
Bila dah kahwin ni, baik suami atau isteri kena banyak berterus terang. Kalau tak suka, cakap dan tak payahlah keluarkan emosi di media sosial sampai orang luar tahu. Itu cuma boleh tambahkan penyakit kalau anda buat!
Mahunya tidak, tepek kejap pun dah beratus komen daripada orang luar yang konon bagi nasihat tetapi sebenarnya diorang pun tak tahu siapa yang patut betulkan. Suami atau isteri?
Hah, itulah yang saudara Amir Syahir cuba sampaikan dalam status Facebook miliknya. Pilih jalan selamat sekali pun rasa nak marah. Contohnya macam pengalaman yang dia lalui sendiri…
Jangan Tepek Di Media Sosial Dulu
Dulu mula-mula kahwin, isteri aku kalau merajuk dia tak nak cakap. Diam jeee. Pastu pendam sorang-sorang. Dah lama kahwin ni, terus dia cakap kalau tak puas hati. Terus luah apa yang dia rasa.
Duk pendam sorang-sorang ni pastu bengang sebab orang tak faham dia. Dia ingat kita ni tok wali ke apa boleh teka-teka.
Begitu juga korang yang baru kahwin. Kalau awkward nak berterus-terang boleh gunakan teknologi terkini. Kalau tak biasa nak luah secara face to face apa yang tak puas hati tu, guna la WhatsApp ke, FB messenger, nota atau surat.
Dah okey sikit, barulah cakap atau bincang depan-depan. Kan senang. Tak payah luah dekat Fesbuk nak bagi laki kau tahu apa yang kau pendam ataupun mengadu dekat Page KRT la. Masalah korang berdua, korang la selesaikan.
Jangan duk pendam sorang-sorang. Pastu nangis bawah shower, takpun nangis dalam selimut. Kadang kala, kaum lelaki ni dia tak tahu apa silap dia.
Suami pun kalau malu ataupun segan nak minta maaf jika buat silap, beli je hadiah lepastu tulis nota. Beli coklat pastu lekat nota “Im Sorry for everything”. Kan sweet tu. Dia pun tersenyum.
Tapi pastikan tu bukan masalah yang besar la. Kalau masalah besar mesti dan perlu mintak maaf dan bawa berbincang depan-depan dengan cepat.
Bergaduh tu biasalah dalam rumahtangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Tapi jangan gaduh lama-lama. Selesaikan secepat mungkin. Kah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
13 Aura Positif Melekat Kalau Anak Rapat Dengan Nenek

Patutlah ada sesetengah anak rapat dengan nenek, ya! Haaaa… bukan semua orang mampu mencipta hubungan rapat dengan ahli keluarga selepas berkahwin. Tetapi agak pelik jika ibu bapa sendiri cuba jarakkan hubungan antara cucu dan nenek terus terjalin.
Jom semak rahsia positif yang bakal anak dapat hasil daripada ‘kamcing’ dengan neneknya.
1. Soal dera
Kita pukul anak mungkin niat nak mengajar, tetapi mampu ke terima hakikat ‘orang asing’ pukul anak untuk mendidik? Banyak yang kata ok, tapi saat berdepan memang ‘naik minyak’ juga ya. Mungkin ada yang sanggup berhenti kerja demi fokus anak-anak. Namun jika nenek dan atuk yang sanggup jaga anak untuk isi masa lapang, itu kira bonus. Jangan pula paksa, kalau dia memang seronok jaga teruskan saja.
2. Nasihat penuh kasih sayang
Sesekali anak akan buat silap, dengan orang lain belum tentu ditegur dengan cara yang betul. Tetapi kasih nenek, tegurnya tetap ‘makan dalam’ walau dalam nada yang lembut. Ini sebabnya cucu cepat turut perintah kalau nenek mula bersuara.
3. Dapat semangat lebih
Selalu berdepan dengan tekanan hidup atau mungkin emosi terganggu dek kerja yang tidak pernah habis? Cuba sesekali balik kampung jumpa mak ayah. Anak-anak lagi suka, dengan hirup udara yang segar dan jamu menu klasik. Cukup memukau, ok! Percayalah nenek akan ada cara paling berkesan untuk tingkatkan semangat baru. Dengar cerita dulu-dulu dari mulut nenek pun boleh buat hati kita senang. Ya, tak? Cuba dekatkan jiwa anak dengan neneknya.
4. Hadiah istimewa
Setiap hari anda berdepan dengan kesibukan urusan kerja. Tiada ruang untuk fikir soal keseronokan luang masa bersama mak. Tetapi dalam situasi ini, cucu mampu petik keadaan jadi lebih gembira. Tetiba si kecil anda yang mampu ingatkan soal hadiah buat neneknya. Sesekali dapat, nenek akan rasa lebih dihargai. Betul atau tidak, bila tengok anak nama nenek atau opahnya, anda mesti rasa terus ingat apa penat lelah mereka, kan?
5. Pemikiran bijak
Sejauh mana anda dalam dunia jaga anak, luas lagi pengalaman seorang nenek jaga cucu. Jadi janganlah sesekali cari salah nenek kalau pun cara anda berbeza. Anak yang lebih rapat dengan neneknya, mampu berfikir luar biasa daripada anak lain. Sebab hari-hari nenek dan atuknya ajar sesuatu yang baru dengan penuh kasih.
6. Cerita dulu-dulu penuh pengajaran
Koleksi cerita yang disampaikan nenek tentang masa kecil orang tua anda akan membuat cucu kenal sisi lain mereka. Nenek akan ajar sikap memaafkan dan menyayangi makhluk lain. Eh, banyak juga aura nenek ya!
7. Tak boleh marah lebih
Anda marah, neneknya ‘back up’. Kira ok juga, tidaklah anda bertindak luar biasa sampai sanggup pukul si anak di luar kawalan. Boleh jadi kes dera kalau emosi terlalu tidak stabil.
8. Dapat hadiah ‘rare’
Barang-barang koleksinya dulu, mungkin sekelip mata akan jadi hak milik cucu. Bukan ajar curi peluang tetapi kalau nenek pindahkan sesuatu hak milik, itu dikira rezeki cucu.
9. Makanan sedap
Tentu saja makanan yang djamu untuk cucu lebih berkhasiat dan sedap. Silap-silap, anak lebih suka sajian nenek darida air tangan anda. Tapi jangan cemburu, kasih tetap sama. Cuma manjanya mungkin lebih kepada nenek. Bagilah peluang nenek berkasih sayang dengan cucu, bukan selalu.
10. Ukhuwah terjalin
Setiap kali ada salah faham dengan mak sendiri, kadang si kecil yang mampu jernihkan hubungan. Mana mungkin anda sanggup bermusuh dengan keluarga sendiri. Cucu yang rapat dengan nenek itu, dikira satu anugerah untuk rapatkan silaturrahim kekeluargaan.
11. Jiwa lebih rapat
Wajahnya akan berubah menjadi lebih ceria saat melihat cucu di depan pintu rumahnya atau mendengar suara menerusi telepon. Hubungan anda pastinya lebih rapat dan faham jiwa ibu. Lagi terkejut apabila jauh, segala aktiviti si kecil neneknya mampu baca secara tersusun.
12. Jaga rahsia
Sesekali nenek lebih kenal dan rapat dengan dunia anak. Mungkin sudah biasa kerana anda bekerja, jadi segala rahsia dan cerita anak akan dikongsi dengan nenek dulu. Jangan kecil hati ya ibu…
13. Lebih pelukan dan ciuman
Nenek akan selalu punya waktu, kasih sayang dan pelukan untuk si kecil. Dan pastinya saat cucu menangis, nenek lebih cepat memujuk dan melayan karenah cucu walaupun penat. Anda baru balik kerja, mana mahu hadap karenah anak-anak yang meragam, bukan?
Cukup berbeza kasih sayang seorang nenek pada cucu dengan kasih sayang seorang ibu pada si anak, bukan? Tetapi jangan salah sangka, dunia nenek sebenarnya lebih merindui saat jaga anak. Jadi kenapa nak pelik jika nenek ‘back up’ cucu walau hakikat anak anda buat silap. Untuk lebih dekat, luangkan masa bersama mak anda bersama dengan membawa si kecil bermain dengan nenek dan atuknya. Barulah keluarga bahagia!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dulu Tak Faham Kenapa Suri Rumah Suka ‘Share Life’ Di Media Sosial

Suri rumah ini, Puan Intan Shafiqa berkongsi pandangan peribadi selepas dirinya sendiri menjadi seorang suri rumah. Dahulu dia tak faham kenapa suri rumah suka berkongsi kisah kehidupan mereka di media sosial.
Selepas melalui sendiri rutin seorang suri rumah, fahamlah dirinya mengapa tindakan sebegitu terjadi. Tentunya, bukan perhatian yang dicari, tetapi itulah kebahagiaannya selepas seharian berpenat mengurus rumah tangga. Raikanlah.
Suri Rumah Dari Pagi Sampai Petang Hidup Dengan Jadual Yang Sama
Dulu aku tak paham kenapa housewife ni suka share life diorang kat media sosial.
Sekarang aku dah jadi suri ni baru faham kenapa.
Kehidupan jadi sunyi. Di hiasi dengan anak-anak je. Dari pagi sampai ke petang. Hidup dengan jadual yang sama.
- Bangun
- Masak
- Kemas
- Tidurkan anak
- Ambil-hantar anak sekolah
- Rutin yang sama setiap hari.
Kalau masa bekerja dulu, ada kawan nak borak sebelah meja.
Pagi-pagi sampai office share cerita semalam pasal bos, orang meja sana, orang meja sini. mengumpat dulu.
Lunch berbeza-beza setiap hari. Pilih saja nak makan apa. Keluar duit je.
Sekarang dah berbeza. Nak borak pun dengan jiran sebelah. Pasal pokok, pasal baja, pasal program kejiranan (kalau ada)
Baca sini : ‘Ada Ijazah, Tapi Jadi Suri Rumah’ Ini Jawapan Isteri Tomok
Hidup Tenang Jarang Buat Dosa
Apa beza dua kehidupan ni?
Hidup tenang kot. Jarang buat dosa
Cuma mungkin ada yang menyampah kita share macam-macam dalam hidup kita.
Kalau menyampah, deactivate fb anda hahaha!
IsyMom
Dulu working mom
Sekarang SuriBisnes
- Baca sini :
- Bila Lihat Suri Rumah Dari Sudut Salah, Inilah Yang Mak-mak Telan
- Akur Berhenti Kerja, Desakan Suami Akhirnya Isteri Menyesal Tak Sudah
- Suri Rumah Bukan Pemalas, Tapi Inilah Kerja Paling Susah Sampai Diri Pun Terabai
- Jangan Perlekeh Suri Rumah, Nur Aini Capai Sejuta Sebulan ‘Tak Nak Lihat Orang Sekeliling Hidup Susah’
Mingguan Wanita : Raikan lah dan berlapang dadalah dengan suri rumah suka kongsi kisah hidupnya di media sosial. Selagi ianya memberi manfaat kepada orang lain.
Sumber/Foto : Puan Intan Shafiqa
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami Minta Izin Kahwin Lain, Isteri Tolak Diri Dimadukan!

Izin atau tak? Suami memang berhak berpoligami. Namun, poligami adalah sesuatu yang sangat mendukakan hati isteri walau pun ia dibenarkan dalam agama. Ikuti pengakuan seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Saya seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Tak pernah ada yang kurang pun. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemani keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Hidu Perubahan Suami
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja.
Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
WhatsApp Misteri
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Pengakuan Suami
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya.
Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak. Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami. Suami juga terus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja.
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Tak Kaya Tak Apa...
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Namun, “ku sangka anas hingga ke petang , rupanya hujan di tengah hari”. Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Mampukah Suami?
Kita pernah mendengar satu frasa yang menyebut “ wanita banyak sembilan nafsu tetapi hanya ada satu akal, manakala lelaki hanya ada satu nafsu tetapi ada sembilan akal. Dan nafsu lelaki yang satu itu hanyalah wanita. Maka Allah izin lelaki berkahwin hingga empat orang jika dia benar-benar boleh berlaku adil. Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua.
Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Tiga Pendekatan
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lai, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih. Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya.
Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Artikel lain di sini:
Ditagih Cinta Lelaki Berstatus Suami Orang
Bila Suami Rasa Hebat Terus NIAT Pasang Dua, Lupakan Isteri Banyak Berkorban
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Pilihan
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami.
Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka. Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, senantiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Bersemuka Dan Terus Terang
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Alih Fokus
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Puan perlu ada sebuah kereta sendiri yang dinamakan atas nama puan. Puan aktifkan diri dengan perniagaan. Pada masa yang sama puan aktifkan diri dengan aktiviti kebajikan membantu masyarakat sekeliling yang susah dengan memberi pertolongan. Dengan kata lain, tiga perempat daripada tumpuan puan kepada suami dialihkan kepada aktiviti puan di luar daripada lingkungan rumah.
Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang. Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat.
Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan. Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!