Syed Saddiq mahu fokus kehidupan peribadi – “Izinkan saya ambil sedikit masa bermuhasabah…” Selepas lima tahun penuh cabaran termasuk perbicaraan di mahkamah, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk memberi fokus kepada kehidupan peribadinya buat sementara waktu.
Perkara itu dikongsi sendiri oleh beliau menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok malam semalam.
“Izinkan saya ambil sedikit masa untuk muhasabah diri… saya perlu uruskan hal peribadi yang selama ini saya ketepikan demi kepentingan negara,” ujarnya.
Syed Saddiq menegaskan, keputusan tersebut bukan bermaksud beliau akan berundur daripada perjuangan atau mengabaikan rakyat, sebaliknya dia hanya memerlukan ruang seketika untuk memberi perhatian kepada diri sendiri serta keluarga.
“Saya cuma perlukan ruang untuk betulkan kehidupan peribadi saya, untuk luangkan masa dengan keluarga. Selepas itu, insya-Allah, saya akan umumkan langkah-langkah seterusnya dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan yang berkaitan dengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan sebulat suara menerima rayuan dikemukakan oleh Syed Saddiq sekali gus mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini. Dua lagi hakim yang bersidang adalah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
22 Julai 2021
Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas masing-masing satu pertuduhan subahat pecah amanah RM1 juta dan menyalahgunakan RM120,000 dana Armada.
5 Ogos 2021
Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
25 November 2021
Empat kes itu dibenarkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
19 Januari 2022
Mahkamah menasihatkan Syed Saddiq supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan di media sosial berhubung kesnya.
24 Mac 2022
Pendakwaan kemuka dua pertuduhan pindaan berhubung kes pecah amanah dan menyalahgunakan wang milik Armada.
21 Jun 2022
Perbicaraan hari pertama kes Syed Saddiq, di hadapan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid.
7 Julai 2022
Pihak pembelaan memohon untuk mencabar kredibiliti saksi utama iaitu Rafiq Hakim Razali (Penolong Bendahari Armada Bersatu) berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah namun permohonan itu ditolak.
8 Julai 2022
Syed Saddiq memohon maaf di mahkamah kerana memuat naik semula satu hantaran di laman media sosialnya berhubung perbicaraan kesnya itu.
22 Julai 2022
Syed Saddiq sekali lagi memohon mencabar kredibiliti Rafiq Hakim susulan terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan yang direkod oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangan lisannya di mahkamah dan permohonan itu juga tidak dibenarkan.
27 September 2022
Pihak pendakwaan menutup kes itu selepas selesai memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.
6 Oktober 2022
Pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah berhubung empat pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq.
28 Oktober 2022
Syed Saddiq diperintah untuk membela diri atas senua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
14 Mac 2023
Selesai pembelaan di Mahkamah Kuala Lumpur
14 April 2023
Pendakwaan dan pembelaan selesai berhujah.
21 September 2023
Mahkamah Tinggi menetapkan 9 November 2023 untuk keputusan kes terbabit.
9 November 2023
Syed Saddiq dihukum penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
29 November 2024
Syed Saddiq menerima segala dokumen penghujahan penuh – mengarahkan peguamnya untuk memfailkan rayuan
12 Disember 2024
Rayuan rasmi difailkan dengan 18 sebab kesilapan undang-undang dan fakta dalam sabitan; rayuan ini menetapkan kes untuk didengar oleh Mahkamah Rayuan
19-20 Mac 2025
Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari untuk mendengar rayuan kes Syed Saddiq
20 Mac 2025
Prosiding terpaksa ditangguhkan kerana timbalan pendakwa raya tidak sihat.
25 Jun 2025
Syed Saddiq dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas semua pertuduhan itu.
Sumber: Kosmo online dan Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Syed Saddiq Bersyukur Dibebaskan, Dilihat Memeluk Ibu Tanda Syukur
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE