Macam-macam pandangan netizen tentang 2% dari gaji suami masuk KWSP isteri, ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Tetapi kebanyakan wanita mestilah setuju. Lelaki pula ada yang setuju dan ada yang tak setuju.
Yang setuju, bagus sebab duit potongan itu nanti adalah tetap milik kita, bukan milik orang lain, tak perlu risau.
Itupun masih ramai yang gunakan KWSP untuk pelbagai perkara lain yang dibolehkan. Sehingga menyebabkan tidak ramai mempunyai wang persaraan yang mencukupi ketika bersara.
Lagipun, kalau ikutkan tugas seorang suri rumah sangat berat. Kena bangun awal pagi, masak, kejutkan anak dan suami, sediakan makanan, basuh baju, sidai baju, angkat baju, lipat baju, jaga anak, mandikan anak, susukan anak, kemas rumah, buang sampah, hantar anak sekolah, ambil anak sekolah, beli barang dapur, masak, membebel, tidurkan anak. Jadi anggaplah 2% caruman KWSP itu sebagai penghargaan dari seorang suami terhadap pengorbanan isteri.
Buat golongan yang banyak sangat pertikaikan pasal 2% KWSP itu, anda pernah tak fikirkan kalau situasi suami meninggal tapi isteri tak berhak pun ke atas KWSP suami? Haaa… kalau masih sama-samar jemput baca perkongsian Puan Herda Johan ini.
Maksud Penama Dalam KWSP
Akak baru baca status kawan akak tentang isteri tak berhak dapat bayaran KWSP jika suami meninggal dunia walaupun penama adalah isteri.
Jadi akak pun search laa apa maksud penama dalam kwsp tu?
(Bukan semua suami sedar atau tahu atas perkara ni dan tak semua suami pun nak cerita).
Walaupun penamanya ialah isteri tapi isteri hanya sebagai pemegang amanah dengan mendapat bayaran tapi ia akan di agihkan mengikut faraid.
Bahasa mudahnya nak bagi senang urusan duit tu masuk akaun kita je pastu kita kena bahagikan pada waris yang layak.
Pendek cerita ISTERI DAN ANAK TAK DAPAT 100%.
Kalau camtu fungsi penama KWSP tu apa?
Ads
Penama tu hanya sebagai wasi/pentadbir yang urus bayaran/duit KWSP tu. Pendek cerita sebagai pemegang amanah.
Kita hanya pegang duit tu je pastu kena bahagi dengan waris lain.
PENAMA BUKAN HAK MILIK MUTLAK PENINGGALAN KWSP TU.
Penama ni bagi memudahkan urusan pembayaran terus kepada penama jika berlaku kematian pada ahli.
Kalau takda penama, pihak waris kena dapatkan surat kuasa tadbir. Makan masa dan kos pulak.
Lepas tu akan di agihkan ikut faraid.
Kalau isteri atau anak si mati ambik semua maknanya dia makan harta batil! Menjawab la kat akhirat nanti.
Ads
Ambil Tahu Apa Itu Penama
Tapi abang akak dah bahagi % siap dalam penama?
Lagi susah. Jadi lebih baik seorang penama. Jika di bahagi % pun masih tak di guna pakai dan tetap kena ikut FARAID (untuk orang islam).
Pastu jika si mati berhutang, kena settle dulu dengan duit tu bakinya pula di bahagikan ikut faraid.
Ramai yang tak tahu benda ni terutama surirumah-surirumah yang tak bekerja. Malah suami sendiri pun tak jelas.
Mereka ingat, penama tu sebagai penerima 100%. Sebenarnya bukan!
Bukan gila harta…
Tapi ini penting. Suri-suri semua, bincanglah dengan suami demi masa depan.
Suami mana nak biarkan isteri dan anak merempat kalau jadi apa-apa kan? Bukan semua suami mampu nak carum takaful untuk diri sendiri bagi kemudahan masa depan (tapi sebaiknya kena ada). Jadi hanya harapkan simpanan KWSP jelah.
Ads
Jadi suami-suami, silalah #HIBAH kan KWSP tu untuk keperluan isteri dan anak jika korang takda satu hari nanti. Ada caranya. Boleh hibah ke unit Amanah atau Hibah Takaful.
Ini bertujuan untuk kegunaan isteri selesaikan hutang suami yang tertunggak dan keperluan kehidupan isteri dan anak kemudian hari.
Banyak cerita kita dengar, suami meninggal, isteri terpaksa tanggung hutang sedia ada dek kerana tak boleh tuntut sebab perkara ni.
Dan ada juga sebab harta, waris terdekat sanggup lupakan darah daging sendiri dan menuntut hak masing-masing. Akhirnya anak isteri si mati jadi mangsa.
Rambut sama hitam hati lain-lain. Bila mata hati setan dah terbuka luas, nafsu pun bersarang…darah daging sendiri pun tak heran dah.
Tu sebab kenapa ‘2%’ potong KWSP suami tu dicadangkan. Bukan sebab gila harta tapi demi kelangsungan hidup isteri dan anak jika suami dah takda.
Fikir-fikirkanlah akhirat sama…
Info ni bukan nak menakutkan surirumah tapi kita wajib kena tahu supaya jelas.
Sedikit pesanan Puan Herda kepada kaum mak-mak di luar sana, untuk persediaan awal mintalah suami carum takaful sebagai back-up. Jika tak mampu rancanglah dari sekarang kewangan kita.
Luahnya lagi, dia pun dah mula sedar bab ni sebab ajal maut hanya Allah yang tentukan. Bila dah tak ada, urusan dunia bukan hal si mati dah. Lagi-lagi bila suami dah takda si isteri sendiri menanggung anak-anak untuk teruskan kehidupan. Nak tak nak hidup kena teruskan hidup.
Nota kaki:
Akak bukan ejen takaful atau unit trust. Akak cuma surirumah yang ‘bodoh’ dan kena belajar! Apa yang akak share ni untuk celik mata surirumah supaya jangan duduk saja dan tunggu. Buat tindakan untuk masa depan. Jika info yang akak kongsikan ni tak betul silalah beri penjelasan lebih lanjut y.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isu mak mentua dengan menantu seakan satu topik yang tiada kesudahannya. Buat mak-mak yang anaknya sudah kahwin, jangan sampai wujud status menantu pilihan dalam keluarga. Tak semestinya menantu kaya, anak anda bahagia.
Tak semestinya menantu berdarjat, anak anda bahagia. Boleh jadi dia melihat isterinya sebelah mata sahaja. Tak semestinya menantu ada bergelar sarjana agama, anak anda bahagia. Boleh jadi ilmunya cuma di akal sedangkan akhlaknya entah ke mana.
Mak Mentua Jangan Hanya Tayang
Jadi kepada anda yang suka ‘tayang’ menantu siap bagi tahu apa pangkat, di mana kerja, berapa gaji, berapa biji banglo dan kereta mewahnya cubalah beringat, tiada siapa dapat menilai kejayaan manusia itu melainkan Penciptanya. Malangnya apabila para mertua tengah berkumpul sakan bersembang tiada isu lain yang jadi kegemaran melainkan tayang kemewahan anak menantu.
JANGAN MEMBANDING-BANDINGKAN
Dalam keseronokan menjadi ahli kelab pencen banyak perkara yang seharusnya dijadikan panduan dalam berkawan. Jangan sesekali lukai perasaan orang lain dengan cuba membanding-bandingkan anak menantu kita dengan anak menantu mereka.
Jika berkawan sudah seperti saudara kandung memanglah seronok sebab hati kita sentiasa suka apa yang kawan kita suka tetapi jangan sesekali lupa Nabi Yusuf juga didengki saudara kandungnya apatah lagi kita. Anak-anak Nabi saja mendengki adik tirinya bagaimana pula kita yang bukan anak Nabi mestilah lebih jahil dari mereka. Hati manusia susah hendak diduga, seeloknya hindarkan rasa megah diri untuk mengelakkan daripada penyakit hati.
Bangga Menantu Pilihan Sampai Yang Lain Rasa Kecil Hati
Urusan membangga-banggakan anak menantu boleh jadi membawa kesan positif jika mahu memberi pengajaran pada orang lain. Tetapi jangan pula terbakar amal soleh kita disebabkan hasad dengki yang tular akibat tabiat suka tayang hebat.
Tiada siapa mampu menilai anak sendiri inikan lagi menantu, hanya kepada Allah kita serahkan urusan mereka. Peliknya jika jumpa menantu dua kali setahun tapi duduk sebumbung. Boleh jadi dalam ketawa anak kita sebenarnya dia sedang menutup aib suaminya. Dalam tangisannya pula boleh jadi dia sedang belajar tentang kehidupan sebenar di bawah penjagaan seorang lelaki yang sebenar.
Sebagai ibu bapa tiada hak untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka melainkan mereka meminta kita menjadi pendamai bukan penghasut. Apa yang tersembunyi tak perlu dikorek dan apa yang mereka kongsi seharusnya diraikan. Maka itu tak perlu tayang pada dunia apa yang kita tak nampak. Berpada-padalah dalam urusan membanggakan zuriat. Jangan melampau pujian diberi kerana ia boleh merosakkan hati.
Kalau begitu, berdosakah jika kita suka ‘tayang’ menantu? Tidak, bahkan dianjurkan jika itu merupakan suatu cara mengukuhkan hubungan persaudaraan, tak kenal maka tak cinta. Memperkenalkan menantu kepada kawan-kawan adalah ibadah kerana ia menepati sunnah Rasul s.a.w yang menggesa kita bersilaturahim.
Rasulullah SAW bersabda: “Al-Rahim itu bergantung di Arsy. Dia berkata: Sesiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambungnya dan sesiapa yang memutuskanku maka Allah memutuskannya. (Hadis Muttafaq ‘alaih)
PANDUAN PILIH MENANTU
Panduan memilih menantu telah diajarkan melalui wahyu, Allah tunjuk kepada kita bagaimana ciri-ciri menantu semulia Nabi Musa AS. “Wahai bapaku ambillah dia sebagai pekerja kerana sesungguhnya orang yang paling baik adalah yang kuat lagi amanah.”
Dalam tafsir Ibnu Kathir makna ayat ini menurut Umar, Ibnu Abbas, Abu Malik, Qatadah dan selainnya: “Ketika wanita itu berkata begitu kepada bapanya, bapanya bertanya: Apa yang kamu tahu tentang dia? Wanita itu berkata: Dia telah mengangkat batu besar yang tidak dapat diangkat oleh 10 orang lelaki dan ketika aku datang bersamanya berjalan di hadapannya, dia berkata berjalanlah di belakangku. Jika dia berbeza arah denganku maka dia melemparkan batu kerikil agar aku mengetahui ke mana dia berjalan.”
REALITI MENANTU ZAMAN SEKARANG
Ciri-ciri kepemimpinan seorang lelaki jelas terserlah melalui kisah ini dan rasa belas kasihannya kepada wanita membuat dia kelihatan lebih gagah. Malangnya lelaki zaman sekarang ramai yang minta dilayan lebih dan dijaga melebihi raja-raja.
Makan pun isteri yang carikan, kerja-kerja berat semua serah kepada isteri bagaimana pula kita suka memuji menantu-menantu sebegini dengan pujian mencecah awan? Entah-entah solat pun tak buat, agama tak pakai, sibuk saja dengan urusan dunia. Bukankah yang terseksa anak kita juga?
Menantu kebanggaan yang semestinya disyukuri oleh para mertua seharusnya mementingkan kekuatan akal, fizikal dan spiritual sebagai penjaga anak kita. Nafkah zahir dan batinnya hanya boleh dipenuhi dengan 3 kekuatan tersebut.
Kemudian amat menjaga kesucian pergaulan, keikhlasan hati dari syahwat sehingga begitu ketat menundukkan pandangannya. Zaman ini masihkah ada lagi orang yang mencari menantu sebaik Musa atau agama tidak lagi menjadi syarat penting? Oleh itu tak payahlah tayang menantu jika tak cukup syarat lelaki segagah Musa.
Kehadiran cahaya mata pastinya dinantikan oleh setiap pasangan suami isteri. Cahaya mata pengikat kasih ibu dan ayah. Namun, ada juga pasangan yang diduga tidak dikurniakan cahaya mata atau dipisahkan oleh ajal. Suhaila bt Yosni, 39, seorang wanita tabah, telah kehilangan tiga daripada lima orang cahaya mata.
“Anak sulung saya, Muhammad Iman Zhafran, Alhamdulillah normal dan kini berusia 11 tahun. Anak kedua, Muhammad Iman Zhariff meninggal pada tahun 2010 pada usia setahun empat bulan. Anak ketiga, Muhammad Ammar Zhariff meninggal pada 2013 pada usia setahun lima bulan. Manakala anak keempat, meninggal ketika usia kandungan tujuh bulan dan saya lahirkannya secara normal,” ujar Suhaila membuka bicara.
Tak Dapat Kesan Dari Awal
Menurut Suhaila, pada usia Iman Zhariff tiga bulan, dia dapati perkembangannya tidak seperti bayi lain dan badannya juga seperti membengkak.
“Dia kemudiannya dirujuk ke hospital Sungai Buloh. Didapati mata Iman Zhariff tidak normal. Ketika itu dia hanya dikesan sebagai Global Delay Development sahaja. Sehinggalah sebelum dia meninggal dunia, doktor kesan buah pinggangnya terlalu kering.
“Ketika kehilangan Iman Zhariff, saya memang rasa sedih dan tak bersedia. Tapi saya kuatkan semangat dan tidak mahu terus larut dalam kesedihan. Setelah itu, lahir Ammar Zharif, anak ketiga. Rupanya sekali lagi kami diuji apabila dia juga menunjukkan simptom yang sama dengan arwah Iman. Ketika itu saya terus bawa dia ke PPUM dan doktor akhirnya merujuknya ke HKL bahagian buah pinggang kanak-kanak. Doktor mendapati buah pinggang Ammar Zhariff bocor dan menjalani rawatan namun tidak mampu bertahan. Kali ini, hati saya lebih kuat dan reda dengan pemergian Ammar Zhariff.
Mungkin pengalaman kehilangan Iman telah menguatkan hati saya untuk lebih reda,” katanya menceritakan tentang anaknya.
Menurut Suhaila, sebelum Ammar Zhariff meninggal dunia, mereka sempat menghantar sampel darah arwah, suami dan dirinya ke UK. Didapati terdapat kelainan genetik pada gen Suhaila dan suaminya iaitu Gen Lamb2. Bermakna setiap cahaya mata mereka berisiko 25 peratus untuk mendapat penyakit yang berpunca daripada kelainan genetik ini.
Arwah anak-anak Suhaila juga dikesan menghidap penyakit Congenital Nephrotic Syndrome.
Sebenarnya penyakit ini tidaklah terlalu asing di negara ini tapi anak-anaknya kurang bernasib baik mengalaminya ketika usia di bawah dua tahun, menyebabkan penyakit mereka tidak dapat dirawat. Berbeza sekiranya mereka dikesan selepas usia lima tahun, lebih banyak ubat dan perawatan boleh dilakukan ke atas mereka.
Meninggal Dalam Kandungan
Ternyata ujian Allah untuk hamba-Nya ini belum terhenti. Ketika mengandungkan anak keempat, bayi yang dikandung itu tiba-tiba degupan jantungnya terhenti ketika usia kandungan tujuh bulan.
“Kali ini kesnya berbeza daripada anak kedua dan ketiga. Memang tak sangka kerana pada awal kehamilan saya sudah membuat ujian air ketuban dan uri untuk mengesan jika ada kelainan pada kandungan dan doktor mengatakan semua normal. Sebab itu saya meneruskan kehamilan itu. Kuasa Tuhan, pada usia kandungan tujuh bulan, bayi di dalam kandungan tiba-tiba terhenti degupan jantungnya dan anak keempat itu saya lahirkan tanpa nyawa,” sambungnya sedih.
Namun dia dan suami bersyukur kerana mereka kembali dikurniakan zuriat yang sihat, Muhammad Isyraf Zuhayr, yang kini berusia tiga tahun.
Keluarga Bagi Sokongan Padu
Tambah Suhaila, dia bersyukur saat dia menghadapi segala kepayahan menjaga dan mencari rawatan terbaik untuk anak-anaknya, keluarga sentiasa menjadi tulang belakang utama, sama ada ibu bapa kandung mahu pun mentua.
“Saya akui, tanpa sokongan daripada kedua pihak keluarga, saya dan suami takkan sekuat ini. Ketika saya sibuk berulang alik ke hospital, mak mentua yang tolong jagakan anak sulung kerana saya tinggal bersama mentua. Jadi saya tak risau tentang anak yang ditinggalkan di rumah. Saya juga bersyukur kerana mendapat seorang ketua tempat saya bekerja yang sangat memahami masalah kesihatan anak-anak saya.
“Demi mendapatkan rawatan untuk anak-anak, saya terpaksa ambil cuti tanpa gaji dan cuti separuh gaji kerana perlu habiskan masa lama di hospital dan temu janji rawatan yang kerap. Syukur, mak dan ayah saya turut membantu dari sudut kewangan dan ia meringankan beban saya dan suami,” tambah isteri kepada Fazirul Wahidi Mansor, 39 Tahun.
Cari Kekuatan
Mata yang memandang tak sama dengan bahu yang memikul. Itulah yng boleh dikatakan buat pasangan ini.
“Saya akui, bukan mudah untuk saya lalui semua itu. Namun saya cuba mengumpul kekuatan dengan sentiasa berfikiran positif dan sentiasa muhasabah diri. Saya banyak membaca blog-blog orang lain yang turut diduga dengan anak-anak sakit. Ini membuatkan saya lebih kuat dan rasa masih ramai orang lain yang lagi hebat dugaan berbanding diri saya. Saya juga sering ingatkan diri untuk kuat, barulah saya boleh jaga keluarga saya,” akhiri Suhaila.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu yang bekerja dalam masa yang sama mempunyai anak-anak yang masih kecil pasti berhadapan pengurusan masa yang kritikal. Mudahkan rutin harian ibu dengan melatih anak-anak lelaki mahupun perempuan masak di dapur. Anak lelaki juga boleh melakukan kerja-kerja rumah seperti anak perempuan.
Melatih anak lelaki masuk ke dapur sebenarnya perlu bermula dari kecil. Disiplin sebegini membuatkan mereka terbiasa. Pengalaman penulis blog SuriSuper.com dan penulis buku, Azura Abdullah melatih anak-anak lelaki memasak boleh dijadikan contoh. Melihat anak-anak lelakinya yang tidak kekok masuk ke dapur memasak benar-benar mengagumkan.
4 Panduan Latih Anak Lelaki Dan Perempuan Rajin Masak Di Dapur
Bagaimana ibu ini memberi melatih empat orang anak-anaknya ke dapur tanpa rasa kekok. Anak-anaknya, Muhammad Irfan, 17, Nur Irdina, 14, Muhammad Irsyad, 13, Muhammad Isyraf, 10 tahun selesa malah gembira sekali ketika di dapur. Kadangkala bermacam-macam menu menarik yang mereka sediakan. Ikuti idea yang dipraktikkan olehnya.
1. Berikan Tugasan Memasak
Anak-anak didedahkan dengan tugasan memasak sejak usia mereka masih kecil. Pendedahan itu dilakukan mengikut kesesuaian umur dalam mengendalikan peralatan dapur untuk mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku.
2. Biar Anak Cari Resipi Di Internet
Tak nafikan, anak lelaki ketika di dapur, keadaannya bagaikan tongkang pecah. Tapi mereka sangat kreatid dalam mempelbagaikan resipi yang mereka cari sendiri dari Internet.
3. Kenali Kemampuan Anak
Atasi kebimbangan ibu bila anak lelaki masuk ke dapur dengan memberikan pendedahan sejak mereka di awal usia. Ketika anak-anak di dapur, ibu perlu pantau. Dari situlah ibu akan faham kemampuan anak-anak dalam mengendalikan ruangan dapur.
“Misalnya anak lelaki saya yang bongsu masih dalam darjah 4. Saya lepaskan anak saya memasak bersendirian jika tidak menggunakan api atau minyak. Bagi anak lelaki saya ini, saya fokuskan kepada masakan yang menggunakan air-fryer dan oven sahaja.
“Manakala abang mahupun kakak yang sudah bersekolah menengah barulah saya berikan mereka kebenaran untuk menggunakan dapur gas atau memasak yang melibatkan minyak.”
4. Ibu Pun Kena Masuk Dapur
Ibu bapa jenis yang cerewet tentang ruangan dapur pun sebenarnya boleh latih anak-anak lelaki mereka. Kunci utama adalah beri pendedahan awal. Libatkan anak ketika memasak. Lama-kelamaan anak-anak akan faham apa yang perlu dibuat.
“Misalnya selepas memasak, mereka perlu mengemas dan mencuci kembali segala peralatan. Seperkara lagi, kita sebagai ibu bapa perlu ‘walk the talk’ sesama suami isteri. Contohnya suami membantu isteri menghidangkan makanan.
“Selepas makan, suami bantu isteri mencuci pinggan mangkuk yang kotor. Dari situ, secara automatik anak-anak akan ambil peduli hal ini dan saling membantu antara satu sama lain.”
Itu yang dipraktikkan dirinya dan suami, Mohd Hadzrami.