Dalam Negara

Syurga Rasa Sabah: Meneroka Keunikan Kulinari di Negeri Di Bawah Bayu

Share

Setiap perjalanan pasti lebih bermakna apabila disertai dengan pengalaman menjamu selera. Menerokai destinasi baharu bukan sahaja membuka mata terhadap keindahan alam dan budaya setempat, tetapi turut menjadi peluang istimewa untuk menyelami warisan kulinari yang unik dan penuh rasa.

Sabah, negeri di bawah bayu yang terkenal dengan keindahan semula jadi dan hospitaliti rakyatnya, turut menawarkan pelbagai pilihan makanan menarik untuk dinikmati oleh setiap pengunjung.

Apabila melancong ke Sabah, para pengunjung disarankan untuk mengetepikan rutin pemakanan harian dan berani mencuba hidangan tempatan yang mungkin tidak terdapat di tempat lain.

Makanan di Sabah bukan sekadar mengenyangkan, malah mencerminkan kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat majmuk yang mendiami negeri ini daripada suku kaum Kadazan-Dusun, Bajau, Murut hinggalah komuniti Cina dan pelbagai lagi.

Syurga Makanan Laut dan Warisan Tradisi

Sabah sememangnya terkenal sebagai syurga makanan laut segar, lazat dan berpatutan. Dari pasar basah hinggalah ke restoran bertaraf tinggi, pilihan hasil laut yang ditawarkan pasti membuatkan sesiapa sahaja rambang mata.

Namun begitu, pengalaman kulinari di Sabah tidak terhenti setakat itu. Setiap kawasan mempunyai juadah tersendiri yang mencerminkan gaya hidup dan tradisi masyarakat setempat.

Mi Ngiu Chap (Mi sup daging)

Jika nasi lemak sinonim dengan sarapan di Semenanjung Malaysia, mi ngiu chap pula merupakan kegemaran penduduk Sabah, terutamanya di kawasan Pantai Barat seperti Kota Kinabalu.

Hidangan ini terdiri daripada mi kuning atau bihun yang dihidangkan dalam sup daging lembu yang kaya dengan rempah ratus dan dimasak perlahan sehingga daging menjadi empuk dan beraroma.

Pelbagai bahagian lembu digunakan termasuk bebola daging, perut, lidah, dan organ dalaman  menjadikannya sajian yang unik dan bertekstur pelbagai. Jangan lupa menikmatinya bersama cili padi potong, pelengkap wajib bagi warga tempatan.

⦁ Mi Sup Ikan

Bagi penduduk tempatan Sabah, menikmati semangkuk mi ikan segar yang masih panas bukan sekadar satu hidangan, ia merupakan satu pengalaman yang memuaskan dan menenangkan. Sama ada anda memilih versi kon lau (mi kering disalut dengan kicap) atau yang disajikan bersama sup beraroma, mi ikan di Sabah mempunyai keistimewaan tersendiri. Kedudukan geografi negeri ini yang dikelilingi laut membolehkan hanya ikan paling segar dan berkualiti tinggi digunakan, menghasilkan rasa yang manis, lembut dan penuh keenakan.

Sup yang mengiringi hidangan ini juga pelbagai dan mampu memenuhi cita rasa berbeza  daripada kuah ham choi (sawi masin) yang klasik, kepada pilihan tomato, asam pedas, hinggalah tom yam laksa yang berempah. Tidak hairanlah mi ikan menjadi kegemaran ramai dan mudah didapati di seluruh Sabah. Malah, kedai-kedai popular sering kali dipenuhi pelanggan yang sanggup beratur panjang demi menikmati semangkuk hidangan yang berbaloi.

⦁ Kepak Ayam Panggang

Kepak ayam panggang mungkin kedengaran seperti hidangan ringkas dan lazimnya dijadikan sebagai menu tambahan pembuka selera. Tetapi percayalah pada warga Sabah yang menganggap kepak ayam panggang sebagai hidangan utama.

Kepak ayam panggang diperap dengan ramuan istimewa mengikut citarasa Sabahan, disalut secara sekata dan dibakar hingga sempurna untuk mendapatkan rasa salai yang memikat. Walaupun banyak penjaja menjualnya di sekitar bandar, tahukah kamu bahawa tempat yang terbaik dan popular terletak di pekan Kundasang.

Menikmati kepak ayam panggang yang baru dibakar pada ketinggian 1,900 meter dari aras laut sambil ditiup udara gunung yang sejuk memberikan suasana nyaman untuk menikmati hidangan ini. Jika anda berkunjung ke Kundasang, singgahlah ke gerai seperti Ayam Madu Wak Ali, Grill Chicken Wing Kundasang Café dan Girik BBQ di Restoran Selera Kebun Soboroong.

⦁ Jagung Bakar

Jika anda melawat kawasan utara Sabah, seperti Kudat, Pitas dan Kota Marudu, jangan lupa singgah di gerai tepi jalan Kampung Mengaris yang terletak sepanjang laluan Kota Belud – Kudat. Lokasi ini cukup terkenal sebagai tempat persinggahan untuk membeli hasil tani dan kraftangan tempatan.

Peniaga biasanya akan menggantung jagung segar dan jagung bakar di gerai mereka. Terdapat dua jenis jagung yang ditanam dan dijual di sini iaitu jagung manis dan jagung pulut. Jagung ini dibakar di atas kayu api sehingga bahagian luarnya terbakar kehitaman. Jagung bakar menjadi kegemaran ramai kerana rasanya manis dan aroma yang memikat, enak dimakan ketika masih panas!

⦁ Lokan Bakar & Puding Kelapa

Hanya 30 minit dari Kota Kinabalu, terletaknya kawasan wajib singgah yang sering menjadi tumpuan pelancong dan warga tempatan — Jalan Sulaman, lebih mesra dikenali sebagai Salut, Tuaran. Apa yang menarik di sini? Sudah tentu dua tarikan utama: lokan bakar dan puding kelapa sejuk!

Bayangkan lokan segar dari paya bakau, dibakar atas bara arang sampai cangkerangnya terbuka sendiri… isi dalamnya lembut, berjus, dan manis. Tambahkan perahan limau nipis dan sedikit pencicah cili — fuhh, kombinasi yang cukup sempurna!

Lepas makan yang berasap-asap, sejukkan tekak dengan puding kelapa yang diperbuat daripada susu dan air kelapa segar. Di dalam cawan atau tempurung kelapa asli, teksturnya halus dan rasanya ringan — memang menyegarkan! Nak cuba sesuatu yang luar biasa? Pesan kelapa bakar — air kelapa suam beraroma unik, dibakar bersama tempurungnya hingga kehitaman. Minuman tradisional yang dipercayai baik untuk kesihatan!

Jadi kalau anda memandu ke utara dari Kota Kinabalu, jangan lupa singgah di Salut. Serius, anda takkan menyesal!

Nasi Kuning

Kalau anda ke Pantai Timur Sabah, satu benda yang wajib cuba ialah nasi kuning! Hidangan ni ibarat “nasi lemak versi Sabah” — tapi dengan sentuhan tersendiri. Biasanya dihidang waktu sarapan atau tengah hari, dan paling best, selalunya dah sedia atas meja. Duduk je, boleh terus makan!

Apa yang buat nasi ni istimewa? Nasinya dimasak dengan kunyit dan dibungkus cantik dalam daun pisang. Bau dia? Fuhh, naik selera terus! Selalunya dihidang dengan ayam goreng berempah atau ikan tongkol, siap dengan telur rebus dan sambal pedas yang ‘kick’. Simple, sedap, dan yang penting — murah serta mengenyangkan!

Untuk maklumat lanjut mengenai Sabah, layari www.sabahtourism.com.

Published by
Rosmah Idayu