Berita

Tak Sempat Menjadi Raja Sehari, Syamira Pergi Dijemput Ilahi. Majlis Kahwin Bertukar Jadi Majlis Tahlil

Share

Hari yang sepatutnya menjadi detik paling bahagia dalam hidupnya bertukar menjadi perpisahan yang paling menyayat hati.

Siti Nur Syamira Samsol, gadis manis yang sedang menghitung hari untuk diijabkabulkan dengan lelaki pujaannya, tidak sempat mengecap manisnya hidup berumah tangga. Cinta yang diimpikan, kasih yang disulam bertahun-tahun, semuanya terhenti sekelip mata apabila dia pergi buat selama-lamanya—hanya dua hari sebelum hari persandingannya.

Sabtu ini sepatutnya menjadi hari paling membahagiakan buat Siti Nur Syamira Samsol. Hari di mana dia bakal bergelar isteri kepada lelaki yang dicintai sepenuh jiwa. Namun, siapa sangka, takdir Ilahi mengubah segalanya.

Syamira pergi dijemput Tuhan dua hari lebih awal—dalam satu kemalangan tragis yang meragut nyawanya di Kilometer 93.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, sekitar jam 8.30 pagi Khamis lalu.

Dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kampung Benaung, Mersing bersama tunangnya, Muhammad Aiman Abdul Rashid, arwah berhasrat memenuhi janji kepada ibunya untuk membeli persiapan terakhir menjelang hari bahagia mereka, selain menghadiri majlis tahlil arwah bapanya.

“Dua tahun lalu kami kehilangan abah… kini adik pula,” luah Siti Nor Syamila Samsol, kakak kepada arwah, dalam nada sebak yang sukar disembunyikan. “Kesedihan kami belum sembuh sepenuhnya, tiba-tiba diuji lagi dengan kehilangan orang yang kami sayang.”

Syamira, gadis yang penuh kelembutan dan sopan santun, sempat dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), namun takdir lebih awal menjemputnya. Hati mana yang tidak luluh apabila insan yang begitu teruja menanti hari bahagia akhirnya dijemput pulang ke negeri abadi.

Menurut kakaknya lagi, segala persiapan perkahwinan telah pun siap sepenuhnya—dari barang hantaran, pelamin hingga ke kad undangan digital yang dibuat sendiri oleh arwah. Malah, kad jemputan itu sudah pun diedarkan kepada para tetamu.

“Dia uruskan semuanya sendiri. Dia teruja sangat, makin dekat hari majlis makin berseri wajahnya. Tapi bila dapat berita ni… kami semua hilang kata.”

Kini, hanya kenangan dan doa yang mampu mengiringi pemergian Syamira. Seorang anak, adik dan bakal isteri yang tidak sempat bergelar ratu sehari.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan insiden tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kenduri Tahlil

Menurut laman Facebook Alwiyah Talib yang menziarahi keluarga mangsa di Kampung Benaung, Mersing, Majlis esok (3hb Mei) tetap diteruskan kerana ibu arwah memberitahu memang hajat arwah hendak menjamu orang makan.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu