan menuntut jenazah seorang ahli keluarga.

Lelaki tersebut kemudian memaklumkan bahawa mangsa merupakan adiknya yang maut dalam kemalangan sehari sebelumnya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Melihat waris masih tidak pasti tentang prosedur yang perlu dilakukan, Ustaz Abd Rahman membantu mereka berurusan dengan pihak forensik bagi proses tuntutan jenazah.

Tangisan Seorang Abang

Selesai urusan di kaunter, lelaki itu mengakui dia dan arwah hanya tinggal dua beradik selepas ibu bapa mereka meninggal dunia ketika mereka masih kecil.

Mereka kemudiannya dibesarkan oleh keluarga angkat di kampung yang sama sebelum hubungan terputus apabila masing-masing membawa haluan sendiri.

Menurut lelaki itu, dia sudah lama tidak bertemu adiknya sehingga tidak mengetahui kehidupan sebenar arwah yang tinggal bersendirian di bilik sewa dan berulang-alik ke tempat kerja seorang diri.

Luahan itu akhirnya bertukar menjadi tangisan apabila dia mengakui menyesal kerana gagal mencari dan menghubungi adiknya lebih awal.

Bagi Ustaz Abd Rahman, penyesalan itu cukup menyentuh hati kerana pertemuan yang diharapkan selama ini akhirnya berlaku dalam keadaan yang tidak pernah diinginkan.

Jenazah Dikebumikan Pada Malam Yang Sama

Melihat keadaan waris yang masih bersedih, Ustaz Abd Rahman menawarkan bantuan untuk menguruskan proses pengebumian.

Walaupun ketika itu jam sudah menghampiri tengah malam, beliau menghubungi petugas memandikan jenazah serta individu yang membantu urusan menggali kubur.

Jenazah kemudiannya dimandikan, dikafankan dan disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Menurut beliau, segala urusan selesai sekitar jam 4.30 pagi selepas jenazah selamat dikebumikan.

Urusan jenazah selesai sekitar jam 4.30 pagi dan selamat dikebumikan.
“Adakah Saya Berdosa Kepada Arwah?”

Sebelum berpisah, lelaki tersebut sempat bertanyakan satu soalan yang masih diingati Ustaz Abd Rahman sehingga hari ini.

Dia bertanya sama ada dirinya berdosa kerana terlalu lama terputus hubungan dengan adiknya.

Sebagai jawapan, Ustaz Abd Rahman menasihatkan agar beliau terus mendoakan arwah, memperbanyakkan sedekah atas nama adiknya serta menyelesaikan sebarang amanah atau hutang sekiranya berkemampuan.

Menurut beliau, setiap insan tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan, namun pintu keampunan Allah sentiasa terbuka dan kasih sayang kepada insan yang telah pergi masih boleh diteruskan melalui doa serta amal kebajikan.

Pengajaran Buat Semua

Bagi Ustaz Abd Rahman, pengalaman itu menjadi peringatan bahawa hubungan kekeluargaan tidak seharusnya dibiarkan renggang kerana tiada siapa mengetahui bila pertemuan terakhir akan berlaku.

Beliau berharap kisah tersebut dapat menjadi iktibar agar masyarakat sentiasa menghargai ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara selagi mereka masih diberi kesempatan hidup.

“Jangan tunggu kehilangan baru kita mencari mereka. Kadang-kadang satu panggilan telefon atau satu ziarah sudah cukup untuk mengeratkan kembali silaturahim yang hampir terputus,” katanya.

Published by
Almaswa Haji Che Ros