Berita Sosial

Suri Rumah Terjebak Penipuan Wang Kutu, Kerugian Mencecah RM94,800

Share

Tular kisah suri rumah terjebak penipuan wang kutu membabitkan mangsa seorang suri rumah berusia 35 tahun yang didakwa mengalami kerugian RM94,800.

Suri Rumah Terjebak Penipuan Wang Kutu

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa mendakwa membuat sebanyak 22 transaksi pindahan wang ke akaun bank individu antara 3 hingga 31 Julai lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan mangsa adalah sebanyak RM126,800 dan telah menerima wang pulangan berjumlah RM32,000.

“Susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita pada semalam sebelum kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah dan permohonan reman selama dua hari dibenarkan oleh majistret,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat sebagai penipuan wang kutu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kerugian Mencecah RM94,800

Terdahulu, seorang wanita yang sebelum ini ditahan bagi kes hutang kutu RM1.7 juta mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu terdiri daripada 52 peserta dari Julai tahun lalu hingga bulan lepas.

Tertuduh, Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, yang merupakan peniaga makanan membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 22 September depan untuk menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia yang beralamat di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam dekat sini dituduh menganjurkan kumpulan wang kutu dengan setiap peserta dikehendaki membayar wang tunai kepada kumpulan tersebut.

Menerusi laporan KOSMO! suaminya yang berusia 39 tahun direman selama dua hari bermula hari ini dengan perintah tersebut dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali bagi membantu siasatan bagi kes di daerah Kota Setar.

Sebelum ini tular berita tiga beranak dari Bukit Kayu Hitam dekat sini dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu sebelum polis tidak menolak kemungkinan kehilangan itu mempunyai kaitan dengan hutang permainan kutu.

Pasangan suami isteri berusia 39 dan 36 tahun itu kemudian tampil menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Jitra pada 6 Ogos lepas sebelum direman.

Sebanyak 35 laporan polis dibuat mangsa berusia antara 23 hingga 53 tahun terhadap wanita terbabit berhubung dakwaan penipuan wang permainan kutu membabitkan kerugian keseluruhan RM1.7 juta.

Published by
Nadia Mohamad