
Syed Saddiq
Bakal menjadi suami yang bertanggungjawab, belum pun melangkah ke alam perkahwinan pun, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sudah serius mahu memahami bab nafkah ketika menghadiri kursus praperkahwinan bersama tunangnya, Bella Astillah.
Menerusi video yang kembali tular di media sosial, Syed Saddiq atau nama lengkapnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, rancak mengajukan soalan kepada penceramah berhubung kaedah pemberian nafkah kepada isteri.
“Mana lebih baik, bagi bulanan atau lelaki bayar saja bila keluar?” katanya menerusi potongan video dikongsikan dalam Astro Gempak.
Penceramah itu kemudian menjelaskan nafkah zahir yang perlu diberikan adalah mengikut kemampuan seseorang ketua keluarga.
“Dalam bab nafkah zahir ini tolong ikut kemampuan suami. Isteri nak bantu boleh tetapi bantulah dengan betul,” katanya.
Syed Saddiq turut mendapatkan penjelasan mengenai pemberian nafkah berdasarkan kemampuan terutama bagi lelaki yang berpendapatan lebih rendah.
“Bagaimana nak definisikan (nafkah) kalau ikut kemampuan masing-masing?
“Bagi seseorang yang mungkin tiada gaji lebih tinggi, mungkin telah pun laksanakan pembahagian empat perkara,” soalnya.
Dalam sesi tersebut, penceramah turut mengingatkan wanita supaya tidak memandang rendah suami hanya kerana jurang pendapatan.
“Orang perempuan tak boleh nak cakap dia beli tetapi tak minta duit. Jangan cakap begitu.
“Walaupun suami kita bergaji rendah daripada kita, dia tetap suami,” katanya.
Dalam potongan video yang difahamkan dirakamkan pada Mei lalu, turut menemani pasangan digelar BASS itu adalah adik kepada penyanyi dan pelakon, Didi Astillah serta suaminya, Diniey Ng.
Video berkenaan kembali mencuri perhatian selepas tarikh hari bahagia pasangan sensasi tersebut semakin hampir iaitu pada 10 Oktober ini.
Terdahulu, spekulasi mengenai tarikh pernikahan mereka semakin kuat selepas Syed Saddiq dan Bella dilihat berkunjung ke pejabat mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya, bulan lalu.