
Nama Tengku Nadine Amina Zahra menjadi perhatian ramai selepas Majlis Kesultanan Pahang mengumumkan kelahiran cucunda puteri kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Khabar gembira itu dikongsikan menerusi hantaran rasmi Majlis Kesultanan Pahang yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada keluarga diraja atas keputeraan Tengku Nadine Amina Zahra.
Bayi perempuan tersebut merupakan puteri kepada Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Puan Bendahara, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.
Menurut kenyataan itu, Tengku Nadine Amina Zahra dilahirkan pada jam 3.35 petang, Khamis, di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Majlis Kesultanan Pahang turut merafakkan doa agar puteri kecil itu dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, keberkatan dan perlindungan daripada Allah SWT.
Selain berita kelahirannya, perkara yang turut mencuri perhatian ramai ialah maksud di sebalik nama Tengku Nadine Amina Zahra yang sarat dengan doa serta harapan.
Menurut perkongsian Majlis Kesultanan Pahang, nama Nadine membawa maksud harapan yang melambangkan keyakinan terhadap masa depan, sinar yang membawa harapan dan permulaan yang penuh rahmat.
Sementara itu, Amina bermaksud amanah, jujur, setia dan boleh dipercayai.
Nama tersebut juga mempunyai nilai yang sangat istimewa kerana merupakan nama bonda Rasulullah SAW, Sayidatina Aminah binti Wahb yang melambangkan kemuliaan akhlak, ketulusan dan keamanan.
Manakala Zahra pula membawa maksud yang berseri-seri, bercahaya, mekar dan bersinar.
Nama ini juga sinonim dengan gelaran Sayidatina Fatimah al-Zahra RA, puteri kesayangan Rasulullah SAW yang menjadi simbol kesucian, kemuliaan dan cahaya iman.
Gabungan ketiga-tiga nama tersebut menjadikan Tengku Nadine Amina Zahra membawa maksud “Harapan yang diamanahkan oleh Allah, yang bersinar dengan cahaya iman.”
Ia turut membawa pengertian seorang anak yang menjadi harapan keluarga, memiliki sifat amanah serta memancarkan kemuliaan akhlak dalam kehidupan.
Dalam kenyataan sama, Majlis Kesultanan Pahang turut menitipkan doa agar Tengku Nadine Amina Zahra membesar sebagai insan yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia.
Malah, diharapkan puteri kecil itu menjadi penyejuk mata ibu bapanya, kebanggaan keluarga serta memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Turut disertakan doa dalam bahasa Arab yang membawa maksud semoga Allah SWT memberkati bayi tersebut, menjadikannya dalam kalangan wanita solehah dan penyejuk mata buat kedua-dua ibu bapanya serta seluruh keluarga.
Ucapan itu menerima pelbagai reaksi positif daripada rakyat yang turut menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada keluarga diraja Pahang.
Untuk rekod, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan telah melangsungkan istiadat perkahwinan pada 24 Oktober 2024 dalam satu majlis penuh adat istiadat diraja.
Kini, kehadiran Tengku Nadine Amina Zahra melengkapkan lagi kebahagiaan pasangan tersebut serta seluruh keluarga diraja Pahang.
Pemilihan nama yang indah dan penuh makna itu turut mengundang perhatian netizen yang menyifatkan setiap nama dipilih bukan sahaja sedap didengar, malah mengandungi doa yang baik untuk masa depan seorang anak.
Semoga Tengku Nadine Amina Zahra membesar dengan sihat, dipermudahkan setiap urusan serta menjadi anak yang solehah, berbakti kepada keluarga dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Sumber: Instagram